Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Tuesday, March 30, 2010

Mengenang Allahyarham Zainudin Zainal






Saya tidak dapat menahan pilu apabila diminta oleh Sdr ManKadir untuk menyentuh didalam ucapan saya ketika Mesyuarat Agung Tahunan KEADILAN Cabang Temerloh tentang Allahyarham Zainudin Zainal.Memang sengaja kami undang keluarga Allahyarham ke MATC sebagai mengambil kesempatan bagi menyerahkan momentos,tanda kenang-kenangan dari kami yang berupa plak yang amat sederhana.





Foto:Sdr Zakaria Abd Hamid menyerahkan plak dan sedikit sumbangan kepada balu Allahyarham,Puan Shahrul Bariyah sambil diperhatikan YB Hajjah Zuraidah sewaktu MATC Temerloh baru-baru ini.


Plak tersebut ditempah dan disediakan oleh Sdr Yusairy Ahmad,Timbalan Ketua Cabang Temerloh sebenarnya sudah lama siap;cuma tuntutan masa yang menyebabkan acara untuk menyerahkan momentos tersebut hanya dapat disempurnakan pada 28.3.2010 yang lalu.


Bagi 'orang baru' perjuangan,mungkin ramai yang tidak mengenali Allahyarham Zainudin atau panggilan mesranya ialah Din Koneweh.Zainudin semasa hayatnya pernah menjadi pegawai di Hong Kong Bank.Allahyarham antara yang terawal mengisi borang keahlian Parti Keadilan Nasional (ketika itu) setelah ditubuhkan pada 9.4.1999 di Temerloh.


Setelah sama-sama menyertai Parti,saya menjadi rapat dengan beliau.Kami ketika itu merupakan anak muda yang sememangnya jahil politik;pun begitu sama-sama mempunyai impian dan semangat yang kuat untuk membawa agenda Reformasi dan membebaskan Sdr Anwar Ibrahim yang mendekam di Penjara Sungai Buluh.



Saya menyebut kami jahil politik,ya,sehinggakan istilah PACA (polling agent/counting agent) pun ketika itu tidak kami fahami peranan dan fungsinya.Didalam keadaan yang serba tidak tahu itu,saya kira,Zainudin dan ramai lagi teman-teman lain yang tidak pernah berpolitik memberanikan diri untuk terus berjuang melawan kekuatan UMNO/BN dengan jenteranya yang ampuh dibantu media.Kami memberanikan diri berhadapan dengan kerenah dan cabaran daripada pihak Polis samada untuk mendapatkan permit atau bila permit di batalkan.

Foto:Puan Shahrul Bariyah balu Allahyarham bersama puteri Allahyarham,seorang kanak-kanak istimewa sedang meneliti plak kenang-kenangan dari Cabang Temerloh


Berhadapan dengan segala kekurangan ini,kami tidak pula menyerahkalah.Dengan dipandu oleh Hj Suhaimi Said,Dr.Wahid (sudah meninggalkan parti bersama Geng 12),Zakaria Abdul Hamid dan 'try and error' kami memberikan segala yang terbaik untuk perjuangan.Mentah dan berhingus tidak tidak menjadi alasan untuk Zainudin dan teman-teman lain meninggalkan perjuangan.


Alahyarham pernah dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan KeADILan Pahang yang kedua disamping menjadi Setiausaha Bahagian Temerloh.Saya kira Allahyarham seorang yang berani menyahut cabaran kerana tugas sebagai SUP bagi sebuah parti yang baru bukanlah mudah.Terlalu banyak cabarannya termasuk kerenah dari ahli dan pemimpin setempat.



Foto:Saya menyampaikan sumbangan bagi pihak Kak Wan (Dato Seri Dr.Wan Azizah Ismail) Presiden KEADILAN kepada Allahyarham Zainudin Zainal (tuan Setiausaha) sewaktu banjir besar tahun 2007 dahulu.Rumah Allahyarham di Taman SAGUMPAS Mentakab dinaikki air banjir memaksa Allahyarham sekeluarga berpindah.


Perlu disinggung bahawa tugas seorang Setiausaha bukan sekadar urusan pentadbiran parti tetapi juga merangkumi kerja-kerja memasang poster,mengedar poster,mengecat lambang,menjadi pengutip derma,mengedar risalah di pekansari,penceramah,tukang masak dan pelbagai lagi.Tidak pernah kami merungut atau merasakan kerja-kerja tersebut 'beneath our dignity' tetapi dilaksanakan demi tuntutan perjuangan dan untuk membina Parti.Hari ini saya difahamkan kerja-kerja memasang poster atau mengutip derma atau menjaga lalulintas dianggap 'mencemar duli' bagi sesetengah pemimpin terkecuali tugas untuk mengiringi Sdr Anwar Ibrahim atau pemimpin tertinggi yang lain-tugas sedemikian sahaja dianggap yang paling layak dan mulia!




Dan semua ini dilakukan oleh kami tanpa dalih.Keutamaan ialah melihat parti dibangunkan dan mendapat tempat di hati rakyat selain bagi memperkasakan parti yang baru itu.Namun kerja-kerja tersebut dilakukan secara teamwork atau berpasukan memantapkan lagi kesetiakawanan kami.




Pada suatu hari saya berjumpa dengan Allahyarham Zainudin di Pejabat KeADILan Pahang (waktu itu pejabat perhubungan negeri di Temerloh berkongsi pejabat dengan firma guaman Tetuan Amir Maslina & Co yang menanggung bill elektrik dan air serta operasi pejabat tersebut), dri jauh beliau nampak tersenyum-senyum memandang saya.Seperti biasa saya menyergah beliau seraya bertanya apa yang membuatkan beliau nampak begitu gembira.


Rupa-rupanya Alahyarham mendapat penghormatan dari Kak Wan (Dato Seri Wan Azizah Ismail) Presiden Parti dengan merujuk kepada Alahyarham sebagai 'Tuan Setiausaha!'Semenjak dari hari itu secara bergurau kami akan memanggil beliau Tuan Setiausaha.


Sebenarnya banyak kenang-kenangan bersama Allahyarham termasuk sama-sama menyertai Demontrasi di Masjid Negara selain menyertai Pilihanraya Kecil.Kesemua kenangan ini memperlihatkan komitmen Allahyarham kepada perjuangan.


Pun begitu yang memberi kesan kepada saya peribadi ialah didalam keuzuran Allahyarham masih lagi turun padang bekerja sewaktu PRU-12 yang lalu.Setiap malam Allahyarham akan menghadiri mesyuarat merencana strategi dan brainstorming tanpa gagal.Manakala ketika itu Allahyarham didalam cuti sakit namun tetap aktif.Saya,Pak Din dan Hj Shukur pernah meminta Allahyarham agar berehat sahaja,namun,Zainudin adalah Zainudin,tidak mengendahkan saranan itu.


Allahyarham bersama Sdr Hashim Abdullah dan Hj Shukur mengadakan sidang media membuat bantahan terhadap pertindanan daftar pemilih,pada ketika itu Allahyarham memang sudah nampak begitu tidak sihat namun beliau masih meneruskan juga.Disebelah malamnya Allahyarham dikejarkan ke hospital di Kuantan dengan bantuan Pak Din.Di hospital Zainudin 'derhaka' kepada arahan Doktor,setiap hari beliau akan menghubungi saya bertanyakan perkembangan dan memberikan pandangan beliau dari kamar hospital.




Kesihatan Allahyarham merosot selepas dari pilihanraya.Beliau bukan sahaja menerima rawatan untuk sakit jantungnya di Kuantan malah pernah mendapat rawatan rapi di Kuala Lumpur.Saya dan teman-teman pergi menziarahi beliau,walaupun terbaring di katil hospital Allahyarham tetap ceria dan ramh seperti biasa;dan seperti biasa juga Allahyarham akan dengan sembunyi-sembunyi turun dari bilik Hospital Tawakkal untuk menjamu selera di Restoran mamak berhampiran.Itulah Zainudin Zainal.


Allahyarham kemudiannya terkena serangan angin ahmar (stroke) di dalam bilik air rumah sewa beliau di Kuantan ketika sedang bersiap untuk pergi kerja.Semenjak itu kesihatan beliau begitu mendukacitakan sehinggalah beliau pergi di jemput al-Khalik di rumahnya di Temerloh.


Sesungguhnya pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada Parti dan perjuangan.Parti Keadilan Rakyat yang sudah bertapak kukuh seperti yang ada pada hari ini sesungguhnya terhutang budi kepada Allahyarham.Tentunya sebagai manusia biasa,dengan segala kekuatan dan kelemahan Allahyarham telah memberikan yang terbaik dri usia beliau untuk Parti dan perjuangan.Komitmen dan pengorbanan Allahyarham akan sentiasa di kenang dilipatan sejarah perjuangan.


Sewaktu menziarahi jenazah Allahyarham,seusai membaca Yaasin,saya tidak dapat menahan diri dari membuka tutup muka jenazah,menebarkan pandangan saya ke wajah Zainudin yang tenang itu buat kali terakhir dan kemudian saya cium dahi Allahyarham.Selamat jalan wahai sahabatku,damailah kau diperaduan itu.Semoga Allah menerima segala kebaikkan yang telah kau berikan dan ditempatkan rohmu di kalangan mereka yang beriman.Selamat jalan wahai sahabatku,perjuangan ini akan kami teruskan hingga ke titik penamat.Al Fatihah.
Nota Kaki:
Sdr Rizan Ali,Setiausaha Cabang Bera dan mantan SUP Pahang mengingatkan saya ada sedikit fakta yang tidak tepat iaitu mengenai jawatan SUP yang pernah dipikul oleh Allahyarham.Setelah saya membongkar semula catatan dan rekod saya bersetuju dengan Sdr.Rizan bahawa Allahyarham merupakan SUP kedua setelah Sdr.Kamal Talib.Saya telah betulkan semula didalam tulisan ini.Terima kasih kepada Sdr.Rizan kerana mengingatkan saya.
Berikut senarai SUP KEADILAN Pahang sejak dari penunubuhannya bulan April 1999:
SENARAI SUP PAHANG SEJAK 1999-KINI:-
pertama : Kamal Taib 1999-2001
kedua : Alahyarham Zainuddin Zainal 2001-2003
ketiga : Rizan Hj Ali 2003-2006
keempat : Razali alias 2006-2007
kelima : Wak Rabidin 2007-2008
keenam : Sheikh Bahazenan 2008
ketujuh: Zaidi Ahmad 2008-2009
kelapan : Razali Alias 2009-kini

Saturday, March 20, 2010

Psikik Orang Melayu Atau Penyakit Orang Melayu #1

Ceritera Satu


Baru-baru ini,saya telah dihubungi oleh seorang teman yang beria-ria benar meminta saya menunggu beliau di pejabat.


"Hujan ribut ke,kawan* minta tunggu juga.Kawan bawa rodong** dari Johor nak jumpa awok ni,"begitulah lebihkurang ulas butir teman ini didalam slanga Temerloh yang pekat.



Sekitar jam 6 petang teman ini bersama 4 orang lain tiba ke pejabat saya.Setelah sedikit basabasi saya terus diberitahu tujuan kedatangan mereka untuk meminta tolong saya menjual sebentuk cincin perak bertatahkan batu delima merah kepada Dato Seri Anwar Ibrahim.Tentunya saya sedikit terkejut dan terusterang,didalam hati saya merungut juga kerana membuang masa saya.



"Harga cincin delima ini kita nak jual dalam RM10000 kat Dato Seri (Anwar),kalau orang lain lagi mahal harganya," kata teman yang datang dari Johor itu.Saya mengesani ada pelat Jawa dari pertuturannya.Lelaki ini berkaca mata,gempal dengan janggut putih dan berkopiah.Dilehernya terlilit kain ala kafiyyeh Yasser Arafat.


Saya masih tidak memberikan sebarang respons,sekadar hanya menatap mata lelaki tersebut sambil didalam hati,saya masih lagi membebel-wasting my time-menunggu lelaki tersebut meneruskan 'hujjahnya'.


"Banyak fadhilatnya cincin batu delima ini.Pemakainya akan lebih disenangi,disukai orang.Popular gitu."


Saya masih mendiamkan diri,tidak menggubris walau sepatah ayat pun.


"Jadi sesuai sangatlah dengan Dato Seri Anwar memakainya,"demikian tutur lelaki ini dengan lagak salesman.


Lelaki ini bercerita lanjut betapa beberapa orang Menteri dan seorang Menteri Besar ada membeli batu cincin,keris Bugis dan sejenis besi yang saya lupa namanya daripada beliau.Mereka ini,sebelumnya hanya sekadar orang biasa sekarang sudah jadi Menteri Kabinet dan Menteri Besar (kebetulan nama-nama yang disebut itu dari kalangan pemimpin UMNO) tegas lelaki ini bagi membuktikan betapa ampuhnya batu delima merah yang jika direndam didalam air masak akan membuatkan air bertukar merah seumpama sirap.


Saya akhirnya membuka mulut juga.Saya tegaskan,tentunya dengan penuh diplomasi,bahawa saya tidak dapat membantu beliau kerana saya 'tidak pandai untuk membuka mulut' tentang hal sebegini.Lagi pun,jauh di dalam hati saya,saya tidak mempercayai langsung kuasa ajaib dari batu cincin atau besi dan sebagainya.


Malah ada keinginan yang kuat untuk saya bertanya kepada lelaki ini,jika benar batu delima tersebut begitu ampuh dan penuh dengan keajaiban,kenapa beliau tidak menggunakannya untuk diri sendiri?Jika benar batu delima tersebut penuh hikmat,saya fikir beliaulah yang paling patut menjadi Menteri Besar Johor memandangkan batu delima tersebut mampu memberikan kuasa yang begitu ajaib.Kerana menghormati tetamu,maka soalan itu saya pendamkan sahaja didalam hati.

Sehingga tetamu-tetamu saya pulang meninggalkan pejabat saya,cincin batu delima merah tersebut tidak pula ditunjukkan kepada saya.


Ceritera Dua

Jika ingatan saya tidak tersasar,sekitar bulan Februari tahun 2008,saya telah di kunjungi oleh sekumpulan lelaki Melayu bersama 2 orang wanita.Mereka hadir ke pejabat saya juga.Salah seorang dari mereka,kita namakan En.Awang (bukan nama sebenar) memberitahu saya mereka datang dari Jerantut dan beliau merupakan saudara kepada salah seorang pimpinan PAS Pahang yang merupakan sahabat baik saya.Awang memberitahu saudara beliau itu yang mencadangkan untuk berjumpa saya (kemudiannya saya menghubungi sahabat saya itu dan beliau menafikannya).

Pada perkiraan saya diawalnya,mereka ingin mengadu masalah atau mendapatkan nasihat perundangan atau sekurang-kurangnya untuk bercerita tentang politik.Ternyata saya tersilap.
Salah seorang dari rombongan tersebut,yang saya nilai sebagai ketua-di panggil Ayah Syeikh oleh yang lain-membuka bicara.

"Tujuan kami datang ini untuk meminta pertolongan anta,demi perjuangan orang Islam dan orang Melayu," demikian lebihkurang mukaddimah daripada Ayah Syeikh.Saya bertanya kembali dalam bentuk apakah pertolongan yang diminta.

"Ana nak minta anta tolong dapatkan (Dr.) Ustaz Badrul Amin atau (Dr.) Harun Din;kalau tak dapat kedua-dua minta anta dapatkan (Dr.) Ustaz Muhammad Nur (Manutty),tapi jika dapat Tok Guru Nik Aziz lagi baik!".

Mati hidup kembali saya menyangkakan mereka ini mahu minta pertolongan saya untuk membawa Ustaz Badrul Amin dan yang lainnya untuk berceramah atau kuliah agama.Diatas tanggapan tersebut saya dengan naifnya bertanya dimana dan bila program tersebut akan dilangsungkan?

Alangkah terkejutnya saya apabila diberitahu tujuan memanggil Ustaz Badrul Amin dan yang lain itu bukan untuk berceramah tetapi untuk meminta tolong bagi 'memanggil duit dan harta karun' yang tersembunyi atau tertanam di suatu tempat dan sedang dijaga oleh sekumpulan jin.

Saya terdiam,tidak tahu bagaimana untuk memberikan reaksi.Terkebil-kebil saya memandang Ayah Syeikh,yang saya kira mungkin berusia dalam lingkungan 50-an.Baru saya menyedari giginya yang kuning yang mungkin dek candu rokok serta pakaiannya yang kumal.Mata saya beralih dari memandang Ayah Syeikh kepada muka setiap tetamu saya petang itu.

"Ana dah buat solat hajat.Bangun malam solah tahajjud minta tolong kepada Allah.Ana doa mengadu kepada Rasulullah...",Ayah Syeikh meneruskan kata-katanya.Saya sekadar mendiamkan diri,tidak tahu bagaimana harus saya respond.

"Begini En.Nizam," Awang pula mencelah,"Ayah Syeikh kita ni memang dah buat solat hajat dan yang lainnya.Dah dapat petunjuk duit dan harta tersebut berada dimana.Banyak En.Nizam,tujuh keturunan tak habis makan.Cuma baru-baru ini jin yang menjaga harta tu kata Ayah Syeikh tak boleh ambil,kena orang lain."

Saya masih mendengar dengan tekun juga.Menarik juga kisah 'X-Files' sebegini,fikir saya,mungkin boleh menambah pengalaman (walaupun didalam hati saya langsung tidak mempercayainya) maka saya tidak mencelah.

"Jadi Ayah Syeikh ni teruskan buat amalan dia,siang puasa,malam dia iktikaf atas tikar sembahyang.Dua malam lepas Ayah Syeikh berjumpa dengan Rasulullah,tak begitu Ayah Syeikh?" Dengan bersungguh-sungguh Awang menjelaskan kepada saya dan tentunya saya terkejut mendengar cerita berjumpa Rasulullah itu.

Segera saya bertanya,"Apa maksud berjumpa Nabi Muhammad tu?Mimpi ke?".

Ayah Syeikh membetulkan letak punggungnya dan dengan tersenyum bangga menjawab:"Ana tidak jumpa dalam mimpi.Ana jumpa betul-betul,dalam sedar.Bercakap dengan Rasulullah macam ana bercakap dengan anta sekarang ni," Ayah Syeikh menjawab soalan saya.

Saya terkejut dan terkedu.Terkebil-kebil saya memandang lelaki itu.Speechless.Pun begitu saya bertanya juga apakah beliau maksudkan itu sebagai yakazah?

Ayah Syeikh mengerutkan dahinya mendengar soalan saya seraya bertanya yakazah itu apa?Saya tidak menjawab sekadar menanti penjelasan seterusnya.

Ayah Syeikh bercerita tatkala sedang berzikir didatangi oeh 'Rasulullah' yang mencadangkan nama Ustaz Badrul Amin atau Ustaz Harun Din atau Ustaz Muhamad Nur Manutty atau Tok Guru Nik Aziz untuk 'berikhtiar' bagi mendapatkan harta karun dan duit tersebut.

Dengan begitu bersungguh Ayah Syeikh menceritakan pengalaman beliau.Ayah Syeikh meminta tolong untuk segera berhubung dengan Ustaz BadrulAmin;malah bersetuju untuk membahagikan harta tersebut dengan nisbah 50:50 selain berjanji untuk memberikan infaq (istilah yang beliau sebut) kepada KEADILAN dan PAS.

Saya tidak memberikan sebarang komitmen dan saya dengan terusterang memaklumkan saya tidak dapat membantu didalam hal ini kerana tidak terjangkau oleh fikiran saya.Saya tidak tahu apakah Ayah Syeikh,Awang dan teman-teman mereka berpuashati dengan saya.

Cuma sekali sekala ada juga saya terjumpa dengan Pak Syeikh dan Awang di bandar Temerloh.Saya sekadar mengangkat tangan tanda hormat.Tidak pernah saya menceritakan kepada Ustaz Badrul Amin tentang cerita ini;saya percaya jika saya ceritakan kepada Ustaz Badrul Amin,anak Bugis ini akan ketawa besar!

Ceritera Ketiga

lebih kurang sepuluh tahun yang lalu di Temerloh ada seorang pengurus bank yang cukup dihormati oleh masyarakat.Penampilan nya begitu tawadhuk dan zuhud-beliau pernah memberitahu saya tidak mahu memakai kasut yang bertumit tinggi kerana bunyi yang dihasilkan oleh tumit kasut yang berlaga dengan jalan membayangkan sifat angkuh dan riak.

Saya rapat juga dengan pengurus bank ini kerana penampilannya yang sedemikian rupa serta halus tutur katanya.Sering saya berbual dan bertukar fikiran dengan beliau khususnya yang berkaitan dengan agama dan gerakan Islam.

Kemudian saya dapati pengurus bank ini secara tiba-tiba berubah.Daripada cara berpakaian yang kini berkemeja lengan panjang serta bertalileher,sesuatu yang begitu asing kepada beliau,sehinggalah memakai sepatu bertumit tinggi.Ketika itu di Temerloh heboh dengan cerita pelaburan alam ghaib, di mana mereka yang melabur RM 1,000 akan mendapat pulangan dalam tempoh tujuh hari, sembilan hari, tigabelas hari, duapuluh tujuh hari atau empatpuluh hari dalam jumlah ratusan ribu ringgit sebagai pulangan.

Daripada cerita yang saya perolehi bahawa pengurus bank ini bersama dengan seorang ustaz yang katanya hafaz Quran dapat berhubung dengan jin Islam daripada kerajaan Islam di alam ghaib yang ingin membantu umat Islam di Malaysia dengan membahagikan wang.Ada juga cerita yang saya perolehi bahawa pemimpin jin Islam di alam ghaib itu sebenarnya mengeluarkan zakat kepada umat Islam di Malaysia ini.

Ustaz yang hafaz Quran tersebut beroperasi di Bahau.Maka berduyun-duyunlah orang Temerloh termasuk juga para peneroka Felda pergi ke Bahau untuk melabur bagi mendapatkan wang daripada alam ghaib.Saya diberitahu modus operandinya setiap mereka yang ingin melabur akan berjumpa secara empatmata dengan ustaz ini dan akan melafazkan akad bersaksikan naskah Al-Quran bertulis tangan.

Kerana tidak dapat menahan rasa ingin tahu saya yang membuak maka pada suatu hari saya pergi berjumpa dengan pengurus bank tersebut. Pengurus bank dengan dan penuh keyakinan memberitahu saya yangbeliau telah menulis surat perletakkan jawatan sebagai pengurus bank serta mereka telah menyewa beberapa tingkat bangunan di KLCC.Saya bertanya kepada beliau apa sebenarnya yang berlaku.

Pengurus bank tersebut memberitahu saya bahawa wang akan sampai yang merupakan infaq daripada kerajaan jin Islam.Wang tersebut bertujuan untuk membantu umat Islam di Malaysia. Saya terus bertanya kenapa tidak dibantu umat islam di Somalia yang sedang kebuluran.Saya kira dengan sedikit jengkel pengurus bank ini menjawab bahawa kali ini giliran Malaysia dahulu,negara Islam yang lain kemudian.

"Anta kena yakin.Anta yakin atau tidak kepada alam ghaib?Anta yakin kepada alam malaqut?"
Soal beliau kepada saya dengan emphasised kepada kalimat yakin tersebut yang ditutur seolah-olah orang Arab yang bercakap.

Saya hampir terpengaruh juga dengan penjelasan pengurus bank ini.Kembali ke pejabat saya menghubungi rakan baik saya Rozilan mengajak beliau ke Bahau untuk turut serta.Saya mencadangkan pelaburan separuh-separuh dengan Rozilan.Tetapi alhamdulillah kewarasan saya mengatasi sifat tamak ; kami tidak pergi ke Bahau.

Tidak lama kemudian pecah berita bahawa ustaz yang hafaz Quran tersebut ditahan oleh pihak polis dan ramai orang Temerloh yang kerugian puluhan ribu ringgit kerana mempercayai dongeng ini.

Ketiga-tiga ceritera ini adalah kisah benar daripada pengalaman saya sendiri.Kepada saya teladan yang diperolehi ialah orang Melayu masih lagi berada di dalam situasi yang pemikiran mereka bukan sekadar jumud tetapi memperlihatkan sifat yang jelek mahu kaya dengan cara mudah serta mudah terpengaruh.Mungkin inilah yang disebut sebut sebagai ciri fatalisme yang ada dalam diri orang Melayu.

Di abad keduapuluhsatu ini tentulah sesuatu yang menduka citakan kerana orang Melayu masih lagi gagal membebaskan diri mereka dari ketahyulan,kurang percaya diri, enggan bermandiri dan mudah mempercayai segala yang berselimut dengan label agama.Kerungsingan saya bersebab kerana selagi oang Melayu tidka berani untuk berkerja keras,berusaha, bermandiri serta masih lagi terikat dengan ketahyulan maka selagi itulah orang Melayu akan gagal bersaing dan akan selamanya membenarkan diri mereka dieksploitasi.

Glossari:

* Kawan-saya/aku

**Rodong-teman/sahabat/kawan

Tuesday, March 9, 2010

UNDANGAN KE PROGRAM "BiCaRa AnAk MuDa"



Pelan lokasi program:

Semua Di Jemput Hadir dan sukacita sekiranya dapat memanjangkan undangan ini kepada teman-teman lain.

Monday, March 8, 2010



SELAMAT MENYAMBUT HARI KETUANAN RAKYAT ( 8.3.2010.)

Setahun yang lalu,Dato Seri Anwar Ibrahim telah memberikan pidato kebangsaan yang cukup berkesan dan relevan serta sesungguhnya memperlihatkan pandangan jauh beliau untuk membina negara-bangsa yang lebih gemilang.

Bagi mengingatkan semula maudhuk Pidato tersebut,sila jengah:http://lanailestari.blogspot.com/2009/03/pidato-ketuanan-rakyat-oleh-dato-seri.html

Kepada saya peribadi,terlepas dari dilihat memuji-memuja melulu,pidato tersebut merupakan blueprint serta acuan dan resepi dalam upaya kita membina negara-bangsa yang demokratiks,adil,saksama,bersatupadu serta katalis bagi kemakmuran negara.

Tentunya pidato tersebut (dan mudhuknya) akan hanya menjadi dokumen usang tanpa nilai jika gagal di hayati dan di realisasikan.Maka upaya berterusan ketimbang segala hambatan yang ada,setiap dari kita,yang benar-benar mencintai bumi bertuah ini,berkewajiban memperjuangkannya.Pilihan kita terlalu terhad-duduk santai sekadar melihat negara ini hancur ditangan mereka yang rakus atau bangkit berdiri dan melawan.

Pidato kebangsaan setahun yang lalu tentunya menyerlahkan citra Sdr.Anwar Ibrahim sebagai Negarawan.

Maka itu,kembalilah kita memperkasakan semangat,iltizam dan upaya kita untuk membina negara tercinta ini,untuk menyelamatkan Malaysia dari kehancuran oleh tangan-tangan rakus pemimpin UMNO/BN.

Berjuang Terus!

Monday, March 1, 2010

RESEPSI BUKU TULISAN HASHIM ABDULLAH




Tajuk: Perjuangan Memartabatkan Bahasa Malaysia:Satu Dokumentasi Sejarah PAS Pahang

Pengarang:Hashim Abdullah


Penerbit:Jabatan Penerangan PAS Pahang (JAPEN)


Mukasurat:54 halaman

Harga:RM8.00




"Buku ini adalah buku tipis yang tebal",Sasterawan Negara Dato A.Samad Said




Buku ini ditulis oleh sahabat saya,Sdr Hashim Abdullah,mantan wartawan dan kolumnis Harakah serta pelbagai penerbitan alternatif yang lain. Hashim Abdullah bukanlah nama yang asing di Temerloh kerana beliau merupakan aktivis PAS yang aktif dan benar-benar menjiwai perjuangan.




Justeru itu,bukanlah sesuatu yang memeranjatkan apabila beliau mengambil inisiatif untuk mengumpul bahan yang berkaitan perjuangan menobatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan didalam erti kata yang sebenarnya untuk didokumentasikan didalam sebuah buku.Hashim Abdullah,dewasa ini menjabat jawatan Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pahang (JAPEN),tentunya begitu hampir dengan perjuangan memartabatkan Bahasa Malaysia kepada kedudukkanya yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.Tambahan pula,dengan fahaman politik yang beliau anuti yang secara jelas memperikan tuntutan memartabatkan Bahasa Malaysia.




Maka saya melihat buku ini dilahirkan dari 'rasa' dan dari 'dalam diri' pengarangnya yang mungkin dek kerana geram teramat sangat terhadap polisi Kerajaan UMNO/BN memperkotak-katikkan Bahasa Malaysia dengan memperkenalkan dasar PPSMI atau mungkin juga Hashim Abdullah tidak rela melihat pengkhianatan keatas kedaulatan Bahasanya di injak demi kepentingan materialistiks Pemimpin berjiwa 'sahaya'.




Buku yang diterbitkan oleh JAPEN ini mengandungi 16 bab tidak termasuk Prakata dan Mukaddimah memperincikan tentang perjuangan menentang PPSMI dari sudut pandang PAS.Jadi tidak berlebihan buku kecil ini turut boleh dianggap sebagai propaganda PAS didalam upaya parti politik itu memperjuangkan Bahasa yang sekaligus menentang PPSMI yang kemuncaknya Kerajaan terpaksa mengakui PPSMI merupakan dasar yang tersasar dan silap.




Maudhuk hujjah pengarang didalam buku ini ialah kepentingan material yang telah membuta pintu hati dan akal budi pimpinan UMNO meminggirkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar apabila dengan semberono memperkenalkan PPSMI.Pengarang juga menoleh kebelakang menarik perhatian khalayak bahawa UMNO seawal tahun 1965 telah mula menunjukkan belang sebenar fikrah mereka yang tidak menghormati pusaka bangsa tatkala memperkenalkan dasar yang meminggirkan tulisan jawi.




Ertinya,jika ditelusuri sejarah,maka akan terlihat bahawa sesungguhnya UMNO bukan sekadar tidak bersungguh-sungguh untuk memartabatkan Bahasa malah UMNO dilihat sebagai pengkhianat Bahasa!




Bertolak dari sini,saya melihat wejangan Hashim Abdullah yang merungkai kepalsuan dan hipokrasi UMNO didalam upaya dan perjuangan memartbatkan bahasa.Kepada Hashim (dan tentunya rakyat yang mahu berfikir) neraca timbangan UMNO ketika mengubal PPSMI ialah tuntutan materialistiks semata-mata;congak mereka hanya sekadar untuk mencari laba dengan memperlekehkan Bahasa yang tentunya pada masa yang sama memperjudikan masadepan anak-anak dibangku sekolah.




Cuma sedikit terkilan,pengarang tidak menelusuri serta merakamkan dengan terperinci catatan sejarah perjuangan PAS (maksudnya bukan sekadar isu PPSMI ataupun Seminar yang dianjurkan oleh PAS Pahang) sejak sekian lama berkaitan upaya memartabatkan Bahasa Melayu.Bab 11 buku ini dibawah tajuk Sejarah PAS Dalam Perjuangan Bahasa hanya disentuh sambil lalu sahaja oleh pengarang.Saya mengharapkan ada dokumentasi yang tuntas peranan yang dimainkan oleh PAS sejak penubuhannya tahun 1955 hingga ke mutakhir ini.




Malangnya pengarang hanya menyebut sepintas lalu tentang hal ini sambil merujuk kepada fasal 6(7) Perlembagaan PAS.Tidak ada langsung di catatkan sikap pemimpin-pemimpin PAS terdahulu tentang isu Bahasa;malah alangkah baiknya jika turut dimuatkan ucapan (atau petikan ucapan) pimpinan PAS terdahulu berkaitan perjuangan memartabatkan Bahasa Malaysia sebagau bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu.




Pun begitu,tidak pula bererti buku ini menjadi kurang nilainya;malah meminjam kata-kata Pak Samad Said SN sewaktu meluncurkan buku ini di Kerdau,walaupun buku ini nipis namun ianya tebal bukannya buku tebal tapi nipis.Sesungguhnya buku ini tebal dengan rakaman perjuangan menobatkan Bahasa dan tebal dengan semangat serta kecintaan Hashim Abdullah terhadap bahasa ibundanya yang tidak rela diperlecehkan oleh pemimpin yang berjiwa 'sahaya'.




Buku ini wajar dimilikki oleh semua orang.Dengan bahasa yang mudah dan tidak bombastiks pengarang telah berjaya merakamkan detik penting sejarah tanahair iaitu perjuangan memartabatkan Bahasa dan menentang PPSMI.Kepada saya buku ini cukup bermakna sebagai tanda ingatan bahawa soal Bahasa tidak boleh dengan sewenang-wenangnya di perjudikan demi mencari keuntungan dan inilah yang harus diarifi oleh kita semua didalam upaya dan perjuangan kita membina negara-bangsa.




Buku ini boleh diperolehi di Pejabat JAPEN di Temerloh atau membuat pesanan terus kepada Sdr.Hashim Abdullah melalui nombor telefon berikut: 019 9646900




Kerana Aku Bahasa

KERANA AKU BAHASA


Berkurun lamanya aku bernafas dalam diri pejuang
saat Tanah Melayu yang tangannya masih tergari
jantung dan denyut nadiku sudah lama bersatu
roh perjuangan suci, citanya mahu mencantas lidah penjajah
aku menetas dari minda para cendekia tanpa nama
aku membiak dari bibir ke bibir pendeta berjiwa merdeka
comotnya baju, rabaknya kasut dan pensel seinci
adalah lambang derita jiwa yang panjang dan lama
di tanah ini hasratku satu, lidah ibu wajib menjadi teraju.

Ketika jerit merdeka masih terapung di udara
dan acung tangan belumpun jatuh dengan sempurna
tanpa berlengah pejuang menulis di batu nesan penjajah
ya, angka keramat itu: satu ratus lima puluh dua
segalanya tercatat di batu bersurat kemerdekaan
di bilik darjah anak-anak diajar mengenal angka satu
mengeja aksara baru dengan lembut lidah ibu
meski baju, kasut dan pensel masih begitu
namun jiwaku bebas melintas sempadan hamba.

Dari rahim cendekia lahir berpuluh ribu zuriatku
di lembar kamus dan jutaan buku aku subur di situ
di gedung pustaka dan puncak menara aku rimbun di sana
segala cabaran disambut dengan tabah keyakinan
segala anjakan kuturut dengan penuh kerelaan
dari daerah papan batu ke wilayah canggih LCD
dari sekecil angka satu ke formula serba baru
dari sempit bilik darjah ke luas dewan kuliah
dari kamar bicara ke mimbar khutbah
segalanya menjadi saksi kepada kemenangan itu

Setelah jauh berjalan diduga berliku cabaran
di leher bergantungan bangga pingat kejayaan
tiba- tiba oleh sepasang bibir curiga
aku diusir dengan helah seribu madah
hanya kerana mimpi seorang sahaya
dari kamar angka aku diusung punggah
dari makmal ujikaji aku ditunjukkan pintu
aku menjadi sebiji guli bergolek di meja- meja lonjong
lama aku umpama kubu yang teguh
kini sekenyit mata, bertukar menjadi debu yang rapuh.

Kerana aku bukannya patung yang celik mata tetapi buta hatinya
kerana aku bukannya patung yang mampu tersenyum meski tubuhku diinjak
kerana aku bukannya patung yang melintuk di telunjuk angin
kerana aku bahasa yang punya rasa,
maka aku kembali berlari di lebuh perjuangan ini
mencari kebenaran yang kian jauh
di tengah amuk racun yang mencucuk mata.



Sahrunizam Abdul Talib,
Bera, Pahang.
05 Jun 2009