Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Monday, March 1, 2010

RESEPSI BUKU TULISAN HASHIM ABDULLAH




Tajuk: Perjuangan Memartabatkan Bahasa Malaysia:Satu Dokumentasi Sejarah PAS Pahang

Pengarang:Hashim Abdullah


Penerbit:Jabatan Penerangan PAS Pahang (JAPEN)


Mukasurat:54 halaman

Harga:RM8.00




"Buku ini adalah buku tipis yang tebal",Sasterawan Negara Dato A.Samad Said




Buku ini ditulis oleh sahabat saya,Sdr Hashim Abdullah,mantan wartawan dan kolumnis Harakah serta pelbagai penerbitan alternatif yang lain. Hashim Abdullah bukanlah nama yang asing di Temerloh kerana beliau merupakan aktivis PAS yang aktif dan benar-benar menjiwai perjuangan.




Justeru itu,bukanlah sesuatu yang memeranjatkan apabila beliau mengambil inisiatif untuk mengumpul bahan yang berkaitan perjuangan menobatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan didalam erti kata yang sebenarnya untuk didokumentasikan didalam sebuah buku.Hashim Abdullah,dewasa ini menjabat jawatan Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pahang (JAPEN),tentunya begitu hampir dengan perjuangan memartabatkan Bahasa Malaysia kepada kedudukkanya yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.Tambahan pula,dengan fahaman politik yang beliau anuti yang secara jelas memperikan tuntutan memartabatkan Bahasa Malaysia.




Maka saya melihat buku ini dilahirkan dari 'rasa' dan dari 'dalam diri' pengarangnya yang mungkin dek kerana geram teramat sangat terhadap polisi Kerajaan UMNO/BN memperkotak-katikkan Bahasa Malaysia dengan memperkenalkan dasar PPSMI atau mungkin juga Hashim Abdullah tidak rela melihat pengkhianatan keatas kedaulatan Bahasanya di injak demi kepentingan materialistiks Pemimpin berjiwa 'sahaya'.




Buku yang diterbitkan oleh JAPEN ini mengandungi 16 bab tidak termasuk Prakata dan Mukaddimah memperincikan tentang perjuangan menentang PPSMI dari sudut pandang PAS.Jadi tidak berlebihan buku kecil ini turut boleh dianggap sebagai propaganda PAS didalam upaya parti politik itu memperjuangkan Bahasa yang sekaligus menentang PPSMI yang kemuncaknya Kerajaan terpaksa mengakui PPSMI merupakan dasar yang tersasar dan silap.




Maudhuk hujjah pengarang didalam buku ini ialah kepentingan material yang telah membuta pintu hati dan akal budi pimpinan UMNO meminggirkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar apabila dengan semberono memperkenalkan PPSMI.Pengarang juga menoleh kebelakang menarik perhatian khalayak bahawa UMNO seawal tahun 1965 telah mula menunjukkan belang sebenar fikrah mereka yang tidak menghormati pusaka bangsa tatkala memperkenalkan dasar yang meminggirkan tulisan jawi.




Ertinya,jika ditelusuri sejarah,maka akan terlihat bahawa sesungguhnya UMNO bukan sekadar tidak bersungguh-sungguh untuk memartabatkan Bahasa malah UMNO dilihat sebagai pengkhianat Bahasa!




Bertolak dari sini,saya melihat wejangan Hashim Abdullah yang merungkai kepalsuan dan hipokrasi UMNO didalam upaya dan perjuangan memartbatkan bahasa.Kepada Hashim (dan tentunya rakyat yang mahu berfikir) neraca timbangan UMNO ketika mengubal PPSMI ialah tuntutan materialistiks semata-mata;congak mereka hanya sekadar untuk mencari laba dengan memperlekehkan Bahasa yang tentunya pada masa yang sama memperjudikan masadepan anak-anak dibangku sekolah.




Cuma sedikit terkilan,pengarang tidak menelusuri serta merakamkan dengan terperinci catatan sejarah perjuangan PAS (maksudnya bukan sekadar isu PPSMI ataupun Seminar yang dianjurkan oleh PAS Pahang) sejak sekian lama berkaitan upaya memartabatkan Bahasa Melayu.Bab 11 buku ini dibawah tajuk Sejarah PAS Dalam Perjuangan Bahasa hanya disentuh sambil lalu sahaja oleh pengarang.Saya mengharapkan ada dokumentasi yang tuntas peranan yang dimainkan oleh PAS sejak penubuhannya tahun 1955 hingga ke mutakhir ini.




Malangnya pengarang hanya menyebut sepintas lalu tentang hal ini sambil merujuk kepada fasal 6(7) Perlembagaan PAS.Tidak ada langsung di catatkan sikap pemimpin-pemimpin PAS terdahulu tentang isu Bahasa;malah alangkah baiknya jika turut dimuatkan ucapan (atau petikan ucapan) pimpinan PAS terdahulu berkaitan perjuangan memartabatkan Bahasa Malaysia sebagau bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu.




Pun begitu,tidak pula bererti buku ini menjadi kurang nilainya;malah meminjam kata-kata Pak Samad Said SN sewaktu meluncurkan buku ini di Kerdau,walaupun buku ini nipis namun ianya tebal bukannya buku tebal tapi nipis.Sesungguhnya buku ini tebal dengan rakaman perjuangan menobatkan Bahasa dan tebal dengan semangat serta kecintaan Hashim Abdullah terhadap bahasa ibundanya yang tidak rela diperlecehkan oleh pemimpin yang berjiwa 'sahaya'.




Buku ini wajar dimilikki oleh semua orang.Dengan bahasa yang mudah dan tidak bombastiks pengarang telah berjaya merakamkan detik penting sejarah tanahair iaitu perjuangan memartabatkan Bahasa dan menentang PPSMI.Kepada saya buku ini cukup bermakna sebagai tanda ingatan bahawa soal Bahasa tidak boleh dengan sewenang-wenangnya di perjudikan demi mencari keuntungan dan inilah yang harus diarifi oleh kita semua didalam upaya dan perjuangan kita membina negara-bangsa.




Buku ini boleh diperolehi di Pejabat JAPEN di Temerloh atau membuat pesanan terus kepada Sdr.Hashim Abdullah melalui nombor telefon berikut: 019 9646900




No comments: