Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Wednesday, November 9, 2011

Dari MALAYSIAKINI:PARTAI HARAKAH AN-NAHDHAH



Syeikh Rashid Al-Ghanuoshi,Pemimpin Utama Harakah An-Nahdhah,Tunisia


Arak, bikini, hudud, Feqh Awlawiyyat & Parti Islam



Oleh:Shamsul Muda



Sikap dan pendirian politik parti Harakah An-Nahdhah (Pergerakan Kebangkitan) Tunisia, sangat menarik dan penting untuk diteliti, memandangkan kedudukannya sebagai sebuah parti politik beraliran Islam, yang berpeluang mempraktikkan hak berpolitik dalam sebuah negara demokrasi.Dengan ‘penerjunan’ Nahdhah ke arena politik Tunisia dan seterusnya menjadi ‘pemain’ dalam arena itu, ‘perpustakaan’ politik Islam akan dibekalkan dengan satu lagi model baru ‘perjuangan politik’ berteraskan Islam, yang boleh dijadikan rujukan dan teladan dalam mengemudi politik Islam, khususnya bagi umat Islam di negara ini.


Di sinilah letaknya kepentingan analisis dan pemerhatian terhadap ‘sepak terajang politik’ parti Nahdhah itu.Parti Nahdhah menjadi perhatian disebabkan statusnya sebagai sebuah parti beraliran Islam yang dikemudi dan dianggotai bangsa Arab, yang begitu dekat dengan sumber ilmu-ilmu dan pemikiran Islam, yang secara asasnya ditulis dalam bahasa itu.Status ini menjadikan tindak tanduk dan aksi politik parti itu, boleh dinilai sebagai ‘terjemahan berstandard tinggi’ kepada ajaran atau pemikiran Islam berkenaan politik, yang boleh dijadikan rujukan dan panduan oleh pergerakan-pergerakan Islam lain.


Sebelum memenangi pilihanraya Tunisia secara rasmi, parti Nahdhah telah memberikan bayangan kasar kepada bentuk kerajaan yang bakal diterajuinya. Bayangan ini dilakarkan oleh pemimpin parti itu, Syaikh Rashid al-Ghannoushi, 70 dan juga Setiausaha Agungnya, Hammadi al-Jibali, 62.Lakaran bentuk negara Tunisia baru itu tertumpu kepada tiga perkara, iaitu dasar negara Tunisia pimpinan parti Nahdhah terhadap sektor pelancongan, dasar berhubung wanita dan sifat negara Tunisia baru yang bakal dibentuk.


Dalam melakar negara Tunisia baru, parti Nahdhah memberikan perhatian utama kepada sektor pelancongan negara itu disebabkan ia merupakan sebuah negara destinasi pelancongan, yang menerima kunjungan seramai 7 juta pelancong setiap tahun.Mengambil kira realiti ini, Ghannoushi awal-awal lagi menyatakan dengan jelas, kerajaan Islam pada masa depan pimpinan parti beliau, akan mengekalkan kedudukan Tunisia sebagai sebuah negara destinasi pelancongan. (Rujukan : aljazeera.net)


Ghanoushi menyedari, ikrar ini menuntut parti pimpinan beliau yang bakal memerintah Tunisia, mengekalkan sektor pelancongan negara itu dalam keadaannya yang sedia ada, seperti di zaman pemerintahan sekular Ben Ali.Justeru, tanpa teragak-agak, pemimpin utama parti Islam Tunisia itu menyatakan, parti pimpinan beliau tidak akan meletakkan sebarang syarat ke atas sektor pelancongan di Tunisia.Beliau memberi jaminan, bila berkuasa nanti, partinya tidak akan mewajibkan masyarakat Tunisia atau jutaan pelancong dari Barat, yang menghabiskan cuti mereka di pantai-pantai negara itu, dengan etika dan akhlak tertentu. (Rujukan : aljazeera.net)


Sehubungan itu, Ghannoushi menyatakan, parti pimpinannya itu tidak akan menghalang penjualan arak dan pemakaian bikini, yang begitu sinonim dengan sektor pelancongan di kebanyakan negara, termasuk Tunisia. (Rujukan : aljazeera.net)Senada dengan pendirian beliau ialah Setiausaha Agung parti Nahdhah, Hammadi al-Jibali, yang dilaporkan berkata, sektor pelancongan di Tunisia dianggap sebagai “hasil pendapatan yang tiada ruang untuk diganggu”.Beliau mempersoalkan, “adakah logik kita menimpakan ‘kelumpuhan’ ke atas sektor asasi seperti pelancongan, dengan mengharamkan arak dan pemakaian pakaian mandi dan perlakuan-perlakuan seumpamanya?”. (Rujukan : aljazeera.net)


Bimbang pendirian partinya yang liberal terhadap aktiviti berkaitan arak dan pemakaian bikini disalah tafsir, Ghannoushi menjelaskan, “ini tidak bermakna kami menggalakkan arak. Ini adalah haram dan kami tidak mengingininya.Tetapi, tidak mungkin untuk kita bersepakat dengan orang ramai (dalam sesuatu isu seperti arak) dengan kekuasaan, tetapi dengan kerelaan mereka. Maka, objektif kami bukan menghentikan arak, tetapi mengurangkan permintaan terhadap arak”. (Rujukan : aljazeera.net)



Kenyataan beliau ini merupakan pernyataan jelas tentang pendekatan yang bakal diambil oleh parti Nahdhah berhubung aktiviti membabitkan arak, iaitu pendekatan yang tidak berteraskan kuasa dan undang-undang, tetapi berteraskan pendidikan dan pemujukan, yang akan mencetus kerelaan meninggalkan sebarang kegiatan melibatkan minuman yang memabukkan itu.Dalam rangka menangani secara berhikmah aktiviti membabitkan arak, Ghannoushi juga menjelaskan, partinya tidak akan menutup tempat-tempat penjualan arak, sebaliknya akan berusaha mewujudkan kawasan-kawasan perkelahan yang sesuai bagi golongan beragama yang menghormati nilai-nilai Islam. (Rujukan: aljazeera.net)


Pendekatan yang harmoni dan pertengahan juga akan digunakan oleh parti Nahdhah bagi mendepani budaya pemakaian bikini di kawasan perkelahan di negara itu, seperti yang dapat disaring daripada kenyataan Ghannoushi, “kita akan melakukan apa yang mampu untuk menjayakan musim pelancongan, dan kita mahu menarik pelancong mengikut kadar termampu.Tetapi, dalam masa yang sama, kita perihatin terhadap budaya setempat dan kita akan berusaha mencari kedudukan (sikap) yang pertengahan”. (Rujukan: aljazeera.net)



Perkara kedua yang menjadi tumpuan parti Nahdhah dalam melakar negara Tunisia di masa depan, ialah dasar parti Islam itu terhadap kaum wanita.Lakaran awal dasar parti Nahdhah terhadap wanita yang digariskan oleh kepimpinan parti itu, sesungguhnya menggamit satu perasaan untuk memerhati lebih dekat pergerakan parti yang ditubuhkan pada 1981 itu.Sebaik sahaja keputusan tidak rasmi pilihanraya Tunisia menunjukkan parti Nahdhah memenangi lebih daripada 40% kerusi, Setiausaha Agung parti itu, Hammadi al-Jibali mengumumkan, parti itu telah memutuskan untuk memberi separuh daripada kerusi yang dimenanginya kepada aktivis-aktivis wanita parti itu.Yang menarik dalam pengumuman itu ialah kenyataan beliau yang menyebut, kerusi-kerusi tersebut akan diberikan kepada aktivis-aktivis wanita yang bertudung dan yang tidak bertudung, tanpa diskriminasi. (Rujukan: onislam.net)


Sebenarnya, parti Nahdhah memang bersungguh-sungguh menampilkan dirinya sebagai sebuah parti yang tidak membezakan antara wanita yang bertudung dengan yang tidak bertudung, seperti yang dinyatakan oleh akhbar Washington Post dalam satu analisisnya.Parti Nahdhah pergi lebih jauh dalam soal dasarnya terhadap wanita, apabila memberi jaminan akan mempertahankan hak wanita untuk memakai apa sahaja pakaian yang mereka kehendaki. Jaminan ini dicatatkan dalam flayers yang disebarkan parti itu, seperti yang dilaporkan oleh akhbar sama, Washington Post.Pendekatan ini, mengikut akhbar itu lagi, telah berjaya menarik sokongan wanita yang bertudung dan tidak bertudung kerana dengan jaminan ini, wanita bertudung merasakan mereka dapat menikmati kebebasan memakai tudung, yang sebelum ini diharamkan oleh regim Ben Ali. (Rujukan: aljazeera.net)



Parti Nahdhah tidak menunggu sehingga memerintah untuk menunaikan jaminan yang diberikannya kepada kaum wanita Tunisia, apabila membenarkan seorang wanita yang tidak bertudung mengetuai salah satu senarai calon parti itu.Lebih daripada itu, dalam satu majlis di pejabat parti Nahdhah bagi meraikan kemenangan tidak rasmi parti itu dalam pilihanraya, sebelum Pengarah Kempen Pilihanraya parti itu berucap, seorang calon wanita parti itu yang tidak bertudung, telah menyanyikan lagu-lagu Lubnan dan Tunisia di pentas, sambil menyatakan parti itu telah membuktikan kesederhanaannya apabila membenarkan wanita tidak bertudung menjadi calonnya. (Rujukan : aljazeera.net)



Perkara ketiga yang disentuh kepimpinan parti Nahdhah ketika mengemukakan lakaran bayangan bagi negara Tunisia baru, ialah sifat negara Tunisia yang bakal diasaskan.Berhubung soal ini, parti Nahdhah-selaku sebuah parti Islam-dilihat mengambil sikap yang ‘mengejutkan’, apabila berjanji akan “berusaha mewujudkan sebuah masyarakat sekular pelbagai parti dan aliran yang menghormati hak-hak manusia”. (Rujukan: onislam.net)


Pendirian ini diambil di saat keputusan tidak rasmi pilihanraya negara itu, menunjukkan parti Nahdhah mendahului parti-parti lain dengan perbezaan kerusi yang besar, dan dijangka banyak pihak sebagai parti yang bakal mengetuai kerajaan baru Tunisia.Bicara tentang sebuah parti Islam yang sedang berada di ambang pemerintahan negara seperti Nahdhah, seakan tidak lengkap jika tidak disentuh persoalan perlaksanaan Syariat Islam, termasuk hudud, dalam agenda parti Islam itu.


Walau bagaimana pun, persoalan ini mudah dijawab tanpa memerlukan kajian dan penelitian terhadap manifesto atau tawaran parti itu kepada rakyat Tunisia.Hal ini demikian kerana sejak awal-awal lagi, iaitu pada 22 Januari 2011, pemimpin utama parti Nahdhah, Ghannoushi mengatakan, “partinya tidak berusaha untuk melaksanakan Syariat Islam di Tunisia, sebaliknya berusaha untuk membebaskan Tunisia daripada sistem satu parti dalam apa jua bentuk sekalipun, sambil menegaskan bahawa apa yang diperlukan Tunisia hari ini, ialah kebebasan”. (Rujukan: onislam.net)



Tinjauan sepintas lalu ke atas sikap dan pendirian politik parti Nahdhah seperti yang dipaparkan, sudah memadai untuk dirumuskan satu kesimpulan penting, iaitu sikap atau dasar parti itu berhubung sektor pelancongan (yang berkait rapat dengan arak dan bikini), wanita dan sifat negara Tunisia di masa depan, secara umumnya tidak menepati kehendak dan tuntutan Islam.Demikian juga kenyataan pemimpin parti itu, Ghannoushi yang terang-terang menyatakan, partinya itu tidak berusaha untuk melaksanakan Syariat Islam di Tunisia.



Secara tersuratnya, ia jelas tidak menepati kehendak Islam yang diperjuangkan sendiri oleh parti pimpinannya itu.Walau bagaimana pun, menariknya, tidak kedengaran suara-suara yang berkredibiliti samada dari dalam parti Islam itu atau dari luar, khususnya dari para ulama haraki, yang mengkritik pendirian politik parti Nahdhah itu.Suara-suara yang melebalkan parti Nahdhah sebagai sebuah parti yang menang pilihan raya, tetapi kalah dalam menegakkan hukum Allah, atau keluhan ‘apalah maknanya kemenangan andai ketetapan Allah diketepikan’, juga tidak kedengaran.



Dakwaan bahawa parti itu-dengan mengambil pendirian politik yang liberal itu-lebih mementingkan kuasa berbanding melaksanakan hukum hakam Islam, juga tidak disuarakan oleh mana-mana pihak yang berwibawa setakat ini.Tafsiran kepada keadaan ini, ialah kefahaman pemimpin-pemimpin pergerakan Islam dan para ulama haraki di Timur Tengah, terhadap tuntutan Islam yang menghendaki penganutnya ‘mengutamakan perkara yang utama, dan menangguhkan perkara kurang utama’, atau yang diistilahkan sebagai Feqh Awlawiyyat.



Tuntutan ini telah dipenuhi dengan jayanya oleh Nabi Muhammad SAW, apabila Baginda hanya memfokuskan kepada aspek dakwah dan tarbiyah semasa berada di Mekah, yang hanya berlegar sekitar dasar-dasar akidah, pengukuhan tauhid, mengkhususkan ibadat hanya kepada Allah, membuang kesyirikan, menjauhi taghut dan menghiasi diri dengan akhlak-akhlak terpuji.Pengutamaan ke atas persoalan-persoalan teras dan utama ini, telah mendorong Baginda menangguhkan buat sementara pengajaran tentang hukum hakam Islam (seperti hudud, kekeluargaan, perkahwinan, jual beli dsb) dan melarang umat Islam mengangkat senjata bagi mempertahankan diri daripada kezaliman Musyrikin Mekah.



Adalah diyakini, kerana mendahulukan perkara-perkara yang lebih utama, iaitu pembentukan negara yang berteraskan kebebasan, kemuliaan rakyat dan keadilan, telah mendorong parti Nahdhah mengetepikan buat sementara soal pemakaian bikini, sifat sekular negara Tunisia dan penjualan arak di negara itu.Soal pemakaian bikini dan penggunaan arak, biar pun ia ditegah oleh Islam, namun kesan dan akibatnya hanya terbatas kepada kelompok kecil manusia, yang menyebabkan soal menangani kemungkaran itu boleh dikemudiankan.



Berbeza dengan soal kewujudan sebuah negara yang bertunjangkan kebebasan, kemuliaan rakyat dan keadilan, ketiadaannya akan memberi kesan langsung ke atas seluruh rakyat, yang menuntut supaya soal ini didahulu dan diutamakan.Demikian juga pemasyhuran Tunisia sebagai sebuah negara Islam, ia boleh dikemudiankan memandangkan keperluan dan keutamaan membentuk negara Tunisia yang bebas, adil dan ‘dikemudi’ rakyat jelata, boleh juga dilakukan dalam sebuah negara sekular yang menghormati hak-hak manusia.


Dengan pendirian politik yang terpancar dari ‘mata air’ Feqh Awlawiyyat ini, parti Nahdhah telah berjaya meletakkan dirinya pada kedudukan sebuah parti Islam yang dinamik, realistik dan sederhana.Tulisan ini tidak bermaksud mengajak mana-mana pihak meniru dan mencedok satu persatu pendirian parti Nahdhah ini.


Semua itu tidak perlu kerana sesuatu tindakan yang sesuai di Tunisia, tidak semestinya secocok dengan negara-negara lain, disebabkan faktor perbezaan suasana dan realiti setempat.Apa yang mustahak ialah parti-parti beraliran Islam walau di mana ia berada, mengambil semangat dan ruh yang mendasari sikap dan pendirian politik parti Nahdhah ini.Feqh Awlawiyyat!

Penulis merupakan lulusan Fakulti Syariah dan Pengajian Islam Universiti Mu’tah, Jordan.

Source: http://www.malaysiakini.com/letters/180584