Baru-baru ini,saya telah dihubungi oleh seorang teman yang beria-ria benar meminta saya menunggu beliau di pejabat.
"Hujan ribut ke,kawan* minta tunggu juga.Kawan bawa rodong** dari Johor nak jumpa awok ni,"begitulah lebihkurang ulas butir teman ini didalam slanga Temerloh yang pekat.
Sekitar jam 6 petang teman ini bersama 4 orang lain tiba ke pejabat saya.Setelah sedikit basabasi saya terus diberitahu tujuan kedatangan mereka untuk meminta tolong saya menjual sebentuk cincin perak bertatahkan batu delima merah kepada Dato Seri Anwar Ibrahim.Tentunya saya sedikit terkejut dan terusterang,didalam hati saya merungut juga kerana membuang masa saya.
"Harga cincin delima ini kita nak jual dalam RM10000 kat Dato Seri (Anwar),kalau orang lain lagi mahal harganya," kata teman yang datang dari Johor itu.Saya mengesani ada pelat Jawa dari pertuturannya.Lelaki ini berkaca mata,gempal dengan janggut putih dan berkopiah.Dilehernya terlilit kain ala kafiyyeh Yasser Arafat.
Saya masih tidak memberikan sebarang respons,sekadar hanya menatap mata lelaki tersebut sambil didalam hati,saya masih lagi membebel-wasting my time-menunggu lelaki tersebut meneruskan 'hujjahnya'.
"Banyak fadhilatnya cincin batu delima ini.Pemakainya akan lebih disenangi,disukai orang.Popular gitu."
Saya masih mendiamkan diri,tidak menggubris walau sepatah ayat pun.
"Jadi sesuai sangatlah dengan Dato Seri Anwar memakainya,"demikian tutur lelaki ini dengan lagak salesman.
Lelaki ini bercerita lanjut betapa beberapa orang Menteri dan seorang Menteri Besar ada membeli batu cincin,keris Bugis dan sejenis besi yang saya lupa namanya daripada beliau.Mereka ini,sebelumnya hanya sekadar orang biasa sekarang sudah jadi Menteri Kabinet dan Menteri Besar (kebetulan nama-nama yang disebut itu dari kalangan pemimpin UMNO) tegas lelaki ini bagi membuktikan betapa ampuhnya batu delima merah yang jika direndam didalam air masak akan membuatkan air bertukar merah seumpama sirap.
Saya akhirnya membuka mulut juga.Saya tegaskan,tentunya dengan penuh diplomasi,bahawa saya tidak dapat membantu beliau kerana saya 'tidak pandai untuk membuka mulut' tentang hal sebegini.Lagi pun,jauh di dalam hati saya,saya tidak mempercayai langsung kuasa ajaib dari batu cincin atau besi dan sebagainya.
Malah ada keinginan yang kuat untuk saya bertanya kepada lelaki ini,jika benar batu delima tersebut begitu ampuh dan penuh dengan keajaiban,kenapa beliau tidak menggunakannya untuk diri sendiri?Jika benar batu delima tersebut penuh hikmat,saya fikir beliaulah yang paling patut menjadi Menteri Besar Johor memandangkan batu delima tersebut mampu memberikan kuasa yang begitu ajaib.Kerana menghormati tetamu,maka soalan itu saya pendamkan sahaja didalam hati.
Sehingga tetamu-tetamu saya pulang meninggalkan pejabat saya,cincin batu delima merah tersebut tidak pula ditunjukkan kepada saya.
Ceritera Dua
Jika ingatan saya tidak tersasar,sekitar bulan Februari tahun 2008,saya telah di kunjungi oleh sekumpulan lelaki Melayu bersama 2 orang wanita.Mereka hadir ke pejabat saya juga.Salah seorang dari mereka,kita namakan En.Awang (bukan nama sebenar) memberitahu saya mereka datang dari Jerantut dan beliau merupakan saudara kepada salah seorang pimpinan PAS Pahang yang merupakan sahabat baik saya.Awang memberitahu saudara beliau itu yang mencadangkan untuk berjumpa saya (kemudiannya saya menghubungi sahabat saya itu dan beliau menafikannya).
Pada perkiraan saya diawalnya,mereka ingin mengadu masalah atau mendapatkan nasihat perundangan atau sekurang-kurangnya untuk bercerita tentang politik.Ternyata saya tersilap.
Salah seorang dari rombongan tersebut,yang saya nilai sebagai ketua-di panggil Ayah Syeikh oleh yang lain-membuka bicara."Tujuan kami datang ini untuk meminta pertolongan anta,demi perjuangan orang Islam dan orang Melayu," demikian lebihkurang mukaddimah daripada Ayah Syeikh.Saya bertanya kembali dalam bentuk apakah pertolongan yang diminta.
"Ana nak minta anta tolong dapatkan (Dr.) Ustaz Badrul Amin atau (Dr.) Harun Din;kalau tak dapat kedua-dua minta anta dapatkan (Dr.) Ustaz Muhammad Nur (Manutty),tapi jika dapat Tok Guru Nik Aziz lagi baik!".
Mati hidup kembali saya menyangkakan mereka ini mahu minta pertolongan saya untuk membawa Ustaz Badrul Amin dan yang lainnya untuk berceramah atau kuliah agama.Diatas tanggapan tersebut saya dengan naifnya bertanya dimana dan bila program tersebut akan dilangsungkan?
Alangkah terkejutnya saya apabila diberitahu tujuan memanggil Ustaz Badrul Amin dan yang lain itu bukan untuk berceramah tetapi untuk meminta tolong bagi 'memanggil duit dan harta karun' yang tersembunyi atau tertanam di suatu tempat dan sedang dijaga oleh sekumpulan jin.
Saya terdiam,tidak tahu bagaimana untuk memberikan reaksi.Terkebil-kebil saya memandang Ayah Syeikh,yang saya kira mungkin berusia dalam lingkungan 50-an.Baru saya menyedari giginya yang kuning yang mungkin dek candu rokok serta pakaiannya yang kumal.Mata saya beralih dari memandang Ayah Syeikh kepada muka setiap tetamu saya petang itu.
"Ana dah buat solat hajat.Bangun malam solah tahajjud minta tolong kepada Allah.Ana doa mengadu kepada Rasulullah...",Ayah Syeikh meneruskan kata-katanya.Saya sekadar mendiamkan diri,tidak tahu bagaimana harus saya respond.
"Begini En.Nizam," Awang pula mencelah,"Ayah Syeikh kita ni memang dah buat solat hajat dan yang lainnya.Dah dapat petunjuk duit dan harta tersebut berada dimana.Banyak En.Nizam,tujuh keturunan tak habis makan.Cuma baru-baru ini jin yang menjaga harta tu kata Ayah Syeikh tak boleh ambil,kena orang lain."
Saya masih mendengar dengan tekun juga.Menarik juga kisah 'X-Files' sebegini,fikir saya,mungkin boleh menambah pengalaman (walaupun didalam hati saya langsung tidak mempercayainya) maka saya tidak mencelah.
"Jadi Ayah Syeikh ni teruskan buat amalan dia,siang puasa,malam dia iktikaf atas tikar sembahyang.Dua malam lepas Ayah Syeikh berjumpa dengan Rasulullah,tak begitu Ayah Syeikh?" Dengan bersungguh-sungguh Awang menjelaskan kepada saya dan tentunya saya terkejut mendengar cerita berjumpa Rasulullah itu.
Segera saya bertanya,"Apa maksud berjumpa Nabi Muhammad tu?Mimpi ke?".
Ayah Syeikh membetulkan letak punggungnya dan dengan tersenyum bangga menjawab:"Ana tidak jumpa dalam mimpi.Ana jumpa betul-betul,dalam sedar.Bercakap dengan Rasulullah macam ana bercakap dengan anta sekarang ni," Ayah Syeikh menjawab soalan saya.
Saya terkejut dan terkedu.Terkebil-kebil saya memandang lelaki itu.Speechless.Pun begitu saya bertanya juga apakah beliau maksudkan itu sebagai yakazah?
Ayah Syeikh mengerutkan dahinya mendengar soalan saya seraya bertanya yakazah itu apa?Saya tidak menjawab sekadar menanti penjelasan seterusnya.
Ayah Syeikh bercerita tatkala sedang berzikir didatangi oeh 'Rasulullah' yang mencadangkan nama Ustaz Badrul Amin atau Ustaz Harun Din atau Ustaz Muhamad Nur Manutty atau Tok Guru Nik Aziz untuk 'berikhtiar' bagi mendapatkan harta karun dan duit tersebut.
Dengan begitu bersungguh Ayah Syeikh menceritakan pengalaman beliau.Ayah Syeikh meminta tolong untuk segera berhubung dengan Ustaz BadrulAmin;malah bersetuju untuk membahagikan harta tersebut dengan nisbah 50:50 selain berjanji untuk memberikan infaq (istilah yang beliau sebut) kepada KEADILAN dan PAS.
Saya tidak memberikan sebarang komitmen dan saya dengan terusterang memaklumkan saya tidak dapat membantu didalam hal ini kerana tidak terjangkau oleh fikiran saya.Saya tidak tahu apakah Ayah Syeikh,Awang dan teman-teman mereka berpuashati dengan saya.
Cuma sekali sekala ada juga saya terjumpa dengan Pak Syeikh dan Awang di bandar Temerloh.Saya sekadar mengangkat tangan tanda hormat.Tidak pernah saya menceritakan kepada Ustaz Badrul Amin tentang cerita ini;saya percaya jika saya ceritakan kepada Ustaz Badrul Amin,anak Bugis ini akan ketawa besar!
Ceritera Ketiga
lebih kurang sepuluh tahun yang lalu di Temerloh ada seorang pengurus bank yang cukup dihormati oleh masyarakat.Penampilan nya begitu tawadhuk dan zuhud-beliau pernah memberitahu saya tidak mahu memakai kasut yang bertumit tinggi kerana bunyi yang dihasilkan oleh tumit kasut yang berlaga dengan jalan membayangkan sifat angkuh dan riak.
Saya rapat juga dengan pengurus bank ini kerana penampilannya yang sedemikian rupa serta halus tutur katanya.Sering saya berbual dan bertukar fikiran dengan beliau khususnya yang berkaitan dengan agama dan gerakan Islam.
Kemudian saya dapati pengurus bank ini secara tiba-tiba berubah.Daripada cara berpakaian yang kini berkemeja lengan panjang serta bertalileher,sesuatu yang begitu asing kepada beliau,sehinggalah memakai sepatu bertumit tinggi.Ketika itu di Temerloh heboh dengan cerita pelaburan alam ghaib, di mana mereka yang melabur RM 1,000 akan mendapat pulangan dalam tempoh tujuh hari, sembilan hari, tigabelas hari, duapuluh tujuh hari atau empatpuluh hari dalam jumlah ratusan ribu ringgit sebagai pulangan.
Daripada cerita yang saya perolehi bahawa pengurus bank ini bersama dengan seorang ustaz yang katanya hafaz Quran dapat berhubung dengan jin Islam daripada kerajaan Islam di alam ghaib yang ingin membantu umat Islam di Malaysia dengan membahagikan wang.Ada juga cerita yang saya perolehi bahawa pemimpin jin Islam di alam ghaib itu sebenarnya mengeluarkan zakat kepada umat Islam di Malaysia ini.
Ustaz yang hafaz Quran tersebut beroperasi di Bahau.Maka berduyun-duyunlah orang Temerloh termasuk juga para peneroka Felda pergi ke Bahau untuk melabur bagi mendapatkan wang daripada alam ghaib.Saya diberitahu modus operandinya setiap mereka yang ingin melabur akan berjumpa secara empatmata dengan ustaz ini dan akan melafazkan akad bersaksikan naskah Al-Quran bertulis tangan.
Kerana tidak dapat menahan rasa ingin tahu saya yang membuak maka pada suatu hari saya pergi berjumpa dengan pengurus bank tersebut. Pengurus bank dengan dan penuh keyakinan memberitahu saya yangbeliau telah menulis surat perletakkan jawatan sebagai pengurus bank serta mereka telah menyewa beberapa tingkat bangunan di KLCC.Saya bertanya kepada beliau apa sebenarnya yang berlaku.
Pengurus bank tersebut memberitahu saya bahawa wang akan sampai yang merupakan infaq daripada kerajaan jin Islam.Wang tersebut bertujuan untuk membantu umat Islam di Malaysia. Saya terus bertanya kenapa tidak dibantu umat islam di Somalia yang sedang kebuluran.Saya kira dengan sedikit jengkel pengurus bank ini menjawab bahawa kali ini giliran Malaysia dahulu,negara Islam yang lain kemudian.
"Anta kena yakin.Anta yakin atau tidak kepada alam ghaib?Anta yakin kepada alam malaqut?"
Soal beliau kepada saya dengan emphasised kepada kalimat yakin tersebut yang ditutur seolah-olah orang Arab yang bercakap.Saya hampir terpengaruh juga dengan penjelasan pengurus bank ini.Kembali ke pejabat saya menghubungi rakan baik saya Rozilan mengajak beliau ke Bahau untuk turut serta.Saya mencadangkan pelaburan separuh-separuh dengan Rozilan.Tetapi alhamdulillah kewarasan saya mengatasi sifat tamak ; kami tidak pergi ke Bahau.
Tidak lama kemudian pecah berita bahawa ustaz yang hafaz Quran tersebut ditahan oleh pihak polis dan ramai orang Temerloh yang kerugian puluhan ribu ringgit kerana mempercayai dongeng ini.
Ketiga-tiga ceritera ini adalah kisah benar daripada pengalaman saya sendiri.Kepada saya teladan yang diperolehi ialah orang Melayu masih lagi berada di dalam situasi yang pemikiran mereka bukan sekadar jumud tetapi memperlihatkan sifat yang jelek mahu kaya dengan cara mudah serta mudah terpengaruh.Mungkin inilah yang disebut sebut sebagai ciri fatalisme yang ada dalam diri orang Melayu.
Di abad keduapuluhsatu ini tentulah sesuatu yang menduka citakan kerana orang Melayu masih lagi gagal membebaskan diri mereka dari ketahyulan,kurang percaya diri, enggan bermandiri dan mudah mempercayai segala yang berselimut dengan label agama.Kerungsingan saya bersebab kerana selagi oang Melayu tidka berani untuk berkerja keras,berusaha, bermandiri serta masih lagi terikat dengan ketahyulan maka selagi itulah orang Melayu akan gagal bersaing dan akan selamanya membenarkan diri mereka dieksploitasi.
Glossari:
* Kawan-saya/aku
**Rodong-teman/sahabat/kawan
1 comment:
Pengalaman yg menarik dan baik dikongsi bersama.
Post a Comment