Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Monday, March 1, 2010

Kerana Aku Bahasa

KERANA AKU BAHASA


Berkurun lamanya aku bernafas dalam diri pejuang
saat Tanah Melayu yang tangannya masih tergari
jantung dan denyut nadiku sudah lama bersatu
roh perjuangan suci, citanya mahu mencantas lidah penjajah
aku menetas dari minda para cendekia tanpa nama
aku membiak dari bibir ke bibir pendeta berjiwa merdeka
comotnya baju, rabaknya kasut dan pensel seinci
adalah lambang derita jiwa yang panjang dan lama
di tanah ini hasratku satu, lidah ibu wajib menjadi teraju.

Ketika jerit merdeka masih terapung di udara
dan acung tangan belumpun jatuh dengan sempurna
tanpa berlengah pejuang menulis di batu nesan penjajah
ya, angka keramat itu: satu ratus lima puluh dua
segalanya tercatat di batu bersurat kemerdekaan
di bilik darjah anak-anak diajar mengenal angka satu
mengeja aksara baru dengan lembut lidah ibu
meski baju, kasut dan pensel masih begitu
namun jiwaku bebas melintas sempadan hamba.

Dari rahim cendekia lahir berpuluh ribu zuriatku
di lembar kamus dan jutaan buku aku subur di situ
di gedung pustaka dan puncak menara aku rimbun di sana
segala cabaran disambut dengan tabah keyakinan
segala anjakan kuturut dengan penuh kerelaan
dari daerah papan batu ke wilayah canggih LCD
dari sekecil angka satu ke formula serba baru
dari sempit bilik darjah ke luas dewan kuliah
dari kamar bicara ke mimbar khutbah
segalanya menjadi saksi kepada kemenangan itu

Setelah jauh berjalan diduga berliku cabaran
di leher bergantungan bangga pingat kejayaan
tiba- tiba oleh sepasang bibir curiga
aku diusir dengan helah seribu madah
hanya kerana mimpi seorang sahaya
dari kamar angka aku diusung punggah
dari makmal ujikaji aku ditunjukkan pintu
aku menjadi sebiji guli bergolek di meja- meja lonjong
lama aku umpama kubu yang teguh
kini sekenyit mata, bertukar menjadi debu yang rapuh.

Kerana aku bukannya patung yang celik mata tetapi buta hatinya
kerana aku bukannya patung yang mampu tersenyum meski tubuhku diinjak
kerana aku bukannya patung yang melintuk di telunjuk angin
kerana aku bahasa yang punya rasa,
maka aku kembali berlari di lebuh perjuangan ini
mencari kebenaran yang kian jauh
di tengah amuk racun yang mencucuk mata.



Sahrunizam Abdul Talib,
Bera, Pahang.
05 Jun 2009

No comments: