Oleh:Neo Chee Hua
Proton nyata terlewat untuk menerokai bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D). Malah, Proton hilang kelebihannya dari segi harga setelah penurunan cukai import. Kini, Proton berdepan dengan dua masalah yang besar.
Pertamanya, bagaimana untuk bersaing dengan syarikat kereta yang lain, terutamanya pelabur asing dari segi teknologi automotif? Keduanya, bagaimana untuk terus bernafas dalam arus globalisasi yang semakin menderas?
Berapa wang dihanguskan?
Kebetulannya, kerajaan membuat pengumuman mengejut baru-baru ini -- menggunakan jenama Lotus di bawah syarikat Proton untuk menyertai Kejohanan Dunia Formula Satu (F1). Salah satu matlamat utama adalah memperkasa kemahiran teknologi kereta Proton dan malakar nama di antarabangsa.
Tidak dinafikan, penyertaan F1 sememangnya dapat menampilkan Proton di pentas dunia atas nama Lotus. Namun, segala-gala ini datang dengan harga yang tinggi. F1 diisytiharkan sebagai salah satu acara sukan dunia yang paling "menghanguskan wang".
Misalnya, bajet pasukan kereta terunggul, Ferrari ialah 200 juta pound (kira-kira RM 1.1 billion) setiap tahun. Selain itu, menurut sebuah bahan bacaan terbitan F1, pasukan kereta yang "mega" seperti Ferrari, McLaren dan sebagainya, telah menghanguskan 400 juta US dollar masing-masing, pada tahun 2006.
Toyota yang menghanguskan 450 juta US dollar setahun, gagal mengecapi nikmat juara dalam apa-apa acara sehingga kini. Honda yang menghanguskan 380 juta US dollar pada tahun 2006, menarik diri dari F1 pada tahun 2008 kerana tidak tahan dengan cara menghanguskan wang yang sedemikian.
Beberapa tahun kebelakangan ini, wang yang dihanguskan Honda melebihi 400 juta US dollar setahun. Biarpun Honda antara pengilang kereta yang paling untung di dunia, juga tidak menganggap dirinya mampu menampung beban perbelanjaan yang seberat ini.
Walaupun BMW sebagai pengilang kereta yang terbesar di dunia, juga kelihatan tidak tahan dengan cara menghanguskan wang sedemikian. BMW telah mengumumkan untuk menarik diri setelah tamatnya musim perlumbaan tahun ini. Dalam detik saat kemelut ekonomi dunia ini, BMW pun terpaksa tunduk. Sebagaimana yang diketahui, untuk beberapa tahun kebelakangan ini, BMW membelanjakan kira-kira 300 juta US dollar setahun secara puratanya.
Kos lebih rendah dari R&D
Kos lebih rendah dari R&D
Sememangnya, FIA (Fédération Internationale de l'Automobile) telah mengumumkan satu dasar yang dilihat pro-pasukan kereta kecil yang bakal dilaksana mulai tahun 2010. Menurut dasar ini, seandainya Budget Cap (bajet maksima) satu pasukan tidak melebihi 40 juta pound (kira-kira RM 230 juta), maka pasukan tersebut bakal menikmati syarat yang lebih longgar dari segi teknikal, termasuk putaran enjin yang tidak terhad, kebenaran untuk menggunakan sayap yang boleh diubah, tiada had ketika menguji landasan dan sebagainya.
Namun, Budget Cap 40 juta pound ini tidak merangkumi kos yang lain, seperti gaji pemandu, kos enjin, pemasaran, iklan dan sebagainya. Bukan murah untuk mendapatkan seorang pemandu yang hebat dan sebiji enjin yang tahan lasak. Sebagai contoh, Ferrari membelanjakan 44 juta US dollar pada tahun 2003 hanya untuk membiayai pemandu, dan 175 juta US dollar untuk enjin.
Tetapi, bajet pasukan kereta yang kecil seperti Minardi lebih rendah, hanya 500 ribu US dollar untuk pemandu dan 15 juta US dollar untuk enjin.Andaikan perbelanjaan tahunan pasukan lumba kereta F1 "1Malaysia" ini berdasarkan Budget Cap 40 juta pound, ditambah dengan kos pemandu sebanyak 500 ribu US dollar dan kos enjin sebanyak 15 juta US dollar (bajet pasukan kecil), maka sekurang-kurangnya 55.50 juta US dollar (atau RM195.36 juta) dihanguskan dalam tempoh setahun. Perbelanjaan ini tidak termasuk kos permulaan untuk menubuhkan satu pasukan kereta lumba.
Namun, untuk kerajaan, tiket F1 mungkin lebih berbaloi jika dibandingkan dengan wang yang perlu dicurahkan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D). Menurut laporan yang diterbitkan United Nations Conference on Trade and Development, iaitu World Investment Report 2005, enam syarikat transnasional termasuk Ford, Daimler Chrysler, Toyota, General Motor dan sebagainya, sejumlah 5 billion US dollar dibelanjakan untuk tujuan R&D pada tahun 2003, atau puratanya 833.33 juta US dollar untuk sesebuah syarikat.
Jikalau dibandingkan, pasukan F1 1Malaysia ini hanya membelanjakan 55.50 juta US dollar untuk memasuki litar F1 dan meluncur di landasan kecanggihan teknologi. Ia kelihatan cukup berbaloi.
Pada hakikatnya, banyak pasukan kereta lumba yang kecil dalam kejohanan F1 menggunakan model operasi sedemikian. Pasukan ini tidak akan memperuntukkan wang yang banyak untuk tujuan R&D. Malah, enjin penjana yang digunakan pun dibekalkan pasukan kereta dan pengilang yang lain. Oleh itu, pasukan kecil ini berjaya menjimatkan perbelanjaan yang besar dalam R&D.
Di samping itu, pasukan yang kecil ini akan menggunakan perbelanjaan yang terhad untuk penerokaan secara kecil-kecilan. Penerokaan ini mungkin mendatangkan manfaat untuk kereta lumba. Contoh yang terbaik adalah diffuser yang digunakan Brawn GP dan Toyota. Jelas, pasukan kereta yang memasang diffuser mencapai prestasi yang lebih baik, berbanding pasukan kereta yang lain.
Namun, apakah penyertaan F1 bakal memanfaatkan Proton atau Lotus dalam R&D? Persoalan ini kekal sebagai pertikaian yang bakal dibincangkan dalam analisa seterusnya. (Bahagian kedua, bersambung)
*Di petik dari laman MerdekaReview
No comments:
Post a Comment