Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Sunday, September 27, 2009

Akhbar Utusan Di Bakar Di DBP-Zainudin Maidin*

Akhbar Utusan Di Bakar Di DBP-Zainudin Maidin

SEPT 27 — Utusan Melayu tidak selalunya mengikut arus sentimen bangsanya, adakala terpaksa menyekat atau melawan arus ini sehingga menimbulkan kemarahan dan tindakan di kalangan mereka yang kecewa dengan pendiriannya di dalam sesuatu isu besar kerana Utusan Melayu dilihat mempunyai kekuatan untuk mempengaruhi pemikiran rakyat dan dasar kerajaan.
Pada 2 Mac 1967, Utusan Melayu (jawi) telah dibakar di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur oleh pejuang-pejuang bahasa kerana membantah sikap Utusan Melayu menyokong keputusan kerajaan untuk mengekalkan kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara ini di samping bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
Kerajaan Perikatan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj memikirkan bahawa dasar ini perlu diadakan setelah 10 tahun merdeka supaya dengan itu dalam bidang tertentu bahasa Inggeris boleh terus digunapakai disamping kepentingan bahasa itu sebagai bahasa dunia.
Ini memerlukan rang undang undang bahasa dikemukakan ke dalam Parlimen. Pendirian Utusan Melayu menyokong dasar kerajaan itu mengejutkan orang Melayu terutama sekali pencinta-pencinta bahasa kerana Utusan Melayu diketahui sebagai akhbar yang berada di barisan depan dari sejak sebelum kemerdekaan dalam mendukung perjuangan untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.
Sikap Utusan Melayu ini telah menyebabkan ia dianggap sebagai pengkhianat kepada bangsa dan pengampu UMNO. Ketua Pengarangnya Melan Abdullah (Tan Sri) mahu dibakar hidup-hidup dan berbagai-bagai lagi kecaman dilemparkan terhadapnya.
Kebangkitan semangat para pejuang bahasa telah disemarakkan lagi oleh sebuah sajak Sasterawan Negara Usman Awang yang bertajuk Keranda 152:
Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya Parlimen.
Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi
Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang bayang tidak bisa lewat jalan raya
Anak Melayu
namamu telah diseru
Jawablah
Sebelum lidahmu jadi bisu.
Kemuncak bantahan terhadap langkah kerajaan untuk meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara ini ialah perhimpunan lebih 1,000 orang pejuang-pejuang bahasa mengadakan tunjuk perasaan membantah rang undang-undang bahasa dan juga pendirian Utusan Melayu. Mereka tidak sahaja membakar akhbar Utusan Melayu tetapi juga cuba membakar gambar Tuanku.
Jurugambar Utusan Melayu Hussein Nor (Allahyarham) telah cuba ditolak ke dalam api yang sedang marak menyala dalam pembakaran akhbar Utusan Melayu itu oleh seorang yang tidak dapat mengawal perasaannya tetapi telah disekat oleh pemberita Utusan Melayu Taib Ahmad.
Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman nyata tidak begitu senang terhadap Ketua Pengarah DBP, Syed Nasir Ismail (Tan Sri) kerana membiarkan DBP digunakan untuk tunjuk perasaan itu.
Dalam suatu perhimpunan di Ipoh sehari kemudian yang turut dihadiri oleh Syed Nasir, Tunku dalam ucapannya telah menyentuh tunjuk perasaan itu dengan berkata, “Kelmarin depa bakar gambar saya di Dewan Bahasa. Tak apalah, mereka nak bakar bakarlah, kalau tak cukup, boleh pergi ambil lagi di rumah saya, banyak lagi gambar saya yang lebih elok, yang warna pun ada.” Saya sendiri meliputi lawatan Tunku ke Perak.

Utusan Melayu keluaran 3 Mac 1967 melaporkan kejadian tunjuk perasaan di DBP itu sebagai berikut:
Lebih daripada 1,500 orang wakil-wakil badan-badan kebudayaan, persatuan persatuan bahasa, parti-parti parti politik Melayu, peguam peguam, pelajar pelajar maktab dan orang perseorangan dari seluruh tanah air telah berhimpun lebih dari tiga jam dalam suasana yang tegang di dewan itu sambil mengutuk kerajaan.
Kemuncak perhimpunan itu telah membakar bergulung-gulung akhbar Utusan Melayu oleh beberapa orang pemuda di luar bangunan DBP.
Sambil membakar naskhah Utusan, pemuda-pemuda yang marah menyerupai “Pengawal Merah Peking” (Red Guards) telah menjerit-jerit “Utusan Melayu pengampu”, “Lidah UMNO”, “Biarkan bankrap” dan “Bakar Melan Abdullah Pengarang Utusan Melayu.”
Pada mulanya mereka hendak membakar gambar Tunku yang hampir sedikit tercecah ke api, tetapi mereka tidak jadi berbuat demikian setelah beberapa orang ahli jawatankuasa yang baru dipilih melarang mereka berbuat demikian.
Pemuda-pemuda itu kemudian dengan tempik sorak telah mengambil bergulung-gulung naskhah Utusan Melayu lalu mencampakkannya ke dalam api yang sedang marak.
Sedang api marak menjulang, tiba tiba seorang pemuda yang kelihatan sudah di luar kawalan telah mengheret jurugambar Utusan Melayu Hussein Nor untuk dilontar ke dalam api.
Taib Ahmad yang menulis berita ini menceritakan “ Saya kebetulan berada hampir di situ segera meluru menghalang perbuatan pemuda itu. Hussein Nor kelihatan begitu cemas.”
Jika dalam mempertahankan kedudukan bahasa Inggeris, Utusan Melayu dilihat sebagai pengkhianat kepada bangsa tetapi empat tahun kemudian Utusan Melayu telah dihukum pula oleh mahkamah kerana dituduh menerbitkan berita yang bersifat menghasut ke arah penghapusan sekolah Tamil dan Cina di negara ini.
Ini adalah berpunca daripada berita ucapan Ahli Parlimen Musa Hitam (bekasTimbalan Perdana Menteri) dalam persidangan Parlimen pada 5 April 1971 yang meminta supaya sekolah aliran Cina dan Tamil di negara ini menggunakan bahasa Malaysia tetapi telah diberikan tajuk kecil oleh seorang penyunting kanan Utusan Melayu berbunyi “Hapuskan sekolah-sekolah beraliran Cina atau Tamil.”
Mahkamah mendapati tajuk kecil berita itu telah menyimpang daripada maksud sebenar keseluruhan isi berita.

Ketua Pengarang Utusan Melayu Melan Abdullah sangat kesal dengan kesilapan mengenainya kerana kurang pengertian dari Penyunting Kanan A. Samad Ahmad (Allahyarham) tetapi beliau tidak dapat melepaskan tanggungjawabnya sebagai Ketua Pengarang.
Perbicaraan kes ini telah menjadi satu peringatan kepada semua ketua pengarang akhbar apabila Hakim Mahkamah memutuskan bahawa mereka adalah bertanggungjawab di atas keseluruhan penyiaran akhbar dan tidak boleh meletakkan kesalahan kepada penyunting atau pemberita yang melakukannya.
Melan Abdullah dan Abdul Samad Ahmad telah dihadapkan ke Mahkamah Tengah Khas dan didapati bersalah oleh Yang Dipertua Kanan Ng Mann Sau pada 18 Jun 1971 atas tuduhan menerbitkan satu penerbitan menghasut.
Mereka dibela oleh peguam Senator Kamarul Ariffin yang dibantu oleh Raja Abdul Aziz dan Samuel Mathews. Peguam Kanan Persekutuan Gunn Chit Tuan telah menjalankan pendakwaan dengan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdullah Ngah.
Melan dan Abdul Samad dituduh di bawah Akta Menghasut 1948 yang telah dipinda semula pada tahun 1969 berikutan dengan Peristiwa 13 Mei. Melan telah dihukum denda RM500 dan Abdul Samad RM1,000.
Ng dalam membuat keputusan itu berkata tajuk kecil “Hapuskan Sekolah aliran Cina dan Tamil” menyeleweng dan melampaui daripada ucapan yang dibuat oleh Musa Hitam yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan permusuhan antara kaum.
Katanya, ‘‘Ada perbezaan antara mencadangkan supaya dihapuskan sekolah-sekolah Tamil dan Cina dengan cadangan supaya diubah sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil dengan menggunakan Bahasa Malaysia.
‘‘Pada pendapat saya anjuran supaya dihapuskan sekolah Tamil dan Cina akan menyentuh pengajaran dan pengajian lain- lain bahasa seperti yang telah dilindungi oleh Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan.
‘‘Tajuk ini lebih daripada mempersoalkan pelaksanaan dasar kerajaan dan membawa kesan mencabar hak untuk mempelajari lain lain bahasa yang dijamin oleh Perlembagaan menurut Ceraian 3(1) ( f ) Akta Menghasut,’’ katanya.

Menurut Ng lagi ‘‘Tajuk kecil itu bukan sahaja sekadar hendak menarik perhatian pembaca untuk membaca keseluruhan berita itu sahaja malah ia mengandungi unsur menghasut yang menimbulkan kesan menaikan semangat pembaca”.
Beliau seterusnya menyatakan hakikat bahawa Melan tidak tahu mengenai tajuk itu sebelum ia tersiar dalam akhbar tidak cukup untuk membolehkan beliau melepaskan diri atau berlepas tangan.
“Ada bukti bukti jelas bahawa sebagai Ketua Pengarang Melan adalah bertanggungjawab kepada kesemua penerbitan Utusan Melayu,’’ kata Ng.
Demikianlah Utusan Melayu tenggelam dan timbul dalam arus kebangkitan bangsanya. Baik buruknya, salah atau benarnya dihukum oleh rakyat berasaskan di mana mereka berdiri.
Sekiranya Utusan Melayu tidak mempertahankan kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua lebih 40 tahun lalu dan tidak melawan arus sentiment para fanatik bahasa, maka orang Melayu hari ini benar berada dalam keranda. — Mingguan Malaysia

*Dipetik dari MalaysianInsider
Komen:
Sejarah itu berulang (history repeats itself),kata bijak pandai.Saya kira jika di tahun 1967 Utusan pernah dibakar kerana isu bahasa,maka hari ini masih ada justifikasi tindakan yang sama.Utusan gagal mempertahankan kepentingan orang Melayu (baca:bahasa Melayu) tetapi Utusan cemerlang,terbilang dan gemilang mempertahankan kepentingan UMNO yang decadent.
Kalaupun ada kepentingan Melayu yang di pertahankan,ianya bukan kepentingan Melayu didalam erti kata sebenarnya;yang di pertahankan Utusan dan para pengemudinya ialah sistem dan kepentingan UMNO yang bukan sekadar usang malah penuh dengan kebobrokan dan yang dilihat gagal mempertahankan kepentingan Melayu.
Boleh sahaja,jika ada kemahuan,Utusan menempelak dasar PPSMI yang telah dibuktikan gagal.Utusan enggan berbuat demikian tetapi tega bukan sekadar mempertahankan dasar songsang tersebut malah menyerang mereka yang berpendirian sebaliknya.
Namun isu yang paling asas ialah Utusan bukan media bebas yang mempertahankan kepentingan Melayu;Utusan hanya sekadar penyambung lidah UMNO dan alat propaganda UMNO.Tidak lebih dan tidak kurang.
Dan hari ini tentunya ada upaya yang lebih ampuh melahirkan kesebalan terhadap Utusan;upaya ini lebih berkesan dari membakar naskah Utusan.Maka itu upaya boikot terhadap Utusan perlu diteruskan bagi memberikan isyarat jelas kepada para pengemudi Utusan agar lebih cakna kepada tuntutan zaman.

No comments: