Hari Jumaat (18.9.2009) terakhir sebelum cuti raya saya masih di mahkamah.Selesai kes saya keluar dari kamar mahkamah majistret Temerloh-hendak minum tentunya puasa-berjumpa dengan kawan-kawan untuk mengucapkan Eid Mubarak tentunya.
Di lorong antara kamar bicara mahkamah majistret dan sesyen saya terpandang seorang anak perempuan yang comel,cantik dan begitu manis senyumannya.Anak itu duduk di bangku bersama-sama 2 orang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Temerloh.Kedua-dua pegawai JKM nampak begitu memprihatinkan anak tersebut.
Dipergelangan tangan saya nampak gelang-tag hospital.Lama saya memerhatikan keletah budak perempuan yang nampak agak ceria dan begitu innocent.Saya tidak dapat menahan diri untuk bertanya kepada kedua pegawai JKM tersebut tentang anak yang cute ini.
Jawaban yang diterima begitu mengejutkan.Budak perempuan ini berusia 8 tahun rupa-rupanya menjadi mangsa dera ibu kandungnya sendiri!
"Kami baru selamatkan dia hari semalam.Hantar ke Hospital Temerloh untuk rawatan.Banyak yang lebam-lebam seluruh badan budak ni",begitu ujar salah seorang pegawai JKM kepada saya.
Anak ini berusia 8 tahun tetapi tumbesarannya tidak setara dengan umurnya.Berat badan hanya 15 kg.Selain di dera secara fizikal,makan minumnya juga di catu.Anak ini anak nombor dua dari empat orang adikberadik tetapi yang hairannya hanya dia seorang sahaja yang menjadi mangsa penderaan sedangkan adik-beradik yang lain di jaga dan dibela dengan sempurna.Begitulah penjelasan yang di berikan oleh pegawai JKM kepada saya.
Mata saya berkaca mendengar cerita derita anak yang tidak berdosa itu.Apakah salah atau dosa anak secomel ini harus mengharungi penderitaan sedemikian rupa?Anak yang sedang membesar sepatutnya dibelai dengan kasihsayang,ditatang dengan penuh kecintaan,bukannya menjadi punch-bag atau tempat melepas geram.
Saya selalu berpandangan jika anak kecil nakal maka bukankah itu lumrah dan sunnah budak kecil.Yang membimbangkan ialah jika anak kecil sekadar duduk diam membantu,anak sebegini saya anggap sebagai 'Keramat'.Waima jika sianak itu hyperactive misalnya,masih lagi tidak ada justifikasi untuk mendera atau mencatu makan minumnya.Apatah lagi jika sekadar kenakalan biasa anak-anak.
Bukankah kenakalan dan keletahan anak-anak itu seumpama 'penawar' yang mengubati kerungsingan malah stress kita sebagai ibu atau bapa?
Saya tidak dapat membayangkan bagaimana seorang ibu atau bapa kandung tega untuk mengzalimi dan mendera anak sendiri.Benar kita ada hak untuk mendidik dan menghukum anak dengan nawaitu untuk memberikan tunjukajar dan teladan ,tetapi jika sehingga mengakibatkan kecederaan atau dengan sengaja mencatu makan minum sianak,saya kira ini bukan suatu bentuk didikan tetapi penganiayaan.
Bagaimana pula dengan kesan psikologi kepada anak ini?Tentunya akan menyebabkan tekanan jiwa kepada sianak jika tidak dipulihkan dari awal.Mungkin dri tekanan jiwa ini akan menyebabkan sianak hilang kepercayaan diri malah mungkin hilang kepercayaan kepada orang yang sepatutnya menyayanginya.
Saya juga mendengar cerita ada ayah menghukum anaknya yang menangis melalak dengan cara menyumbatkan anak tadi di dalam boot kereta.Bukan sekadar meletakkan anak ke dalam boot kereta malah sebelum boot ditutup,si ayah menyembur aerosol (mungkin ridsect atau bygone) ke dalam boot dan menutupnya.Nasib baik ada jiran yang nampak,jika tidak tidak tahulah apa nasib anak itu.
Ketika menyambut 1 Syawal,saya masih lagi memikirkan nasib anak perempuan yang comel itu.Walaupun JKM telah mendapatkan perintah perlindungan sementara,bagaimana agaknya anak ini menyambut lebaran.Apakah anak ini benar-benar dapat meraikannya dengan penuh kegembiraan sekurang-kurangnya seperti putera saya,Suhail atau apakah anak ini sekadar meraikan seadanya?Sedih.
Undang-undang sediada saya kira perlu dikuatkuasakan malah jika perlu dirangka undang-undang yang lebih keras selain memperhatikan kebajikan anak-anak yang didera.Seperti diberitahu oleh pegawai JKM,ini antara kes yang disedari kerana adanya keprihatinan dari saudara mara dan jiran sedangkan masih banyak lagi kes yang tersorok dan tidak diketahui.
Akhirnya,anak adalah anugerah Ilahi yang tidak ternilai,maka jaga dan belailah dengan penuh kasihsayang.Jangan dipersiakan dan tentunya jangan di jadikan anak sebagai punch-bag!Anak kecil yang tidak berdosa itu jangan di rosakkan jiwa mereka.
No comments:
Post a Comment