Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Tuesday, July 7, 2009

SAHMAD MALAYA DALAM KENANGAN

Belasungkawa Syed Ahmad
Bapa Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pahang, (Japen) yang juga editor unit buku Harakah, Syed Putra, Syed Ahmad Syed Abdullah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 11.15 tengahari tadi (Selasa 7 Julai).

Tokoh budaya, tokoh belia dan penulis, Syed Ahmad, 85, meninggal dunia setelah dimasukkan ke Hospital Temerloh petang semalam, setelah mengadu uzur sebaik sahaja kembali daripada mesyuarat Gabungan Penulis Nasional (Gapena) pada Sabtu.

Bekas pendidik, Syed Ahmad yang terkenal dengan nama Sahmad Malaya dalam dunia penulisan merupakan Timbalan Pengerusi Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) dan bekas Pengerusi Lembaga Muzium Pekan.
Allahyarham gigih memperjuangkan bahasa dan budaya Melayu, juga aktif dalam Pergerakan Belia MAYC peringkat Kebangsaan dan pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Belia Pahang.

Allahyarham juga dianggap ‘guru’ dalam politik kepada generasi baru.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Cheruk Paluh, Kuantan. Kemudian berpindah ke Sekolah Melayu Pekan. Semasa pendudukan Jepun, beliau bersekolah Jepun di Kampung Marhum, Pekan selama tiga tahun. Selepas itu, beliau mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dan tamat sahaja kursus beliau terus mengajar. Beliau lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1969 dan Sijil Tinggi Persekolahan (STP) pada tahun 1971 dengan cara belajar sendiri.
Semasa remajanya, Sahmad pernah menjadi budak pejabat kepada sebuah syarikat Jepun di Pekan dan dalam masa British Military Administration (BMA) beliau pernah menjadi buruh. Kemudian beliau menjadi guru pelatih pada 1 April 1946 di Sekolah Melayu Kampung Pasir Panjang. Pada tahun 1958 hingga 1959, beliau menjadi guru Bahasa Melayu di Sekolah Ahmad (Sekolah Tinggi Ahmad, Pekan).
Keterlibatan Sahmad Malaya dalam penulisan cerpen dan puisi bermula pada tahun 1950 lagi, iaitu semasa beliau menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Rakan rapatnya ketika itu ialah Suratman Markasan, Masuri S.N. dan Mas (Mohd. Ariff Ahmad Singapura). Setelah lulus dari maktab dan menjadi guru di Sekolah Melayu Pekan, beliau terus menulis. Cerpen-cerpen beliau termuat dalam majalah Hiboran, Utusan Zaman, Mastika, Juita dan Mutiara.
Antara cerpennya yang menggemparkan ialah “Gadis Melayu yang di Import”, “Terjun dari Tingkap” dan “Pengemis dari Daerah Sana”.Tema-tema penulisan Sahmad baik puisi mahupun cerpen menjurus kepada isu kemasyarakatan dan ketidakadilan serta hal-hal yang berkaitan dengan pembangunan. Sekiranya pembangunan itu akan menghakis apa yang dikatakannya hakisan budaya bangsanya, beliau akan bersuara melalui cerpen dan puisinya. Hal ini dapat dilihat menerusi puisi “Sungai Lembing”, “Bukit Tinggi”, “Tasik Cini”, dan yang paling terbaharu “Pesan Tok Nenek”. Pada peringkat awal penulisan, Sahmad ialah ahli ASAS ’50 yang bertapak kukuh di Singapura pada ketika itu.
Pada tahun 1957, Sahmad Malaya dan beberapa orang teman, antaranya Arman Sani dan Abdul Karim Abdullah mengambil daya usaha menubuh dan mengasaskan Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) yang dijadikan sebagai wadah bagi mengumpul, mendidik dan mengasuh penulis-penulis baru yang berbakat di samping mempertingkatkan mutu karya penulis yang sedia ada di negeri Pahang.
Beliau adalah seorang yang sangat aktif sejak usia muda lagi, malahan beliau merupakan aktivis kepada berbagai-bagai badan sukarela di Pahang seperti Majlis Kebudayaan Negeri, Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC). Orang sering bertanya mengapa beliau masih memakai nama “Malaya” di belakang nama Sahmad. Sebenarnya, beliau begitu tertarik dengan nama pena guru sejarahnya semasa di MPSI, iaitu Shaharom Husain yang memakai nama pena Mashur Malaya. Selain itu ramai pula rakan-rakannya yang ikut menggunakan perkataan “Malaya” seperti Harun Hassan (Belia Malaya) dan Abdul Hamid Hashim (penulis Kedah) dengan nama Rumaja Malaya. Beliau juga mahu agar generasi muda mengetahui bahawa Malaya itu ialah nama negara ini sebelum Malaysia.
Sahmad juga cuba berjinak-jinak dalam arena politik dengan mendampingi Ahmad Boestamam dan Pak Sako. Kegiatannya dalam politik ini menyebabkan beliau sering bertukar sekolah, iaitu hampir ke segenap daerah di Pahang, termasuk Hulu Tembeling dari tahun 1964 hingga 1965. Semasa di Tembeling, lahirlah sebuah cerpen beliau yang bertajuk “Cikgu Saiyed Tukar Lagi”.
Bagi menambah ilmu pengetahuan tentang kesusasteraan dan kebudayaan, Sahmad sering menyertai berbagai-bagai seminar, forum dan pertemuan-pertemuan yang dianjurkan oleh GAPENA, persatuan penulis, universiti dan kerajaan. Beliau juga sering mengembara ke luar negara seperti Jepun, China, Indonesia, Brunei, Jordan, Baghdad dan lain-lain.
Kini dalam menjalani hidup sebagai pesara dan usia semakin meningkat tua, Sahmad Malaya dilantik memegang beberapa jawatan seperti Ahli Lembaga Pengarah Muzium Negeri Pahang dan Ahli Majlis Perunding Belia Negeri. Pada tahun 1992 beliau dianugerahi bintang Ahli Mahkota Pahang (AMP) dan sebagai Tokoh Guru Temerloh 1991.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Tanjung Besar, Paya Pulai dan dikebumikan selepas Asar di tanah perkuburan berhampiran.
Harimau mati meninggalkan belang dan manusia mati meninggalkan nama seperti Syed Ahmad. Semoga roh allahyarham ditempatkan bersama para syuhada’ dan solihin.

1 comment:

Hashim Zabidi said...

Saya blogger baru dan baru terjumpa blog ini. Dengan rasa pilu dan hiba AL-FATIHAH untuk Allahyarham Tuan Saiyed Ahmad...