Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Sunday, July 5, 2009

Akibat Peristiwa 13 Mei

Memang sudah lama aku mengenali dia.Dari aku kecil lagi.Aku rapat dengan adiknya.Kami sama-sama membesar didalam dunia kanak-kanak yang innocent sehinggalah sama-sama belajar merokok dan kini masing-masing sudah berkeluarga dan punya kerjaya.
Aku mengambil keputusan kembali ke Temerloh sesudah menamatkan pengajian di UM;manakala teman-malah cukup akrab sehingga ku rasakan bagai saudara kandung sendiri-seorang yang bohemian,suka merantau dan suka menghadapi (atau mungkin mencari) cabaran baru.
Abang Zar,begitulah aku memanggilnya.Adiknya teman karibku,untuk cerita ini,biar sahaja kita panggil temanku ini sebagai Rosli.Oh ya,aku bukan hendak tulis tentang Rosli;aku ingin berwejang tentang Abang Zar.
Petang tadi aku bersua dengan Abang Zar.Sementara menanti isteri memesan burger di Lurah Semantan,aku ternampak kelibat Abang Zar berjalan tenang dan pasti dengan songkok lusuh di kepala.Di celah jarinya tersepit rokok daun yang asapnya berkepul menipis di tiup angin Sungai Pahang.
"Abang Zar!",seruku dari tingkap kereta.Abang Zar memberhentikan langkahnya dan matanya melilau mencari dari mana datangnya suara yang memanggil namanya.Dan apabila kedua bola matanya terarah kepadaku,ada senyum yang mesra terukir dibibir hitam dek candu rokok.Abang Zar melangkah kearahku.
"Assalamualaikum",hampir serentak kami berdua memberikan salam dan tangan kami pun bertaut.
"How are you?",sapaku dalam bahasa 'PPSMI';sengaja aku gunakan Bahasa Inggeris untuk menguji Abang Zar.
Dan telahanku berhasil.Dalam bahasa Inggeris yang lancar,lelaki separuh abad yang berbaju dan berpeci lusuh serta seluar lusuh berkaki sinting,kami berbicara.
Ya.Dialah Abang Zar yang hampir seluruh hidupku aku kenali dia.Masih seperti dulu-bertanyakan Mak,bertanyakan apakah akan pergi berkempen ke Manik Urai-serta senyumnya yang masih seperti dulu-dulu juga,cuma yang berbeda giginya sudah banyak yang rontok.Dan tubuhnya semakin kurus-jangkung.
Abang Zar sebenarnya pernah menjadi kebanggaan kampung kami.Dia antara anak kampung yang cerdik sehingga dipilih ke Asrama Penuh disalah sebuah sekolah yang terkenal di Perak.Waktu itu diawal tahun 1970-an,selepas Peristiwa 13 Mei.
Tapi mungkin juga sebelum 13 Mei 1969 Abang Zar telah bersekolah di Perak.Aku tak pasti.Mungkin juga sewaktu diasrama Peristiwa 13 Mei berlaku.Tidak apalah kerana yang penting Peristiwa 13 Mei punya impaks besar terhadap hidup Abang Zar.
Aku masih ingat terjadi semacam keributan di kampung apabila Abang Zar balik.Waktu itu bukan cuti sekolah pun.Aku yang masih kecil ketika itu,mungkin berumur 6 atau 7 tahun terdengar perbualan Mak dan Abah betapa Abang Zar sebenarnya di berhentikan sekolah kerana mengalami tekanan jiwa.
Tentunya pada waktu itu aku masih terlalu mentah untuk memahami.Tapi apabila berjumpa Abang Zar,dia masih mesra dengan aku seperti dulu,seperti kelmarin.Cuma perbedaan yang kemudian hari aku sedari Abang Zar mula sering bercakap tentang falsafah,tentang al-Quran,tentang perkara-perkara mistiks,tentang ilmu kebatinan dan tentang betapa perlu memenuhkan ilmu didada dengan pesaka nenek moyang.
Abang Zar tidak tinggal diam.Dia bekerja menoreh getah dan berkebun.Kemudiannya Abang Zar diterima menjadi buruh PWD di tempat kami.
Lama sesudah itu barulah aku mengetahui apa sebenarnya berlaku kepada Abang Zar.Sesudah terjadinya Peristiwa 13 Mei,menjadi semacam obsessi kepada ramai Orang Melayu menuntut ilmu,samaada silat mahupun apa yang disebut ilmu kebatinan.Aku masih ingat Arwah Ayah De datang ke rumah dengan bersemangat menyuruh-malah aku kira semacam memaksa-abah untuk turut sama berguru mendalami ilmu batin.
Arwah Ayah De malah menunjukkan kekuatan beliau memecahkan buah keras dengan sekali hentakan tapak tangan,berderai buah keras itu.Kekuatan Ayah De kerana berkat belajar ilmu kebatinan,kononnya.
Kemudian datang pula orang mengajar ilmu nasrul haq.Cukup ramai yang turut serta belajar dan pernah aku secara sembunyi-sembunyi takut dimarahi Abah mengintai mereka yang berlatih.Cukup dengan mendepangkan jari-jemari kearah lawan dalam jarak yang agak jauh,nescaya pihak lawan akan terbanting jatuh seakan ada kuasa yang menolak.Kagum!
Waktu itu,mungkin boleh kita namakan Zaman Edan.
Dimana untuk ditempatkan Abang Zar didalam cerita ini?Abang Zar rupa-rupanya turut terobsessi untuk memenuhkan ilmu didada.Abang Zar berbaik dengan Wak tukang kebun sekolah yang khabarnya punya ilmu kebatinan yang cukup ampuh.Dengan Wak tukang kebun sekolah Abang Zar belajar ilmu batin dan ilmu hakikat untuk mencapai darjat makrifat.
Abang Zar tekun mendalami ilmu yang diturunkan.Segala syarat perguruan dipatuhinya dengan tertib dan penuh disiplin.Aku kurang pasti pula waktu itu Abang Zar di dalam tingkatan berapa.
Dapat difahami bagaimana seorang anak muda yang masih mentah dengan patuh dan taat belajar ilmu batin dan ilmu lainnya.Dapat difahami dengan pengalaman hidup yang sedikit tentunya Abang Zar tidak dapat membedakan antara ilmu yang berteraskan ajaran Islam ataupun ilmu yang menyeleweng.
Abang Zar menjadi taksub.Taksub kepada ilmu dan ajaran yang dipelajarinya.Taksub dengan gurunya,Wak tukang kebun sekolah.Pelajarannya makin ketinggalan kerana banyak masa dihabiskan untuk memantapkan ajian,wafaq dan ayat-ayat perguruannya.
Akhirnya,Abang Zar menjadi lain macam.Beliau taat mengerjakan sembahyang tetapi oleh kerana ajaran yang diperolehinya,Abang Zar solat dengan membelakangkan kiblat!Apabila ditegur,Abang Zar mengamuk dan keluarlah segala macam ilmu yang dituntutnya;khabarnya batang pokok kelapa sebesar paha orang dewasa dicabutnya dengan mudah;malah berkemampuan melompat sehingga landas pucuk pokok buluh.
Atas sebab inilah Abang Zar diberhentikan sekolah dan kembali ke kampung.
Pelbagai komentar diberikan oleh orang kampung-tersalah belajar ilmu,belajar ilmu sesat,ilmu yang dipelajarinya panas,terlalu muda untuk belajar ilmu sedemikian-dan gila iseng.
Suatu hari ketika aku bercuti semester,seperti biasa aku kerumah Rosli.Abang Zar juga ada duduk di pangkin sambil meraut buluh.Kami berbual seperti biasa.Abang Zar bertanyakan apakah aku sudah membaca puisi Rumi dan Raniri?Atau sudah mentelaah Mukaddimah hasil buah fikir Ibnu Khaldun.Kebetulan aku baru membeli Mukaddimah versi Bahasa Inggeris di PekanBuku UM tetapi masih belum sempat mentelaah buku itu.(Abang Zar pernah menghadiahkan aku antologi puisi Sihir Hujan)
Didalam perbualan tiba-tiba Abang Zar bercerita kenangan zaman sekolahnya.Rupa-rupanya yang memotivasikan beliau berguru mencari ilmu batin dan menuntut dari Wak tukang kebun kerana untuk membuat persediaan sekiranya Peristiwa 13 Mei 1969 berlaku semula.
"Kena ada pelindung diri dan pendinding takut-takut 13 Mei berulang semula,"begitulah lebihkurang kata-kata dari mulut Abang Zar.
Kerana ketakutan-samada ketakutan itu sesuatu yang real atau di rekayasa oleh pihak tertentu untuk mengolah sokongan dan fikiran Orang Melayu-maka mereka yang seperti Abang Zar mengambil ketetapan untuk berguru.Akibatnya,diatas kenaifan beliau dan 'dimangsakan oleh keadaan' pada ketika itu Abang Zar dari seorang anak muda yang punya masa depan yang cemerlang menjadi sebahagian dari mata rantai sejarah yang di paksakan keatas dirinya.
Akibat Peristiwa 13 Mei 1969,Abang Zar pernah dihantar ke Hospital Permai.Diagnosis Doktor menyebut Abang Zar mengalami sakit jiwa yang dikenali sebagai skirzopernia.
Dan seusai maghrib aku terfikir,jika Tragedi 13 Mei 1969 tidak berlaku apakah Abang Zar akan menjadi begitu?Atau kenapakah tragedi tersebut seolah-olah dimanfaatkan oleh pihak tertentu untuk senantiasa,sehingga ke hari ini,bahawa Orang Melayu didalam keadaan terancam (seige mentality) sehingga mereka yang naif seperti Abang Zar menjadi mangsa secara tidak langsung?Atau kenapa pula tidak dimanfaatkan teladan dari peristiwa tersebut untuk menjalankan upaya yang benar-benar jitu,ampuh dan tuntas untuk mengzahirkan perpaduan antara kaum?Atau tidakkah perlu di cari jalan yang benar-benar konkrit untuk mengolah kekuatan Orang Melayu dalam pendidikan dan ekonomi tanpa rasuah,tanpa kronisme dan tanpa memilih pegangan politik?
Malah momokan 13 Mei ini terus sahaja di kumandangkan demi kepentingan politik perkauman yang sempit;bukan kerana keikhlasan untuk membela untungnasib bangsa tetapi untuk mengaut laba dari perpecahan.Dan sekiranya ini terus didendangkan,akan ada Abang Zar yang lain turut menjadi korban berikutnya.
Dan petang tadi,setelah kembali bersalaman,Abang Zar perlahan-lahan melangkah pergi.Derap kakinya yang berselipar jepun tetap gagah.Abang Zar berjalan perlahan-lahan,kemana destinasinya mungkin dia sendiri pun tidak tahu.Abang Zar dengan dunianya yang misteri mengatur langkah,tidak dia menoleh ke belakang lagi memandang aku yang tiba-tiba sayu.

2 comments:

binjidan said...

temerloh memang bnyak kenangan..sungai pahang pernah suatu ketika dulu aku berenang merentasi mu

afna said...

ilmu abg zar tu boleh dimenafaatkan sekarang ni...suruh dia ke putrajaya...