Pengumuman rasmi kelima-lima pemenang anugerah Sasterawan Negara semalam yang secara tegas menolak PPSMI sangat-sangat dialu-alukan.SN Pak Samad Said dan SN Professor Muhammad Hj Salleh yang mewakili SN Shahnon Ahmad,SN Abdullah Hussain dan SN Noordin Hassan dengan tegas mempersoalkan kebijaksanaan pelaksanaan PPSMI dan sekali gus menuntut agar dasar songsang tersebut di hentikan dan kembali semula kepada Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar dalam sistem pelajaran kebangsaan.
Ada kalangan yang bersikap sinis dengan kenyataan SN ini dengan menyebut sebagai "too little too late",yakni upaya para SN ini dilihat sudah lewat kerana selama ini tidak pernah terdengar sebarang komentar mahupun tentangan dihadapan khalayak setelah sekian lama PPSMI di laksanakan.Ertinya,kalangan ini (yang sebenarnya mereka pun tidak menyumbang untuk menghapuskan PPSMI) melihat para SN tersebut hanya berani berkokok setelah sekian lama mendiamkan diri;malah mereka melihat keberanian hanya timbul setelah Dr.Mahathir turun takhta Perdana Menteri.
Namun saya tidak melihat pendekatan yang diambil para SN ini sebagai sudah terlewat malah begitu dialu-alukan.Penyertaan semua segmen masyarakat didalam membentuk upaya dan inisiatif ampuh bagi membetulkan kepincangan dasar ciptaan UMNO/BN ini sewajarnya diterima dengan berlapang dada.Samaada kesedaran tersebut bercambah dan tumbuh sejak kebelakangan ini mahupun yang sedia tersemai sejak sekian lama perlu di gembeling untuk mencipta kekuatan raksasa bagi berhadapan dengan UMNO/BN.
Saya teringat perbualan saya dengan SN Pak Samad Said dua atau tiga tahun lalu.Pak Samad baru menghasilkan antologi puisi yang jika tidak silap saya di beri judul Di Garhayu Dr.Mahathir.Saya membelek naskah tersebut di kedai buku MPH MidValley dengan tandatanya bermain di fikiran saya apakah isi atau yang tersirat yang ingin disampaikan oleh Pak Samad.Kebiasaannya saya tidak akan melepaskan peluang untuk memiliki karya-karya terbaru para penulis tersohor.
Malah pernah saya bergaduh dengan pengurus toko buku DBP di Temerloh semata-mata kerana mereka tidak menjual naskah Lantai T.Pinkie karya Pak Samad atas alasan tidak ada sambutan.Tetapi hari itu di MidValley,saya meletakkan kembali naskah Di Garhayu Dr.Mahathir ke rak tanpa ada sedikit nafsu pun untuk membelinya.Pak Samad sudah jadi propagandis,getus hati kecil saya.
Maka ketika bertemu Pak Samad saya ceritakan betapa saya melihat naskah beliau itu sudah menjadi semacam propaganda terhadap Dr.Mahathir dan kerana itu saya enggan membelinya.Saya masih teringat jawaban Pak Samad bahawa tentunya di dalam titik hitam terdapat juga titik putih selain mempertahankan bahawa ada jua teguran dan kritikan terhadap Dr.Mahathir lewat puisinya itu.Saya menyatakan pandangan saya bahawa konspirasi fitnah jahat terhadap Anwar Ibrahim membuka mata dan akalbudi rakyat khususnya anak-anak muda yang melihat ada yang tidak beres didalam menguruskan negara dan dasar yang tidak menguntungkan rakyat.
Khabarnya naskah puisi beliau itu,Di Garhayu Dr.Mahathir tidak mendapat sambutan berbanding dengan karya-karya belliau yang lain.
Pun begitu,tidak bermakna kekaguman saya kepada hasil buahtangan Pak Samad berkurang.Pak Samad,kepada saya,tetap Sasterawan ulung.Malah saya melagukan puisi Al-Amin karya besar Pak Samad tatkala mendodoikan putera saya untuk tidur sewaktu bayinya.
Mungkin ramai kalangan yang tidak menyedari bahawa ada golongan Sasterawan yang saya anggap sebagai Sasterawan Proletariat sejak sekian lama terjun didalam perjuangan menentang PPSMI ini.Mereka ini sanggup kehulu dan kehilir sehingga ke tanah rancangan FELDA dan perkampungan Orang Asli membawa mesej penentangan PPSMI dan mendaulatkan Bahasa Melayu ke tempat selayaknya.Mereka ini yang tidak pernah mendapat tempat dimana-mana penerbitan jauh sekali mendapat publisiti malah dari akhbar alternatif sekali pun.
Mereka ini yang bergabung di bawah PRIMA diketuai oleh Sasterawan tersohor,Dharmala NS menunjukkan komitmen dan iltizam yang cukup tinggi untuk mendaulatkan Bahasa Melayu dan sekaligus menghapuskan PPSMI.Nama-nama selain Pak Dharma iaitu YasinSaleh,Kamal Amir Hijjaz,L ManKadir Shamsi dan yang lainnya (sekadar menyebut beberapa nama) mengorbankan masa,tenaga dan tentunya dengan perbelanjaan sendiri berbondong-bondong menanamkan kesedaran di hati rakyat akan betapa pentingnya mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.Ertinya tukasan bahawa para Sasterawan hanya sekadar berpeluk tubuh dan hidup didalam dunia mereka sendiri bukan sahaja tidak benar malah tersasar jauh.
Berbalik kepada "peristiharan perang" oleh para SN tersebut,saya kira perlu diambil endah untuk memperkasakan lagi kekuatan dan menyemai kesedaran rakyat untuk bangun serentak menentang PPSMI.Tambahan pula Menteri Pelajaran yang juga merupakan TPM sudah membuat pengumuman bahawa PPSMI akan diteruskan atas alasan masih tidak berpuashati dengan hasil kajian.Apa yang di kaji dan apa yang dihasilkan,nampaknya menjadi semacam misteri yang tidak terungkai.Yang jelas bahawa pimpinan negara dibawah UMNO/BN bukan sahaja tidak prihatin malah tidak ada keberanian moral dan iltizam politik untuk merungkai dasar songsang itu.Mungkin kerana kepentingan kaum pemodal yang menjadikan bahasa sebagai komoditi yang memberikan hambatan kepada para pembuat dasar ini dan bukannya desakan serta kepentingan rakyat.
Sambil kita memberikan penghargaan diatas keberanian dan kecekalan para SN untuk turut sama berganding bahu,kita juga mengharapkan para SN turun padang bertemu rakyat walau diceruk mana sekalipun untuk menanamkan kesedaran dan keinsafan serta membulatkan tekad menentang PPSMI dan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang mencangkupi semua bidang kehidupan bernegara.Saya percaya dengan keterlibatan tokoh-tokoh besar seperti para SN,Sasterawan Proletariat Pak Dharma dengan PRIMAnya dan segenap segmen masyarakat,maka akan ada cahaya dihujung terowong dalam upaya kita menentang PPSMI dan mendaulatkan Bahasa Melayu.
No comments:
Post a Comment