Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Wednesday, May 6, 2009

Sandang/Papan/Pangan


Gambar hiasan:Anak-anak Orang Asli Suku Temuan (fotografer:Maslina Hj Arshad)








Saya sering terfikir kenapakah dengan segala kemajuan yang dicapai oleh tamadun dunia hari ini masih ada warga dunia yang kelaparan,kebuluran dan tidak cukup makanan?Negara-negara besar (dan Malaysia juga cuba hendak menjadi negara besar) berlumba-lumba menghantar manusia ke angkasalepas dengan biaya berbillion dollar sedangkan ramai warga dunia sedang kelaparan.



Amerika dan sekutunya membelanjakan hingga trillion dollar membina kelengkapan persenjataan setiap tahun dan negara-negara lain pula membelanjakan jumlah yang hampir sama malah mungkin lebih lagi setiap tahun untuk membeli "war arsenal" yang dibekalkan oleh Amerika dan negara lain.



Begitu ironinya hidup dan kehidupan tamaddun dunia hari ini.Di USA sendiri masalah "homeless" sudah menjadi suatu fenomena besar apabila dianggarkan jutaan rakyatnya menjadi manusia gelandangan.Negara-negara dunia lebih tega membelanjakan wang untuk persenjataan ketimbang mempastikan warga dunia punya makanan yang mencukupi.Keutamaan bukannya membantu insan sejagat tetapi hanya untuk menempa gah bahawa sudah mampu mencipta senjata pemusnah yang paling ampuh atau berjaya menghantar warga ke angkasa sedangkan dianggarkan setiap hari lebih dari 25000 orang mati kerana kebuluran.



Begitu juga didalam memcari sumber tenaga alternatif,tanaman makanan seperti jagung,kacang soya,sekoi,kelapa sawit telah dilihat sebagai sumber yang mampu menggantikan minyak dari fossil (fossil fuel).Akibatnya seperti amaran yang diberikan oleh agensi PBB dan beberapa NGO lain,dunia akan berhadapan dengan krisis makanan yang memburuk ditahun-tahun mendatang ini.
Natijah dari pemanasan bumi dan alam sekitar yang tercemar juga memungkinkan warga dunia akan mengalami krisis makanan yang parah.Fenomena cuaca yang tidak menentu akan menyebabkan dunia akan dilanda krisis khususnya didalam keadaan kemarau atau banjir teruk berlaku.Malah sudah banyak kawasan atau tanah pertanian yang dahulunya subur,kini menjadi kontang dan gersang.



Manakala agihan kekayaan yang pincang akibat dasar songsang selain kerana tunduk kepada kehendak kapitalisme turut menghumbankan warga dunia ke kancah kebuluran.Di Malaysia hal ini tidak terkecuali;sekali pandang memanglah kelihatannya kebuluran bukannya menjadi isu,tiada lagi warga yang mati kerana makan ubi gadung dek disebabkan tidak mampu membeli beras,namun hakikatnya masih banyak warga yang dihimpit kemiskinan yang kais pagi makan pagi,kais petang simpan untuk esok hari.



Masih ada warga yang makan sekali sehari.Masih ada warga yang makan berkuahkan air rebusan pucuk ubi atau sisa minyak goreng ikan atau sekadar dengan garam.Dan ini bukannya berlaku ditahun 60-an tetapi realiti hari ini.Kenyataan hidup mereka yang terpinggir dan dipinggirkan samada di kampung mahupun peneroka bandar yang malang.



Saya bersetuju statistiks mereka mungkin kecil namun demikian walaupun mereka ini mewakili segmen masyarakat yang minoriti,hakikat yang terpaksa ditelan ialah masih ada warga yang tentunya bersaudara dengan kita hidup diselimuti kemiskinan dan kedaifan.Pergi sahaja ke perkampungan Orang Asli dan tinjau kehidupan mereka atau mereka yang tidak bertanah atau peneroka bandar.Jangan lihat yang dipaparkan di kaca TV yang hanya bersifat propaganda semata,tetapi,turun kebawah dan lihat dengan matakepala dan matahati sendiri.



Saya cukup jengkel dengan beberapa program TV baik milik pemerintah mahupun swasta;lihat sahaja program yang berkaitan Wanita seperti NONA atau Wanita Hari Ini dan yang lainnya,yang dipaparkan adalah sesuatu yang berbentuk luxury semata-mata seperti set barang kemas terkini,fesyen mutakhir dan sebagainya.Sangat jarang dipaparkan hidup dan kehidupan warga yang tersepit dan terhimpit.Manakala drama-drama TV juga tidak membantu kerana yang disuguhkan adalah budaya konsumer semata-mata.





Begitu juga dengan intitusi zakat;maaf jika saya jadi skeptikal bagaimana zakat ini difungsikan?Kenapakah kelihatannya tidak ada ketelusan dipihak mereka yang berwenang menguruskan zakat untuk memperikan bagaimana wang zakat ini diagihkan,apakah semua asnab yang berhak itu diberikan haknya.Saya kira dan saya percaya bahawa zakat seharusnya dijadikan wahana penting untuk membasmi kemiskinan dan sekaligus membasmi kebuluran atau kekurangan gizi makanan.





Saya teringat kepada novel terkenal karya Dominique Lapierre bertajuk City Of Joy yang saya baca sewaktu di kampus dulu.Novel ini mengisahkan kehidupan dikawasan setinggan Calcultta India begitu mengesankan yang saban hari berjuang untuk mencari sesuap nasi.Novel ini telah diangkat ke layar perak jika tidak silap saya masih dengan judul yang sama.Begitu juga yang dipaparkan oleh SN Shahnon Ahmad lewat naskahnya Ranjau Sepanjang Jalan (juga diangkat ke layar perak dengan judul Rice People) atau Srengenge yang mengisahkan tentang perjuangan mereka yang terpinggir untuk mencari sesuap nasi.Karya kedua-dua pengarang ini masih relevan dengan dunia hari ini;negara kaya tetapi kekayaan itu tidak dinikmati sepenuhnya oleh warga.


Gambar Hiasan:Keluarga Orang Asli.Bilakah agaknya mereka berjaya keluar dari kemiskinan?
(fotografer:Maslina Hj Arshad)
Kepada saya kewajiban utama pemerintah untuk mempastikan perkara asas yang membolehkan manusia dipanggil manusia wajib diberikan tempat nombor wahid.Didalam falsafah Jawa,kewajiban utama pemerintah mempastikan setiap warganya mencukupi dengan sandang,pangan dan papan.Yang dimaksudkan dengan sandang ialah kewajiban pemerintah mempastikan setiap warganya ada pakaian yang boleh menghindari dari kesejukan dan panas;pangan pula bermaksud perlu dipastikan setiap warga mendapat makanan mencukupi,tidak kebuluran atau kurang gizi,manakala papan pula bermaksud setiap warga punya tempat berteduh yakni rumah yang sempurna untuk didiami yang mampu dimiliki oleh warga.
Malah,jika mengikut teori kapitalis sekalipun,ketiga-tiga perkara tersebut menjadi perkara asas manusia.Ertinya,segala macam teori atau dasar negara wajib mengambilkira ketiga-tiga perkara ini.Walau apa pun pendekatan ekonomi samaada ianya dipanggil keynesian atau neoliberal atau sosialisme atau Islamik atau apa sahaja label yang ingin diberikan,kenyataan yang harus dipikul ialah kepentingan,kebajikan dan kemaslahatan rakyat terbanyak yang wajar dititikberatkan.Didalam konteks ini kekayaan dan khazanah negara wajib dinikmati oleh semua warga dan bukannya beredar seputar satu golongan sahaja selain upaya membasmi gejala rasuah,nepotisme dan kronisme wajar di pergiatkan.
Rakyat perlu dilihat sebagai manusia (al insan) bukannya komoditi, yang perlu diberikan keutamaan.Maka segala unsur yang ketidakadilan dan kebejatan sewajarnya diperangi.
Dalam nafas yang sama,saya tertarik dengan saranan dan pendekatan Hernando De Soto seperti tercermin dari bukunya,The Mystery Of Capital:Why Capitalism Triumph In The West And Fails Everywhere Else;sungguhpun De Soto kelihatannya mempertahankan kapitalisme sebagai sarana ekonomi yang yang ampuh untuk dunia hari ini namun beberapa proposisi beliau,umpamanya tentang red tape,pemilikan harta yang dipermudahkan dan sebagainya boleh dijadikan panduan tatkala kita mencari jalan bagi membangun warga menikmati kekayaan dibumi sendiri.
Dan tidak berlebihan jika dihujjahkan gagasan besar,Agenda Ekonomi Malaysia yang dicanangkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim yang menjadi dasar Parti Keadilan Rakyat,di lihat menjurus kearah suatu sistem ekonomi yang lebih adil dalam mengagihkan kekayaan negara kepada warga.Saya tidak menyatakan bahawa gagasan ini sudah sempurna dan tuntas,malah saya percaya untuk menjadikan gagasan ini benar-benar berwenang,keperluan untuk mendapatkan masukan-masukan (input),saranan,kritikan dan pandangan bernas sangat-sangat diperlukan;untuk itu sewajarnya ada kupasan melalui seminar,bengkel dan seumpamanya harus diadakan kerana jika tidak gagasan besar ini hanya akan tinggal menjadi kertas usang.Malah tidak berlebihan juga jika disimpulkan gagasan Agenda Ekonomi Malaysia ini sesungguhnya mencerminkan aspirasi Ketuanan Rakyat.Oleh yang demikian upaya untuk mempastikan Sandang/Papan/Pangan dinikmati oleh rakyat,insyaAllah akan menjadi kenyataan.






^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^





Disertakan untuk tatapan link kepada filem pendek (short film) yang memenangi anugerah di Festival Filem Berlin,German.Filem ini memberikan inspirasi untuk saya menulis entri ini yang mungkin sedikit panjanglebar.Terimakasih kepada saudara Fadli (http://legasiku.blogspot.com/)



Chicken ala Carte

saksikan...http://www.cultureunplugged.com/play/1081/Chicken-a-la-Carte

No comments: