Yang disanggah oleh Gobind di dalam Dewan bukannya Ibrahim Ali tetapi Najib Tun Razak yang bakal menjadi pemimpin `numero uno' UMNO dan sekaligus bakal PM Malaysia Ke-6.Bukan kecil punya anak yang disergah oleh Gobind.
Jika yang disergah itu sekadar MP Pasir Mas,saya beranggapan Gobind tidak akan dikenakan tindakan sedrastiks ini-digantung selam 12 bulan.Oleh kerana yang disanggah adalah Pemimpin Melayu-UMNO yang suci-bersih-tanpa setitik noda maka selayaknya Gobind di hukum.Maknanya Gobind telah melakukan `dosa' yang tidak terampun kerana menempelak Pemimpin UMNO yang maksum lagi karamah.
Manakala maudhuk tempelakan Gobind berhubungkait dengan tragedi seorang wanita jelita dari negeri Gengis Khan.Wanita ini yang rekod kemasukkannya ke Malaysia tidak ada didalam pangkalan data Jabatan Imigresen yang kemudiannya dijumpai mati berkecai tidak boleh dikaitkan dengan Pemimpin Agung Melayu-UMNO ini;Gobind seharusnya faham akan hal ini kerana Gobind boleh sahaja ketulahan.
Tetapi dasar anak Karpal Singh,degil dan tidak mendengar kata!
Gobind saya kira tentunya tidak naif;dia tentu faham Parlimen Malaysia sejak `zaman tori' lagi menjadi `rubber stamp' dan MP BN bukankah robot-robot yang diprogramkan demi wang,pangkat dan kuasa.Pernahkah kita mendengar ada MP BN yang menyanggah atau mengkritik pemimpin mereka atau dasar kerajaan atau kepongahan pemerintah?Rasanya Zaid Ibrahim seorang sahaja yang ada sedikit keberanian,itupun kerana dia bukan MP;dan nasib Zaid Ibrahim terus dikerat 18 karier politiknya dalam UMNO.
Dan Gobind tak perlu lahirkan kekesalan kerana Speaker yang kuasanya melampaui 7 samudera itu tidak membenarkan beliau berhujjah membela diri.Di dalam Parlimen vis-a-vis budaya politik mual memang tidak diamalkan `sense of fair play',yang ada selain politik ampu-bodek-cong adalah budaya menindas,siapa kuat dialah kudrat!Jangan percaya kepada falsafah atau prinsip keadilan atau maxim perundangan yang kita tekuni didalam dewan kuliah,semua itu tidak terpakai,tidak relevan,redundant dan inadmissable;natural justice atau maxim yang kita hafal,audi altem patem mahupun nemo judex in causa sua itu hanya terpakai didalam forum yang lebih rendah martabatnya dari parlimen.
Maksudnya,martabat Parlimen sebagai institusi ulung dan lambang demokrasi maka segala maxim,falsafah dan prinsip keadilan didalam perundangan sememangnya tidak boleh,tidak perlu,tidak wajar dan tidak berkenaan untuk dilaksanakan.Kalau dibenarkan Gobind membela diri bermakna akan tercemarlah kesucian Parlimen yang mulia itu kerana tarafnya akan jatuh ke perlimbahan iaitu sekadar Mahkamah Kanggaroo!Disini saya tegaskan sebelum SPCA atau NGO pencinta haiwan lainnya mengkritik, saya tidak berniat memburukkan atau menjatuhkan taraf dan maruah Kangaroo,haiwan comel ini,setaraf Parlimen Malaysia!
Pun begitu apa yang hendak dihairankan,semua orang tahu,UMNO/BN tidak ada keberanian untuk berhujjah dan berdebat secara sihat.Apa salahnya jika Najib berhujjah balas atau berdebat secara anak jantan menangkis sergahan Gobind.Jika tidak terlibat atau sememangnya suci-bersih kenapa perlu takut atau bimbang berdepan dengan Gobind?Bukankah Parlimen forum yang terbaik untuk berdebat dan berhujjah.Menggunakan orang lain atau institusi lain atau mengeksploitasi Parlimen atau undang-undang atau lembaga daulah adalah kerja pemimpin yang tidak ada keyakinan diri,berjiwa kerdil dan cengeng.
Begitulah Parlimen di Negara yang rakyatnya diminta membuangkan mentaliti Dunia Ke-3.Begitulah nasib seorang Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat yang bukan sahaja tidak boleh bersuara menyanggah pemimpin UMNO malah untuk membela diri pun dinafikan haknya.Jika Gobind Singh Deo seorang MP yang dipilih rakyat menerima layanan sedemikian,maka tidak hairanlah jika wanita jelita dari keturunan Gengis Khan pun berkecai lumat tulangtemulangnya dek ledakan C4.
No comments:
Post a Comment