Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Tuesday, January 27, 2009

DUA TAHUN DALAM REFORMASI:Suatu Catatan Peribadi

Artikel ini saya tulis kira-kira dalam tahun 2000.Catatan ini bersifat peribadi kerana dari insiden pemecatan dan pembelasahan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi titik tolak aku berkecimpung sepenuhnya dalam politik.Dengan penuh kesedaran untuk memperjuangkan nasib rakyat dan melakukan reformasi atau islah aku terjun sepenuhnya ke dalam perjuangan ini.Tidak ada basa basi dan tanpa menoleh kebelakang lagi.Hari ini,alhamdulillah Parti Keadilan Rakyat dan agenda perjuangan parti telah membuahkan hasil sepertimana keputusan PRU -12 tahun kelmarin.

Namun pada ketika kita sedang meraikan hasil perjuangan ini,ingin aku pertegaskan bahawa perjuangan ini begitu terhutang budi kepada seorang Manusia Yang Berjiwa Besar,Almarhum Ustaz Fadhil Nor.Sungguhpun aku tidak mengenalinya secara peribadi tetapi sosok almarhum di malam Anwar di tangkap begitu mengkagumkan.Kelantangan beliau membela Anwar,mengecam regim zalim UMNO/BN serta pandangan politik beliau yang jauh begitu mengesankan.Sesungguhnya Almarhum tiada duanya!

Sebenarnya malam 20.9.1999 itu,aku turut menghantar Almarhum ke Rest House Temerloh.Dalam perjalanan Almarhum telah menghubungi yang aku kira teman-teman dari gerakan Islam dan beliau bercakap dalam Bahasa Arab.Di kamar tidur rest house saya teringat akan kata-kata beliau kepada kami:`Ana dah cakap kat Anwar,tapi dia tak mahu dengar'.Kata-kata ini dirujuk kepada keputusan Anwar menyertai UMNO di awal tahun 1980-an dulu.Malam itu beliau kelihatan begitu rungsing dengan penangkapan Anwar.Kami meninggalkan beliau di kamar sesudah beliau berwuduk untuk solat.

Itulah sosok Ustaz Fadhil Nor.Pemimpin berjiwa besar dan begitu setia kepada sahabatnya,Anwar Ibrahim.Almarhum langsung tidak percaya fitnah terhadap Anwar malah mengepalai gerakan rakyat untuk membebaskan Anwar.Manakala dari sudut penubuhan Parti Keadilan Nasional ketika itu juga terhutang budi kepada beliau,dengan peluang dan arahan kepada organisasi PAS untuk memberikan bantuan kepada KeADILan bermandiri.

Boleh sahaja Almarhumn untuk mengambil sikap sebaliknya terhadap Anwar dan KeADILan kerana tatkala Anwar dalam UMNO pada suatu ketika dulu bermakna antara keduanya menjadi `musuh politik';namun dengan kebesaran jiwa Almarhum dan setiakawan serta demi menegakkan yang haq,Allahyarham telah memberikan yang terbaik dalam hidupnya.Tidak keterlaluan jika disebut bahawa persahabatan kedua-dua tokoh ini,Anwar Ibrahim dan Almarhum Ustaz Fadhil Nor merupakan persahabatan sejati dan tahan di uji.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmatNYA keatas roh Almarhum dan ditempatkan rohnya dikalangan orang yang soleh,amin.


DUA TAHUN DALAM REFORMASI:Suatu Catatan Peribadi

Hari itu,20hb.September 1998 terasa diri agak `tegang'.Semalamnya,seorang teman Sdr.Soleh mengajak ke Kuala Lumpur;"ada perhimpunan reformasi besar-besaran",kata beliau.Ajakan tersebut tidak dapat di penuhi kerana ada komitmen lain yang perlu di berikan keutamaan-kenduri kahwin di Kampung,Chenor.Sedari pagi 20.9.1998 hati dan jiwa serasa mengelegak-alangkah bagusnya jika aku dapat bersama Soleh dan rakan-rakan lain di Kuala Lumpur sekarang ini!

Dua tiga hari sebelum itu beberapa orang teman lain telah menghubungi;"ayuh!kita gegar Dataran Merdeka Ahad ini".Mengingatkan ini hati kian berjolak.Kepada isteri di maklumkan hasrat untuk ke perhimpunan Reformasi tetapi malangnya komitmen yang ada membantutkan rancangan.

Chenor hari itu turut sibuk kerana Presiden PAS,Ustaz Fadhil Nor bertandang ke surau Tuan Guru Haji Mohd Baqi,Pesuruhjaya PAS Pahang.Petang 20.9.1998 di simpang Chenor di penuhi deretan motorsikal dan kereta para Pemuda dan petugas PAS menunggu untuk mengiringi Presiden parti.Penulis turut sama berada bersama mereka-berbual sambil menunggu berita mutakhir lewat telefon bimbit.Soleh di hubungi untuk mendapatkan berita,juga beberapa teman yang lain."`Pak Syeikh' dah habis berucap.Datin Seri dah siap membaca peristiharan...dah balik semula ke Damansara",lapor Soleh.

"Ramai tak orang?",tanya saya di muncung Motorola."Lebih seratus ribu...Queen Elizabeth pun ada",jawab Soleh sambil terdengar ketawanya yang istimewa itu.
Hampir maghrib penulis beredar dari Simpang Chenor.Para Pemuda PAS masih setia menunggu.Kereta di pandu menghala ke Bandar Baru Chenor dan di hadapan Balai Polis Chenor,sekatan jalanraya diadakan sedangkan di dalam kawasan Balai luarbiasa sibuknya.Kehadiran ramai anggota Polis dan sekatan jalanraya hari itu sesuatu yang amat luarbiasa bagi pekan Chenor yang damai.Tidak pernah terjadi lagi seingat penulis.Lama setelah itu barulah penulis mendapat tahu jawabannya iaitu ada arahan khas di keluarkan takut-takut Anwar Ibrahim muncul di Chenor dalam rangka `road show' beliau dan kemunculan Polis serta sekatan pada hari tersebut untuk menghalang Anwar dari hadir kesana kononnya.Mengikut maklumat Penulis terima Polis mempunyai anggapan begitu kerana Harakah edisi Jumaat memuatkan berita kenyataan Ustaz Fadhil Nor yang PAS memaafkan Anwar serta sanggup `menerima' beliau.

Malamnya penulis bersiap sedia untuk turun ke surau Tuan Guru bagi mendengar ceramah Ustaz Fadhil Nor.Selepas solat maghrib sambil menonton Buletin Utama (pada masa itu belum di boikot lagi),penulis dan abang `berdebat' yang kadangkalanya hangat mengenai insiden pemecatan Anwar.Kami adikberadik masing-masing dengan hujjahnya diselangseli ketawa.Dan kira-kira jam 9.00 atau 10.00 malam telefon rumah berdering.
"Pak Syeikh dah kena tangkap!",suara Soleh kedengaran tersangkak di hujung talian.Terasa derauan darah berlari menuju ke muka dan degupan jantung kencang tiba-tiba.Penulis hampir terjelepuk keatas sofa."UTK serbu rumah dengan machinegun",lapor Soleh lagi.Saya beristighfar panjang dan bertanya apa perlu Polis menyerbu rumah Anwar sedangkan peguam beliau Raja Aziz Addruce telah membuat kenyataan bahawa Anwar akan di serahkan kepada Polis sekiranya mereka bercadang untuk menahan beliau.Apa perlu tindakan `barbaric' ini,tanya saya.Dan tentunya Soleh tidak punya jawaban.

Setelah memaklumkan berita kepada seisi rumah,telefon didail,kali ini telefon bimbit Dr.Rahim Ghouse dan beliau mengesahkan berita penangkapan Anwar.Beberapa teman lain termasuk teman-teman pimpinan PMUM sewaktu di kampus turut di hubungi dan mereka turut mengesah penangkapan Anwar secara `biadap`itu.

Penulis mengambil keputusan untuk memberitahu Ustaz Fadhil Nor yang berceramah di Surau Tok Guru.Penulis dan abang bergegas dengan kereta ke Surau.Mesej penangkapan Anwar perlu di sampaikan.Dan mesej bertulis tangan diatas kertas putih di hulurkan kepada Ustaz S,(sahabat penulis mantan Setiausaha Dewan Ulama PAS Pahang) yang duduk diatas pentas untuk di panjangkan kepada Ustaz Fadhil.Dan malam itu juga,Ustaz Fadhil memaklumkan kepada khalayak yang hadir-ribuan manusia yang ada pada malam tersebut-berita penangkapan Anwar Ibrahim dan beliau dengan wibawa seorang pemimpin Gerakan Islam serta karisma pemimpin marhaen menuntut supaya Saudara Anwar Ibrahim di bebaskan!

Begitulah!Malam 20.9.1998 menjadi suatu tanda sejarah tersendiri bagi penulis serta penulis percaya jutaan jiwa manusia yang lain.Malam tersebut terasa amat panjang kerana keputusan telah diambil,esok Isnin 21.9.1998,walau apa pun terjadi, akan berangkat ke Kuala Lumpur.Dan isteri penulis dengan sifat seorang isteri yang solehah dan tentunya dengan penuh rasa kecintaan kepada suami melahirkan rasa bimbangnya kerana khabar-khabar angin bertiup,Kuala Lumpur di `curfew',segala jalan masuk ke KL di tutup dan sebagainya.Setelah meyakinkan isteri agar tidak terlalu bimbang,pagi 21.9.1998 penulis turun dari rumah untuk ke KL.

Sesampai di No.8 Jalan Setiamurni,Damansara bersama Sdr.Soleh,suasana rumah itu nampak begitu murung,ada aura kesedihan yang amat mendalam dan pintu hadapan rumah kelihatan terkoyak angkara serangan UTK.Orang masih ramai disitu tetapi masing-masing bercakap dengan suara laksana orang berbisik dan perlahan.Wajah masing-masing kelihatan sedih dan murung.Terasa hati sayu dan sekaligus marah;marah kerana kekejaman dan ketidakadilan terhadap Anwar dan keluarga beliau.

Kira-kira setengah jam penulis dan Soleh di situ,berbual dan bertukar berita dengan mereka yang berada di rumah tersebut.Setelah itu kami kami beredar.Teman-teman yang berada di Kuala Lumpur di hubungi dengan janji untuk bertemu di masjid Ar-Rahman Universiti Malaya menjelang asar.Ketika itu tersebar berita yang ada kemungkinan Sdr.Anwar Ibrahim di suntik dengan darah yang mengandungi virus HIV telah kedengaran di samping suatu demonstrasi akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana malam tersebut adalah malam penutup Sukan Komanwel.Selepas asar kami berkumpul di Masjid Ar-Rahman.Abang penulis pun ingin turut serta.Teringat pengalaman di kampus semasa menyertai/menganjurkan beberapa demonstrasi.Dejavu,bisik hati kecil.Tapi kali ini risikonya tentu lebih besar.Kami berdoa kehadrat Ilahi memohon perlindunganNya sebelum bertolak ke Bukit Jalil.Sementara itu seharian helikopter Polis berlegar di ruang angkasa Kuala Lumpur sehingga ke malamnya di Bukit Jalil,2 buah helikopter berlegar dengan suluhan lampu.

Kami solat maghrib di Masjid `Tabligh' berdekatan Stadium.Selesai solat,sempat di beli kain serban putih buat penutup hidung dan mata kalau-kalau `tear gas' di tembak kelak oleh FRU.Sediakan payung sebelum hujan kata penulis kepada teman-teman.Dan kami pun bergerak ke stadium berjalan kaki.

Suasana di luar Stadium di penuhi manusia yang rata-ratanya dalam keadaan `menanti sesuatu'.Di suatu sudut di hadapan patung besar `Wira' maskot SUKOM,kedengaran laungan `reformasi' dan orang ramai mula berkumpul.Kami turut menyelinap di celahan orang ramai yang bersemangat sambil turut melaungkan `reformasi' serta menuntut Dr.Mahathir meletak jawatan dan membebaskan Sdr.Anwar Ibrahim.Laungan keramat itu berkumandang membelah angkasa Bukit Jalil.Ribuan mulut turut melaungkannya dengan penuh berani.Laungan reformasi pun berselang dengan takbir `Allahuakbar!'-Allah Maha Besar.

Penulis bersua satu pasangan India yang turut serta.Apabila takbir di laungkan,mereka pun turut bertakbir.Penulis bertanya,"are you Muslim?" dan dengan senyum mereka menjawab "We are not.But it is not too difficult,only two words.Allahhuakbar."Laung mereka bersama suara-suara yang lain.Penulis tersenyum melihat telatah mereka.

Dan tiba-tiba terdengar jeritan, FRU!Suara tersebut terdengar datang dari belakang.Memikirkan yang FRU berada di belakang,penulis berlari kearah hadapan dalam keadaan (sedikit) panik.Dan dalam keadaan kelamkabut tiba-tiba terasa satu pukulan di bahagian kaki kiri,jadi tak `balance',penulis terjatuh dengan kaki kiri terseliuh akibat pukulan tersebut.Rupanya `baton' FRU yang hinggap!Penulis dapat meloloskan diri dengan keadaan terhencot.

Setelah keadaan reda,kami mengambil keputusan untuk beredar.Kaki kiri terasa sakit yang amat sangat.Melintasi jambatan kecil merentangi sungai yang memisahkan Stadium Bukit Jalil,satu kumpulan Pasukan Palang Merah sedang bertugas.Kepada mereka penulis minta rawatan dan mereka dengan cekapnya telah membalut kaki penulis setelah sedikit minyak angin di sapu.Kepada adik-adik Pasukan Palang Merah yang bertugas malam penutup SUKOM di ucapkan terimakasih.

Kereta di pandu malam tersebut menghala ke Damansara.Rumah No.8 Jalan Setiamurni sekali lagi di kunjungi.Kami tiba sekitar jam 2.00 pagi hari Selasa 22.9.1998.Orang masih ramai di situ.Menarik untuk di sentuh di sini,penulis bersua dengan Sdr.Dato Kamararudin Jaafar (sekarang ahli parlimen PAS) yang nampak agak gelisah;beliau kelihatan sering meninjau keluar melalui jendela rumah Anwar sambil berjalan mundarmandir.Kira-kira 2 jam selepas penulis berjumpa beliau,Dato Kamarudin Jaafar turut `diangkut' Polis di bawah ISA.

Demikianlah catatan kenangan penulis dari 20.9.1998 sehingga dinihari 22.9.1998.Kenangan yang tersimpan kemas dalam ingatan penulis selamanya.Dan tentunya pengalaman tersebut,dari tarikh pemecatan Sdr.Anwar Ibrahim sehingga beliau ditangkap secara biadap mengubah hidup penulis.Tentunya tragedi Anwar yang memberikan dimensi baru dalam hidup penulis.

Selama ini penulis `kurang berminat' dengan politik terutamanya politik UMNO walaupun saban tahun menerima Notis mesyuarat agung tetapi siapa yang mengisi borang keahlian penulis pada ketika itu menjadi misteri;begitu juga yuran tahunan,kerana penulis tidak pernah mengisi dan menandatangani borang keahlian apatah lagi membayar yuran.Bagi penulis,sejak dari kampus,menyedari bahawa UMNO sebenarnya telah hilang idealisma,falsafah perjuangan serta penuh dengan sifat feudal selain dasar-dasar era Dr.Mahathir yang mementingkan KKN dan gagal mengujudkan kehidupan yang demokratiks,penulis merasa mual dengan politik UMNO.Kerana itulah penulis tidak pernah berminat dari dulu untuk aktif bersama UMNO.

Tetapi selepas tragedi terhadap Anwar membuka mata kita semua.Dan putaran masa menentukan penulis bersama-sama Hj.Suhaimi Said (ketika itu Ketua Bahagian Penaja Parti Keadilan Nasional Temerloh)pada 7hb.April 1999 menubuhkan jawatankuasa Penaja Parti Keadilan Nasional Temerloh.Dari tarikh tersebut sehingga hari ini penulis bersama-sama dalam perjuangan reformasi ini secara aktif.

Putaran masa dalam lipatan sejarah ini memberikan kesempatan penulis bersua manusia-manusia hebat-Sdr.Hj.Ruslan Kasim,Ezam,Sdr.Gobalakrishnan,Tian Chua,Dr.Hatta Ramli,Salahudin Ayub,dan ramai lagi disamping teman-teman seperjuangan dari Pahang-Dr.Wahid,YB.Jafri,Sdr.Zakaria Hamid,Amir Aziz,sdr.Leong Ngah Ngah,Ustaz Tuan Ibrahim,Dr.Wahab(sekadar menyebut beberapa nama) dan ramai lagi yang mendukung dan menjiwai perjuangan menegakkan keadilan hakiki di bumi tercinta ini.Mereka dan kesemua aktivis reformasi dari segenap lapisan dan Parti Politik yang bergabung di bawah panji Barisan Alternartif yang mewarnai perjuangan.Dan semangat serta kekentalan hati YB Datin Seri Wan Azizah (Kak Wan) serta keluarga dalam menghadapi musibah angkara Dr.Mahathir dan konco-konconya memberikan rangsangan kuat untuk meneruskan perjuangan ini.

Tentunya tempoh 2 tahun memberikan dampak pengalaman yang tidak ternilai harganya.Sebagaimana yang di katakan oleh Sdr.Anwar Ibrahim dalam suratnya kepada penulis yang menyebut,`Pengalaman dua tahun yang dikira singkat dalam kerangka sejarah biasa;namun dua tahun dalam ledakan Reformasi di Malaysia berhadapan dengan tekanan keras,rakus dan zalim;media fitnah dan dana tidak terbatas dikalangan penguasa lebih cepat mendewasakan kita...

Dan putaran masa meyakinkan kita bahawa reformasi yang kita rintis dua tahun lalu bukan sahaja terus bersemarak tetapi akan melenyapkan kezaliman ketidakadilan ciptaan regim UMNO/BN di bumi tercinta ini.Sepanjang sejarah peradaban manusia telah membuktikan betapa penguasa zalim lagi kejam,kerajaan yang di perintah dengan mengenepikan semangat dan prinsip demokrasi,yang menafikan hak dan kedaulatan rakyat,yang rasuah dan menindas dan menjadi perampok kekayaan negara demi kepentingan diri sendiri dan kroni akan ditumbangkan oleh kuasa rakyat.Dan dengan suatu keyakinan yang utuh `penguasa di hujung senja' yang sedang bertakhta di Putrajaya akan jatuh menyembah bumi,InsyaAllah.Dan yakinlah betapa sejarah sebenarnya menyebelahi kita.

2 comments:

afna said...

Mengimbau sedekad yg lepas, di Temerloh bersama teman-teman. Sahabat datang dan pergi, ada yg gugur ditengah jalan, ada yg telah tenggelam tapi timbul semula. Tapi kita tetap istiqamah bersama perjuangan ini. Teruskan bro...

psychedelicmundo said...

Macam berjanji pula En Nizam.saya tengah baca buku Pak Subky,Fadzil Noor-dia guru..dia teman..Alfatihah untuk almarhum.