Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Tuesday, January 27, 2009

Arus Balik:Mengingati Pak Pram

Tulisan ini saya tulis dua tiga hari setelah Pramoedya Ananta Toer kembali ke rahmatullah.Kepada saya Pak Pram adalah penulis terhebat.Saya tidak peduli jika ada yang tidak bersetuju dengan saya bahawa Pak Pram lebih hebat dari Steinbeck mahupun Hemingway!Hanya kerana beliau dari timur,mungkin kerana itulah beliau tidak di anugerahkan dengan Nobel Prize.Sekali lagi saya tidak ambil pusing jika ada yang tidak bersetuju,dibandingkan dengan pemenang Nobel kelahiran Turki,Orhan Parmuk,karya-karya Pak Pram jauh lebih berbisa dan menantang!
Saya punya koleksi karya-karya beliau yang dijaga rapi.Setiap kali berkunjung ke Indonesia,pastinya saya akan `shopping' buku-buku dan buku-buku Pak Pram akan di cari dan dibeli walaupun sudah ada dalam koleksi;buku-buku Pak Pram inilah yang jadi ole-ole buat teman yang meminati.
Tulisan dibawah ini disiarkan oleh Malaysiakini dan kemudiannya di kutip oleh beberapa laman internet serta disiarkan dalam akhbar Siasah.Untuk itu saya berterimakasih kepada Dina Zaman yang memberikan peluang untuk diterbitkan oleh Malaysiakini dan tentunya terima kasih jua kepada isteri yang menjadi pengkritik setia.



Sebetulnya, saya bukanlah teman kepada Pak Pram (Pramoedya Ananta Toer) yang kembali ke Rahmatullah pada 30 April 2006 di Jakarta. Maka itu, tulisan ini bukanlah kenang-kenangan bersifat peribadi antara saya dengan Pak Pram. Saya ‘mengenali’ penulis tersohor ini lewat karya-karyanya yang sememangnya menjadi koleksi peribadi yang cukup berharga. Saya akan menjadi begitu cemburu sekiranya ada teman-teman yang ingin meminjam buku tulisan Pak Pram (terus terang hanya teman-teman terpilih sahaja yang memperolehi nikmat meminjam buku-buku Pak Pram).

Saya mula mengenali karya Pak Pram ketika saya dalam lingkungan usia 13 tahun apabila membaca Keluarga Gerilya (naskah ini pernah menjadi teks wajib pelajar-pelajar jurusan sastera di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan). Dan, saya terus jatuh cinta.

Apa yang menarik mengenai karya Pak Pram? Seorang teman yang pertama kali membaca Bumi Manusia memberikan komentar berikut: “Saya dibawa ke alam yang dinukilkan oleh sang penulis sehinggakan ada ketikanya seolah-olah deria bau saya dapat menghirup aroma Kota Blora seusai hujan. Serasa saya berada bersama-sama Minke menelusuri setiap gang Surabaya dan Betawai dan Nyai Ontosoroh wanita hebat itu seolah-olah hidup didepan mataku. Annellis yang manis tapi hidupnya penuh tragis angkara penjajah membuatkan aku bukan sekadar menitiskan airmata malah tertanam dalam sanubariku betapa zalimnya penjajah.”

Memang, di tangan Pak Pram watak-watak menjadi hidup dan kita dapat menyelami “rasa” setiap watak tersebut; kita akan dibuai dengan kesedihan, kegembiraan dan kemarahan setiap watak seolah-olah kita turut serta berpartisipasi.

Dan, tentunya si pengarang genius ini yang perrnah menegaskan bahawa setiap karyanya adalah “anak rohani saya” begitu berjaya memainkan emosi pembaca untuk terus membaca hingga ke halaman terakhir.

Bumi Manusia yang dikalangan pengkritik dianggap sebagai magnum opus Pak Pram berjaya memapar kebiadapan dan kezaliman penjajah Belanda. Malah pengalaman tragis perkahwinan Minke-Annelis yang dibubarkan oleh pengadilan Belanda begitu mirip dengan suatu peristiwa sebenar yang berlaku di Singapura dalam tahun 1950-an; peristiwa tersebut yang dikenali sebagai Tragedi Natrah.

Perkahwinan Abd Kadir Adabi dengan seorang anak Belanda yang dipelihara dan dididik oleh keluarga Islam, Natrah (nama Belandanya Maria Herthog) berakhir dengan perpisahan apabila `pengadilan putih’ penjajah Inggeris membubarkan perkahwinan tersebut. Natijah dari keputusan pengadilan putih tersebut mencetuskan bantahan dan rusuhan besar-besaran di Singapura.

Dan, seperti Minke yang kehilangan Annelis angkara pengadilan yang tidak adil Belanda, Abd Kadir Adabi juga dipaksa berpisah dengan isteri tercinta, Natrah, angkara pengadilan songsang penjajah Inggeris. Kedua-duanya tragis yang pertama dilukis dengan sebegitu oleh Pak Pram melalui daya imiginasinya dan yang satu lagi adalah realiti sebenar sebuah tragedi yang tentunya disimpan dalam lipatan sejarah bangsa.

Melalui Arus Balik, kita dibawa pula melihat alam Nusantara di awal kedatangan penjajah dari negeri atas angin, Portugis. Penjelajahan dan penjajahan barat yang dimotivasikan atas prinsip 3G (gold-glory-gospel) bermula apabila Melaka jatuh ketangan Portugis dalam tahun 1511. Pak Pram melakarkan betapa ada upaya di kalangan kerajaan-kerajaan Nusantara untuk bersatu membebaskan Melaka dari penaklukan Portugis.

Akan tetapi, malangnya, akibat intriks dalaman serta musuh di dalam selimut, kesatuan tersebut gagal membuahkan hasil. Menarik disentuh disini melalui protoganis, Wiranggaleng, diceritakan betapa mereka berkubu disebuah negeri di Semenanjung Tanah Melayu dimana negeri tersebut kemudiannya dinamakan Trenggono bersempena nama Sultan Trenggono yang merupakan pemimpin atau Sultan yang bercita-cita menghalau `benggali putih’, Portugis. Apakah Pak Pram merujuk kepada negeri Trengganu Darul Iman (salah sebuah negeri di Pantai Timur Semenanjung) apabila menulis mengenai negeri yang di beri nama Trenggono tesebut?

Dan, lewat Nyanyi Sunyi Seorang Bisu, Pak Pram meriwayatkan testimoni beliau sebagai tapol tahanan tanpa bicara ORBA. Sebenarnya kisah yang dipaparkan itu universal sifatnya, kerana itulah pengalaman yang dilalui oleh mereka atau tapol yang pernah dizalimi dengan tahanan tanpa bicara sama ada di Indonesia, Malaysia dan Singapura malahan mereka yang sedang ditahan di Teluk Guatanamo dibawah kekuasaan imperialis Amerika. Kesemuanya mangsa kezaliman tahanan tanpa bicara dimana hak asasi mereka dinodai atau memakai istilah Pak Pram hak sipil sebagai rakyat negara Merdeka diinjak-injak. Pengalaman dan penderitaan Pak Pram adalah sama seperti testimoni Pak Said Zahari, bekas tapol yang ditahan 17 tahun oleh regim Lee Kuan Yew di Singapura sebagaimana terkandung di dalam dua buku Pak Said Zahari, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah dan Meniti Lautan Gelora (anda juga boleh membaca testimoni Dr.Syed Husin Ali dalam Dua Wajah dan buku-buku siri pendedahan ISA oleh Saari Sungip, sekadar menyebut beberapa nama).

Itu sosok Pak Pram lewat karya-karya beliau. Namun, sebagai manusia biasa,tidak berlebihan jika dikatakan perjalanan hidup beliau tidak kurang hebatnya. Beliau turut bergerilya sewaktu perang revolusi melawan Belanda dan pasca-merdeka bergiat dalam dunia penulisan; sewaktu beliau ditangkap, beliau sedang tekun menyiapkan ensiklopedia Indonesia dan yang memilukan bukan sahaja rumahnya dirampas militer tanpa pampasan dibayar malah koleksi buku-buku yang lebih sejuta judul turut disita dan dibakar.

Tetapi, lebih penting dari pengalaman hidup beliau ialah kekuatan dirinya yang bangkit menentang layanan tidak adil regim ORBA. Pak Pram tidak pernah sesekali berkompromi dengan prinsip hidupnya. Malah beliau tidak sesekali tunduk dan menyerah kalah dengan tekanan ORBA-lihat sahaja bagaimana beliau ‘menulis’ Kuartets Buru tatkala itu beliau dinafikan pen dan kertas, ibarat nyawa bagi seorang penulis. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Pak Pram berjuang untuk mempertahankan haknya sehingga akhir hayat.

Kira-kira lebih dari sedekad yang lalu ketika saya masih mahasiswa di Universiti Malaya Kuala Lumpur, beberapa orang anak mahasiswa Universitas Gadja Mada (UGM) berkunjung kesini. Tentunya kehadiran teman-teman anak-anak UGM ini memberikan kesempatan untuk kami berdiskusi dan bertukar-tukar fikiran yang dalam kebanyakkan masa menjangkau ke dinihari; kami berbicara tentang politik (waktu itu Tembok Berlin baru sahaja runtuh), tentang gerakan pelajar dan turut melampas otak berbicara tentang sastera dan kebudayaan. Tentunya karya-karya Pak Pram turut disinggung selain puisi-puisi Rendra serta bait-bait puitis lagu-lagu Ebeit dan protes Iwan Fals.

Teman-teman dari Indonesia mengeluh kerana kesemua karya Pak Pram diharamkan di Indonesia. Lalu saya bercerita naratif mengenai Kuartets Buru, Gadis Pantai, Keluarga Gerilya, antologi Cerita-cerita Dari Blora kepada anak-anak UGM ini.

Dan, sebelum mereka kembali ke Indonesia, dengan bersungguh-sungguh meminta agar Bumi Manusia, Jejak Langkah dan Gadis Pantai “dihadiahkan” kepada mereka sebagai ole-ole untuk dibawa pulang ke Indonesia.

Dengan senang hati saya menghadiahkan buku-buku tersebut kepada mereka. Kami kemudiannya sama-sama tertawa, alangkah ironisnya, buku-buku yang ditulis oleh pengarang Indonesia diharamkan di tanahair sendiri, terpaksa diseludup masuk ke Indonesia oleh anak bangsa Pak Pram sendiri.

Kira-kira sepekan setelah teman-teman ini kembali, saya menerima sepucuk surat yang antara kandungannya mereka sukses menyeludup bulu-buku tersebut. Saya menjawab surat tersebut dengan mengatakan bahawa karya-karya Pak Pram nampaknya setaraf narkoba, perlu diseludup masuk!

Pada hari Pak Pram meninggal dunia, saya menerima emel dari seorang teman di Jakarta yang antara lain mengatakan bahawa untuk Indonesia kembali bangkit, mungkin perlu di pelajari dari sosok Pak Pram yang pernah diterjerumuskan dalam tahanan tanpa bicara, dihina oleh aparat negara, dicabuli hak asasinya tetapi tetap kukuh berpegang kepada semangat untuk mempertahankan hak dan akan tetap bangkit bak cenderawasih bangkit dari abu.

Menindas rakyat yang mempertahankan demokrasi dalam konteks hak untuk mengadakan rapat umum. Begitulah Pak Pram. Manusia yang tetap berpegang dengan prinsip, yang punya keberanian untuk menongkah arus. Lihat sahaja ketegasan Pak Pram dalam mempertahankan prinsip lewat surat terbukanya kepada Keith Faulcher ataupun kenyataan tegas beliau: “saya tutup buku dengan kekuasaan”.

Sebenarnya, kepada saya, karya-karya Pak Pram bukan sekadar bahan bacaan tetapi menjadi santapan rohani yang memperkukuhkan iltizam dan keyakinan diri untuk berani mempertahankan hak.

Untuk itu, izinkan saya bercerita suatu kisah lain. Di waktu memuncaknya reformasi di Malaysia berikutan penahanan dan penganiayaan terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim, mantan wakil Perdana Menteri Malaysia, para aparat keselamatan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) khususnya badan intelijen yang dikenali sebagai Cawangan Khas (Special Branch) begitu berterusan mengintip dan memperlakukan rakyat.

Ada seorang petinggi intelijen cawangan khas yang cukup agresif demi mempertahan kelestrasian UMNO ketika itu (kepada saya peribadi dengan marah-marah beliau menyatakan bahawa aktivis Reformasi serta pendukung parti PAS dan Parti Keadilan Nasional ketika itu sebagai penderhaka yang patut dihumban ke sungai. Dan saya bertanya saudara berkhidmat untuk rakyat atau Barisan Nasional?).

Beberapa bulan sebelum beliau bersara, saya berjumpa dengannya dan menghadiahkan buku Pak Pram, Rumah Kaca. Saya memberitahu beliau, saudara baca buku ini dengan cermat. Selepas beliau bersara saya terdengar khabar yang dia tidak lagi menjadi “blue eye boy” untuk Ketua Bahagian UMNO tidak seperti sewaktu menjawat jawatan dulu.

Ya, novel Rumah Kaca melalui watak utamanya, seorang perwira Intelijen Belanda yang dikenali sebagai Tuan Pangemanann dengan dua huruf `n’. Tuan Pangemanann dengan dua huruf ‘n’ (dua huruf ‘n’ di hadapan nama gelarannya menunjukkan ketinggian pangkat serta penghormatan Belanda terhadap watak ini) melakukan kerja-kerja intelijen yang serba kotor bagi menumpaskan gerakan nasionalis Indonesia menentang Belanda demi kekuasaan Belanda di Indonesia. Beliau begitu tekun menjalankan kerja-kerja kotornya demi pangkat dan mempertahankan kolonialisma Belanda di Hindia Timur ketika itu. Akhirnya Tuan Pangemanann dengan dua huruf ‘n’ mengalami konfliks dalam diri yang maha hebat; semuanya kerana mengikut telunjuk Belanda yang tentunya bertentangan dengan hati nurani sendiri.

Saya berasakan bahawa apa yang dilakarkan oleh Pak Pram dalam Rumah Kaca memperlihatkan citra sebenar para aparat keselamatan/intelijen yang membutakan pintu hati kepada keadilan dan hak rakyat baik di Malaysia mahupun dimana jua regim memerintah yang anti demokrasi dan menindas rakyat.

Maka, terakhirnya, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Pak Pram adalah pengarang nombor wahid lagi tersohor di nusantara ini. Pak Pram bukan sahaja milik Indonesia, tetapi suara hati nuraninya menghimbau melepasi tapal batas. Anugerah Magsasay yang pernah beliau terima seharusnya menjadi sekelumit penghargaan daripada pengiktirafan yang lebih besar. Biar pemerintah Indonesia tidak pernah memberikan pengiktirafan namun saya percaya beliau tetap besar di hati nurani rakyat Indonesia khasnya dan dunia umumnya.

Dan, Pak Pram yang terus berjuang hingga ke akhir hayatnya. Mungkin ada yang bertanya, apakah Pak Pram (dan seluruh tapol sama ada di Indonesia atau Malaysia atau Singapura malah seluruh dunia) berjaya mengalahkan regim yang menzaliminya? Saya kira tiada yang lebih tepat dari mengulangi rangkap dialog terakhir dari Bumi Manusia:
“Kita kalah, ma, “bisikku.“Kita telah melawan Nak, Nyo, sebaik-baiknya. Sehormat-hormatnya”.

No comments: