Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Saturday, July 3, 2010

Dari Suara-Keadilan On Line

Tindakan SPRM Kaitkan ADUN Pakatan Rakyat Bermotif Politik

Oleh Sidiqin Omar

PUTRAJAYA 2 Julai - Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves, Amirudin Shari mendakwa ada usaha daripada pihak tertentu untuk mengugat kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan mengaitkan dirinya dan beberapa ADUN dengan kes rasuah.
"Saya diminta untuk beri keterangan dan kita akan membantu pihak berkenaan untuk jalankan siasatan. Kerajaan Pakatan di Selangor akan berusaha menjalankan sebuah pentadbiran yang bersih. Jadi, kita sebagai ADUN akan terus membela usaha tersebut," kata Amirudin kepada Suara Keadilan.
Beliau ditemui di perkarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya petang semalam, selepas dipanggil bagi membantu siasatan berhubung satu kes berkenaan isu pelombongan pasir di negeri Selangor.
Selain beliau, ADUN Seri Muda, Suhaimi Shafiei juga turut diminta SPRM untuk membantu siasatan.
Mereka berdua tiba di ibu pejabat agensi tersebut kira-kira jam tiga petang bersama peguam.
Mereka diwakili oleh peguam Ahmad Nizam Hamid dan pembantunya Muhammad Irfan Abdullah, manakala kerajaan negeri Selangor diwakili Irwan Hadzalie dan Salim Bashir.
Ahmad Nizam berkata, prosedur mengambil keterangan kedua mereka diadakan secara berasingan.
Peguam pada mulanya tidak dibenarkan untuk turut serta di dalam sesi tersebut, namun pihak SPRM membenarkan peguam untuk berada di luar bilik dan dibenarkan untuk dipanggil sekiranya terdapat perkara atau soalan yang memerlukan rujukan mereka.
Pihak media dan para penyokong tidak dibenarkan memasuki bangunan SPRM yang dikawal oleh petugas keselamatan yang tidak memakai uniform.
Turut kelihatan di perkarangan pejabat SPRM, beberapa orang lelaki yang disyaki pegawai polis yang berpakaian preman.
Amirudin keluar dari pejabat SPRM kira-kira jam 7.00 malam, manakala Suhaimi pula pada jam 7.45 malam.
Proses mengambil keterangan tersebut mengambil masa lebih daripada 4 jam.
Ketika ditanya mengenai perkembangan sesi soal siasat tersebut, Suhaimi menjelaskan beliau telah menjawab soalan yang dikemukakan berkenaan dengan tugas-tugasnya.
"Pergerakan soalan lebih kelihatan seperti mempunyai motif politik. Mungkin siri-siri soalan dan pertanyaan akan dilakukan kepada mereka yang lain. Kami dipanggil untuk membantu siasatan, sebagai saksi," kata Suhaimi.
Suhaimi akan dipanggil semula untuk menyambung keterangannya pada hari Isnin, 5 Julai ini pada pukul 2.00 petang.

No comments: