Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Saturday, June 26, 2010

Nawaitu 'Ulama' Masuk UMNO


Saya teringat sewaktu di kampus UM,bersama teman-teman kami berdebat tentang keperluan untuk menyertai UMNO dengan nawaitu 'untuk membersihkan UMNO dari dalam' seperti hujjah DSAI suatu ketika dahulu.Pelbagai pandangan-pro dan kontra-yang di lontarkan oleh teman-teman.
Saya mengambil pendekatan historis didalam mengemukakan hujjah saya yang tampaknya di setujui teman-teman ketika itu.Pada kurun waktu awal tahun 1990-an kami sudah melihat UMNO bahawa parti itu sudah lari dari landasan perjuangan serta tidak lebih dijadikan kenderaan bagi mengejar kemewahan.Orang Melayu dulu,kini dan mungkin seterusnya akan tetap ketinggalan,demokrasi kian pudar,kebebasan hanyalah ilusi,suara mahasiswa di bungkamkan,hak asasi manusia kian merosot dan rasuah bermaharajalela-begitulah persepsi kami tatkala melihat ke dalam diri UMNO.
Saya gagal melihat sisi indah-menawan UMNO di bawah Dr.M dan sehingga ke hari ini saya masih berpendirian sedemikian.Kami gagal memberikan apresiasi Anwar Ibrahim di dalam UMNO dan Kerajaan sedangkan Anwar bukan calang tokoh yang punya bobotan.Kebejatan di dalam batang tubuh UMNO termasuk salahguna kuasa dan ISA,AUKU,OSA dan akta-akta yang menindas membulatkan pendirian saya bahawa hanyalah ilusi,fantasi dan mimpi di siang hari untuk berjuang 'membersihkan UMNO dari dalam'.
Kefeudalan UMNO serta budaya minda leceh (dan melecehkan minda rakyat) saya anggap dosa yang tidak terampunkan ,tidak memungkin proses UMNO di samak waima dengan tujuh air sekali pun.Tegasnya,UMNO is beyond repair.
Maka diatas premis ini dan dengan mengambil serta memahami sudut historis di dalam perjuangan Junjungan Besar Nabi Muhamad SAW,saya berpendirian bahawa apa jua nawaitu seseorang itu untuk berjuang dari dalam bagi mengindahkan semula wadah yang sudah tercemar nescaya akan gagal total!
Sedangkan Rasulullah,yang di janjikan Allah bahawa setiap doa baginda di makbulkan memilih untuk berhijrah keluar dari Kota Mekah.Rasulullah memilih berhijrah ke Yathrib yang kemudiannya di namakan Madinah al-Munawarah sebagai sebahagian strategi siasah dan dakwah yang amat bermakna.Siapa yang tidak tahu bagaimana rosak dan bejatnya masyarakat Quraisy Mekah ketika itu.
Boleh sahaja Rasulullah,saya kira,mengangkat tangan berdoa kepada Allah agar Kota Mekah di sucikan dari noda Quraisy tanpa perlu berhijrah,namun Baginda tidak memilih jalan itu. Baginda Rasulullah memilih berhijrah ke Madinah dan dari sana mengatur strategi untuk membersihkan Kota Suci Mekah.Akhirnya sebagaimana yang kita sedia mafhum,Kota Mekah berjaya di bersihkan dari segala noda dan kebejatan-bukan berjuang dari dalam-dengan strategi yang mantap yang di tunaskan dari Madinah.
Jadi kepada saya,diatas kepercayaan mereka yang mengaku diri sebagai ulamak ini tentunya lebih aula dengan sirah dan sejarah perjuangan Nabi Muhamad SAW.Jika saya boleh ber-husnul dzan (sangka baik) dengan ulamak-ulamak muda ini,saya yakin sepenuhnya mereka ini akan gagal total untuk membawa perubahan waima untuk membersihkan UMNO dari dalam.
Uslub sedemikian saya kira bukanlah selari dengan sirah perjuangan Rasulullah.Dan jika 'ulama-ulama' ini setia dengan ilmu,saya menaruh keyakinan besar tentunya mereka tidak akan memilih UMNO sebagai wadah.Apa pun,sebagaimana yang selalu di sebut oleh rakan saya yang menyertai Jamaah Tabligh,niat ikhlas itu boleh di umpamakan seorang berkulit hitam yang duduk diatas bongkahan batu hitam di malam gelap gelita;makanya,dengan maaf,saya sangat meragui nawaitu 'ulama-ulama' ini menyertai UMNO.

No comments: