Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Saturday, June 12, 2010

Catatan Kecil Tentang Abah

Abah dan Mak beristirehat di luar rumah setelah menghantar anak cucu pulang.Foto ini dirakamkan pada 12.4.2010

Saya berkenalan dengan buku-buku atau karya klasiks Melayu melalui Abah.Di rumah kami terdapatbanyak buku-buku daripada novel-novel,buku-buku klasiks,antologi puisi dan cerpen,buku-buku Indonesia serta pelbagai majalah tersimpan.Saya kira sejak saya mula pandai membaca,saya banyak menghabiskan masa membaca buku-buku Abah.


Saya masih ingat membaca Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang,hikayat Hang Tuah ,Hikayat Merong Mahawangsa,Hikayat Malim Deman,Anggun Che Tunggal,Hikayat Raja Donan (penuturnya atau penglipurlara pangkat ibu saudara Abah,orang Kg Dalam,Bukit Segumpal Chenor,namanya Wan Esah) dan pelbagai lagi.Mungkin ketika itu saya tidaklah berapa faham,namun saya kira perkenalan saya dengan buku-buku tersebut membuatkan saya lebih menghargai khazanah ilmu bangsa saya.


Ada juga novel Anak Mat Lela Gila dan Putera Gunung Tahan karya Pak Sako,novel Salina dari buah tangan SN Pak Samad Said telah saya tekuni sebelum masuk Sekolah Menengah lagi.Saya turut membaca Tulang-tulang Berselerakan karya SN Usman Awang;saya teringat membaca novel Atheist (lupa nama pengarangnya) dimana Abah bertanya apakah saya faham isi novel tersebut.

Foto circa 1954-55.Abah bersama pasukan pengakap.Abah sudah menjadi cikgu mengajar di Belengu.Abah duduk nombor dua dari kanan.Terima kasih kepada ayahanda Cikgu Mahmud yang memberikan salinan fotokopi foto ini.



Begitu juga dengan buku-buku atau novel dari Indonesia-saya membaca HAMKA,Marah Rusli,Muchtar Lubis,Pramoedya Ananta Toer,Umar Khayyam,Sutan Takdir,Ghazali Dunia dan ramai lagi yang saya sudah lupa-buku-buku ini merupakan buku Abah dan Mak juga.



Panglima Awang


Pernah suatu hari Abah menyuruh saya mencari dan membaca novel Panglima Awang,karya Harun Aminurashid,maka saya pun membongkar himpunan buku/majalah untuk mencari novel tersebut.Kulit buku Panglima Awang telah tercabut,namun mungkin atas gesaan Abah,saya tekuni buku tersebut dan saya hanyut-larut membaca pertualangan Panglima Awang yang membantu Magellan mengelilingi dunia melalui jalan laut.Panglima Awang atau diberi nama Enrique adalah pahlawan Melaka ketika Melaka jatuh ditawan Peringgi dan dijadikan hamba.

Buku itu benar-benar mengesankan saya.Keperwiraan orang Melayu dan kebijaksanaan Panglima Awang yang oleh Harun Aminurashid dikatakan sebagai orang pertama mengelilingi dunia,benar-benar menjadi pencerahan kepada jiwa muda saya ketika itu.Patutlah Abah beria benar menyuruh saya membaca novel tersebut.



Abah dan Mak tahu saya gemar membaca.Jika saya mengikuti Abah dan Mak ke Temerloh (biasanya mereka pergi mengambil gaji) saya dan adik,Cik Mie,akan ikut serta.Saya akan dibawa ke Toko Buku Hassan Omar (berhampiran stesen bas lama,sekarang kedai itu sudah tutup) dan ke kedai buku Gaylands berhampiran Klinik Rama di Sg Rabit (kedai buku ini juga sudah berhenti berniaga) untuk membeli komik Bambino,Gila-Gila,Utusan Pelajar dan Dandy.Saya akan membaca di dalam kereta buku-buku atau majalah sementara menunggu Abah dan Mak menyelesaikan urusan mereka.



Setiap kali ke Temerloh,saya akan dibawa untuk makan nasi ayam di Restoran Tiga Kupang atau di Kedai Lani atau Ban Hin atau VV Hameed.Saya masih teringat-seperti yang dilakarkan oleh Kartunis Lat-Abah akan menghirup teh panas dari cawan manakala saya minum dari piring teh.



Ya,itulah serba ringkas kenangan saya bersama Abah yang memperkenalkan saya dengan dunia buku yang sekaligus,saya kira meluaskan ufuk dunia (worldview) saya.Apalah saya hari ini,dengan kepercayaan dan pandangan saya,adalah acuan sewaktu saya kecil dahulu.






Bukit Segumpal


Abah dilahirkan dalam tahun 1938 jika mengikut catatan di dalam kad pengenalannya di Kg Dalam,Mukim Bukit Segumpal,Chenor.Anak kedua dari 7 orang adikberadik membesar dalam keluarga petani miskin.Menurut Abah kehidupan mereka tidaklah boleh dikatakan mewah malah ada ketikanya mereka makan nasi tanpa lauk.Dapat dibayangkan kurun waktu tersebut dengan Perang Dunia Kedua dan penjajahan Inggeris.


Didalam keadaan diselimuti kemiskinan itulah Abah menimba pelajarannya kerana Abah percaya dengan pelajaran sahajalah seseorang itu akan mampu membela nasibnya dan keluar dari kemiskinan.Semangat Abah untuk belajar terbukti apabila Abah di kemudian hari terus belajar walaupun sudah punya anak.




Menjadi Guru Kaka

Abah menjadi cikgu atau guru sewaktu di Darjah Tujuh Sekolah Melayu (akibat kemiskinan Abah tidak melanjutkan pelajarannya).Ceritanya begini:pada suatu hari datang nazir ke sekolah Abah belajar.Nazir ini bertanyakan murid-murid siapa yang berminat menjadi cikgu sila angkat tangan.Abah bersama Ayah Long mengangkat tangan dan langsung di terima menjadi Guru Kaka (hari ini mungkin semacam guru pelatih atau guru sandaran).
Sijil Penghargaan Khidmat Cemerlang yang diperolehi oleh Jabatan Pendidikan Pahang

Dari tanggal 1 Julai 1954 Abah memulakan kariernya sebagai guru sehingga bersara wajib pada tanggal 5 Januari 1993 (selepas itu Abah masih mengajar secara kontrak).Pun begitu dorongan untuk belajar begitu kuat,Abah mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setelah peperiksaan tersebut diperkenalkan kerana sebelum itu hanyalah peperiksaan Malayan(sian) Certificate Of Examination atau MCE.Berikutan dengan lulusnya peperiksaan SPM Abah mendapat tunjangan gaji baru yang lebih tinggi tentunya.


Mahasiswa Universitas Nasional Indonesia

Saya masih ingat Abah kemudian melanjutkan pelajaran dengan menyertai kuliah Universitas Nasional Indonesia (UNAS) dan mata kuliah yang ditekuninya ialah Bahasa/Linguistiks dan Sastera serta Sejarah.Saya lupa dimana tempat atau cawangan UNAS di Kuala Lumpur tetapi sewaktu cuti penggal sekolah,kami sekeluarga ada juga dibawa ke KL menemani Abah belajar.Saya masih ingat kami tidur atau menginap di hotel-mungkin di kawasan Chow Kit atau Kg.Baru-tatkala Abah pergi kuliah.





Untuk standard hari ini hotel tersebut tentunya sangat minima fasilitinya,untuk room service,ada loceng disediakan di dinding;dengan menekan loceng maka akan datang pelayan ke bilik bertanyakan keperluan yang dikehendakki dan biasanya saya akan minta Mak order roti kaya.Untuk anak kampung pengalaman tidur di hotel dan menikmati roti kaya merupakan pengalaman yang cukup mewah dan mengesankan.



Antara kajian Abah ialah tentang Pantun Melayu Pahang dan perbandingan antara Bahasa Indonesia dan Bahasa Semelai,salah satu suku kaum Orang Asal di Bera Pahang.Kajian Abah tentang pantun ada tersimpan di Perpustakaan Umum Universiti Malaya dan menjadi rujukan kepada sarjana yang lain.



Abah pernah memberitahu saya untuk meneruskan usahanya membuat kajian dalam disiplin linguistiks khususnya berkaitan bahasa Orang Asal tetapi memandangkan disiplin saya ialah undang-undang maka saranan Abah itu sekadar di sambut dengan senyuman semata.Pernah juga ketika saya membongkar buku-buku dan catatan-catatan Abah saya terjumpa buku beliau yang berisi mentera dan jampi orang Melayu.


Saya bertanyakan Abah tentang itu dan Abah menjawab beliau berminat untuk membuat kajian tentang mentera dan jampi orang Melayu khususnya di Chenor.Yang menjadi narasumber Abah antaranya Arwah Tok Jebah.Buku catatan Abah itu saya simpan tetapi sudah tidak saya temui semula.


Mengaji Pondok


Apabila Tuan Guru Haji Mohd Baki membuka pengajian di Pondok beliau di Kg Lanting,Abah adalah anak murid Tok Guru yang pertama.Abah turut menyumbang kepada pembinaan sekolah pondok di Kg Lanting.Saya juga dihantar mengaji dengan Tok Guru Hj Baki.Sehingga ke akhir hayat Abah tetap rapat dengan Tok Guru.

Nana bersama Atuknya di Chenor

Tok Guru Hj Baki menjadi calon PAS di DUN Chenor dan Abah memberitahu saya beliau mengundi Tok Guru.Pernah dalam suatu PRU Abah menjadi Pengarah Bilik Gerakan BN tetapi mengundi Tok Guru;saya memberitahu Abah walaupun Abah mengundi Tok Guru tetapi hakikat Abah menjadi Pengarah Bilik Gerakan UMNO akan menyebabkan puluhan orang lain,khususnya saudara mara akan mengundi BN kerana pengaruh Abah.Abah terdiam dan saya percaya Abah memahami rasional saya keran selepas PRU tersebut Abah tidak lagi terlibat sebagai petugas BN.


Semangat belajar
Begitulah Abah dengan pelajaran.Gigih belajar tentunya membaiki kehidupan agar kemiskinan dan ketinggalan tidak diwarisi oleh anak-anaknya.Dan kepada kami,dengan kasihsayang dan dorongan serta semangat Mak dan Abah,kami berlima beradik,alhamdulillah berjaya dalam pelajaran.Kesemua anak-anak Abah merupakan lulusan Universiti,suatu rekod yang 'menggerunkan' kerana apakah kami mampu mempastikan cucu-cucu Abah juga berjaya menjejakkan kaki ke Menara Gading seperti yang di lakukan oleh Mak dan Abah.


Abah sangat rapat dengan anak muridnya.Sejak kecil saya punya ramai abang,anak murid Abah yang tinggal bersama kami.Hari ini ada anak muridnya yang jadi duta,wakil rakyat,CEO,pengarah dan sebagainya.Antara anak murid Abah yang sudah menjadi ahli keluarga dan disayanginya ialah Abang Fadhil.Dari pelajaran,sakit pening hinggalah berkahwin (dan anak Abang Fadhil juga berkahwin) Abahlah yang menjadi terajunya.Kali pertama saya masuk universiti ialah UTM menghantar anak angkat Abah,Abang Fadhil belajar disana.

Garang

Dalam soal disiplin anak-anak saya kira Abah tergolong di dalam 'old school'.Perintah dan larangannya wajib di patuhi tanpa kompromi.Jika hari ini disarankan mendidik anak dengan penuh psikologi,kami anak-anak diasuh dengan disiplin yang keras.Bukan sekadar anak-anaknya malah sepupu-sepupu kami pernah merasa 'buah tangan' Abah.


Saya masih ingat di bulan puasa kawan-kawan sesudah solat tarawikh akan bermain mercun dan meriam buluh;saya hanya dapat bergabung dengan teman-teman secara sembunyi-sembunyi kerana jika ketahuan Abah pastinya akan di marahi.Begitu juga dengan mandi sungai atau memancing,suatu larangan keras yang wajib di patuhi.



Abah bergambar bersama Busu di Lenggeng.


Pun begitu saya tahu Abah menyayangi kami dan anak-anak saudaranya.Abang Mat dan Kak Sari,sepupu kami,membesar bersama kami.Kebetulan kami hanya ada seorang adik perempuan yang bongsu,Cik Mie,maka Kak Sari yang saya anggap sebagai kakak sendiri.Pernah beberapa kali di tahun-tahun kebelakangan ini Abah menyebut tentang Kak Sari yang saya dapat mengesani ada tumpah kasih sayangnya kepada kakak sepupu saya ini.



Court Of Appeal

Jika dengan kami Abah begitu strict,dengan cucu-cucunya berlainan pula.Abah begitu mengambil berat sehinggakan jika kami memarahi anak-anak,Abah yang akan membela cucunya itu.Walaupun ada cucu-cucu yang kena marah,namun degree kemarahan Abah tidaklah sama seperti kami dahulu.

Suhail memeluk Atuknya

Malah saya sering menyebut secara bergurau,Abah menjadi Court Of Appeal kepada cucu-cucunya khususnya Suhail.Suatu ketika permainan remote control car menjadi tarikan.Saya sengaja tidak membeli kereta remote untuk Suhail sedangkan sepupu-sepupunya sudah punya;kembali ke Chenor,Suhail dengan linangan airmata mengadu kepada Atuknya.Dan Abah dengan sedikit nada sindiran,bertanyakan Cik Mie apakah kereta remote tersebut terlalu mahal sehinggakan saya tidak mampu membelikan untuk cucunya serta mengajak Cik Mie pergi membeli.Itulah Abah dengan cucunya.


Pernah suatu ketika Angah bising-bisingkan anaknya kerana tidak score didalam peperiksaan.Aniq,cucu sulung Abah hanya sekadar mendiamkan diri;setelah Angah reda Abah pun dengan selamba memberitahu cucunya,"Abah engkau pun bukan pernah dapat nombor satu".Angah terdiam mendengar 'pembelaan' Abah terhadap cucunya.
Abah sewaktu menghantar cucu sulungnya,Aniq ke UTP di Perak Darul Ridzuan.Terbayang wajah gembira melihat cucunya masuk menara gading

Abah dan Mak bersama sebahagian daripada cucu-cucu mereka.Tidak ada dalam gambar ialah Danial,Nana dan Sabrina

Apabila Aliff,seorang lagi cucunya tidak mahu tinggal diasrama SEMSAS,Abah jadi hyper.Hampir setiap hari Abah menelefon saya bertanyakan tentang Aliff hinggalah suatu hari Abah sendiri pergi ke SEMSAS berjumpa cucunya itu.Entah apa yang dikatakannya kepada Aliff tetapi Aliff kemudiannya tidak lagi menyebut untuk balik ke rumah.

Suatu perangai Abah ialah tidak pernah menunjukkan kegembiraan dengan kejayaan anak-anak secara langsung.Seingat saya tidak pernah ada ucapan tahniah diberikan kepada kami berbanding dengan cucu-cucunya.Pun begitu melalui orang lain-kawan-kawan Abah-saya tahu Abah sangat bangga dengan anak-anaknya.Apabila Along menjadi Doktor,daripada kawan-kawan Abah saya diberitahu Abah tersangat bangga kerana praktis perbelanjaan Along dibiayainya.Setelah saya diterimamasuk sebagai peguam,saya mendapat tahu dari kawan-kawan Abah sangat bangga dan 'menjaja' saya seolah-olah saya sudah setaraf Karpal Singh layaknya.



Partai Rakyat Malaysia

Abah aktif juga didalam politik.Pernah menjawat jawatan Setiausaha Penerangan UMNO Temerloh Timur dan Setiausaha Bahagian UMNO Maran yang pertama.Pernah saya sewaktu kecil mengikuti Abah didalam kegiatan politiknya.Berapa cawangan UMNO di Jengka ditubuhkan dengan inisiatif Abah seperti di Ulu Jempul,Jengka Satu dan yang lainnya.




Abah bersara dari politik secara aktif apabila terjadi insiden pemecatan Sdr Anwar Ibrahim serta fitnah dan konspirasi terhadap Anwar dalam tahun 1999.Abah begitu prihatin terhadap nasib Anwar (saya kira hingga ke akhir hayatnya).Saya teringat pada tanggal 22.9.1999 apabila saya memberitahu akan ke Kuala Lumpur,Abah begitu prihatin terhadap keselamatan saya.



Pun begitu Abah menyebut juga bahawa ketika berlaku tangkapan terhadap Dato Harun Idris,Abah mengambil bahagian membela Dato Harun,maka sekarang masa dan ketika saya pula.Pesan Abah ialah jangan surut kebelakang dalam perjuangan dan ketika ini generasi saya pula yang menentukan untungnasib tanahair.Waktu bersama Abah didalam kereta inilah yang selalu disebutnya.


Ketika Kongres KEADILAN baru-baru ini Abah sudah terlantar di hospital.Saya minta izin untuk pergi ke Kota Bharu dan meminta maaf kerana dalam tempoh 3 hari itu saya tidak dapat menjaganya di Hospital.Abah izinkan dengan pesan agar berhati-hati memandu.Angah,Alang dan Uncle Man yang menjaga Abah ketika saya di Kota Bharu.Dengan hati yang berat saya dan keluarga pergi ke Kota Bharu dan sekembalinya ke Temerloh saya terus ke hospital.


Dalam keadaan sedikit termengah-mengah Abah bertanyakan perjalanan Kongres apakah berjalan lancar serta samada saya ada berjumpa Anwar Ibrahim.Saya memberitahu saya di undang minum pagi bersama Anwar.Abah turut meminta saya menceritakan ulas butir ucapan Anwar Ibrahim.Saya juga menceritakan betapa Tan Sri Khalid Ibrahim,MB Selangor di kritik hebat perwakilan.
Abah terdiam mendengarnya.Kemudian beliau menyebut bahawa inilah masalah dengan orang muda,semuanya nak cepat sedangkan Selangor baru sahaja di perintah oleh Pakatan Rakyat.Saya hanya ketawa kecil mendengar komen Abah.Abah tidak berhenti menyebut simpatinya kepada Anwar Ibrahim didalam keadaan dirinya yang lemah dan terlantar di hospital.


Sebelum menjadi ahli UMNO,Abah menjadi anggota PRM di zaman Ahmad Boestamam.Abah pemegang kartu ahli.Abah keluar PRM dan menyertai UMNO setelah di ajak oleh rakannya Cikgu Yaacob,bapa kepada Dato Seri Adnan Yaacob,MB Pahang ketika ini.Waktu itu mereka sama-sama mengajar di Bentong.Pernah saya bertanya apa yang membuatkan Abah jadi Kiri dan kemudian masuk UMNO,Abah tidak pernah memberikan alasannya.

Bukan feudal

Namun begitu menelusuri perjalanan hidupnya,saya percaya kerana pengalaman hidup Abah membesar dalam serba kekurangan serta pandangan hidupnya yang tidak feudal membuatkan Abah ingin menjadi seorang yang progresif.Mengikut cerita Angah dan Alang,sewaktu Pilihanraya Umum di tahun '60-an dan mungkin juga '70-an,Abah memasang bendera PRM.

Angah pernah melukis dan mengecat logo Banteng PRM.Skuter Vespa Abah juga di catkan dengan logo PRM.Saya tidak ingat peristiwa tersebut mungkin kerana saya masih budak-budak lagi ketika itu.


Suatu perkara yang saya benar-benar bersyukur ialah Abah tidak pernah mendapat konsessi balak selama aktif di dalam UMNO.Ada juga ketikanya Abah mengeluh bahawa beliau tidak mendapat apa-apa selama aktif di dalam UMNO,tidak seperti orang lain yang mendapat banyak manfaat untuk diri sendiri.Saya menjawab bahawa kami bersyukur Abah tidak mendapat balak kerana kepada saya balak ini sesungguhnya amat berkaitan dengan korupsi.


Ertinya wang diperolehi daripada konsessi balak,menurut pandangan peribadi,bukanlah yang boleh dikatakan clean money.Abah terdiam dan saya yakin Abah bersetuju dengan pandangan saya.Kami sekeluarga membesar,makan-pakaian semuanya murni dari wang gaji Abah dan Mak yang jelas dari titik peluh mereka.Tidak ada wang balak atau wang dari sumber meragukan.Dan mungkin ini merupakan salah satu faktor anak-anak Abah semuanya berjaya di dalam pelajaran.


Perajurit sewaktu konfrontasi


Tidak ramai yang tahu bahawa Abah pernah berkhidmat sebagai perajurit atau tentera.Ketika itu,tahun 1963,negara diancam peperangan berikutan seruan Ganyang Malaysia oleh Presiden Sukarno.Diwaktu konfrontasi dengan Indonesia Abah menyertai Askar Wataniah sebagai sukarelawan.Abah mengikuti latihan ketenteraan dan di tempatkan di Kem Sungai Rabit Temerloh.



Menurut Abah,Pegawai Pemerintahnya (Commanding Officer atau CO) ialah Sultan Pahang yang ketika itu merupakan Tengku Mahkota Pahang.Abah diberi latihan berkawad dan senjata iaitu SLR dan sten-gun.


Setelah tamat konfrontasi Abah hendak diserapkan sebagai anggota regular sebagai pegawai memandangkan Abah lulus SPM tetapi Abah menolak kerana ingin kembali ke dunia perguruan.Ada cerita lucu bagaimana Abah berjaya mengelakkan diri dari diserap menjadi tentera.


Ceritanya begini:Abah telah pergi berjumpa dengan Doktor tentera untuk tujuan pemeriksaan kesihatan.Oleh kerana Abah sudah bertekad untuk keluar dari Askar Wataniah,maka Abah mereka-reka cerita yang beliau menghidap penyakit ketar-kedua belah tangannya terketar tanpa dapat dikawal- yang berkaitan dengan saraf.Doktor tersebut,seorang India meminta Abah memegang lampu suluh;Abah pun memegang torch light tersebut dengan (disengajakan) tangannya terketar-ketar.




Doktor tersebut setelah melihat Abah memegang lampu suluh dengan terketar-ketar terus menulis laporan perubatan yang Abah tidak sesuai menjadi askar.Bagaimana untuk memegang senjatapi sekiranya tangan terketar-ketar tanpa henti,mungkin demikian rekomendasi doktor tersebut yang membolehkan Abah discharged daripada berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Malaysia.



Kembali ke Chenor


Abah kembali ke kampungnya,Chenor di hujung tahun 1960-an.Mengajar sekolah di Chenor.Sekeluarga ikut pindah ke Chenor.Menurut cerita Mak dan abang-abang saya,kami sekeluarga mula-mula duduk di kuarters tinggal Klinik Chenor yang dijadikan kandang lembu.Bertungkuslumus Abah dan abang-abang membersihkan kotoran tahi lembu membolehkan dijadikan tempat tinggal yang selesa.


Tinggal di kuarters tersebut tidak lama.Golongan aristokrat Chenor ceritanya marah-marah (dan dengan 'halus' menghalau)Abah.Abah mengambil keputusan keluar dari situ dan menyewa rumah Hj Esah di Bukit Bota sebelum membina rumah yang ada sekarang di Kg.Baru.Pernah saya bertanyakan Abah kisah ini tetapi tidak mendapat tanggapan daripada Abah;mungkin agaknya Abah tidak ingin mengingati peristiwa lalu.






Obsessi membina rumah


Abah punya passion atau mungkin istilah yang paling sesuai,obsession dengan rumah.Rumah kami di Chenor sesungguhnya tidak pernah sunyi,sejak tahun 1970,daripada bunyi tukul dan paku.Abah akan membuat renovasi,tambahan dan bermacam-macam kerja lain terhadap rumah;malah secara bergurau saya akan menyebut,jika 2 minggu saya tak balik Chenor maka akan ada renovasi di buat.Semuanya ini,menurut Abah bagi keselesaan anak cucunya.

Rumah kami di Chenor

By-pass Surgery

Abah menghidap diabetiks sejak tahun 1974 lagi dan darah tinggi.Kesemua adikberadik Abah menghidap penyakit ini.Sewaktu saya masih sekolah ada juga dua-tiga kali Abah masuk hospital.Tetapi kesihatannya mula merudum setelah bersara.


Tahun 2004,bulan Februari Abah menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN.Tahun itu saya menyambut ulang tahun kelahiran di hospital.Along yang banyak menghabiskan masanya menjaga dan menjengok Abah di IJN ketika itu.Along berulang alik dari Penang ke IJN.

Cik Mie yang setia meladeni dan menjaga Abah setiap kali Abah dimasukkan ke hospital.Foto ini diambil pada 10.9.2009 di Wad Bunga Raya Hospital Temerloh.Cik Mie,adik bongsu kami adalah satu-satunya anak perempuan Abah


Saya tidak ingat berapa lama,tapi rasanya lebih dari 10 tahun saya berulangalik ke IJN membawa Abah untuk temujanjinya.Selalunya selepas selesai bertemu Doktor di IJN dan selepas mendengar nasihat doktor agar Abah menjaga makan,mengawal gula,Abah akan mengajak makan ke tempat 'yang sedap-sedap'.Dan selalunya juga saya akan mengajak (kadang-kadang memaksa)adik ipar saya,Uncle Man untuk 'tolong' memandu ke tempat makan yang sedap-sedap itu.



Abah suka makan Nasi Padang.Maka kami akan menuju ke Restoran Natrabu atau restoran nasi padang yang lain.Pernah sekali saya mengajak Abah menukar selera mencuba restoran Jepun,selesai makan Abah memberikan komentar masakan Jepun tidak berapa kena seleranya.Ada juga saya membawa Abah untuk makan buffet di Hotel Legends,sekadar untuk menghiburkan Abah dengan belanja makan di restoran 5 bintang.Abah komplen juga atas alasan harga mahal,saya menjawab secara bergurau,ini lawyer yang belanja.

Minum Coca Cola

Ya,kami adikberadik mengakui Abah bukanlah seorang yang berdispilin menjaga kesihatannya.Abah akan makan atau mengambil minuman yang manis sesuka hatinya.Dalam peti sejuk di rumah Chenor,bukanlah sesuatu yang memeranjatkan dipenuhi dengan tin-tin Coca Cola;selalunya dalih Abah, coke itu untuk cucu-cucunya.



Kalau berjalan bersama Abah,akan selalu mengajak berhenti minum-yang saya dengan sopan akan cuba mengelak.Pasca operasi jantungnya di IJN,Abah meminta Coca Cola,saya tidak pernah memberikan tanggapan (dan Abah tahu jika minta dari saya atau Along,tentunya tidak akan di layan) tetapi mungkin kerana kasihan,adik beradik yang lain menyeludup Coca Cola ke IJN.
Pernah Abah di masukkan ke Hospital Temerloh,Abah memandu sendiri ke Hospital;pada suatu pagi saya terjumpa dengan saudara kami juga dari Chenor yang memberitahu Abah bersarapan pagi makan nasi lemak di Restoran Azhar Temerloh.Rupa-rupanya Abah keluar dari wad dengan dalih membeli suratkhabar dan memandu keretanya ke Restoran Azhar,selesai makan,kembali semula ke Hospital.Petang itu juga saya meminta kunci kereta daripada Abah.


Saya kira didalam setahun kebelakangan ini kesihatan Abah begitu merosot.Abah tidak lagi aktif atau sihat seperti biasa.Sudah sering sakit-sakit tetapi temper Abah yang khas itu tidak pula berkurangan.Alhamdulillah,Cik Mie mengajar di Sekolah Batu Bor tinggal bersama Mak dan Abah,jadi adalah yang benar-benar dapat menjaga Abah.


Kena heart-attack


Pernah beberapa kali Abah kena hypo-gula dalam badan terlalu kurang-dan saya akan berkejar dari Temerloh di waktu dinihari kembali ke Chenor menjenguk Abah.Abah keluar masuk Hospital semula.Malah Abah kemalangan jalanraya kerana hypo ketika memandu.



Awal tahun ini,tanggal 4.1.2010 Abah sekali lagi terlantar di IJN.Abah pergi ke IJN untuk temujanji setelah megadu sering sakit dada dan di bawa oleh Uncle Man,manakala saya pula berjanji akan menjemput Abah di IJN jika tidak dimasukkan ke wad.

Di IJN Abah terkena serangan jantung.Sewaktu Abah di wad kecemasan,saya memberitahu Abah,syukur kena di IJN kerana saya tidak dapat bayangkan apa yang terjadi jika serangan jantung berlaku di dalam kereta sewaktu perjalanan balik.Rupa-rupanya ada satu saluran darah ke jantung Abah telah rosak dan tidak dapat di sembuhkan.

Sewaktu PRK Hulu Selangor Abah di kejarkan ke Hospital Temerloh,kali ini di bawa oleh Cik Mie dan Mak Ina-itupun setelah puas di pujuk kerana di awalnya Abah enggan pergi.Saya terpaksa menyingkat kempen di Hulu Selangor dan bergegas balik ke Temerloh.Selesai mandi kira-kira jam 4 pagi,kami menerima panggilan telefon dari hospital meminta segera datang.
Rupa-rupanya Abah di dalam kesakitan,sesak nafas dan dadanya sakit.Segera saya menghubungi Along dan jam 6 pagi Along pula berkejar dari Kuantan.Keluar dari Hospital Temerloh,Abah meminta pula di hantar untuk rawatan di Kuantan Medical Centre.


Kali terakhir berkunjung ke Lanai Lestari

Dua hari Abah di KMC sebelum discharged dan kembali ke Chenor.Kelihatannya Abah sedikit segar;malah hari Selasa 18.5.2010 Abah datang ke rumah kami,Lanai Lestari bersama Mak dan Cik Mie.Rupa-rupanya itulah kali terakhir Abah bertandang ke rumah kami.Tidak ada sebarang tanda atau perubahan pada Abah,kami berbual seperti biasa seputar politik dan saya memberitahu saya bercadang untuk menulis beberapa siri tentang perjuangan Kiri di Temerloh.Abah mencadangkan supaya di siarkan di suratkhabar,saya menjawab jika suratkhabar tak mahu siarkan pun tidak mengapa kerana saya boleh muatkan di dalam blog saya.

Foto terakhir Abah berkunjung ke rumah kami pada 18.5.2010.


Abah makan malam di rumah kami dengan lauk pauk yang cukup sederhana-ikan singgang,sambal tumis udang,petai dan budu-Abah makan berselera dan di tutupi dengan kopi O Pekansari Temerloh.Makan malam itu bukan sahaja yang terakhir buat kami anakberanak bersama Abah tetapi juga menurut Cik Mie,selepas malam itu Abah hilang selera makan.


Lung Infections


Tanggal 23.5.2010 Abah dimasukkan semula ke Hospital Temerloh.Mula-mulanya kerana Abah tidak dapat membuang air besar.Selain daripada itu Doktor mendapati ada jangkitan kuman di paru-paru Abah.Kali ini saya mengesani Abah kelihatan begitu lemah malah pernafasannya di bantu oleh tabung oksigen sepanjang masa.


Pun begitu 2 hari sebelum Abah pergi,kelihatannya kesihatan Abah tambah membaik.Doktor juga cukup gembira dengan perkembangan Abah malah memberitahu Abah boleh balik rumah jika respons terhadap rawatan positif di hari Sabtu berikutnya.Abah gembira,hari Rabu petang Abah sudah mengajak saya menegok kebun getahnya di Kg.Dalam untuk 'menyulam anak getah yang dimusnahkan kerbau.'Ketika saya keluar hospital sekitar jam 6 pagi Khamis Abah masih kelihatan segar.

Khamis petang kesihatan Abah kembali memburuk.Abah kembali dipasang oksigen dan Abah nampak termengah-mengah.Petang Khamis itu Abah melalui orang yang berada di wad menghubungi Cik Mie meminta di bawa Mak ke hospital untuk berjumpa-suatu hal yang sangat asing.Mak datang di bawa Cik Mie.Itulah pertemuan terakhir Mak dan Abah setelah mereka mendirikan rumahtangga semenjak tahun 1958.Sambil Mak memegang tangan Abah,Abah meminta maaf dari Mak dan Mak juga meminta maaf dari Abah.
Malam itu giliran Along menjaga Abah.Sebaik sahaja melihat Along,suatu hal yang sangat asing,Abah menghulurkan tangan bersalam dengan Along.Abah meminta saya menyapu minyak afiat di perutnya dan memicit kakinya.Sambil melawak saya memberitahu Abah saya sudah ada rekod,urut kaki Mak sehingga Mak tidak boleh berjalan-muscle tore-Abah diam sahaja mendengar gurauan saya.
Abah meminta saya mencarikan air gau dan susu UHT untuk minum pagi,katanya.Jenuh saya memusing sekeliling bandar Temerloh jam 1 pagi Jumaat 4.6.2010 mencari air gau yang tidak di jual di 7Eleven tanpa tidak dapat.
Kembali semula ke hospital,saya lihat riak muka Along berbeza,nampak begitu concern dan susah hati keadaan Abah.Tentunya Along sebagai doktor terlatih ada sixth-sense yang kesihatan Abah memburuk.Sewaktu saya meninggalkan Abah sekitar jam 3 pagi di dalam jagaan Along,Abah sudah tidur.



Detik-detik terakhir Abah


4.6.2010 sekitar jam 8.50 pagi saya menerima panggilan telefon dari Mak Ina menggesa saya segera ke hospital kerana Abah terkena serangan jantung.Membelek sms di telefon,rupa-rupanya ada mesej dari Along:first thing in the morning,please visit abah,he looks very uncomfortable.


Saya melarikan kereta saya ke hospital,sempat singgah untuk membeli sebotol air gau.Abah kelihatan pucat dan termengah-mengah dengan di kelilingi oleh 4-5 orang Doktor.Saya memegang tangan Abah dan dalam keadaan kesakitan Abah memberikan pesan-merupakan pesanan terakhir Abah.Rupa-rupanya sejak dari awal pagi Abah sudah 'mencari' saya.

Doktor mahu memasang life support machine (LSM) memandangkan Abah terkena serangan jantung yang serius.Dr.Suresh,salah seorang doktor pakar,memberitahu mereka akan sedate Abah ie.buatkan Abah tidur dan memasang LSM.Sesungguhnya saya tidak percaya ketika itu keadaan Abah begitu serius dan kroniks.This is not fair,bisik hati saya.


Mak Ina sudah mula membaca surah Yaasin dengan airmata berlinang.Saya tidak tahu apa yang harus di lakukan selain membaca Yaasin dan berdoa.Segera saya menghubungi Cik Mie meminta segera datang ke hospital.Saya hubungi Along yang sudah sampai ke Kuantan dan segera berpatah balik ke Temerloh.


Saya sms Angah,Alang dan Abang Ayi serta saudara mara yang lain agar segera datang ke hospital.Airmata bercurahan sedangkan pasukan doktor sedang bertungkuslumus merawat Abah.Saya sedikit lega apabila melihat wajah Along dan Cik Mie.


Kami adikberadik mengambil keputusan untuk membawa Mak ke hospital.Mak Ina pulang ke Chenor untuk mengambil Mak.Sementara itu Dr.Anilah,salah seorang doktor pakar memanggil saya dan Along menerangkan keadaan Abah yang kroniks,Abah diserang heart attack buat kali kedua dan jantungnya sudah berhenti hampir 5 minit.Abah juga sudah tidak memberikan respond kepada ubat,tekanan darah Abah menurun.



Dr.Anilah bertanya sekiranya Abah kena heart attack buat kali ketiga apakah kami mahu pasukan doktor untuk membuat resustisasi dan CPR,Along memandang saya dan saya dengan tenang menjawab jika sekiranya Abah kena heart attack sekali lagi,tak perlu dibuat apa-apa kerana biarlah Abah pergi dengan tenang.Sehingga ke hari ini saya tidak tahu darimana saya mendapat kekuatan untuk membuat keputusan sedemikian;saya kira dan saya percaya Along juga berpendirian yang sama,bahawa Abah perlu dilepaskan pergi dengan tenang.

Dan akhirnya Abah menghembuskan nafas terakhir meninggalkan kami anak-anaknya sekitar jam 1 petang sebelum solat Jumaat.Abah pergi di jemput al-Khalik dihadapan kami tiga beradik-Along,Cik Mie dan saya-dengan tenang.Cucu Abah,Suhail yang tiba ke hospital dari sekolah tidak sempat berjumpa Atuknya kerana Atuknya sudah kembali.Ya,airmata kami tumpah bercucuran menghadapi detik perpisahan yang memilukan namun kami redha dengan pemergian Abah.Inilah yang terbaik dan Allah mengasihi Abah.
Abah adalah produk generasinya.Abah bukanlah pemimpin besar negara atau pahlawan nasional.Pun begitu saya kira Abah telah menyumbang budi dan jasanya bukan sahaja kepada kami sekeluarga tetapi kepada agama,bangsa dan tanahairnya dengan cara tersendiri.


Sebagai manusia biasa,dengan segala kekuatan,kelebihan dan kelemahannya,lelaki itu adalah Abah kami dan Atuk kepada anak-anak kami (seramai 13 orang) yang mengasihi kami dengan caranya tersendiri,yang memberikan kami pedoman,bumbung tempat kami berlindung dari panas dan hujan,tempat kami mencurahkan kasih dan paksi yang menyatukan kami adikberadik.

Tiada kata-kata atau perkataan yang dapat menggambarkan jasa-budi Abah kepada kami.Terlalu besar dan terlalu istimewa.Dan saya kehilangan kata-kata!


Selamat jalan Abah.Damailah Abah di dunia sana dengan tenang.Istirehatlah Abah disana.Kami memanjatkan doa agar Allah SWT,Dia Yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih melimpahkan rahmatNYA,mengampun dosa Abah,menerima segala amalan soleh dan baik,menghimpunkan segala kebaikkan Abah dan menempatkan Abah di kalangan orang-orang yang soleh.Selamat jalan Abah dan kami akan sentiasa merindui Abah.




Nota Dari Dalam Diri:

i.Saya dedikasikan tulisan ini kepada Ahmad Suhail dan Cucu-cucu Abah yang lain-Aniq,Danial,Anat,Intan,Aliff,Anis,Nana,Liya,Syaza,Sabrina,Anas dan Afif.Apalah kalian hari ini kerana jasa dan budi Abah kami yang membesar dan mendidik kami.

Maka belajar dan belajarlah.Kejar cita-cita dan impian serta berbaktilah.

ii.Saya menulis entri ini juga sebagai theraphy buat saya.Terlalu sukar untuk saya dari mengelakkan diri untuk tetap bersedih dan berdukacita.Didalam proses menulis entri ini,saya mendapat ketenangan dari kesedihan pemergian Abah.









































































































































































7 comments:

Anonymous said...

Nizam, what a moving piece and what a handsome man your dad was. You are very fortunate to have had him as a father. I now know where you got your intelligence from!

-Rahiza-

binjidan said...

sangat baik brader..tulisannya
menunjukkan keteguhan seorang bapa dan anak yang berjaya dalam hidup yang sentiasa menghidupkan harmoni kasih sayang kekeluargaan

onn said...

Pengkisahan yg menarik mengenai perjuangan arwah...! Elok dijadikan e-book..! Dan panduan berguna seisi keluarga sbg Guru, Ayah dan Pemimpin..!

Anonymous said...

Md Radzi Mustafa Walaupun kedua2 orangtua saya masih ada saya dapat rasakan kesedihan bilamana kita bjumpa minggu lalu. Tapi percayalah bahawa ayah anda bbangga punyai anak bnama Nizam yg hidupnya bprinsip krn tidak ramai anak sebegitu waktu ini. Dia pergi meniggalkan waris unggul!

Anonymous said...

Fauzi Abdulrahman Excellent collection of your dad. May Allah shower His Barakah over beloved dads soul and receive him as a solihin in His Jannah....amin.

Anonymous said...

Buat Abg Nizam sekeluarga, takziah saya ucapkan. Kehilangan Ayah Ngah Hamid memeranjatkan kami semua... Mak cik zie (mak sy) kirim salam pada mak & Abg Nizam sekeluarga... FYI - kami selalu renung Ayah Ngah lama2 untuk melepaskan rindu kami pada arwah ayah (yg pada kami, rupa mereka hampir sama)masa tu kami kecil lg.... BTW, thanks for sharing cerita ayah Ngah.. Sy amat kagum dengan beliau... Al-Fatihah...

Layla Abdul Basir

Orang Embun said...

Cikgu Hamid, cikgu saya di Afzan Chenor.

Pernah diminta beliau untuk mengira markah kertas BM peperiksaan SPM pada tahun 1992. Ketika itu beliau sedang memeriksa kertas jawapan karangan di dalam biliknya. Beliau guru HEP. Alhamdulillah, beberapa tips telah diberikan oleh beliau kepada saya secara personal untuk menjawap soalan karangan BM..ketika itu saya baru Tingkatan 3.