Dato Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penubuhan pasukan lumba kereta Formula 1 yang diberi nama 1Malaysia.Pasukan ini akan menyertai sirkit lumba F1 bermula pada musim 2010.
Menurut Najib pasukan 1Malaysia ini didokong oleh Kerajaan dan swasta.Beberapa syarikat korporat seperti Air Asia,Proton dan Naza Motors.
Malaysiakini didalam laporannya menyebut Najib enggan memberitahu jumlah pelaburan didalam projek tersebut.
Sekali lagi kita gagal melihat keperluan untuk mengadakan suatu pasukan lumba kereta yang biayanya dipercayai mencecah jutaan ringgit.Didalam keadaan ekonomi yang terumbang-ambing kita melihat bahawa langkah kerajaan ini bukan sahaja membazir tetapi tidak akan memberikan manfaat kepada rakyat.
Keengganan Najib memberitahu kos yang akan dibelanjakan saya kira merupakan sikap tipikal kerajaan yang tidak telus dan tidak bertanggungjawab.
Saya tidak tahu Najib menerima nasihat dari siapa untuk 'venture' kedalam pelaburan sukan lumba kereta yang berisiko dan tidak memberikan keuntungan.Litar Sepang (SIC) khabarnya sehingga ke hari ini menanggung kerugian jutaan ringgit semenjak ianya dibina.
Saya berpandangan bahawa jika sekiranya Kerajaan ingin membuat pelaburan maka masih banyak bidang lain yang lebih sesuai dan berdayamaju untuk dibelanjakan wang rakyat.Pun begitu didalam keadaan iklim ekonomi yang tidak menentu dan jauh dari kepastian sebarang langkah untuk membelanjakan wang negara harus dilakukan dengan begitu berhati-hati (prudent) bukannya dengan semberono.
Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Lehman`s Brothers yang runtuh malah berita didalam BBC News hari ini menyatakan syarikat penerbangan yang terbesar di dunia Japan Airlines (JAL) terpaksa mengambil langkah mengurangkan kos operasi dengan menamatkan perkhidmatan 6800 orang pekerja bagi mengharungi cabaran ekonomi dunia yang macet.
Sementara itu tidak pula kita mendengar negara seperti Korea Selatan yang merupakan antara negara pengeluar kereta tersohor ghairah untuk menaja pasukan lumba kereta F1.Jika dinilai keupayaan teknologi dan kemampuan kejuruteraan automobil mereka dengan industri yang hebat Korea Selatan tidak ada pun pasukan lumba kereta seperti Malaysia.
Sifir ekonomi Najib bagi saya cukup mudah-jika mengalami kerugian maka kerugian tersebut akan dipikul oleh rakyat-kerana wang yang dibelanjakan itu bukannya dari kantong sendiri tetapi dari khazanah negara.
Sesungguhnya saya tidak nampak keperluan untuk menubuhkan pasukan F1 akan dapat memacu ekonomi negara.Seperti pengalaman silam,tentunya yang mendapat manfaat ialah kroni,sukusakat dan para cukong bukannya rakyat terbanyak.
Sementara rakyat diseru supaya berjimatcermat,para pemimpin negara tanpa segansilu membelanjakan wang negara dengan cara yang tidak berhemah.Sementara ada rakyat yang terpaksa mengikat perut pemimpin UMNO membaham khazanah negara demi untuk memenuhi ego sendiri.
Keperluan dan kebajikan rakyat bukannya keperluan nombor wahid bagi mereka kerana yang penting ialah dapat memenuhi kehendak dan nafsu megalomaniac mereka!
No comments:
Post a Comment