Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Saturday, September 5, 2009

Propaganda Sejarah Songsang UMNO Memakan Diri


Pak Sako,nasionalis dan pejuang yang dilupakan.Tahun ini beliau berusia 100 tahun.
Saya membaca luahan hati dari teman blogger (http://dakwat-kertas.blogspot.com/) disamping beberapa keluhan lain yang melihat bahawa anak-anak muda sudah hilang semangat dan rasa hormat kepada negara vis-a-vis sambutan Hari Kebangsaan,Jalur Gemilang dan NegaraKu.Mungkin berkebetulan mereka yang melahirkan ketidaksenangan ini terdiri samada bekas pemimpin UMNO,ahli UMNO malah para pendukung UMNO itu sendiri.




Sementara saya boleh bersetuju dengan andaian semangat merdeka kelihatan tipis dan nipis di kalangan generasi (yang selalunya dilihat dan dinilai dari lapis luar tanpa cuba memahami dan menilai dari sudut dalaman) dengan hipotesis (tuduhan?) bahawa ini disebabkan angkara politik parti lawan UMNO/BN,namun saya lebih selesa untuk memberikan pandangan yang berbeza.




Persoalan pokok ialah lebih dari setengah abad anak-anak muda melalui proses pencucian otak oleh UMNO;sejarah yang menjadi elemen penting bagi melahirkan generasi yang benar-benar patriotiks diolah sedemikian rupa bagi menanamkan 'kesedaran' bahawa UMNO lah satu-satunya yang berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan.Lihat sahaja kandungan buku teks sekolah bagi silibus sejarah,yang dipapar dan diajarkan hanya sejarah seputar peranan UMNO semata-mata dengan mengkesampingkan perananan,jasa dan budi parti-parti politik yang lain khususnya yang dikategorikan sebagai 'Kiri'.




Parti-parti politik Kiri yang ufuk perjuangan menuntut kemerdekaan jauh lebih terkehadapan dari UMNO yang di tubuhkan dalam tahun 1946 (skop tulisan saya tentunya merujuk kepada UMNO yang ditubuhkan pada Mei 1946 dan bukannya yang di reinkernasikan (reincernation) setelah mati tidak bernisan dalam tahun 1987).Hakikat sejarah betapa melalui Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan di penghujung dekad 30-an yang buat pertama kalinya dapat menyatukan suara orang Melayu,dengan sengaja dibisukan.




Jika sebelum itu suara orang Melayu tidak boleh dikatakan bersatu tetapi melalui wadah KMM orang Melayu mula melepaskan diri dari kerangka kenegerian,kedaerahan malah kesukuan.Sejarah juga mencatatkan betapa didalam period tersebut banyak terdapat persatuan-persatuan seperti Persatuan Melayu Selangor,Persatuan Melayu Perak,Persatuan Melayu Pahang dan lain-lain lagi disamping Sahabat Pena yang dilihat tidak bersifat kebangsaan namun buat pertama kalinya melalui KMM suara dan semangat Orang Melayu berjaya di padukan didalam suatu wadah.




Kerana itulah kita melihat cita-cita kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu telah dinyatakan dengan tegas oleh KMM seawal tahun 1942!KMM menuntut agar Tanah Melayu diberikan kemerdekaan dari imperialis Jepun;samaada tuntutan tersebut Tanah Melayu merdeka bersendirian atau bersama Indonesia,saya kira bukan isu utama tetapi yang pentingnya ialah upaya menuntut dan memperjuangkan kemerdekaan itu telah dicanangkan jauh sebelum UMNO ujud.




Upaya ini kemudiannya diteruskan oleh Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan parti-parti politik lainnya setelah PKMM dilumpuhkan oleh Inggeris.Nama-nama besar seperti Dr.Burhanuddin al-Helmy,Ibrahim Hj Yaakob,Ishak Hj Muhamad,Ahmad Boestamam,Ustaz Abu Bakar al-Bakhir,Asiah Ghani,Samsiah Fakeh,Hasnul Hadi dan ramai lagi mewarnakan politik Malaya ketika itu yang dengan lantang menjadikan MERDEKA sebagai semboyan perjuangan.




UMNO ketika itu hanya sekadar melaungkan Hidup Melayu sebagai battle-cry mereka yang oleh sesetengah pengkaji menyatakan sebagai bentuk kompromi dengan Inggeris.Manakala para pejuang nasionalis-patriotiks dari golongan Kiri disebabkan iltizam mereka untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu terpaksa membayar dengan harga yang mahal apabila kebebasan mereka di ragut penjajah Inggeris dengan menghumban mereka ini ke penjara tanpa perbicaraan (sejarah berulang selepas Merdeka apabila mereka ini-Ishak Hj Muhamad,Dr.Burhanudin dan yang lain juga turut dihumbankan kepenjara tanpa perbicaraan oleh pemimpin UMNO sendiri) dan sebahagian pula mengambil keputusan bergerila di dalam hutan bagi menentang penjajah.




Maka kem tahanan di Batu Gajah Melaka dan di Bruas Perak menjadi universiti buat para pejuang kiri.Saya tidak terjumpa mana-mana catatan sejarah yang menunjukkan mana-mana pemimpin UMNO di jemput menjadi tetamu Inggeris di Kem-kem Tahanan Tanpa Bicara ini kerana perjuangan menuntut merdeka.




Malah sangat jarang disentuh betapa para pemimpin Kiri ketika itu begitu berpandangan jauh dan benar-benar mengarifi bahawa Tanah Melayu atau Malaya bersifat majmuk dengan bangsa-bangsa lain iaitu kaum Cina dan India perlu diberikan pengiktirafan.Kerana itulah kita melihat PUTERA yang mewakili kuasa politik orang Melayu dan AMCJA yang mewakili kepentingan bukan Melayu seawal tahun 1947 telah secara bersama melahirkan Perlembagaan 10 Perkara yang dijadikan asas perlembagaan Malaya Merdeka yang dicita-citakan.




Dan ini hanyalah secebis catatan dari seputar perjuangan menuju kemerdekaan.Malangnya yang disajikan kepada anak-anak kita hanya menunjukkan peranan dan jasa UMNO semata-mata dengan mengenepikan hakikat sejarah yang sesungguhnya.Maka matapelajaran sejarah dijadikan wahana untuk mencuci otak anak-anak agar melihat UMNO satu-satunya yang berjasa dan seterusnya agar mereka ini sesudah 'dicuci otak' mereka diharapkan sentiasa menjunjung UMNO sebagai satu-satunya parti yang berjasa.


Kerana itulah kita sering mendengar ungkapan dari pemimpin UMNO dan dari pencacai malah segelintir sarjana, misalnya tanpa segansilu menyebut;"Kerana UMNOlah kita mengecapi kemerdekaan","Kalau tidak ada UMNO maka kita tidak akan merdeka","Golongan muda perlu memahami sejarah kemerdekaan yang di perjuangkan oleh UMNO",dan beberapa klise yang lainnya guna untuk mengolah pemikiran rakyat tentang UMNO yang ditubuhkan dalam tahun 1946 itu.


Diatas premis ini yang disajikan sejak sekian lama anak-anak muda terbelit dengan kerangka pemikiran dan propaganda yang dipaksakan keatas mereka.Namun zaman berubah dan masa beredar.Dengan ledakan teknologi maklumat serta angin perubahan politik sejak satu darsawarsa kebelakangan ini telah memecahkan tembok propaganda UMNO itu.


Perjuangan dan tuntutan Reformasi yang dicetuskan oleh Saudara Anwar Ibrahim kepada saya tidak boleh dilihat dari sudut politik semata-mata.Seruan Reformasi sepuluh tahun lalu berikutan dari konspirasi fitnah terhadap Anwar bukan sekadar membuka mata akan kebejatan politik ciptaan UMNO tetapi turut merungkai mitos UMNO yang berkuasa dan sentiasa betul.Malah saya melihat Gerakan Reformasi itu samada disedari ataupun tidak turut merubah psikis orang Melayu khususnya generasi muda.


Mereka mula bersikap kritis,menilai dan (cuba) memahami apa yang sesungguhnya berlaku seputar tanahair tercinta ini.Proses ini yang saya nilai sebagai proses membentuk kematangan sebagai anak merdeka memberikan natijah yang cukup besar di dalam pembentukkan negara bangsa.


Generasi muda,yang ada diantaranya di tahun 1998 dahulu dalam lingkungan usia belasan tahun,hari ini sudah tentu menjadi matang.Mereka melalui dan merasakan jika tidak turut serta sekalipun,pengalaman dari apa yang berlaku kepada Saudara Anwar Ibrahim sebagai suatu bentuk kezaliman yang tiada tolokbandingnya.Mereka mula bertanya:"Apakah yang tidak betul dengan negara ini?"


Saya kira dengan Konspirasi terhadap Anwar pada tahun 1998 dan berulang kembali hari ini anak-anak muda mula mempelajari dan mencari jawaban.Segala bentuk propaganda,fitnah dan sabda dari pemimpin UMNO tidak lagi diterima seadanya tetapi dinilai dengan kritis malah dengan cukup sinis.Proses pencucian otak dan mitos UMNO segalanya berkecai dan tidak lagi relevan.


Akan tetapi para pembuat dasar dan pimpinan UMNO nampaknya gagal memahami hakikat ini.Dua-tiga hari menjelang 31 Ogos tahun ini saya menonton Berita Wilayah di RTM1 dipaparkan wartawan RTM bertanyakan kepada kanak-kanak dari sebuah sekolah di Sabah tentang erti 52 Tahun Merdeka!Kalaulah ini bukan 'sheers stupidity' atau minda leceh oleh RTM saya tidak tahu perkataan apa lagi yang sesuai untuk merujuk kepada temubual tersebut.Mereka dengan sengaja melupakan tarikh Keramat 16 September 1963 yang tentunya lebih relevan kepada rakyat Sabah dan Sarawak.


Anak-anak muda melihat-dan ini sudah digambarkan oleh Boestamam dengan tuntutan 'kemerdekaan total'-bahawa kemerdekaan negara bukannya di peranankan oleh UMNO sahaja tetapi diperjuangkan dengan darah dan airmata oleh parti-parti politik lain;dan dengan kefeudalan UMNO itu sendiri menjadikan mereka tidak selesa.


Saya tidak terkejut jika mereka sinis terhadap lagu NegaraKu yang diambil (jika tidak dengan izin pencipta asalnya,maka secara lunak disebut 'ciplak' atau didalam istilah lain boleh sahaja dikenali sebagai 'cetak rompak') dari lagu keroncong Terang Bulan;bendera Malaysia yang telah di berikan MyKad dengan nama Jalur Gemilang dilihat sebagai imitasi dari bendera Amerika Syarikat;tarikh kemerdekaan 31 Ogos dilihat sebagai penyimpangan dari hakikat sejarah dan politik sebenar dengan penubuhan Persekutuan Malaysia dalam tahun 1963 dan penafian serta propaganda UMNO selama lebih 5 dekad ini turut membentuk persepsi kritis dikalangan generasi muda.


Saya turut tidak terkejut jika mereka dengan sinikal dan kritis menghentam propaganda UMNO tentang kemerdekaan (malah mungkin Kemerdekaan itu sendiri) sebagai 'aspal'-asli tetapi palsu-kerana inilah akibat dari kesilapan yang dicipta sendiri oleh UMNO.Kelihatannya propaganda UMNO selama ini memakan diri sendiri.


Dalam hal ini adalah silap jika menyalahkan generasi muda atau melabelkan mereka sebagai tidak patriotiks atau sudah hilang jiwa merdeka.Tragedi bangsa kita ialah apabila pemimpin UMNO menjadikan kekuasaan sebagai 'fiefdom' atau sebagai harta jarahan bukannya sebagai amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan ini termasuklah dalam soal memaparkan sejarah negara.Sehingga ke hari ini tidak ada upaya yang bersungguh untuk menjernihkan fakta sejarah ini;malah UMNO,para pemimpinnya dan pembuat dasar,saya kira perlu muhasabah diri sebelum menyalahkan orang lain khususnya anak-anak muda.


Saya teringat kepada emel Almarhum Pak Rustam A Sani kepada saya kira-kira 2 tahun yang lalu,inter alia,menyebut kecenderungan untuk menggali bahan-bahan sejarah lama yang kemudiannya di kupas dengan pendekatan lama juga disamping memperbesarkan perkara kecil untuk menjadi 'bukti' bahan sejarah mengikut selera tersendiri.Pak Rustam selanjutnya menyebut bahawa pendekatan-pengkajian yang sewajarnya ialah mengkaji sejarah dari aspek sosialnya dan menggunakan pendekatan yang berpaut pada teori ilmu sosial (social science theory-informed history). Oleh itu saya kira sudah sampai masanya sejarah Malaysia di tulis semula dengan sejujurnya tanpa di cemari oleh propaganda songsang.


5 comments:

inderasegara said...

salam..
cuma sekadar ingin meluahkan bahawa saya sangat bersetuju dengan artikel ini..
sejarah sebenar perlu dikembalikan dan diberi sinar baru..
ssaya seorang anak muda begitu cetek sekali pengetahuan mengenai sejarah tanah air kita ini..
namun minat saya terhadap sejarah tidak dapat menahan saya dari terus mencari realiti sejarah tanah air kita ini..
tetapi satu persoalan..
adakah semua ini akan berubah jika kita menukar kerajaan pemerintah kepada kerajaan yang baru iaitu PR??
atau hanya sekadar perubahan di tampuk pemerintahan sahaja??
istilah 'janji orang politik' itu cukup umum dan ia tidak menjurus kpd UMNO / BN sahaja kerana PR juga terdiri daripada orang2 politik..

chegarMD said...

sejarah negara perlu ditulis semula
mengikut hakikat yg sebenar tampa
di lacurkan oleh umno dan pencacai
dri wartawan2 dan penulis2 berjiwa
hamba.
peranan2 gulongan ulama seperti shikh tahir jalaluddin dan mereka2 yg seangkatan harus dikembalikan mereka adalah ubor yg melahirkan semangat kebangsaan dari patani diutara sampai ke singapura.
begitu juga gulongan2 kiri dari setiap bangsa harus di catat sejarah perjuangan dan pengerbanan
mereka.
oleh itu utk berlaku adil dari sekarang penulisan sejarah perlu di
nilai kembali dgn adil dan seksama.

Mat Amin said...

Salam,

Terima kasih kerana memuatkan kisah Pak Sako. Beliau antara pejuang kemerdekaan tulin yang disisihkan.

ahmadnizamhamid said...

sdr.inderasegara yth:saya dapat memahami perasaan sdr.cuma yang saya boleh katakan ialh sejarah bukannya milik parti politik ketimbang yang memerintah.

sdr.chegarMD yth:saya bersetuju dengan sdr bahawa peranan besar dimainkan oleh golongan agama didalam menyemaikan semangat merdeka.insyaAllah saya akan tulis tentang itu.begitu juga dengan golongan atau parti lain khususnya kiri tidak terkecuali PKM turut berperanan malah saya kira ada saham besar didalam perjuangan merebut kemerdekaan.

Pak amin yth:sesungguhnya pak sako seorang pemimpin bangsa yang berjiwa besar.namun jika dilihat sanjungan masyarakat kepada beliau hanyalah dilihat dari sisi penulisan dan sastera dan meninggalkan sisi besar jasa beliau sebagai pejuang kemerdekaan serta tokoh politik.tahun ini usia beliau 100 tahun jika masih hidup tapi berapa kerat yang mengingatinya?saya dan almarhum Pak Dharmala NS ada berbincang untuk buat sambutan dan Pak Dharma juga telah pergi meninggalkan kita.pun begitu InsyaAllah akan dianjurkan juga,mudah-mudahan.

Anonymous said...

I agree in so far that KMM was a force to be reckoned with in the struggle to achieve Independence. But to deny UMNO's contribution is just wrong on all front.

The masochistic tendency in some of us is to be embarassed that UMNO's path to Independence was obtained not through the taking up of arms but a negotiated settlement that ultimately led to the same path that is Kemerdekaan, albeit at a lower human and financial cost.

I have read comments elsewhere that UMNO was a puppet of the British. My question is, was our foreign policy dictated by the British ? Were our economic prosperity robbed to the point that we were stripped of our assets by the British ?

Had it not been for Tunku's good relation with Britain and other Commonwealth countries who put lives at risk in depending our country in its embryonic state, we could easily be the 34th province of Indonesia during the Confrontation. That also became a factor in Philippines not resorting to military aggression in its demand of Sabah.

Let us look at facts and history as it us. KMM, PKM AWAS, API were too swayed by communists ideology of anti imperialism and anti colonialism mooted by Soviet Union and China that they unwittingly became pawns in the early stage of the Cold War.

KMM's idea of Independence was becoming a province of Indonesia. PKM's idea of Independence was becoming a satellite state of China.

You may hate to admit it, but Perikatan's concept of Malaysia proved correct in hindsight.

There are ungodly call to elevate the status of Chin Peng as "freedom" fighter but isn't that an oxymoron ? What kind of freedom was Communists promising ? The freedom practised by people like Stalin, Brezhnev, Honecker, Mao, Tito and PolPot ?

I know of late people like Chin Peng, Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin, Abdullah CD either wrote books or given interview that gave an apologetic, sympatehtic view of their struggle.

These people nearing the end of their lives, choose to give meaning in their ideological fight by justifying their wrong choices in their fight. For every story of theirs, there are countless other untold stories by servicemen and women who put their loves at risk in battling communism.

Growing up with diet of movies and books of bloody struggles everywhere else in the world, unwittingly some of us feel embarrassed that we obtained ours through diplomatic means.

My late grandmother once told me when I was very young that there is no glory in war, there is only hardship and pain.

Let's count our blessing that the forefathers of Independence, the Perikatan bosses chose to minimise the costs of lives by negotiating in peace.

By the way, America declared Independence on 4th July 1776 with just 13 states. The expansion westward that led to 51 states took almost a hundred years. The Americans still celebrate 4th july as their Independence. Before I forgot, United States of America didn't exist in 1776 but a few years thereafter.

Almost the same story as ours.