Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Friday, September 11, 2009

Najib ke Chenor, harapan rakyat dan realiti*

Seabad lalu Chenor yang terletak di pinggir Sungai Pahang pernah terkenal dan tercatat dalam sejarah negara sebagai pelabuhan, persinggahan utama, pengangkutan air dan pusat pentadbiran serta perniagaan tersohor ketika sungai menjadi sistem perhubungan utama di negeri ini.

Terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Temerloh dan diberi jolokan Chenor Pekan Di-Raja, ketika itu makmur dan maju sehingga penghuninya terdiri daripada pelbagai bangsa. Wujudnya Kampung Raja di situ yang kekal hingga ke hari ini, melambangkan bermastautinnya kerabat istana di situ.

Zaman kegemilangan itu ialah ketika pusat pentadbiran Pahang oleh Residen Bristish terletak di Kuala Lipis, di sebelah hulu manakala istana sultan pula di Pekan, di sebelah hilir.


Sebagai antara penempatan awal di Pahang, Chenor juga pernah melahirkan pahlawan terkenal menentang penjajah seperti lagenda Pahlawan Bukit Segumpal. Berdasarkan buku sejarah, orang-orang Chenor juga terlibat membantu Tok Gajah dalam Perang Kelang di Selangor. Ini bermakna, pemikiran dan pergaulan penduduk Chenor sudah bersifat global sejak dahulu.

Setelah perubahan masa dengan perpindahan ibu negeri ke Kuantan dan sistem perhubungan beralih ke jalan raya, hubungan komuniti Chenor dengan dunia luar semakin mengecil. Ketika kawasan sekelilingnya membangun, Chenor pula terus malap dan seolah-olah terus terpinggir dari arus pembangunan.

Apabila tanah-tanah rancangan Felda dibuka, ramai penduduk mula berhijrah.Ironinya Chenor pernah melahirkan ramai tokoh-tokoh hebat. Seorang menteri besar Pahang datangnya dari sini iaitu Orang Kaya Indera Pahlawan Wan Abdul Aziz Engku Abdullah. Pejuang kemerdekaan terkenal Ibrahim Yaakob yang kemudiannya menjadi pemimpin di Indonesia, juga berasal dari Chenor.

Chenor juga melahirkan dua orang Ketua Setiausaha iaitu Datuk Aziz Husin dan Datuk Yusof Yunus. Adun Chenor selama lima penggal iaitu Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak pernah berjawatan timbalan menteri besar. Itu belum termasuk lagi korporat dan profesional yang berjaya menempa nama di ibu negara.
Pada mulanya Chenor terletak dalam pentadbiran daerah Temerloh sehinggalah pada 1 Januari 1981, Chenor yang terdapat kurang lebih 15 buah kampung tradisi di dalamnya, berpindah ke dalam pentadbiran daerah Maran yang baru diwujudkan hasil cantuman sebahagian Pekan, Kuantan dan Temerloh.
Najib PM kedua turun ke Chenor


Apabila Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Tun Razak melangkahkan kaki ke bumi Chenor baru-baru ini, rakyat sebenarnya sudah lama ternanti-nanti dengan penuh harapan. Ini disebabkan masih ramai penduduk yang menjadi mangsa putaran ganas kemiskinan, tidak padan dengan kemerdekaan negara yang sudah menjangkau 52 tahun.

Najib merupakan PM kedua selepas Dr Mahathir yang pernah bertandang ke Chenor. Beliau hadir merasmikan 20 buah rumah baru melalui projek perintis program Sejahtera dan Pintar peringkat nasional yang diusahakan di bawah naungan Jawatankuasa Bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG) untuk rakyat miskin di Kampung Teluk Melati, Chenor.

Salah seorang rakyat miskin tegar di Pesagi, Chenor yang sempat penulis temui ialah Haron Zainuddin, 62, yang tinggal sebatang kara di sebuah pondok buruk yang hanya setanding dengan reban ayam.

“Bukan saya gembira duduk begini tapi dah jenuh minta rumah PPRT tetapi tidak pernah ada jawapan. Saya juga tidak pernah dapat bantuan. Saya sudah 22 tahun tinggal begini sejak pindah dari Mentakab. Barangkali takdir untuk saya ialah tinggal di sini sehingga menutup mata,” katanya sayu.

Haron yang dipanggil penduduk kampung sebagai Abang Jo, bekerja menoreh getah orang. Katanya minumnya diambil air paip masjid dan mandi Sungai Pahang. Bagi menerangi malamnya beliau menggunakan lilin.

“Saya dengar PM datang ke sini mengagihkan rumah kepada mereka yang senasib dengan saya. Pada kali ini nama saya tidak tersenarai sebagai penerima rumah itu, harapan saya ialah bantuan rumah tidak akan terhenti setakat itu dan nasib saya akan dibela”.

Sebenarnya masih ramai yang senasib dengan Abang Jo di Chenor dan penulis berazam akan cuba menjejak dan menemuramah mereka pada masa depan.
Penduduk menjadi miskin sudah tentu disebabkan terpaksa berhadapan dengan kos kehidupan yang tinggi sedangkan sumber pendapatan hanya bergantung kepada pertanian tradisi yang harganya tidak stabil. Sedangkan peluang menambah sumber pendapatan sangat kurang disebabkan tidak ada pembangunan fizikal yang ketara dan tiada faktor rangsangan.


Kenapa Chenor tidak maju?

Memang sesiapa yang berkunjung ke Chenor terutama di sebelah tebing, ia kelihatan seperti bandar koboi tahun 1940-an yang sangat lambat membangun. Lebih teruk lagi, najis binatang ternakan dapat dilihat bersepah merata-rata.

Selain jambatan baru berharga lebih RM100 juta menyeberangi Sungai Pahang, tidak ada pembangunan yang ketara di Chenor. Bahkan bandar baru yang kononnya diwujudkan untuk memajukan Chenor, tampaknya seolah-olah hidup segan mati tak mahu.

Menghairankan, jika Jengka yang terkemudian wujudnya daripada Chenor sudah jauh maju, Chenor pula yang pernah terkenal dalam sejarah tetap tidak maju dan membangun sebagaimana selayaknya. Kawasan di sekeliling Chenor sudah membangun dengan pesat, pekan di raja itu tetap malap tanpa usaha pembaikan.

Bagi anak kelahiran Chenor yang menetap di luar, Nizam Hamid, keadaan ini disebabkan tidak adanya kesungguhan daripada pemimpin kerajaan sendiri untuk memajukan Chenor.

“Saya hairan kenapa Chenor yang memiliki kekayaan sumber asas tidak maju selayaknya, ini menunjukkan tiada usaha dan kesungguhan pemimpin sedangkan banyak perkara boleh dilakukan untuk pembangunan. Saya bagi contoh di sini merupakan kawasan pertanian kenapa tidak diwujudkan industri hiliran dan hab halal”.

“Begitu juga sepatutnya dirancang industri kecil dan sederhana supaya penduduk boleh menyertainya. Oleh kerana tidak memiliki peluang seperti inilah membuatkan anak-anak muda ramai yang berhijrah mencari rezeki di luar. Akhirnya yang tinggal hanya pemuda-pemuda bermasalah,” ujarnya.

Bagi seorang lepasan siswazah, Burhanuddin Abdul Hamid, berkata dalam konteks Chenor penduduk sepatutnya tidak dihidangkan pembangunan tidak terancang. Baginya penduduk Chenor wajar dibangunkan kemanusiaan serta sosio-ekonomi penduduknya.

“Kos bina jambatan menghubungkan dua tebing Chenor lebih RM100 juta, tapi Chenor tak maju juga? Cuba kos yang sama dibnagunkan kemanusiaan dan sosio-ekonomi penduduk Chenor, sudah tentu Chenor akan cepat berubah wajah”.

“Bila pembangunan bersifat holistik ini dilaksanakan, barulah di situ penduduk boleh membangunkan tanah terbiar dan akhirnya memajukan tanah yang merupakan aset masing-masing. Apa yang berlaku kedua-dua pembangunan ini tidak terancang dan jadilah bentuk kemajuan yang terjadi secara tidak sengaja,” katanya.

Najib mungkin tidak menyedari permasalahan Chenor ini. Kata orang Chenor, sehari sebelum Najib datang pun, tahi-tahu lembu yang bersepah di jalan raya pun disembur air oleh pasukan bomba. Jadi Najib tidak tidak tahu permasalahan sebenar Chenor. Namun jika individu dan agensi di bawahnya ikhlas, Chenor masih belum terlambat untuk dibangunkan manusia dan fizikalnya.
*Dipetik dari laman Sidangonline.

1 comment:

Pacar Merah said...

Sudah lama tak ke Temerloh. Akan ke Temerloh lepas raya untuk menemui bekas gerila yang balik dari Thailand, yang masih hidup.