Dalam beberapa tulisan saya sebelum ini saya telah menghujjahkan allegasi generasi muda sudah hilang sifat patriotiks sebenarnya berpunca dari sejarah tanahair telah dijadikan bahan proganda UMNO demi untuk mencuci otak rakyat.Sejarah malah gerakan nasionalisme Melayu dilihat seolah-olah bermula dengan penubuhan UMNO dalam tahun 1946;peranan Partai politik dan pertubuhan bersifat kebangsaan sebelum dari itu seolah-olah di pinggirkan.
Upaya yang ikhlas perlu di buat bagi meluruskan (meminjam istilah Pacar Merah) sejarah sebagai wahana penting membina sebuah negara bangsa yang dicita-citakan.Inisiatif ini harus dimulakan dari sekarang kerana kita sudah setengah abad ketinggalan (atau sengaja ditinggalkan) dengan membina masukan-masukan sejarah yang tepat,tulus dan tidak berputar diatas kepentingan politik (satus quo kekuasaan).
Malah interpretasi sebenar yang di sebut oleh Almarhum Pak Rustam Sani sebagai berasaskan ilmu sosiologi (social science theory-informed history) wajar dijadikan panduan dan meninggalkan pendekatan menggali bahan sejarah dengan memberikan masukan mengikut selera sendiri.
Saya mengambil contoh didalam sebuah buku yang saya baca.Penulis menyatakan Perlembagaan PKMM bukannya digubal oleh orang Melayu (baca pemimpin Melayu PKMM) semata-mata kerana didalam teks asal di tulis atau di taip perkataan MALAYU dan bukannya MELAYU.Hujjah penulis ini yang juga seorang sarjana Sejarah,jika yang menyediakan Perlembagaan PKMM orang Melayu maka tentulah ejaan tersebut di tulis sebagai MELAYU (perbedaan hanyalah pada huruf 'E' dan 'A').Menurut penulis kalau orang Melayu 'tidak mungkin akan menyebutnya begitu rupa'.
Dari bacaan saya isu ini pernah dibangkitkan oleh beberapa sarjana yang lain.Firdaus Abdullah dan Arifin Omar misalnya berpendapat bahawa terdapat kesilapan didalam menaip ejaan tersebut (typo error) dan tidak bermakna Perlembagaan (atau diwaktu itu disebut Anggaran Rumahtangga) PKMM dibuat oleh orang bukan Melayu.
Soalnya kenapakah isu atau bahan sejarah ini diperbesarkan oleh Sarjana tersebut?Saya berpandangan niat penulis untuk menggambarkan bahawa PKMM dan para Pemimpinnya menjadi 'stooges' kepada bangsa asing dan sekali gus memperlihatkan bahawa PKMM bukanlah mewakili gerakan nasionalisme Melayu yang tulin.Ertinya diatas tiket ilmiah atau kesarjanaan (mungkin) penulis mahu mengdiskredits PKMM ketimbang UMNO yang dilihat cukup nasionalis.
Malah saya kira pandangan penulis tersebut hanya bersifat peribadi tanpa disandarkan kepada narasumber yang lain yang lebih authentics. Almarhum Pak Rustam A Sani menyebut pendekatan sedemikian sebagai 'mengali bahan-bahan lama dan mengulasnya dengan pendekatan lama',suatu pendekatan yang tipikal bagi pengkaji sejarah.
Saya menyebut hipotesis tersebut tidak disandarkan kepada narasumber lain yang bebas dan berautoritatif yang bermakna hanya disimpulkan berdasarkan kepada selera penulis semata-mata.Saya mengakui bahawa saya bukanlah seorang yang berotoriti untuk berpolemiks didalam isu ini tetapi saya kira didalam membentuk kesimpulan ianya perlu diasaskan kepada narasumber yang asli dan tepat serta berdasarkan kepada ketulusan ilmu.Bukannya sekadar meluahkan pandangan peribadi tanpa asas ilmu.
Lebih lanjut lagi,penulis juga menggambarkan Perlembagaan PKMM pada hakikatnya di sogokkan oleh PKM dengan merujuk kepada tulisan Almarhum Ahmad Boestamam bahawa anggaran rumahtangga (Perlembagaan PKMM) akan diputuskan kemudian.
Penulis juga menyebut bahawa PKMM sebenarnya tidak prihatin terhadap kepentingan Islam dengan menyatakan 'satu hal yang jelas ialah PKMM lebih suka hal ehwal agama Islam dipegang oleh seorang Kristian (kafir) daripada orang Islam sendiri'.Malangnya penulis gagal untuk menjelaskan apa yang beliau maksudkan halehwal agama Islam di pegang oleh orang Kristian mahupun yang lebih penting dari itu hipotesis penulis sekali lagi tidak disandarkan kepada sebarang narasumber yang asli mahupun sebarang nota kaki berkaitan.
Kepada saya pandangan sebegini sebenarnya merupakan penghinaan dan memperkecilkan ketokohan pemimpin-pemimpin Melayu ketika itu.Seolah-olah memberikan gambaran bahawa tokoh seperti Dr.Burhanuddin al-Helmy,Boestamam,Ishak Hj Muhamad dan yang lainnya bukan sekadar tidak punya kreadibiliti malah tidak punya kepekaan/sensitiviti terhadap Islam.Ini merupakan allegasi yang serius yang dibuat tanpa berdasarkan kepada asas yang jelas!
Saya turut melihat pandangan sebegini sebagai sebahagian penerusan propaganda untuk memperlihatkan UMNO satu-satunya wadah politik yang begitu patriotiks,tulin dan berbobot bagi mewakili kepentingan orang Melayu.Manakala parti dan gerakan lain pada period tersebut (dan boleh disimpulkan hingga ke hari ini) selain dari UMNO hanyalah sekadar kuda tunggangan bangsa asing.
Keperibadian perjuangan dan nasionalisme Melayu bukanlah asli tetapi diaturgerakkan oleh elemen lain (didalam konteks ini boleh sahaja dinilai sebagai bangsa asing) dan dari itu membentuk persepsi yang diharapkan dapat meruntuhkan mitos para pemimpin dan parti politik bukan UMNO sebagai pejuang tulin nasionalisme Melayu.Maka yang baik,cantik dan mulus tentunya UMNO (1946) semata-mata.
Saya kira didalam kita menilai sejarah dan memberi bumbuan kepada makna sejarah itu kita perlu bersikap adil.Yang di maksudkan bukan sekadar adil didalam menilai fakta sejarah tetapi yang lebih penting perlu berlaku adil kepada para pelaku sejarah itu sendiri.Tatkala tokoh atau pelaku sejarah seperti Dr.Burhanuddin atau Pak Sako atau Boestamam sudah tiada untuk mempertahankan diri diatas allegasi yang dilihat memperkecilkan kreadibiliti mereka saya kira tidak ada kewajaran untuk menyerang dan mengkritik sedemikian rupa.
1 comment:
bila nak buka akaun facebook ?
Post a Comment