Dari Almarhum Pak Tongkat Warrant kepada Pak Pramoedya Ananta Toer ke Sahmad Malaya ke Rendra hingga Pak Dharma (sekadar menyebut beberapa nama) saya merasakan kehilangan yang mendalam.Kita bukan sekadar menilai dan menyelami bait-bait puisi yang indah itu ataupun lontaran dialog dan cerita yang lahir dari mata batin para beliau ini,tetapi juga sosok mereka sebagai manusia,sebagai pejuang dan sebagai mereka yang membawa suara rakyat.Begitulah.
Tentang Si Burung Merak
Saya membaca dan mengenali karya-karya beliau semenjak di bangku sekolah menengah lagi.Kebetulan orang tua saya mengaji di perguruan Universitas Indonesia,maka banyak buku-buku dan makalah kesusasteraan Indonesia yang ada di di rumah-termasuk tulisan Almarhum Prof.Sutan Takdir dan Bapak Ghazali Dunia-yang saya tekuni.Tentunya sebagai penyair kontemporari nama Rendra tersusun di dalam daftar mata kuliah orang tua saya.Dari situ saya kira saya mula mengenali WS Rendra lewat puisi dan kerja-kerja teater beliau.
Tentunya saya terkesan dengan puisi-puisi Rendra yang mencabar akal dan hati.Saya teringat pernah suatu ketika-mungkin sambutan Hari Guru-saya mendeklamasikan salah satu sajak Rendra,namun saya lupa yang mana satu.
Tentunya saya terkesan dengan puisi-puisi Rendra yang mencabar akal dan hati.Saya teringat pernah suatu ketika-mungkin sambutan Hari Guru-saya mendeklamasikan salah satu sajak Rendra,namun saya lupa yang mana satu.
Sewaktu di UM,pernah juga dengan beberapa teman-teman yang 'sekepala' kami ikut orang basking di Pasar Seni (Central Market);saya baca puisi yang dicipta sendiri dan juga puisi Tongkat Warrant,Rendra,Pak Samad Said,Dino SS,sajak Dr.Nasir Hashim dari antologi (saya lupa judulnya) puisi tatkala di tahan di bawah ISA dan karya penyair lain.Jika tidak khilaf,puisi Rendra yang menjadi bacaan wajib ialah Sajak Pertemuan Mahasiswa.Acara membaca puisi di pinggir jalan kami namakan 'Eksperimen ZigZag'.
Kemudian sewaktu sayembara Debat Antara Universiti ASEAN di UM,teman-teman mahasiswa dari Universitas Gadja Mada dan Universitas Sumatera Utara serta beberapa teman dari Universiti ASEAN lainnya bergabung.Kami,ketika itu tentunya anak-anak muda yang penuh dengan idealisme,di luar dari acara rasmi berdebat,berbincang dan lampas otak-isu besar ialah tentang robohnya Tembok Berlin yang menandai bermulanya pengakhiran Perang Dingin dan berakhirnya Komunisme-selain isu seputar dunia pergerakkan mahasiswa dan anak muda.
Tentunya kami juga ngobrol tentang Pramoedya Ananta Toer tentang Ebiet G Ade tentang Iwan Fals tentang Rendra dan penulis/buku-buku yang lain.(Buku-buku Pramoedya milik saya terpaksa di korbankan untuk jadi ole-ole teman-teman dari Indonesia).Dari teman-teman ini saya lebih 'mengenal' Rendra yang terkenal dengan julukan Si Burung Merak itu.
Kali pertama saya mendengar dan menonton Rendra ialah di Taman Ismail Marzuki (TIM) dan saya jadi begitu kagum dengan performance Almarhum.Kemudian Rendra datang ke Kuala Lumpur atas undangan Sang Rajawali yang ketika sedang mendekam di penjara Sungai Buluh.Saya tidak melepaskan peluang untuk hadir.Antologi puisi beliau yang sudah agak lusuh saya hulurkan untuk di tandatangani oleh penyair berjiwa besar ini.Teman-teman KEADILAN yang lain tentunya memandang dengan iri.
Rendra kepada saya lebih dari seorang penyair atau dramawan;sungguhpun Almarhum begitu prolifiks di dalam menekuni kerja seninya namun tidak kurang juga mengundang kontroversi.Pemerintah Orde Baru suatu ketika melihat Rendra dengan mata penanya yang tajam dan kritis sebagai ulah yang perlu diamankan.Mujurnya Rendra tidak seperti Pak Pram,tidak perlu di 'bisukan' di Pulau Buru.
Pun begitu tidak pula bermakna Almarhum mendapat layanan atau di ladeni dengan permaidani merah oleh pemerintah.Tekanan dan desakan bertali arus di lalui oleh Rendra;sebuah filem yang Rendra turut berperan,Yang Muda Yang Bercinta di haramkan penyiarannya oleh pemerintah OrBa kerana dianggap terlalu keras mengkritiks pemerintah.Kesemua ini dan banyak lagi menunjukkan Almarhum Rendra sememangnya seniman par excellence,yang tiada duanya.
Kepada saya,menelurusi jalur hidup dan karya-karya Rendra,sesungguhnya Almarhum seorang yang jujur didalam berkarya.Seni dan kreativiti anugerah Ilahi kepada seorang Rendra wajar di gunakan untuk membela mereka yang terpinggir,menegakkan keadilan,menganjurkan kebebasan dan memperkasa harkat dan maruah warga.Rendra tidak pernah bersembunyi d di sebalik batu didalam melontarkan kritikan mahupun meluahkan kejengkelan di hati terhadap isu seputar keadilan kepada warga.Kepada Rendra,yang hitam tetap hitam dan tidak mungkin dijadikan putih kerana semata-mata untuk melunakkan hati pemerintah.
Malah Rendra bukannya 'penyair salon' seperti ungkapan puisinya tetapi langsung turun ke medan bersama 'wong cilik',mendepani denyut nadi warga dan sekaligus bertindak dengan mata penanya dan bakat seni yang dianugerahkan Ilahi.Mereka yang prihatin-samaada di Indonesia mahupun di Malaysia-tentunya tidak dapat melupakan seorang Rendra,seniman,penyair dan dramawan turun bersama rakyat di dalam aksi massa menentang pengharaman izin terbit terhadap Tempo dan beberapa penerbitan yang lain.Rendra berani mengambil risiko dan Almarhum sendiri dihentam aparat ketika menyertai aksi massa tersebut.
Hal yang sebeginilah yang membuatkan Rendra menjadi manusia yang istimewa;karya-karyanya yang mengasak akal budi dan mencipta 'rasa' yang perlu di tuntaskan lewat perjuangan.Tantangan yang perlu bukan sekadar diarifi-difikirkan malah menyeru sesungguhnya untuk khalayak pembaca bertindak dan turut sama berpartisipasi bagi menegakkan keadilan dan menentang kebobrokan demi mencipta dunia yang lebih baik.Dan Rendra begitu konsistens berpegang kepada prinsip hidupnya itu.
Karya Almarhum bukan sekadar relevansinya untuk Indonesia malah saya kira melampaui tapal-batas kerana bukankah perjuangan menegakkan keadilan keadilan dan menentang kebobrokan itu sejagat sifatnya?Kerana itulah karya-karya Rendra menjadi dorongan,teladan dan tantangan kepada merka yang bisa berfikir dengan mata hati (dan bukan buat mereka yang punya ruang kosong diantara kedua telinga kiri dan kanan);teman saya aktivis reformasi dan pimpinan KEADILAN,Che Gu Bard menjadikan rangkap puisi Rendra 'perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata' sebagai battle cry beliau yang melonjakkan semangat untuk berjuang.
Dan hari ini,WS Rendra,Si Burung Merak telah terbang tinggi meninggalkan kita.Tidak mungkin saya melupakan tarikh 6 Augustus 2009 yang pilu itu kerana pada tarikh yang sama setahun yang lalu bonda mertua saya turut di jemput al-Khalik.Semoga damai di perbaringan itu,selamat jalan ku ucapkan kepadamu.Yang pergi hanya roh dan jasadmu namun gema suara dan lontaran puisimu,aku yakin,akan tetap segar didalam lipatan ingatan kami.Semoga Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang mencucuri rahmat keatas rohmu,amin.Al-Fatihah.
Tentang Pak Dharmala NS
Sukar untuk berbicara atau mahu bergebang dengan Almarhum Pak Dharma.Almarhum terlalu pendiam,begitu ekonomikal dengan kata-kata,ditanya sepatah maka akan dijawab dengan sepatah jua.Pendiam dan tidak banyak cakap ini sudah menjadi resam Pak Dharma.
Sukar untuk berbicara atau mahu bergebang dengan Almarhum Pak Dharma.Almarhum terlalu pendiam,begitu ekonomikal dengan kata-kata,ditanya sepatah maka akan dijawab dengan sepatah jua.Pendiam dan tidak banyak cakap ini sudah menjadi resam Pak Dharma.
Begitulah ujar Sdr.L ManKadir Samsi tatkala saya komplen begitu sukar untuk bercakap dengan Almarhum."Perangai Dharmala memang macam gitu,jangan ambil hati,"kata ManKadir.Namun didalam diam,Pak Dharma seorang pengamat yang jitu-maksud saya,Almarhum akan mengamati persekitaran dan jika di majlis baca puisi akan memberikan perhatian kepada apa yang berlaku.Tiada yang terlepas dari pengamatannya.
Pun begitu-didalam keadaan seolah-olah ada communication breakdown-saya berasa begitu di hormati dan diraikan oleh Pak Dharma.Almarhum sasterawan veteran dan penulis tersohor namun cukup merendah diri meladeni saya dan teman-teman yang masih hijau.
Sesuatu yang menarik,jika berada bersama Pak Dharma ,beliau memang pendiam,namun lewat sms dan e-mel,Almarhum menjadi begitu ramah.Saya kira,saya lebih banyak 'berbual' dengan Almarhum melalui sms berbanding bila bersua dengan Almarhum.
Kadang-kadang didalam satu hari,bertubi-tubi sms dari dan kepada Almarhum.Ada sahaja yang di tulis selain,saya kira Pak Dharma juga suka provokasi saya.Ada sahaja pandangan dan kritikan beliau terhadap apa yang berlaku-baik seputar dunia politik,sastera,bahasa,budaya mahupun yang menyangkuti kehidupan sehari-hari-yang tidak terlepas dari pengamatannya.
Pernah juga saya hantar jokes yang jorok,maksudnya yang berbau 18sx melalui sms dan Almarhum sekadar membalas dengan "heh heh heh".Begitulah Almarhum melayani 'kenakalan' dunia tanpa sempadan.
Saya menyebut Pak Dharma seorang pengamat yang jitu,saya paparkan sms Almarhum bertarikh 30.7.2009 @ 8.59pm:
"Hadiah reality showTV ialah kereta RM100 ribu (skrg 105 Astro),musabaqah Quran RM10 ribu aje.Nyanyi 1 lagu dpt RM400,ceramah atau dialog 1 jamdpt RM300.Apa ni?"
Saya tidak sempat memberikan respond kepada sms itu dek kerana kesibukkan,tetapi itulah pengamatan Pak Dharma tentang apa yang berlaku disekelilingnya.Almarhum melihat dengan mata batinnya yang dalam dan sentuhan seni dari dalam diri memberikan kesempatan kepada Almarhum untuk menilai dengan kritis.
Tatkala Almarhum mengetahui yang bapa saya di IJN,Almarhum mengambil inisiatif memaparkannya di dalam blog beliau,PRIMA.Tentunya saya dan keluarga menjadi begitu terharu diatas keprihatinan Almarhum.
Dalam beberapa kesempatan,lewat e-mel dan sms dan sekali-dua melalui panggilan telefon kami berbincang untuk menyelenggarakan acara bagi mengenang 100 tahun Pak Sako di tahun ini juga.Melalui e-mel Almarhum sekitar bulan Jun tahun ini,Almarhum mencadangkan agar di anjurkan acara baca puisi dalam bulan Julai atau Ogos sebelum ramadhan.
Kami berbincang dan saya menyatakan perancangan untuk mengadakan acara satu hari suntuk-di sebelah pagi dimulai dengan pengkisahan kisah hidup Pak Sako oleh beberapa nama dan sebelah malam setelah majlis tahlil,diadakan acara baca puisi-dan Pak Dharma sangat bersetuju dengan aturcara tersebut.
Cuma hambatan yang dihadapi ialah tempat.Pak Dharma mencadangkan rumah saya,Lanai Lestari,sementara saya tidak ada halangan,saya maklumkan untuk acara pengkisahan rumah saya tidak sesuai kerana di pinggir bandar Temerloh yang menyukarkan orang ramai khususnya pelajar sekolah untuk hadir.
Manakala untuk mendapatkan Dewan Tun Razak pula,biayanya terlalu mahal;saya maklumkan perbincangan saya dengan pihak Majlis Perbandaran Temerloh yang mengenakan bayaran RM650 untuk jam pertama dan RM250 untuk jam berikutnya.Pak Dharma mengeluh kerana acara mengenang tokoh besar perjuangan bangsa pun perlu membayar mahal.
Kami juga berbincang untuk menerbitkan buku sempena 100 Tahun Pak Sako.Saya merujuk Almarhum kepada buku KH Agus Salim yang diterbitkan oleh Departemen Pendidikan Indonesia sebagai contoh.Almarhum cukup bersetuju dengan saranan tersebut cuma detailnya akan kami bincangkan terperinci di kemudian hari.Ya,kita merancang tetapi perancangan Allah tiada siapa yang tahu.Tuhan lebih menyayangi Pak Dharmala...
Dan hari ini,Dharmala NS atau nama sebenarnya Abdul Muluk Daud telah pergi buat selama-lamanya.Dharmala NS seorang bapa yang pengasih,seorang sasterawan,seorang budayawan,seorang ahli politik (Almarhum pernah mengutuskan sms betapa kelihatannya Almarhum disepikan dari arus politik sedangkan sewaktu awal era Reformasi Almarhum antara tulang belakang GERAK [bukan GERAK dibawah Ezam Mohd Nor] bagi memperjuangkan pembebasanAnwar Ibrahim.Waktu itu beliau aktif di dalam DAP) dan kepada saya Almarhum seorang guru dan teman sekali gus.
Dengan pilu diutuskan doa agar segala amalan soleh Almarhum diterima olehNYA dan di tempatkan roh Almarhum di kalangan orang yang beriman.Selamat jalan bapa,selamat jalan guruku.Alfatihah
post scriptum:Anak perempuan Almarhum adalah senior saya di Kolej Kediaman Za'aba (7th RC),UM;tapi dengan beribu maaf saya tidak dapat mengingati namanya.Jika beliau atau mana-mana waris Almarhum membaca entri ini saya amat berbesar hati agar dapt berhubung lewat blog ini untuk memanjangkan ikatan silaturrahim.
TERIMA KASIH,BAPAK
TERIMA KASIH,BAPAK
Telah kau berikan
segala yang terbaik dari anugerahNYA
buat memahat
keberadaan insan di tanah bertuah ini.
Telah kau serahkan
seluruh kekuatan lahiriah dan batiniah
dari rasa hati yang paling seni
dari tautan hati-perasaan-jiwa
dari rasa insaf akan betapa
fananya dunia dan manusia.
Telah kau perbuat
yang terbaik dari seluruh kekuatan
jiwa dan ragamu
untuk menganugerahkan pula
yang terbaik buat wargamu
dengan mata penamu
yang lahir dari hati yang paling suci
telah kau sihirkan
mata hati dan nuraniku
bahawa hidup ini sesungguhnya
suatu pengabdian tanpa noktah.
Terimakasih bapak
untuk lirikan mata penamu
yang membungkam keangkuhan
yang mencernakan harapan
bahawa ada yang perlu di perjuangkan,terus
bahawa hidup adalah tuntutan
bagi melawan segala tantangan
betapa sengit
namun begitulah fikrah
yang didambakan dari dalam
setiap diri yang memahami.
Terima kasih bapak
kerana telah memetakan
jalan setapak yang penuh duri ini.
Terima kasih bapak
dan selamat jalan
ku ucapkan buatmu.
1 comment:
terharu dan terima kasih kerana mengingati perjuangan Pak Dharma.Walaupun Pak Dharma telah pergi menghadap Ilahi, namun perjuangannya masih diteruskan.InsyaAllah PRIMA akan terus bertahan selagi hayat dikandung badan.
Post a Comment