Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Wednesday, August 26, 2009

Berita Dari Malaysiakini:Kartika enggan rayu hukuman sebat


Kartika enggan rayu hukuman sebat
Ogos 26, 09 10:49am
Kartika Sari Dewi Shukarno tetap dengan keputusannya tidak mahu mengemukakan rayuan dan nekad menunggu pelaksanaan hukuman sebat kerana meminum arak dijalankan terhadap dirinya menjelang Aidilfitri ini.

Kartika Sari Dewi, 32, berkata beliau akan menunggu keputusan secara hitam putih daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) berhubung kedudukannya berikutan penangguhan hukuman itu bagi menghormati bulan Ramadan."Mereka (JAIP) kata selepas Ramadan, takkan saya mengatasi tindakan mereka. Biar JAIP mengeluarkan dan membuat keputusan hitam putih. Saya tetap macam ini, dengan keputusan saya dan tunggu keputusan JAIP. Ini keputusan saya."Saya beri masa kepada JAIP (untuk melaksanakan hukuman sebat), selepas Ramadan ini kita lihat macam mana," katanya ibu kepada dua anak kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Sungai Siput, Perak semalam.

Kartika Sari Dewi dan anggota keluarganya bertemu dengan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria di pejabat Mufti semalam bagi mendapat nasihat dan pandangan berhubung kes dan kejadian yang berlaku.

Beliau berkata Harussani menasihatinya supaya bertenang dan bersabar menunggu penyelesaian terbaik berhubung kes berkenaan."Mufti kemudian menelefon ketua hakim syariah di Perak supaya menghubungi (ketua hakim syariah) Pahang untuk berbincang bagaimana menyelesaikan masalah saya ini."...saya dapat luahkan kepada Mufti, dan memang saya menangis di hadapannya apabila beliau bertanya kenapa saya tidak mahu merayu (sebelum dijatuhkan hukuman)... beliau memang memahami saya...saya jelaskan semua kepada Mufti," katanya.

Mengenai nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengemukakan rayuan, Kartika Sari Dewi berkata beliau amat menghormati pandangan itu."Saya menghormati pandangan Datuk Seri Najib atas keprihatinan beliau tetapi saya tetap dan nekad dengan keputusan saya (menjalani hukuman sebat)," katanya.

Kartika Sari Dewi berkata sebelum hukuman dijatuhkan oleh mahkamah, dia telah menyesal dan insaf serta berpendirian muktamad tidak mahu membuat rayuan."Sebelum meminta nasihat daripada Mufti iaitu ketika saya buat keputusan saya rela disebat, saya jumpa ulama dan mereka kata saya telah membuat keputusan yang waras dan ada tempatnya," katanya.

Ketika ditanya mengenai beberapa pandangan NGO yang tidak bersetuju dengan hukuman sebat oleh mahkamah dan memintanya mengemukakan rayuan, wanita itu berkata keputusan untuk menjalani hukuman sebat itu tidak akan berubah.

Kartika Sari Dewi berkata beliau percaya kepada agama Islam kerana Islam itu lembut dan JAIP tahu apa yang dilakukan adalah mengikut panduan dan hukum Islam.

Kelmarin, penangguhan hukuman sebat terhadap Kartika Sari Dewi dikeluarkan di Kuantan, Pahang oleh Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Abdul Rahman Yunus bagi menghormati bulan Ramadan.Kartika Sari Dewi dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lepas selepas mengaku salah meminum arak sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Pada 18 Ogos, Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus, memerintahkan beliau ditahan berkuat kuasa semalam bagi tempoh tujuh hari untuk melaksanakan hukuman sebatan itu. Kartika Sari Dewi adalah wanita pertama yang akan disebat akibat kesalahan meminum arak di negara ini.

2 comments:

Amir Razain said...

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."
Surah Al-Hujurat 49:6

Ditujukan kpd anda yang mengambil sumber berita/cerita dari Malaysiakini
_______________________
View Profile: Rantong™

Al-Yasar said...

Salam,

Sebenarnya JAIP pun tidak mengikut hukum Islam, kerana kalau mengikut hukum Islam Kartika perlu disebat 40 atau 80 kali.

Tapi kerana negara kita bukan negara Islam dan yang terpakai sekarang pun bukan hukum syariat (khasnya hudud), maka hukuman sebat itu patut dibatalkan saja.

Kita tunggulah bila hukum Islam dilaksanakan lebih dulu (kalau kita ada keupayaan untuk melaksanakannya), barulah hukum sebat itu dijalankan.

Ini mungkin lebih bijaksana.