Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Sunday, July 26, 2009

Kelangsungan Aura Al-Marhum Jadikan Teladan



A L - H A D H A R A H
Alhamdulillah, syukur kita ke hadhrat Allah swt yang melimpahkan rahmatNya kepada sekelian makhluk. Selawat dan salam penuh kasih sayang kepada Junjungan kami Muhammad saw beserta semua kaum keluarga dan para sahabat yang dimuliakan hendaknya.
Bertemu kembali untuk meneruskan perjuangan ummah seperti yang telah ditinggalkan oleh pemimpin ulung ummat Islam dekad ini al-Marhum Dato` Fadhil Mohd Noor khususnya di bumi bertuah Malaysia.
` …sebagai pemikir ummat ketajaman pemikiran beliau dalam memahami masalah dan persoalan ummat Islam dan manusia sejagat, menjadikan al-Marhum mampu memberikan jawapan serta pandangan yang cukup bernas lagi relevan melalui istinbat dan ijtihad jama`e berdasarkan al-Quran al-Karim dan al-Hadith an-Nabawi. Buah fikiran beliau sering menyamai pandangan pemimpin gerakan Islam antarabangsa.`
` Kehadiran dan pandangan beliau sentiasa dinanti, terutama apabila timbul isu-isu baru. Kebiasaannya pandangan al-Marhum menjadi kata pemutus dan penutup dalam sesuatu perbincangan.` Allahyarham Ustaz Mohd Shauki Ibrahim Kata Aluan Buku Masyarakat Madani.
Begitulah yang terjadi di Mesyuarat AJK PAS Pusat dalam kes Muhammad Sabu dituduh khalwat. Semuanya teruja menanti pandangan dan hujahan Tuan Presiden; ` Sekaliannya senyap. Biasanya Ustaz Fadhil memetik satu atau dua hujah yang ditimbulkan. Beliau akan menjawab hujah itu. “Ada kata tadi Rasulullah tidak ambil apa-apa tindakan disiplin kepada Aisyah. Siapa kata? Siapa kata Rasulullah tidak ambil tindakan disiplin kepada Aisyah.” Suaranya keras sikit. Tiada responsif dari yang lain. “Tu, yang Baginda tidak bercakap sebulan dengan Aisyah, bukan disiplin? Tindakan disiplinlah tu!”
Habis sekaliannya terdiam. Pandangannya sama seperti Ustaz Harun, tetapi seni Ustaz Fadhil menyampaikan hujah itu berlainan dan mantiknya kukuh..` Buku Fadhil Noor dia guru…dia kawan.
`Keazamannya yang tinggi dan pergantungan yang kukuh kepada Allah Azzawa Jalla di dalam membuat sesuatu keputusan dan tindakan menghindarkan beliau dari kecewa dan berputus asa, malah al-Marhum sentiasa beristiqamah dalam perjuangannya.` Kata Aluan Buku Masyarakat Madani.
Ustaz Fadhil seorang yang setiakawan dan sentiasa berusaha menyelamatkan kawan baiknya dari terjerumus ke lembah hina dengan segala usaha dan upaya beliau sehinggalah Allah swt sendiri yang menentukan berjaya atau sebaliknya. Sebenarnya inilah latar belakang yang kebanyakan orang di sekeliling al-Marhum payah nak faham atau sengaja buat-buat tak faham mengenai hubungan beliau dengan Anwar Ibrahim.
Berlainan bahtera pasukan, bertempur tetapi kadangkala bertemu dan berpelukan. Hubungan rapat antara kedua insan ini sejak bersama dalam memimpin ABIM sehingga ke akhir hayat al-Marhum perlu dilihat dengan penuh jalinan ukhuwah serta prinsip Islam terutamanya dari konteks peribadi al-Marhum sendiri.
Sebagai contoh seperti yang diceritakan oleh Hj Subky dalam Fadhil Noor dia guru..dia kawan. Menjelang pilihanraya 1982 khabar maklumat bertiup kencang Anwar akan menyertai UMNO untuk bertanding pilihanraya. Sedangkan Ustaz Fadhil juga mengetahui bahawa pimpinan tertinggi ABIM telah membuat pertemuan dan berbincang hal berkaitan di Genting Highland. Keputusannya negatif bagi Anwar.
Pihak Anwar sendiri seperti mengelak untuk mendapatkan pandangan Ustaz Fadhil, sahabat karib yang pernah bersama dalam satu wadah. Dalam kesibukan al-Marhum memimpin PAS, beliau cuba juga mencari ruang untuk bertemu dengan Anwar. `Kerana gunung tidak datang kepada Muhammad, maka Muhammad pergi kepada gunung.
Ustaz Fadhil dari Alor Setar turun ke Kuala Lumpur dan bermalam di rumah Anwar. Ustaz Fadhil bertanyakan apakah benar berita yang bertiup kencang betapa dia hendak masuk UMNO dan bertanding? Anwar tidak dapat mengelak lagi dan menjawab, “Ya.” Keduanya berbincang panjang semalaman, mempersoal akan logik apa Anwar menyertai UMNO.
Ustaz Fadhil cuba memujuk untuk menghalangnya. Tiada justifikasi yang dapat diberikan. Semua hujah memihak kepada Ustaz Fadhil. Pagi sebelum pulang, Anwar menghantar Ustaz Fadhil ke perhentian bas ke Alor Setar. Al-Marhum merayu lagi supaya jangan menyertai UMNO terutama menjelang pilihanraya. Jika nak masuk jugak masuklah lepas pilihanraya! Tolonglah!! Tolonglah!! “Ana budak degil, jawab Anwar,” kata Ustaz Fadhil itulah ayatnya yang terakhir kepada beliau sebelum menyertai UMNO.` Petikan Fadhil Noor dia guru…dia kawan.
Dua kelasi yang pernah bersahabat baik, berpisah lagi… kali ini jurangnya semakin melebar dan sengit. Anwar dapat apa yang dihajatinya mungkin.. kehidupannya bergemerlapan, namun Si Sahabat setia tetap dengan prinsipnya mengharungi badai samudera perjuangan Islam dan ummahnya. Namun di hati kecil seorang mujahid yang setiakawan sentiasa berdoa supaya sahabatnya itu diketemukan jalan pulang…
Hari-hari berlalu.. mereka semakin menjauh namun hati Sang Setia sentiasa merindui ukhuwah sejati. Takdir Maha Kuasa, Anwar dirundung malang sekali lagi setelah malang kali pertama memilih UMNO(tapi bagi Anwar tidak). Dia ditendang keluar oleh mentornya sendiri Dr. Mahathir Muhammad bagaikan anjing kurap…
Di kala Anwar sekeluarga bersedih pilu…Ustaz Fadhil sekali lagi muncul sebagai seorang yang pernah bersahabat dan yang terlebih penting sebagai pemimpin ummah.Menurut Hj Subky Latif; `Ustaz Fadhil jauh darinya (Anwar) di hari-hari gembiranya, tetapi ada di sisinya di hari-hari dukanya.
Itulah kawan sejati, tidak bersama di hari senang tetapi bersama susah.`Harapan tinggi al-Marhum sebenarnya supaya Si Sahabat cepat sedar dan kembali kepada perjuangan Islam yang sejati seperti zaman mereka muda belia dahulu memimpin ABIM. Sebagai seorang pemimpin ummah yang berjiwa besar dan menjaga akhlaknya sendiri supaya tidak mengguriskan lagi hati sahabat yang sedang gundah gulana.
Apatah lagi dengan perwatakan beliau yang selalu melayani anak-anak buahnya dengan sikap seorang ayah yang kurang bercakap dan tidak menjawab semua soalan anak-anak. Beliau lebih cenderung membiarkan Si Sahabat, rakan-rakan dan anak-anak buahnya akan faham sendiri dengan aqal sihat yang di beri Allah swt suatu hari nanti. Beliau tidak melafazkan bahawa inilah kifarat terhadap yang empunya diri, tidak menghiraukan nasihat dan prinsip haraki.
Al-Marhum bertindak bijaksana apabila beliau berkunjung ke rumah Anwar pada tahun 1982 untuk menasihati Anwar, malah al-Marhum menyerlahkan lagi kebijaksanaan kepimpinannya apabila turut menziarahi Anwar dikediamannya pada tahun 1998. Hasrat yang tinggi menggunung untuk membimbing dan memimpin seorang individu ummah tidak mampu diusahakan dengan sebaiknya kerana tanggungjawab al-Marhum bukan terhadap sahabat beliau seorang.
Lebih-lebih lagi tahap kesihatan beliau sendiri mulai uzur dan selepas itu Si Sahabat tadi pula merengkok di penjara menyukarkan lagi hubungan akan kembali intim seperti zaman muda. Dalam keuzuran dan berjauhan beliau masih setia malah sayang serta kasih terhadap nilai-nilai persahabatan sejati, sanggup membimbing tangan-tangan mereka yang `lemah` ke jalan kebenaran, al-Marhum di depan, beliau yang menunjukkan jalan dan arah perjuangan.
Ummah menyayangi, tetapi Allah swt lebih mengasihi dari segala yang mengasihi, al-Marhum dijemput kembali ke rahmatullah pada ketika UMNO dalam berparti pemimpinnya berhenti dengan sendiri. Pemimpin ummah masih tiada pengganti, ummah tengah tercari-cari bakal pengganti.
Pemimpin PAS, Hj Hadi lah yang sepatutnya menjadi jurumudi, tetapi yang veteran pula tak pandai mencontohi al-Marhum Yusuf ar-Rawi, jawatan dibuat macam hakmilik sendiri. Mampukah Hj Hadi menggalas tugas-tugas yang diberi dengan teliti, terutama berhadapan dengan pelbagai situasi, provokasi malah tribulasi dari musuh dan rakan-rakan sendiri?
Al-Marhum dari segi fizikalnya bertubuh lemah tetapi terbukti cekal hati dan berprinsip dari semua segi. Semua yang kuat-kuat, profesional malah yang `degil` terpaksa akur bila al-Marhum `sudi`. Hj Hadi bertubuh sasa, suka berkuda malah ramai pengikut setia tetapi tempoh 7 tahun berlalu macam tak percaya.. dia diletakkan dalam raga untuk orang lain heret dengan kereta kuda. Orang utara kata, kalau lagu ni.. cacamerba! Kalau ummah tak sedar juga alamat bahaya bakal menimpa. Nauzubillah! Dari -Ibnu Ramadhan. ``qulil haq walau kana murron``-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-




*Di petik dari http://kedahlanie.blogspot.com/

Catatan Pinggir

Saya secara peribadi begitu mengkagumi Almarhum.Kepada saya Almarhum bukan sekadar pemimpin PAS tetapi juga pemimpin Ummah dan Negara.Lihat sahaja beberapa pendekatan politik yang diambil beliau sewaktu memimpin PAS terutamanya dalam kerangka politik non-perkauman;bagaimana beliau,sebagai pemimpin gerakan Islam menyantuni mereka yang bukan-Melayu serta parti-parti politik yang lain menunjukkan Almarhum seorang pemimpin yang berpandangan jauh malah memahami strata politik tanahair yang rencam.
Dan saya ada menulis mengenai Almarhum di bawah tajuk:DUA TAHUN DIDALAM REFORMASI;Suatu Catatan Peribadi.

No comments: