Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Wednesday, July 29, 2009

Kearah Pemerintahan Yang Amanah Dan Telus Pakatan Rakyat:Keperluan Untuk Menubuhkan Institusi Hisbah/Ombudsman


'Every knock to the official door should be a reminder ring in order that none of us forgets that human rights are the rights belonging to every human being, regardless the age, sex, race, religion, the financial position or the occupation' - Albania Head of Ombudsman, Emir Dobjani
Baru-baru ini YAB Menteri Besar Selangor telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Selangor telah mengarahkan suatu audit dalaman di lakukan berhubung dengan perbelanjaan wang peruntukkan kepada ADUN Pakatan Rakyat (PR).Tindakan ini dibuat berikutan dengan isu yang timbul kononnya ada yang tidak beres di dalam pengurusan wang peruntukkan RM50000.00 yang diperuntukkan kepada ADUN bagi membantu rakyat.

Isu ini yang dilihat sengaja diada-adakan oleh pembangkang di Selangor bertujuan untuk menimbulkan kontroversi dan selanjutnya bermatlamat untuk melemahkan kerajaan PR di Selangor.Malah kelihatannya dengan campurtangan SPRM isu ini dilihat telah 'blown out of proportion' sebagaimana yang digembargemburkan sedemikian rupa oleh media milik UMNO/BN.


Sementara kita mengalu-alukan langkah kerajaan Selangor untuk membuat introspeksi melalui audit dalaman,namun pada masa yang sama kita melihat upaya ini hanya bersifat berkala dan tidak konsisten.Ertinya apabila timbul isu seperti hari ini,maka barulah audit dalaman di lakukan.

Saya percaya tatkala kita memperjuangkan politik baru vis-a-vis pentadbiran yang telus dan adil,suatu upaya yang berterusan dan berkesinambungan wajar dilaksanakan bukan sahaja untuk memantau pentadbiran kerajaan PR malah untuk memastikan segala elemen yang tidak sihat seperti amalan UMNO/BN selama ini di hapuskan.Rasuah,kronisme,ketirisan malah ketidakcekapan di dalam pengurusan dan pentadbiran perlu diberikan keutamaan nombor wahid untuk di kesampingkan.


Untuk itu perlu di ujudkan suatu mekanisme khas yang dapat berperanan bukan sahaja memantau pentadbiran negeri malah mempunyai wewenang untuk mempastikan pentadbiran dijalankan dengan adil,saksama,cekap,telus dan jauh dari rasuah.Dan mekanisme ini harus di intitusikan sebagai sebahagian daripada jentera kerajaan itu sendiri yang bersifat neutral dan mempunyai kuasa-kuasa perlu.

Mekanisme atau institusi yang dimaksudkan ini ialah institusi Hisbah atau Ombusman.Di beberapa buah negara Ombudsman menjadi sebahagian dari mekanisme pentadbiran yang efektif yang memainkan peranan sebagai 'watch dog' kepada kerajaan.


Manakala di Malaysia,institusi Ombudsman secara formal nampaknya belum di jadikan budaya di dalam pentadbiran terkecuali inisiatif yang di ambil oleh Kerajaan PAS (Kerajaan Barisan Alternatif?) Trengganu sewaktu memerintah negeri itu selepas Pilihan Raya Umum 1999.

Kerajaan Trengganu di bawah pemerintahan Tuan Guru Hj Hadi Awang pada waktu itu memperkenalkan atau menubuhkan Hisbah sebagai sebahagian dari upaya untuk mempastikan kecekapan serta sebagai sarana melawan rasuah.
Jawatankuasa Hisbah Trengganu ketika itu di terajui oleh Allahyarham Tuan Haji Idris Othman,yang sebelum itu pernah menjawat jawatan Hakim Kanan Mahkamah Sesyen dan juga pernah menjadi Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Kelantan.


Sungguhpun demikian keberkesanan mahupun ruanglingkup bidangkuasa dan terma rujukan Jawatankuasa Hisbah Trengganu ketika itu kabur;sepanjang yang di ketahui Jawatankuasa tersebut kelihatannya gagal berfungsi terutama setelah kembalinya Allahyarham Tuan Haji Idris Othman ke rahmatullah sewaktu PRK Lunas sedang berlangsung.

Keadaan ini amat disayangi dilihat dari inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Trengganu ketika itu dan saya kira jika diimplementasikan dengan bersungguh-sungguh di laksanakan nescaya akan dapat memberikan teladan yang cukup baik kepada pemerintahan dan pentadbiran serta dapat memberikan gambaran bahawa sesungguhnya kita tegas untuk memisahkan diri dari citra pentadbiran dan pemerintahan UMNO/BN yang korup itu.


Berdasarkan kepada iklim politik hari ini keperluan untuk menglembagakan intitusi Hisbah ini merupakan suatu keperluan yang amat penting.Malah para ulamak dan cerdik pandai Islam telah menganjurkan Hisbah sebagai wahana yang penting di dalam pentadbiran serta keperluan nombor wahid untuk bagi mempastikan kebajikan rakyat tanpa mengira agama di pertahankan oleh Daulah atau kerajaan.

Al-Imam Abu Hamid Al-Ghazali (Imam Al-Ghazali) di dalam kitabnya yang terkenal Ihya' Ulli Muddin membahaskan keperluan menubuhkan Hisbah dengan kuasa-kuasa tertentu untuk melahirkan pentadbiran yang cekap dan amanah.Intitusi Hisbah ini,menurut Imam Al-Ghazali hendaklah diketuai oleh seorang yang alim dan berilmu (faqih) disamping benar-benar berani menegakkan keadilan.Ketua bagi Hisbah di panggil Al-Muhtasib.


Sebenarnya institusi Hisbah ini bukanlah sesuatu yang asing di dalam sejarah pemerintahan Islam.Malah institusi ini sudah di perkenalkan seawal pemerintahan Khalifah Umar r.a;sesetengah sejarawan Islam menyebut Khalifah Umar r.a merupakan pemimpin Islam pertama yang mengasaskan institusi Hisbah ini.Manakala di zaman pemerintahan Bani Abbasiyyah Hisbah telah di institusikan sebagai sebahagian daripada cabang penting di dalam pemerintahan.

Bagaimana pula dengan bidangkuasa Hisbah atau Al-Muhtasib?Menurut Imam Al-Ghazali,Al-Muhtasib mempunyai wewenang bukan sahaja segala aspek yang berhubung dengan rakyat atau manusia,malah mencakupi juga dengan ternakan (haiwan) dan alam sekitar.Asas kepada kuasa Al-Muhtasib ini ialah seruan untuk menegakkan amar makruf dan menghalang perbuatan munkar.


Ertinya di lihat dari 'terms of reference' Al-Muhtasib ini,ianya mencakupi kesemua aspek kehidupan yang bukan sahaja berputar sekitar manusia malah menyantuni ternakan dan persekitaran selain mempastikan kebajikan dan keadilan terhadap rakyat serta negara dapat di pertahankan.Falsafah di sebalik Hisbah ini tentunya sebagai pemantau kepada pemerintah agar tidak tergelincir dari landasan disamping mempertahankan hak warga dan yang lebih utama untuk membina 'negara yang baik dan mendapat keredaan dari Allah.'

Manakala sarjana Islam kontemporari seperti Dr.M.Akram Khan dan Dr.Mukhtar Holland yang meneliti tulisan Ibn Taymiyya' dan Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa tugas dan fungsi Hisbah ini boleh di lihat dari dua aspek:
i.mentadbirurus ekonomi Islam dengan baik;dan
ii.membina pemerintahan yang adil.


Falsafah dan modus operandi Hisbah ini kemudiannya turut dijadikan ciri penting pentadbiran moden.Di Negara-negara Barat ianya di kenali sebagai Ombudsman.Di kebanyakkan negara seperti United Kingdom,Australia,Albania,Pakistan dan beberapa negara lain Ombudsman telah di jadikan institusi penting kerajaan untuk mengujudkan 'check and balance' dan ketelusan.

Negara Taiwan umpamanya mengujudkan institusi yang di kenali sebagai Control Yuan;Control Yuan dianggap sebagai cabang khas kerajaan di bawah prinsip perlembagaan Taiwan-Three Principles Of The People.


Pendekatan sebegini-yang dianjur serta dilaksanakan oleh pemerintahan Islam yang mentadbir empayar dan Ombudsman oleh negara-negara hari ini-kesemuanya bertujuan untuk mengujudkan pemerintahan dan pentadbiran yang baik yang sekali gus untuk mengekang korupsi dan amalan lain yang merugikan warga dan negara.

Atas asas ini,saya kira,sudah sampai saat dan ketikanya bagi pimpinan PR, khususnya yang mengemudi negeri-negeri di terajui oleh PR untuk melaksanakan atau melembagakan Hisbah atau Ombudsman ini sebagai sebahagian dari cabang alat negara.Dengan pendekatan professional dan 'independent' saya menaruh keyakinan besar institusi Hisbah atau Ombudsman ini dapat berperanan untuk mengekang korupsi,melahirkan pentadbiran yang telus dan berhemat dan tentunya akan dapat memberikan manfaat yang besar kepada rakyat.


Saya secara peribadi berpandangan bahawa perang melawan rasuah wajar di jadikan upaya penting dan tanggungjawab utama pemerintah;malah pada hemat saya juga,ketiadaan institusi Hisbah atau Ombudsman ini antara penyebab utama korupsi membarah di dalam masyarakat.Akan tetapi perkara yang paling penting ialah 'political will' dari pimpinan dan kemampuan untuk melembagakan Hisbah atau Ombudsman ini yang tidak dicemari tangan-tangan politik dan benar-benar bebas yang amat sangat di perlukan.Jika tidak,ianya tidak akan memberikan sebarang makna.

Tuntutan politik hari ini memerlukan polisi atau dasar yang benar-benar dapat memberikan manfaat kepada rakyat.Politik retoriks atau dasar yang hanya berbentuk retorika semata-mata tidak akan dapat mengaburi mata rakyat yang semakin bersifat kritikal.

Kerana itulah saya melihat indeks KPI (key performance indicator) mahupun laungan melawan rasuah yang keluar dari mulut Perdana Menteri tidak lebih bersifat retoriks semata-mata;bagaimana untuk menentukan KPI jika tidak ada suatu badan yang benar-benar bebas memantau dan menentukan?Adalah menjadi lelucon jika yang menentukan indeks tersebut terhadap menteri kabinet atau Menteri Besar atau Ahli Parlimen/ADUN BN ialah Perdana Menteri sendiri!Sampai bila pun budaya feudal dan mengampu akan tetap,malah kian subur.

Demikian itu,sementara kita perlu memperkasakan iltizam untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat,upaya dan inisiatif berterusan harus di lakukan disamping tidak terkepung di dalam budaya lama politik mahupun pentadbiran yang bobrok sekian lama di warisi dari UMNO/BN.Bagi mencapai maksud tersebut dan bagi melaksanakan amanah kepada rakyat,sudah sampai ketikanya institusi Hisbah/Ombudsman ini di lembagakan di negeri-negeri yang di pimpin oleh PR.Rakyat di luar sana yang akan menghakimi.

No comments: