Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Sunday, June 28, 2009

Dari Blog Pak Dharmala NS


Pada Hari Selasa (23/6/2009) minggu kelmarin,sementara menunggu kawan dari Majlis Perbandaran Temerloh mengambil saya dan isteri untuk ke Kuala Lumpur bagi mengambil beberapa barangan peninggalan Allahyarham Sudirman Hj Arshad di rumah Abang Ipar (tujuannya untuk dipaparkan di Galeri Tokoh Temerloh),saya menonton TV rangkaian ASTRO 502.


Ada dokumentari menarik didalam Bahasa Inggeris (program tersebut mungkin bukan untuk santapan rakyat Malaysia sebab itu dibuat di dalam Bahasa Inggeris) tentang Kemerdekaan Tanahair.


Dipaparkan visual asal yang telah 'diwarnakan' tentang Majlis Peristiharan Kemerdekaan pada 31.8.1957 di Stadium Merdeka.Saya melihat dari dokumentari tersebut beberapa hal yang saya kira sangat janggal dan merungsingkan.


Berikutnya,seperti biasa saya akan menghantar sms pandangan dan kritikan saya kepada beberapa orang teman termasuk,sudah tentu,sasterawan tersohor Pak Dharmala NS.


Pak Dharmala memasukkan komen saya lewat sms di dalam blog beliau dan telah mengundang komen dari pengunjung lainnya,YTH Sdr.Shamshul Anuar.Berikut dipaparkan komen-komen berkenaan.



SUARA DARI SEMANTAN
Apalah jiwa & roh merdeka:Semacam lambang 'kowtow' saja.

Saya menonton Astro 502, dokumentasi perisytiharan merdeka oleh Tunku. Rupa-rupanya perisytiharan dibacakan dalam BI! Sudahlah bendera mirip Amerika, lagu Negaraku dari keroncong 'Terang Bulan', apalah jiwa & rohnya?

Mungkin ini yang kita warisi sampai kini. Kenapa tidak bendera 'Merah Putih'? Singapura pun tahu guna 'merah putih'. Tunku semasa menerima dokumen perlembagaan dari Sir Donald Mac Gillavary, menundukkan kepala kepada gabenor, tanda hormat, mungkin.


Tetapi kepada saya semacam lambang kowtow! Mungkin saya skeptikal & sinis sebab itu bukan generasi saya, bukan menghina tapi sinis. Selama ini TV tunjukkan Tunku laungkan merdeka sahaja, tadi tu footage sepenuhnya. Saya bertanya kepada diri, kenapa tidak dibuat proklamasi dalam BM? Kenapa dalam BI?


Dan ini komen pengunjung blog tersebut:

shamshul anuar said...
Saudara,

Saya rasa saudara terkeliru dalam hal ini. Duke of Gloucester, wakil Ratu Elizabeth 11 memang berucap dalam Bahasa Inggeris.Dalam ucapan beliau mengistiharkan bahawa sempena perjanjian ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu dan Inggeris, kuasa Ratu tamat pada Ogos 31 1957.


Selepas itu beliau menyampaikam watikah pada Tunku. Tunku menunduk sedikit tanda hormat.Tunku berucap dalam bahasa Melayu. Saya tak berapa ingat akan kata-katanya, Hanya ayat terakhir saya ingat "Maka pada hari ini saya Tunku Abdul Rahman diatas perkenan Raja-Raja Melayu ......".


Dan tahukah kita bahawa azan dilaungkan ketika Raja-Raja Melayu berangkat keluar dari upacara rasmi.


Manakala berikut adalah jawaban saya:


Ahmad Nizam jawab komen:
Tunku diperlekeh oleh UMNO
Terima kasih atas teguran (Shamshul Anuar). Memang ada dipaparkan azan dan diikuti dengan bacaan doa dalam dokumentari tersebut. Namun saya juga melihat dari visual bahawa Almarhum Tunku membacakan peristiharan dalam BI.


Mungkin oleh kerana dokumentari didalam BI, maka dipaparkan peristiharan Tunku dalam BI; maksud saya mungkin Tunku berucap dalam dwi-bahasa,wallahuallam. Jika begitu (ertinya sememangnya peristiharan dalam BM), saya mengucapkan syukur alhamdulillah. Saya hanya memberikan komen berdasarkan apa yang dipaparkan dalam ASTRO 502 dan sesungguhnya saya amat terkejut.


Tentang tunduk hormat, ya, saya juga berpendapat sedemikian tetapi soalnya, apakah perlu sedemikian rupa sehingga saya melihat dengan begitu tawadduk dan seperti `kowtow' pula?Bukankah sebagai bangsa merdeka kita seharusnya punya maruah dan gengsi terhadap penjajah.didalam ucapan wakil Queen disebut tentang perlembagaan Persekutuan Malaya yang diberikan oleh Britain.


Saya perlu buat klarifikasi disini bahawa saya tidak bermaksud untuk memperkecilkan Almarhum Tunku yang begitu banyak jasa dan budinya kepada bangsa ini, tetapi sebagai anak generasi pasca merdeka dan dengan sedikit pengalaman menjelajah hampir 1/3 dunia,saya melihat dokumentari tersebut tentunya dengan sedikit sebal.

Ertinya alangkah bagusnya jika kita dapat melihat betapa para Bapa Pembina Negara ini menunjukkan bahawa kita sememangnya duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan mereka.selama ini saya kira menjelang hari kemerdekaan hanya dipaparkan visual laungan Merdeka oleh Almarhum Tunku,bukannya keseluruhan Majlis tersebut.


Dan terbaru yang saya perolehi ialah pada majlis tersebut,Allahyarham Dato Onn Jaafar tidak menghadirkan diri sebagai tanda protes(?);manakala Allahyarham Dr.Burhanuddin al-Helmi hadir.Saya sedang mencari sumber apakah Allahyarham Pak Sako dan Allahyarham Ahmad Boestaman turut hadir atau sebaliknya.


Saya ingin menyentuh juga disini,saya turut menitiskan air mata apabila mendapat berita Tunku kembali dijemput AlKhalik (6 Disember 1990),ketika itu saya masih lagi mahasiswa di UM.Saya turut berbaris dengan rakyat lainnya untuk menandatangani buku takziah DAN yang lebih penting saya masih ingat tiada pun diistiharkan rakyat perlu berkabung atau bendera setengah tiang dinaikkan!memang kami cukup sebal ketika itu dengan gelagat sebegini.


Saya benar-benar mengharapkan ketika itu ada diistiharkan majlis berkabung 3 hari umpamanya atau bendera setengah tiang dinaikkan selama tempoh tertentu tetapi,tidak ada.Mungkinkah kerana sehingga ke akhir hayat Tunku beliau tidak pernah mahu berdamai dengan Dr.Mahathir maka tidak ada upacara sebegitu?apakah yang diberikan oleh bangsa ini sebagai penghormatan kepada Tunku?


Itu belum dikira serangan peribadi terhadapnya yang dikepalai oleh Zainuddin Mydin dan lain-lain.Malah keadaan yang sama apabila Tun Hussien Onn meninggal dunia.


Bangsa kita seolah-olah miskin jiwa dan akalbudi!


Berbalik kepada dokumentari tersebut,saya tegaskan komen saya berdasarkan apa yang saya tonton dalam dokumentari tersebut dan saya berpegang dengannya.Jika hal sebenar adalah sebaliknya,sekali lagi saya memanjatkan syukur kepadaNYA dan sila anggap komen saya tersebut bagai buih-buih dihanyutkan arus. Apapun, terimakasih di atas tanggapan saudara dan saya begitu menghargainya.

No comments: