Siapa tak kenal Pak Long Jib.Dia lebih hebat dari Tok Empat Jusuh,ketua kampung Cabang Tiga.Bukan sahaja kerana kehebatan Pak Long Jib kahwin-cerai-kahwin-cerai,kata orang kampung entah enam kali entah tujuh kali Pak Long Jib berkahwin,tetapi juga kerana keangkeran Pak Long Jib dalam politik.Anak-anaknya ramai,kata orang kampung lebih sedozen.
Pak Long Jib bermisai tebal dengan tubuh gedempal tapi rambutnya sentiasa bersisir rapi dilumuri minyak zaitun cap Zam Zam-kiranya lalat landing dirambut Pak Long Jib,gerenti tergelincir sebab licin-linyau.Pak Long Jib sentiasa berpakaian kemas,kemeja lengan panjang tuck-in dalam seluar slack dengan bersepatu hitam berkilat kena sinar matahari.
Tak ada orang tahu apa kerja sebenar Pak Long jib ini.Ada kebun getah tua pusaka orang tuanya tapi kata orang kampung,yang rajin menoreh isterinya sekarang,Mak Long Mah dan anak-anak turut membantu.Pak Long Jib sesungguhnya tidak ada masa sebab sibuk dengan hal negara.
Tadi disebut Pak Long Jib ini orang kuat parti politik;dia Ketua Cawangan UMNO Kampung Cabang Tiga lebih dari 22 tahun.Setiap kali ada pemilihan tak ada yang berani menentang,semuanya sanggup berkompromi sebab takut dengan kelibat Pak Long Jib ini yang misainya melenting.
Dalam banyak kesempatan akan dapat dilihat Pak Long Jib mengepit (orang kampung Cabang Tiga sebut "mencebit") pelan-pelan balak.Di kedai kopi Pak Long Jib buka gembong sambil membuka pelan balak penuh satu meja,ada pelan hutan dara,ada pelan hutan KSK dan ada pelan tanah AA.Bercericau Pak Long Jib menceritakan dia akan dapat kawasan balak,akan pakai kereta mercedez mata bulat (Pak Long Jib bawa kereta Kancil model tersulung keluaran perodua) dan lain-lain lagi.Pun begitu,Pak Itam Mat,taukeh warung merungut juga sebab duit minum teh tarik masuk buku tiga-lima (555).Kata orang kampung Pak Long Jib tak pernah pun dapat balak selama lebih 22 tahun jadi orang kuat UMNO.
Pak Long Jib memang setia dengan parti dan memang warganegara yang baik.Apa sahaja dasar kerajaan yang dibacanya dari Utusan Meloya di warung Pak Itam Mat akan dihadam dan dipertahankan.Kalau Utusan Meloya memetik kenyataan pemimpin "fundamental kita kuat" didalam keadaan krisis ekonomi dunia,maka perkataan "fundamental" itu akan jadi sebutan Pak Long Jib sampai termimpi-mimpi.Kalau pemimpin UMNO sebut orang Melayu kena GloKal,maka itulah istilah yang akan sentiasa meniti dibibir tebal Pak Long Jib walaupun sering tersasul tersebut "kita orang Melayu kena jadi Gurkha".
Pak Long Jib akan mempertahankan kerajaan dengan segenap kekuatan-lidahnya dan tak jarang dengan buku lima.Siapa sahaja yang mengkritik kerajaan akan dijerkah sebagai tidak mengenang budi,derhaka,kurang ajar,pergi tinggal kat negara lain dan bermacam lagi.
Pernah sembilan orang cikgu di sekolah rendah Cabang Tiga yang semuanya graduate universiti kena sembur dengan Pak Long Jib yang hanya lulus darjah 6 sekolah Melayu semata-mata cikgu-cikgu buat gotongroyong mengindahkan sekolah dengan mengecat pagar warna hijau.Bukan itu sahaja yang Pak Long Jib buat,ditulisnya surat kepada Ahli Parlimen YB Dato Semaun Basri minta ditukarkan 9 orang cikgu ini kerana menyokong pembangkang yang buktinya jelas terpampang kerana pagar dan tembok sekolah bercat hijau.YB Dato Semaun Basri kelulusan LLB tapi lesen lawyer dah kena gantung dengan Bar Council tanpa usul periksa menggunakan segala kabel menukar cikgu-cikgu tersebut.Sekolah Cabang tiga ada 10 orang cikgu,kena tukar 9 orang,yang tinggal cikgu GSTT!
Kalau berkenaan PPSMI,Pak Long Jib memberikan sokongan padu sepenuh hati.Bagus kata Pak Long Jib untuk membolehkan orang Melayu berjaya dan menjadi gurkha,eh,GloKal,segera pak Long Jib membetulkkannya setelah ditegur oleh Ramli Parang Puting.Siapa yang menentang PPSMI ini bodoh dan petualang bangsa,bersembur air liur Pak Long Jib berhujjah setelah membaca berita demonstrasi anti-PPSMI di Kuala Lumpur dalam Utusan Meloya.
Mengikut cerita orang kampung,suatu hari anak Pak Long Jib,Jidin yang entah nombor berapa,bersekolah darjah enam bawa balik borang kajiselidik untuk diisi oleh bapanya.Kata yang empunya cerita borang tersebut didalam bahasa Inggeris.
Maka,selepas makan malam Jidin pun menghampiri bapanya Pak Long Jib yang sedang berlengkar depan tv sambil membawa borang tersebut dan sebatang pen.
"Ayah,ni ada borang cikgu suruh isi," kata Jidin."Bak sini aku tengok," jawab Pak Long Jib sambil mengambil borang tersebut dari tangan anaknya.
Pak Long Jib pun membelek dari atas ke bawah.dipulangnya kembali borang tersebut kepada Jidin seraya menyuruh Jidin mengisinya.
Jidin pun mula menulis,diruangan name,lancar ditulisnya;diruangan address masih lancar dan beberapa ruangan lagi seperti telephone number.
Tiba disatu ruangan,Jidin terhenti.Termangu dia tak tahu nak tulis apa.Lalu jidin pun bertanya kepada ayahnya,Pak Long Jib hendak ditulis apa diruangan tersebut.
"Ayah,borang ni tanya sex,nak tulis apa?."Ish,tak kanlah borang tu tanya lagu tu?",jawab Pak Long Jib
"Betul ayah,kat ruangan tulis sex ni,Jidin nak tulis apa?"
"Betulke cikgu engkau nak tahu temtang sex ni?",Pak Long Jib bangun dari baringannya."Betul ayah,ada ruang dalam borang tulis s.e.x,Jidin tak tahu nak tulis apa".
Pak Long Jib pun mengambil semula borang ditangan anaknya sambil membelek.
"Betullah,ada ke tanya sex",rungut Pak Long Jib sambil memulangkan borang itu kepada anaknya.
"Jidin nak tulis apa ni Ayah?",tanya si anak.
Pak Long Jib,Ketua Cawangan UMNO yang berwibawa itu pun dengan selamba menjawab: "Kau tulis je Jidin,tiga kali seminggu!."
Dan sianak dengan confident pun menulis diruangan sex:tiga kali seminggu menurut kata ayahnya.
Cerita ini tidak ada kena mengena dengan mana-mana orang yang telah hidup ataupun yang masih mati.
Daulatkan Bahasa Melayu!
Hapuskan PPSMI
2 comments:
Malang sungguh Kampung Cabang Tiga mendapat seorang Ketua Kampung yang tahu membodek membuta tuli sahaja. Sebagai Ketua Umno Cawangan memang dia layak sebab kalau tak bodoh dan membodek bukannya umno!
tambah sebabak lagi...masa selepas menteri kewangan bentang belanja wang (baca bajet)..komen Long Jib...bajet yg sungguh mesra rakyat, dapat membela semua golongan bla bla bla...
Post a Comment