Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Saturday, March 7, 2009

Mengenang Pak Zubir Ali

Sewaktu di UM,saya ada juga berjinak-jinak dengan teater.Belajar main teater dengan Halim Yazid dan pernah berguru dengan Allahyarham Mustafa Nor seketika.Allahyraham Mustafa Nor ini bengkeng orangnya,jika ada yang di lihat tidak betul atau tidak menepati kehendak disiplin teater berhamburan seranahnya.
Sungguhpun saya belajar teater tetapi saya bukanlah pandai,hanya sekadar minat dan menambah pengetahuan.Tetapi saya minat menonton teater dan berpelesiran di galeri seni.Sewaktu di Kampus saya tidak akan lepaskan peluang menonton teater tidak kira di Panggung Eksperimen UM,Matics ataupun di mana sahaja;begitu juga pergi ke galeri senilukis boleh dikatakan setiap hujung minggu jika kelapangan.Motorsikal Suzuki RXS yang jadi unta tunggangan yang setia.
Jadinya oleh kerana belajar main teater maka saya sering ke Pusat Kebudayaan UM dan di situlah saya berjumpa dengan Pak Zubir Ali.Orangnya kecil sahaja dengan rambut ikal berkacamata.Pak Zubir peramah dan mudah di dekati.Cukup mudah melayan kami,siswa/siswi dengan senyumannya yang khas itu.Di bilik beliau banyak buku;bukan sahaja buku tentang muzik dan music scores tetapi juga buku-buku falsafah dan agama.Pernah ada keinginan yang kuat untuk saya meminjam buku dari beliau tetapi selalu diurungkan keinginan ini kerana segan.
Pak Zubir sering memberikan tunjukajar dan yang saya paling ingat ialah belajar pernafasan dari beliau.Kaedahnya,suara hendaklah datang dari dalam perut,bukannya dari tekak atau peti suara di halkum.Ajaran ini masih saya amalkan terutama sewaktu berceramah dan berhujjah di mahkamah (kadang-kadang memakan masa berjam juga).
Saya juga peminat lagu-lagu puisi Pak Zubir khususnya sewaktu beliau dengan kumpulan Harmoni.Saya teringat bait-bait puisi suatu lagu yang saya lupa judulnya mengisahkan peritnya kehidupan nelayan yang saya secara bergurau menyebut lagu berunsurkan komunis kerana membela golongan marhaen.
Pak Zubir juga tidak pernah menghampakan sebarang undangan acara seni anjuran pelajar.Waktu itu Kolej Zaaba (Kolej Ketujuh) cukup aktif dengan kegiatan seni dan kokurikulm yang lain sehingga ke luar negara.Malah kita ada amphiteater kecil yang dipanggil Pentas Zaaba.Pak Zubir tidak akan mengelak dari tidak menyertai acara di sana.
Saya teringat Pak Zubir memberitahu saya sepatutnya apabila diundang nama besar untuk acara baca puisi,elok juga diberikan saguhati walaupun tidak diminta.Masa itu Pak Samad Said SN diundang untuk majlis baca puisi.
Kali terakhir saya terjumpa Pak Zubir di kedai buku MPH,MidValley Bangsar,tahun lalu,jika tidak silap ingatan saya.Pak Zubir sedang menekuni sebuah buku yang tebal (saya ada belek buku itu tetapi lupa judulnya).Saya menegur beliau dan memperkenalkan diri,saya tak pasti Pak Zubir mengingati saya lagi atau sebaliknya tetapi beliau tetap dengan keramahannya itu.Saya beritahu saya budak 7th.College dan saya juga memperkenalkan putera saya Ahmad Suhail kepadanya.Banyak juga yang kami bualkan petang itu seputar apa yang dilakukannya setelah bersara dan juga politik setelah mengetahui saya aktif di dalam KEADILAN.
Ada banyak lagi kenangan saya dengan Pak Zubir termasuk cerita hantu di Dewan Tuanku Canselor dan Panggung Eksperimen.Saya kira mana-mana graduan UM juga pasti mempunyai sedikit sebanyak kenangan bersama beliau.
Dan berita kepulangan Pak Zubir Ali menyahut panggilan Ilahi siang tadi mengejutkan saya.Negara kehilangan seorang lagi insan seni yang simple dan merendah diri serta low profile.Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya,amin.Alfatihah.

No comments: