Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Sunday, March 29, 2009

Stop Press

Ok catatan perjalanan kami sekeluarga tamat dengan entri terbaru.Entri-entri tentang perjalanan kami sekeluarga bersifat peribadi,sebagai catatan kenang-kenangan (bukankah blog juga peribadi sifatnya?) kami dan sepupu-sepupu Suhail.
Jadi kepada tukang hentam keromo yang tidak punya keberanian moral berselindung disebalik 'anonymous',kecaman anda tidak lebih dari membayangkan kebodohan anda sendiri.Mungkin perkataan bodoh itu terlalu mulia,yang lebih sesuai adalah pandir!
Sementara saya mengalu-alukan sebarang komen yang membina dan konkrit daripada teman-teman,saya tidak dapat berkompromi dengan komen yang menghina,bersifat peribadi dan membayangkan kepandiran mahupun minda leceh.
Blog ini akan terus di kemaskinikan insyaAllah dari masa ke semasa.Cuma didalam minggu ini saya sekali terpaksa sembah mohon derhaka kerana akan turun ke gelanggangdi Bukit Selambau bekerja untuk mempastikan UMNO/BN tersungkur.
Sama-sama kita doakan kemenangan di Bukit Gantang,Bukit Selambau dan di Batang Ai.

BERJUANG TERUS!

Catatan Menerusi Lensa



Kereta Kabel Genting Highland






Gayat.Di dalam gondola






Kuala Kangsar







"perjalanan seribu batu bermula dengan langkah yang satu"-Kung Fu Tzu


Route Gerik-Kuala Kangsar







Tugu Peringatan Lebuhraya Timur-Barat
Keadaannya menyedihkan,kotor dan tidak terpelihara







Plak di Tugu Peringatan
































Jambatan Kuala Kangsar








Warung di tepian Sungai Perak,Kuala Kangsar.
























Suhail & kuntuman dari rimba









Pintu air Empangan Temenggor


































Houseboat






Kabel voltan tinggi dari stesen hidro Temenggor.







Tinja gajah





















Dari KB ke Rimba Belum

Khamis,19.3.2009 sekitar jam 3 petang kami meninggalkan Kota Bharu.Destinasi berikutnya ialah Resort Belum di Tasik Banding Gerik Perak.Dari Kota Bharu kami menuju ke arah Jeli Kelantan dengan tujuan melalui Lebuhraya Timur-Barat atau juga dikenali Lebuhraya Jeli-Gerik.
Lebuhraya ini di bina berasaskan konsep KESBAN (Keselamatan dan Pembangunan) ketika perjuangan bersenjata PKM masih lagi memuncak dihujung dekad 1970-an.Dibawah konsep ini kawasan yang dikenalpasti sebagai berpotensi 'hitam' akan dibangunkan dengan prasarana guna untuk meminggirkan gerila PKM dan sekaligus menggiatkan usaha pembangunan.Strategi ini membawa pendekatan serampang dua mata iaitu keselamatan (security) dan sekaligus untuk membangunkan kawasan pendalaman.Begitu lebih kurang sejarah pembinaan Lebuhraya ini.

Hujan lebat menemani kami sepanjang perjalanan.Saya telah diberikan nasihat untuk mempastikan tangki minyak penuh kerana selepas Jeli,tidak ada lagi stesen minyak sehinggalah sampai ke Gerik.Maka di Jeli,the last frontier,kami top-up minyak penuh setangki dan terus mendaki Banjaran Titiwangsa,kenderaan ringan tidak banyak tetapi lori balak dan kargo bergerak dari kedua arah yang membuatkan pemanduan perlu lebih berhati-hati.

Saya menikmati memandu merentasi Banjaran Titiwangsa.Pemandangan gunungganang dan lurah dan lembah serta hawa dingin pergunungan menyegarkan dan mendamaikan.Jika tidak kerana jalan yang sempit dan berliku,kami pasti akan berhenti di beberapa tempat untuk memotret gambar pemandangan.


Didalam perjalanan kami bersua lebihkurang 4 buah matau balak.Saya menjadi gelisah melihat matau-matau selain lori-lori balak yang berselisih.Kepada saya aktiviti pembalakkan,tidak kira yang dihalalkan apatah lagi illegal logging adalah punca utama kerosakan alam sekitar,pemanasan bumi,sungai yang tercemar selain kemusnahan flora dan fauna yang merupakan warisan alam yang terpenting.Malah dalam perjalanan dari Gua Musang sehari sebelumnya,saya menyaksikan kematian sebatang sungai di Dabong;air sungai yang jernih bertukar kuning likat pekat dengan lumpur,mendapan (sediments) dan pencemaran lainnya.

Kami sampai ke tempat penginapan ketika matahari hampir melabuhkan tirainya.Hujan lebat menyambut kami dan dingin hawa senja Banjaran Titiwangsa menyegarkan minda selain bikin perut segera berkeroncong.Dek disebabkan hujan lebat kami hanya berkeliling di sekitar resort sambil menikmati pemandangan alam ciptaan Tuhan yang indah.
Kami sengaja meminta kepada pengurusan resort untuk bilik yang tidak menyediakan tv;tujuan utama untuk detox Suhail dari peti tv.Buku-buku yang sememangnya menjadi teman setia kami sekeluarga sepanjang masa di bawa.Suhail membawa beberapa buah koleksi komik Asterix&Obelix,Tintin dan novel Star Wars selain kad UNO.Resort turut menyediakan boardgames seperti catur,scrabbles,congkak dan monopoly,maka malam di Tasik Banding dihabiskan dengan boardgames dan mentelaah buku yang kami bawa.

Keesokkan harinya,20.3.2009,kami akan mengikuti aktiviti Temenggor Walk-menjelajah Tasik Banding untuk melihat bunga terbesar di dunia iaitu Rafflesia yang kebetulan sedang kembang,melihat Empangan Temenggor,sira gajah (tempat gajah berkubang mandi lumpur) dan kampung Orang Asli.

Cuaca agak baik,matahari bersinar galak tetapi awan kamulus-nimbus berarak hitam dari ufuk.Sebelah pagi kami explore persekitaran resort sehingga ke bibir tasik.Memang mendamaikan dengan bunga-bunga dan bunyi unggas.


Jam 2.30 petang kami memulakan eksplorasi bersama-sama dengan rombongan dari Lembaga Getah Malaysia (LGM).2 buah bot laju bergerak diatas permukaan air tasik yang bening.Kami menuju ke sebuah pulau dimana Rafflesia sedang berkembang mekar.

Perjalanan dengan bot mengambil masa lebih kurang 30 minit dan disekeliling dapat dilihat pulau-pulau serta di ufuk banjaran gunung memagari Tasik Banding.Udara dingin menyapa kami dan dengan di buai alunan lembut bot diatas air tasik,mata segera menjadi layu.


Untuk melihat Rafflesia rupanya bukan mudah juga.Melompat dari bot ke tebing yang licin tentunya pengalaman baru kepada Suhail.Dari bibir tasik kena memanjat tebing yang agak curam untuk naik keatas bukit dengan berpegang kepada akar-akar pokok yang berselirat.Untuk memanjat tebing memerlukan effort juga kerana tanah licin berlumpur.Sementelahan pula kami hanya memakai selipar sandal,terlupa untuk membawa kasut.

Dari bibir tasik ke tempat Rafflesia sedang mekar mengambil masa sekitar 10 minit.Mengah juga untuk sampai ke tempat Rafflesia itu tetapi keletihan hilang apabila dapat melihat bunga yang usianya hanya 5 hari setiap kali ia kembang.Rafflesia itu sudah berusia 3 hari dan hampir pudar.Kembali ke bot,baru saya sedari 2 ekor pacat sedang enak menghisap darah.Suhail fascinated melihat pacat yang kemudiannya pecah apabila di pijak.


Dari tempat Rafflesia kami menuju ke sira gajah.Perjalanan kali ini agak jauh,hampir 120km melalui Tasik Banding.Sungguhpun jauh tetapi tidak menjemukan.Suhail terlena diatas bot dibuai angin dingin yang berhembus dari Pergunungan Banjaran Titiwangsa.Kami melaui jambatan yang menyambung Jeli-Pulau Banding-Gerik dan menghala ke Empangan Temenggor.Sepanjang perjalanan dapat dinikmati pulau-pulau kecil dengan pepohonan yang dedaunnya panca warna.

Di tengah perjalanan tiba-tiba bot tersangkak-sangkak dan menjadi perlahan.Jurumudi dan guide bergegas ke belakang membelek enjin bot;seketika kemudian bot kembali melaju.Kami terus menuju ke kawasan Empangan Temeggor.Bot segera meluncur laju semula.Namun 10 minit kemudian,masalah yang sama muncul kembali.Kali ini sudah tidak dapat di baiki,sebuah dari 2 buah enjin tersebut mengalami kerosakan.Mengikut kata jurumudi,bateri bot sudah 'kong'.Perjalanan diteruskan juga dengan sebuah enjin yang masih berfungsi tetapi sudah tidak laju,malah terlalu lembam jadinya.



Sekali lagi terpaksa melompat dari bot ke bibir tasik;sekali lagi terpaksa mendaki tebing curam untuk melihat sira gajah.Perjalanan di dalam hutan yang agak tebal dan lebih jauh dari tempat Rafflesia.Sira gajah atau kubang tempat gajah mandi tanah terletak di pinggir bukit.Mengikut kata guide tempat tersebut di percayai telah turun temurun menjadi tempat gajah beristirehat.Sepanjang perjalanan kelihatan tinja (tahi) gajah dan ada diantaranya masih 'panas'.

Pernah beberapa kali,ketika membawa pelancong kami terserempak dengan sekawan gajah,cerita guide.Mujurlah tidak ada apa-apa yang buruk berlaku kerana mereka dengan segera berundur perlahan-lahan kembali ke dalam bot.

Dari sira gajah kami berpatah balik ke pinggiran tasik.Rupa-rupanya jurumudi bot kami gagal mendapatkan bateri baru.Maka terpaksalah menaiki bot yang rosak dengan kelajuan minimum.Beberapa program lain seperti ke Kampung Orang Asli terpaksa di batalkan;juga rancangan dengan Suhail untuk bermain rakit buluh turut tergendala.

Cuma diri terasa puas apabila dapat menikmati fenomena alam di tengah tasik di waktu senja.Alangkah indahnya alam ciptaan Al-Khalik waktu melihat warna senja yang membentuk keindahan yang sukar dinyatakan.Terasa diri terlalu kerdil-hanya seumpama titik kecil dari seluruh mayapada-dan lidah tidak berhenti bertasbih,Subhanallah,Maha Suci Allah yang mencipta dan menganugerahkan keindahan yang tiada taranya.Dan seperti biasa picu kamera di petik beberapa kali dengan lensa mengabadikan keindahan ciptaanNYA.
Malam itu kami tidur dengan lenanya.Aktiviti seharian begitu meletihkan.Dan esok perlu mengharungi perjalanan panjang untuk kembali ke rumah di Temerloh.
Kami memilih mengambil jalan pulang melalui Gerik dan makan tengahari di Kuala Kangsar.Dari Kuala Kangsar melalui Lebuhraya Utara-Selatan kami mengambil exit Tanjung Malim.Kami masuk ke pekan Tanjung Malim dengan tujuan untuk menunjukkan lokasi UPSI yang bersejarah kepada Suhail.Saya jelaskan peripentingnya UPSI atau dahulunya di kenali SITC (Sultan Idris Teaching College) kepada sejarah perjuangan nasionalisme Melayu.Saya sebut nama beberapa tokoh seperti Pendita Za`aba yang terkenal dengan Suluh Budiman,Aminuddin Baki,Tun Ghafar Baba,Ibrahim Hj Yakob dan beberapa tokoh lain.Saya nyatakan bahawa mereka ini merupakan inteligentsia Melayu yang berjuang untuk membebaskan diri dari penjajah dan tokoh persuratan Melayu yang mendaulatkan Bahasa Kebangsaan.Semoga putera kami ini dapat mengerti dan memahami perjuangan serta jasa para pejuang terdahulu,mudah-mudahan.































Orang Asli Dapat Perintah Halang Kontraktor


TEMERLOH: Orang Asli Rompin berjaya mendapatkan perintah sementara berbentuk penghalangan dari Mahkamah Tinggi Temerloh pada 27 Mac (Jumaat) dalam dua kes berbeza melibatkan pencerobohan ke atas tanah-tanah adat mereka.

Keputusan kedua-dua kes Orang Asli ‘lawan’ Kerajaan Malaysia ini diputuskan dalam kamar Mahkamah Tinggi Temerloh.

Menurut peguam Datuk M. Ramachelvam, bagi kes di Tenggalung dan Sungai Buan, Rompin tiga pemohon iaitu Batin Majid Jaafar dan dua penduduk kampung iaitu Jantong Duka dan Rosman a/l Imat telah mendapat perintah larangan sementara terhadap Tabung Haji Plantation (TH) yang dikatakan menceroboh tanah adat mereka untuk aktiviti pertanian.

Dengan demikian pihak kontraktor tersebut tidak boleh berbuat apa-apa di atas tanah bekenaan.

Keputusan sebenar akan diputuskan pada 29 Jun nanti sementara dalam tempoh itu peguam kedua pihak akan mengadakan ujian bertulis.

Peguam pihak Orang Asli bagi kes ini ialah Ramachandran, Ahmad Nizam Hamid dan Mohd Izhan Razali. Sementara responden pula ialah Pengarah tanah dan Galian Pahang, Kerajaan Negeri Pahang, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan Krajaan Malaysia.

Bagi kes kedua pula Batin Kampung Bukit Rok Mohamad Nohing dan lima orang penduduk kampung Bukit Rok dan Kampung Ibam juga mendapat hak yang sama.

Keputusan sebenar juga akan diputuskan pada 29 Jun nanti
Mereka diwakili peguam D.P. Naban dan Lee Hong Seng.Sementara responden pula ialah Pengarah tanah dan Galian Pahang, Kerajaan Negeri Pahang, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan Kerajaan Malaysia.

“Perintah larangan terhadap responden ini menunjukkan satu keupayaan untuk Orang Asli mengekalkan status quo mereka,” kata Ramachelvam.
*entri ini ehsan dari laman http://www.sidangonline.net milik Perhubungan PAS Negeri Pahang

Saturday, March 28, 2009

DetikBumi-Earth Hour


Kami sekeluarga turut serta menyumbang untuk kesejahteraan Bumi.tepat jam 8.30 malam semua lampu dan perkakasan elektrik kecuali peti ais di-off-kan.Suhail begitu teruja,sudah beberapa hari dia mengingatkan komitmen untuk bergelap selama satu jam.

Apa yang hendak dibuat dalam 1 jam ini?Dengan 3 batang lilin dan torchlight Suhail mencadangkan untuk bercerita.Sepupunya,Adam Ejaz juga ada bersama kami.Maka seisi rumah termasuk kucing kami, Mister Joe berada di luar rumah didalam kegelapan malam hujung Mac;Suhail memulakan acara dengan cerita Tikus dan Singa versi Bahasa Inggeris dan kemudian Adam dengan 2 cerita kanak-kanak.Sesungguhnya celoteh kedua anak ini menghiburkan.
Saya teringat zaman kanak-kanak di Chenor.Rumah kami diterangi lampu gasolin,lampu 'ayam' (hurricane lamp) dan pelita minyak tanah yang berjelaga.Saya sudah lupa tahun bila tapi rasanya belum masuk darjah 1,Abah membeli generator Yamaha (seperti yang digunakan peniaga pasar malam),maka terangbenderanglah rumah kami buat beberapa jam.Suatu insiden yang saya tidak boleh lupa apabila generator tersebut terbakar dan menyambar tin minyak petrol serta api mula menjilat dinding,tetapi alhamdulillah dapat segera di padamkan dengan guni basah;jiran kami arwah Pak De Yasin bergegas ke rumah membantu memadamkan api.

Kemudian abah membeli generator second hand yang kapasitinya lebih besar.Rasanya enjin padi.Generator ini diletakkan di luar rumah dibahagian dapur,ada bangsalnya sendiri.Generator ini disambung dengan tali sawat khas kepada dinamo yang membekalkan kuasa elektrik.Untuk menghidupkannya perlu gunakan alat khas yang di panggil 'engkol'.Engkol ini di letakkan kepada tuas khas dan dipusing 360 darjah dengan kudrat yang bukan sedikit,mungkin kerana enjin tua.Saya tidak akan melepaskan peluang setiap hari untuk melihat enjin padi ini dihidupkan saban petang.

Enjin padi ini pun tidak lama.Generator tua ini terlalu sering rosak.Akhirnya,abah give up.Dibiarkan tidak lagi digunakan.Rasanya bongkahan besi 'jenazah' enjin ini masih ada sehingga ke hari ini.Maka kami berbalik semula menggunakan pelita.
Dalam tahun 1983,jika tidak silap ingatan,elektrik dibekalkan LLN (Lembaga Letrik Negara) sampai ke Chenor.Pun begitu bekalan bukannya 24 jam,cuma dari jam 6 petang hingga jam 6 pagi keesokkan harinya.Penggunaannya adalah terhad kerana kapasiti terhad.Rumah kami 'membeli' 300 watt sahaja;ini bermakna penggunaan yang melebihi kapasiti 300 watt,akan membuatkan suis utama terpelantik atau menendang ikut istilah kami.Jadi lupakanlah untuk menggunakan sterika elektrik atau rice cooker atau peti sejuk.Cahaya dari mentol elektrik pun remang-remang untuk mempastikan agar suis utama tidak terpelantik.
Kemudian bekalan elektrik 24 jam pun sampai ke Chenor.Pembekalan ini disegerakan kerana anak Dr.Mahathir berkahwin dengan orang Chenor.Saya tak pasti anak Dr.Mahathir sejati atau anak angkat.

Didalam keadaan ini dalam tahun 1970-an kami membesar.Dalam keadaan serba kekurangan (air paip pun tak ada,kami guna air perigi yang jernih dan manis rasanya,malah saban petang jiran-jiran datang kerumah untuk mandi dan membasuh di perigi kami),tidak seperti hari ini kami membesar dan belajar.Alhamdulillah,dengan berkat dorongan,sokongan dan doa Mak dan Abah,kami adik-beradik sekurang-kurangnya berjaya dalam pelajaran-Along kini seorang Doktor Perubatan,Angah seorang Jurutera yang sudah memperolehi title Ir. dipangkal namanya,Alang lulusan UM yang merupakan top student MCKK Tingkatan V tahunnya dan sekarang seorang pendidik (blog beliau http://cikguretro.blogspot.com/) manakala adikku yang bongsu,Cik Mie graduan UM juga mengikut jejak Mak dan Abah dan Alang berkhidmat sebagai Guru di Batu Bor.
Berbalik kepada Earthour,walaupun ada sesetengan pihak seperti yang di laporkan dalam akhbar The Star,mengkritik program ini tidak lebih dari gimik semata-mata,namun saya melihat bahawa sekurang-kurangnyalah ini yang boleh disumbangkan.Jika dengan mematikan lampu selama 1 jam dapat membantu Bumi untuk 'bernafas' seketika,maka dikira berjaya.Namun yang lebih penting saya kira,sekurang-kurangnya ujud juga rasa kesedaran untuk membantu Bumi yang kita huni ini dari pencemaran.Kepada saya peribadi,putera kami,Suhail mula membaca dan berminat dengan alam sekitar (sehinggakan saya membakar sampah petang tadi mengundang kritikannya kerana pencemaran asap!).Sekurang-kurangnya kepada kami sekeluarga,bergelita selama 1 jam menambahrapatkan kami dan insyaAllah membentuk kepekaan di jiwa Putera kami agar menghormati Bumi yang indah ini.
Fakta Ringkas Earth Hour:
88 buah negara memberikan komitmen untuk turut serta
3200 kota di seluruh negara turut serta
Tempoh masa lampu dipadamkan selama 1 jam dari 8.30 malam hingga 9.30 malam di seluruh dunia.



Tuesday, March 24, 2009

Tanah Serendah Sekebun Bunga

















Kota Bharu
Route Ke KB








Pasir Belanda








Pantai Cahaya Bulan









Wayang Kulit






Dalang Tua





Mak & Anak/

Manager & Coach









Pasar Siti Khatijah







Pintu Istana













Suhail Di Sebalik Kelir Wayang Kulit.

Ralit memerhatikan Tok Dalang










Kompleks Kraftangan.

Ada rumah makan dengan sajian yang

cukup enak





Suhail

















Monday, March 23, 2009

Dari Temerloh Ke Kota Bharu


Alhamdulillah kami sekeluarga selamat kembali ke Lanai Lestari hampir tengah malam sabtu lalu.Perjalanan kami sejauh lebih 1300km bermula pagi Rabu,18.3.2009 minggu kelmarin.
Dari Temerloh kami menuju ke Kota Bharu,Kelantan melalui jalan Kuala Lipis-Gua Musang.Sengaja dipilih 'route' ini untuk lebih merasai suasana pedalaman berbanding menggunakan jalan tepi pantai melalui Kuala Trengganu.
Sambil memandu dan bercanda dengan isteri serta Suhail,saya mengambil kesempatan berwejang tentang sejarah perjuangan anak-anak Pahang menentang penjajahah dan tokoh-tokoh besar yang mewarnainya.Saya bercerita tentang Pak Sako (yang tahun ini 100 tahun usianya,tetapi siapa yang cakna?),tentang Ibrahim Hj Yakob,tentang Boestamam,tentang darurat (dan Rejimen Ke-10 PKM),UMNO,PAS,API,AWAS,PRM dan lain-lain lagi. Suhail juga bertanya tentang perjuangan Akinya, Hj.Suhaimi Said.Putera saya,Suhail,menganggap Hj Suhaimi sebagai Aki beliau.

Kami sampai ke Gua Musang sekitar jam 1.20 petang.Memang sudah dirancang untuk 'pit stop' disana untuk makan tengahari.Kami mencari gerai yang menghidangkan nasi air,cuma mungkin bukan rezeki kami,semua gerai hari itu belum menyediakan hidangan tersebut.Untuk makluman nasi air di Gua Musang antara yang terenak di dunia!Hidangannya bersekali dengan ikan manis,kulat goreng,ikan masin (ikan bulu ayam),telur asin dan pelbagai ramuan lain.Disarankan untuk mencuba sendiri keenakkan nasi air Gua Musang,pasti sehingga menjilat jari!
Kami memesan sup campur dan meminta agar ramuan-ikan manis dan lain-lain-nasi air dimasak juga untuk dimakan dengan nasi putih.Saya menikmati hidangan makan tengahari dengan berselera ditambah pula ada jering muda dicecah budu.
Saya berkesempatan juga bercerita tentang sejarah Gua Musang sewaktu Darurat;inilah satu-satunya kawasan yang diistiharkan 'liberated area' oleh PKM yang boleh dianggap juga satu-satunya kejayaan cemerlang mereka didalam kempen bersenjata ketika itu.Namun demikian kemudiannya Gua Musang ditawan semula oleh pasukan keselamatan.Juga saya bercerita tentang seorang tukang urut di Lubuk Kawah,Pak Hitam Kadir yang memberitahu bahawa beliau pergi ke Gua Musang untuk mengambil senjata yang disorok disana untuk mempersenjatai Rejimen Ke-10 PKM.Pak Hitam Kadir menyerah diri kepada Pasukan Keselamatan dalam tahun 1960-an.

Dari Gua Musang kami menuju ke Kota Bharu.Nampaknya perjalanan ke Kota Bharu menjadi begitu lambat.Kenderaan bertali arus di samping jalannya yang sempit.Kami mengambil masa lebih 3 jam untuk sampai ke Kota Bharu sedangkaan jarak perjalanannya tidak sampai 200km.Terpaksa memandu dengan begitu berhati-hati,defensive driving.Saya masih bercerita tentang Puteri Saadong,ufti bunga mas,Tok Janggut dan Tok Guru Nik Aziz kepada Suhail.

Kami telah membuat 'reservation' di sebuah tempat dipanggil Pasir Belanda yang terletak kira-kira 3 km sebelum Pantai Cahaya Bulan (PCB).Seperti biasa di Malaysia ini ialah masalah papan tanda yang tidak mencukupi,kami berputar dan berpusing didalam bandar Kota Bharu mencari arah ke PCB kerana 'sign board' awal penunujuk arah tiba-tiba 'hilang'.

Akhirnya kami sampai ke Pasir Belanda.Resort ini dibangunkan oleh pasangan suami isteri Mat Saleh dari Holland,orang Belanda.Hanya ada 7 unit rumah atau chalet yang dibina mengikut senibina rumah kampung Melayu.Kenapa dinamakan Pasir Belanda,tanya saya kepada Henry,si Belanda itu.Di Kelantan sudah ada Pasir Putih,Pasir Mas sebab itu saya bagi nama Pasir Belanda,ujar beliau dalam bahasa Inggeris.Henry sudah agak fasih berbahasa Melayu.

Asalnya beliau datang melancong ke Kelantan.Beberapa kali datang ke Malaysia dan akhirnya membuat keputusan untuk berdomisil di Kelantan kerana jatuh hati dengan rakyat,budaya dan kedamaian Tanah Serendah Sekebun Bunga.Beliau memajak (lease) tanah tersebut dari orang tempatan (jika tidak silap dari keluarga bekas Pengarah JHEOA,juga Mat Saleh).

Pasir Belanda mendamaikan.Ada anak sungai kecil di tepi resort tersebut;ada disediakan perahu fiber untuk mereka yang berminat berkayuh sampan.Cuma kami tidak berkesempatan berkolek dianak sungai itu.

Kami keluar dari Pasir Belanda selepas 'check-in' menuju ke PCB.Begitu 'happening' di PCB,penuh dengan manusia sehinggakan sukar mencari tempat untuk parkir kereta.Kanak-kanak,orang muda,orang tua,pasangan kekasih dan penjaja memenuhi pesisir PCB.

Pantai PCB begitu teruk dimamah hakisan.Pasirnya yang landai sudah hilang ditelan laut.PCB tidak seperti 10-15 tahun lalu yang saya pernah berendam di lautnya.Cukup disayangi pantai yang indah itu akhirnya kalah jua dengan tuntutan alam.

Sungguhpun begitu masih ramai yang menikmati suasana tepi laut PCB;anak-anak tetap riang gembira berlarian dan bermain layang-layang sedangkan pasangan kekasih bersantai di atas pasir laut sambil menikmati hembusan bayu Laut China Selatan.Suhail juga turut bermain layang-layang yang dibeli dari penjaja.Layang-layang panca warna terbang tinggi dilatari warna langit senja begitu indah.
Kami makan malam di Restoran di PCB.Ikan bakar yang enak beserta sambal udang,sup belut dan kailan goreng ikan masin sambil dibuai hembusan angin laut benar-benar menambat selera.Saya melahap sup belut dengan ghairah,Maslina dan Suhail menolak untuk menjamah sup ini kerana ianya mengingatkan mereka kepada sesuatu...Cuma sedikit terkilan budu tidak disediakan!

Sebelah malamnya kami ke bandar Kota Bharu untuk menonton wayang kulit.Sengaja kami aturkan itenary sedemikian rupa sebagai bentuk pendedahan akan kekayaan seni budaya bangsa kepada Suhail.Moga-moga dapat membina dan memperkasakan jati diri anak ini.Kami terpaksa berputar didalam bandar untuk mencari Gelanggang Seni.Masalah yang sama,kekurangan papan tanda yang 'accurate'.

Mujur juga setelah bertanya kepada anggota Polis yang meronda akhirnya kami berjaya menuju ke Gelanggang Seni.Wayang Kulit telah bermula ketika kami sampai.Kelihatan khalayak yang ramai juga selain pelancong yang sedang menikmati persembahan.

Sengaja saya biarkan Suhail bergegas ke belakang kelir wayang untuk dia melihat sendiri bagaimana aksi Tok Dalang dan crew pemain muzik beraksi.Suhail nampaknya begitu ralit dan 'fascinated' melihat bagaimana patung-patung wayang kulit 'dihidupkan' oleh Tok Dalang;melihat bagaimana Sri Rama,Sita Dewi,Hanuman,Pak Dogol beraksi dengan kemahiran Tok Dalang,saya kira tentu menjadi pengalaman baru kepada Suhail.
Ada metaforanya dari pertunjukkan wayang kulit ini.Sekurang-kurangnya dapat difahami patung-patung dari belulang lembu itu hanya bergerak dan hidup dan beraksi kerana kepandaian Tok Dalang mengeksploitasikan patung-patung itu.Dan dari plot ceritanya,ada suka duka,ketawa dan menangis tetapi tetap akan berakhir dengan 'they live happily ever after'.

Demikianlah perlambangan akan hidup dan kehidupan di dunia ini;cuma sebagai anak merdeka,tidak ada kewajaran jika hidup kita di bumi bertuah ini sekadar seumpama patung-patung wayang kulit yang diaturkan oleh Tok Dalang.Justeru itu hidup ini mesti berprinsip dan bermaruah serta berani memperjuangkan hak,kebenaran dan keadilan.Jika seumpama patung-patung wayang kulit yang diaturkan segalanya oleh Tok Dalang,maka,tiada makna menjadi anak merdeka.Mudah-mudahan Suhail dapat memahami falsafah yang tersirat ini.

Keesokkan pagi,Khamis 19.3.2009,kami bersarapan di Pasir Belanda.Sarapan ala orang putih,roti 'home made' dengan telur goreng beserta jus oren (terus terang,perut memberontak setelah pagi-pagi minum jus oren yang masam).Kami bersarapan bersama pasangan dari Vienna yang sedang berbulanmadu di Malaysia.Suzanna dan Ralph begitu mesra ditambah pula dengan kebecokkan Suhail bercerita tentang bola,khususnya kelab favourite beliau,Manchester United.Memang football menjadi universal language,orang akan menjadi cepat mesra kerana berbicara tentang bola.

Dari bolasepak kami berpindah ke perbualan lain.Saya bertanya Ralph,"Where were you in September 1989?".Ralph orang German tetapi tinggal dan bekerja di Vienna manakala Suzanna memang asal Vienna.Ralph dan Suzanna bercerita tentang pengalaman mereka tatkala Tembok Berlin diruntuhkan oleh anak-anak muda 30 tahun yang lalu dengan galaknya.Runtuhnya Tembok Berlin petanda berakhirnya Perang Dingin dan kehancuran idealogi Komunisme.

Kami hampir sebaya,termasuk juga Henry,si Belanda itu.Saya mengesani ada persamaan idealisme-consensus ad idem-antara kami tatkala bercerita tentang runtuhnya Tembok Berlin serta signifikasinya kepada kami waktu itu sebagai anak muda yang penuh pengharapan untuk melihat dunia yang damai.Alangkah naifnya kami kerana dunia bukan kian damai,malah kemelut
perang,kebuluran,penindasan,pencemaran dan 1001 hambatan lagi kian parah!InsyaAllah saya akan menulis lagi tentang 30 Tahun runtuhnya Tembok Berlin suatu hari nanti.

Usai sarapan dan pamitan dengan Ralph dan Suzanna dan Henry dengan janji akan salin berhubung,kami meninggalkan Pasir Belanda.Maslina punya temujanji dengan rakan sekelasnya yang sejak tahun 1986 tidak bertemu.Kami berjanji untuk berjumpa di Restoran Nasi Air Mak Su Nab di jalan Berek 12.Kami makan disitu tetapi masakan di restoran tersebut telah jauh berubah tidak seperti 2-3 tahun lalu.Sudah tidak sesedap dahulu.


Kemudian kami berputar di dalam bandar Kota Bharu singgah di Pasar Siti Khadijah dan berhenti di kawasan Istana yang menempatkan beberapa muzium serta kompleks kraftangan.Oleh kerana kesuntukkan masa,kami tidak berlama di muzium.Di kompleks kraftangan,saya tidak dapat menahan selera apabila melihat laukpauk di restoran disana.Kami memesan ikan bakar,ulam-ulaman serta ayam goreng dan budu.Makan lagi!Dan harga makanan di Kota Bharu relatif murah berbanding di tempat lain.










Dan sekitar jam 3 petang kami bertolak meninggalkan Kota Bharu dengan janji untuk bertandang lagi.Perjalanan seterusnya menuju ke Tasik Banding,di Hutan Belum,Gerik Perak melalui Lebuhraya Jeli-Gerik merentasi Tulang Belakang Semenanjung,Banjaran Titiwangsa.
Kelantan mempersonakan,bukan sahaja kerana bahasanya yang unik atau upaya penduduknya mempertahankan budaya dan tradisi tetapi juga kekuatan dan keberanian orang Kelantan bertahan dari serangan,ugutan dan diskriminasi UMNO.Negeri Kelantan sejak tahun 1990 mampu bertahan dari serangan UMNO/BN yang menggunakan 1001 muslihat untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Tuan Guru Nik Aziz;malah dengan segala hambatan yang ada,kelihatannya Kota Bharu berkembang maju dan membangun.
Malah dari pemerhatian saya Kota Bharu lebih membangun dari Kuantan misalnya yang di perintah oleh UMNO/BN yang kononnya maha hebat.Pengajaran penting saya kira dari pentadbiran Kerajaan Kelantan ialah kepedulian rakyat dan pemimpin yang berhermah.Itu kunci kepada kejayaan Kelantan.
Selamat tinggal Kelantan.Selamat tinggal Kota Bharu.Kami akan bertandang lagi.