Alhamdulillah kami sekeluarga selamat kembali ke Lanai Lestari hampir tengah malam sabtu lalu.Perjalanan kami sejauh lebih 1300km bermula pagi Rabu,18.3.2009 minggu kelmarin.
Dari Temerloh kami menuju ke Kota Bharu,Kelantan melalui jalan Kuala Lipis-Gua Musang.Sengaja dipilih 'route' ini untuk lebih merasai suasana pedalaman berbanding menggunakan jalan tepi pantai melalui Kuala Trengganu.
Dari Temerloh kami menuju ke Kota Bharu,Kelantan melalui jalan Kuala Lipis-Gua Musang.Sengaja dipilih 'route' ini untuk lebih merasai suasana pedalaman berbanding menggunakan jalan tepi pantai melalui Kuala Trengganu.
Sambil memandu dan bercanda dengan isteri serta Suhail,saya mengambil kesempatan berwejang tentang sejarah perjuangan anak-anak Pahang menentang penjajahah dan tokoh-tokoh besar yang mewarnainya.Saya bercerita tentang Pak Sako (yang tahun ini 100 tahun usianya,tetapi siapa yang cakna?),tentang Ibrahim Hj Yakob,tentang Boestamam,tentang darurat (dan Rejimen Ke-10 PKM),UMNO,PAS,API,AWAS,PRM dan lain-lain lagi. Suhail juga bertanya tentang perjuangan Akinya, Hj.Suhaimi Said.Putera saya,Suhail,menganggap Hj Suhaimi sebagai Aki beliau.
Kami memesan sup campur dan meminta agar ramuan-ikan manis dan lain-lain-nasi air dimasak juga untuk dimakan dengan nasi putih.Saya menikmati hidangan makan tengahari dengan berselera ditambah pula ada jering muda dicecah budu.
Saya berkesempatan juga bercerita tentang sejarah Gua Musang sewaktu Darurat;inilah satu-satunya kawasan yang diistiharkan 'liberated area' oleh PKM yang boleh dianggap juga satu-satunya kejayaan cemerlang mereka didalam kempen bersenjata ketika itu.Namun demikian kemudiannya Gua Musang ditawan semula oleh pasukan keselamatan.Juga saya bercerita tentang seorang tukang urut di Lubuk Kawah,Pak Hitam Kadir yang memberitahu bahawa beliau pergi ke Gua Musang untuk mengambil senjata yang disorok disana untuk mempersenjatai Rejimen Ke-10 PKM.Pak Hitam Kadir menyerah diri kepada Pasukan Keselamatan dalam tahun 1960-an.
Dari Gua Musang kami menuju ke Kota Bharu.Nampaknya perjalanan ke Kota Bharu menjadi begitu lambat.Kenderaan bertali arus di samping jalannya yang sempit.Kami mengambil masa lebih 3 jam untuk sampai ke Kota Bharu sedangkaan jarak perjalanannya tidak sampai 200km.Terpaksa memandu dengan begitu berhati-hati,defensive driving.Saya masih bercerita tentang Puteri Saadong,ufti bunga mas,Tok Janggut dan Tok Guru Nik Aziz kepada Suhail.
Akhirnya kami sampai ke Pasir Belanda.Resort ini dibangunkan oleh pasangan suami isteri Mat Saleh dari Holland,orang Belanda.Hanya ada 7 unit rumah atau chalet yang dibina mengikut senibina rumah kampung Melayu.Kenapa dinamakan Pasir Belanda,tanya saya kepada Henry,si Belanda itu.Di Kelantan sudah ada Pasir Putih,Pasir Mas sebab itu saya bagi nama Pasir Belanda,ujar beliau dalam bahasa Inggeris.Henry sudah agak fasih berbahasa Melayu.
Asalnya beliau datang melancong ke Kelantan.Beberapa kali datang ke Malaysia dan akhirnya membuat keputusan untuk berdomisil di Kelantan kerana jatuh hati dengan rakyat,budaya dan kedamaian Tanah Serendah Sekebun Bunga.Beliau memajak (lease) tanah tersebut dari orang tempatan (jika tidak silap dari keluarga bekas Pengarah JHEOA,juga Mat Saleh).
Pasir Belanda mendamaikan.Ada anak sungai kecil di tepi resort tersebut;ada disediakan perahu fiber untuk mereka yang berminat berkayuh sampan.Cuma kami tidak berkesempatan berkolek dianak sungai itu.
Kami keluar dari Pasir Belanda selepas 'check-in' menuju ke PCB.Begitu 'happening' di PCB,penuh dengan manusia sehinggakan sukar mencari tempat untuk parkir kereta.Kanak-kanak,orang muda,orang tua,pasangan kekasih dan penjaja memenuhi pesisir PCB.
Pantai PCB begitu teruk dimamah hakisan.Pasirnya yang landai sudah hilang ditelan laut.PCB tidak seperti 10-15 tahun lalu yang saya pernah berendam di lautnya.Cukup disayangi pantai yang indah itu akhirnya kalah jua dengan tuntutan alam.
Sungguhpun begitu masih ramai yang menikmati suasana tepi laut PCB;anak-anak tetap riang gembira berlarian dan bermain layang-layang sedangkan pasangan kekasih bersantai di atas pasir laut sambil menikmati hembusan bayu Laut China Selatan.Suhail juga turut bermain layang-layang yang dibeli dari penjaja.Layang-layang panca warna terbang tinggi dilatari warna langit senja begitu indah.
Kami makan malam di Restoran di PCB.Ikan bakar yang enak beserta sambal udang,sup belut dan kailan goreng ikan masin sambil dibuai hembusan angin laut benar-benar menambat selera.Saya melahap sup belut dengan ghairah,Maslina dan Suhail menolak untuk menjamah sup ini kerana ianya mengingatkan mereka kepada sesuatu...Cuma sedikit terkilan budu tidak disediakan!
Sebelah malamnya kami ke bandar Kota Bharu untuk menonton wayang kulit.Sengaja kami aturkan itenary sedemikian rupa sebagai bentuk pendedahan akan kekayaan seni budaya bangsa kepada Suhail.Moga-moga dapat membina dan memperkasakan jati diri anak ini.Kami terpaksa berputar didalam bandar untuk mencari Gelanggang Seni.Masalah yang sama,kekurangan papan tanda yang 'accurate'.
Mujur juga setelah bertanya kepada anggota Polis yang meronda akhirnya kami berjaya menuju ke Gelanggang Seni.Wayang Kulit telah bermula ketika kami sampai.Kelihatan khalayak yang ramai juga selain pelancong yang sedang menikmati persembahan.
Sengaja saya biarkan Suhail bergegas ke belakang kelir wayang untuk dia melihat sendiri bagaimana aksi Tok Dalang dan crew pemain muzik beraksi.Suhail nampaknya begitu ralit dan 'fascinated' melihat bagaimana patung-patung wayang kulit 'dihidupkan' oleh Tok Dalang;melihat bagaimana Sri Rama,Sita Dewi,Hanuman,Pak Dogol beraksi dengan kemahiran Tok Dalang,saya kira tentu menjadi pengalaman baru kepada Suhail.
Demikianlah perlambangan akan hidup dan kehidupan di dunia ini;cuma sebagai anak merdeka,tidak ada kewajaran jika hidup kita di bumi bertuah ini sekadar seumpama patung-patung wayang kulit yang diaturkan oleh Tok Dalang.Justeru itu hidup ini mesti berprinsip dan bermaruah serta berani memperjuangkan hak,kebenaran dan keadilan.Jika seumpama patung-patung wayang kulit yang diaturkan segalanya oleh Tok Dalang,maka,tiada makna menjadi anak merdeka.Mudah-mudahan Suhail dapat memahami falsafah yang tersirat ini.
Kami hampir sebaya,termasuk juga Henry,si Belanda itu.Saya mengesani ada persamaan idealisme-consensus ad idem-antara kami tatkala bercerita tentang runtuhnya Tembok Berlin serta signifikasinya kepada kami waktu itu sebagai anak muda yang penuh pengharapan untuk melihat dunia yang damai.Alangkah naifnya kami kerana dunia bukan kian damai,malah kemelut
perang,kebuluran,penindasan,pencemaran dan 1001 hambatan lagi kian parah!InsyaAllah saya akan menulis lagi tentang 30 Tahun runtuhnya Tembok Berlin suatu hari nanti.
Usai sarapan dan pamitan dengan Ralph dan Suzanna dan Henry dengan janji akan salin berhubung,kami meninggalkan Pasir Belanda.Maslina punya temujanji dengan rakan sekelasnya yang sejak tahun 1986 tidak bertemu.Kami berjanji untuk berjumpa di Restoran Nasi Air Mak Su Nab di jalan Berek 12.Kami makan disitu tetapi masakan di restoran tersebut telah jauh berubah tidak seperti 2-3 tahun lalu.Sudah tidak sesedap dahulu.
Dan sekitar jam 3 petang kami bertolak meninggalkan Kota Bharu dengan janji untuk bertandang lagi.Perjalanan seterusnya menuju ke Tasik Banding,di Hutan Belum,Gerik Perak melalui Lebuhraya Jeli-Gerik merentasi Tulang Belakang Semenanjung,Banjaran Titiwangsa.
Kelantan mempersonakan,bukan sahaja kerana bahasanya yang unik atau upaya penduduknya mempertahankan budaya dan tradisi tetapi juga kekuatan dan keberanian orang Kelantan bertahan dari serangan,ugutan dan diskriminasi UMNO.Negeri Kelantan sejak tahun 1990 mampu bertahan dari serangan UMNO/BN yang menggunakan 1001 muslihat untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Tuan Guru Nik Aziz;malah dengan segala hambatan yang ada,kelihatannya Kota Bharu berkembang maju dan membangun.
Malah dari pemerhatian saya Kota Bharu lebih membangun dari Kuantan misalnya yang di perintah oleh UMNO/BN yang kononnya maha hebat.Pengajaran penting saya kira dari pentadbiran Kerajaan Kelantan ialah kepedulian rakyat dan pemimpin yang berhermah.Itu kunci kepada kejayaan Kelantan.
Selamat tinggal Kelantan.Selamat tinggal Kota Bharu.Kami akan bertandang lagi.
No comments:
Post a Comment