Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Sunday, March 29, 2009

Dari KB ke Rimba Belum

Khamis,19.3.2009 sekitar jam 3 petang kami meninggalkan Kota Bharu.Destinasi berikutnya ialah Resort Belum di Tasik Banding Gerik Perak.Dari Kota Bharu kami menuju ke arah Jeli Kelantan dengan tujuan melalui Lebuhraya Timur-Barat atau juga dikenali Lebuhraya Jeli-Gerik.
Lebuhraya ini di bina berasaskan konsep KESBAN (Keselamatan dan Pembangunan) ketika perjuangan bersenjata PKM masih lagi memuncak dihujung dekad 1970-an.Dibawah konsep ini kawasan yang dikenalpasti sebagai berpotensi 'hitam' akan dibangunkan dengan prasarana guna untuk meminggirkan gerila PKM dan sekaligus menggiatkan usaha pembangunan.Strategi ini membawa pendekatan serampang dua mata iaitu keselamatan (security) dan sekaligus untuk membangunkan kawasan pendalaman.Begitu lebih kurang sejarah pembinaan Lebuhraya ini.

Hujan lebat menemani kami sepanjang perjalanan.Saya telah diberikan nasihat untuk mempastikan tangki minyak penuh kerana selepas Jeli,tidak ada lagi stesen minyak sehinggalah sampai ke Gerik.Maka di Jeli,the last frontier,kami top-up minyak penuh setangki dan terus mendaki Banjaran Titiwangsa,kenderaan ringan tidak banyak tetapi lori balak dan kargo bergerak dari kedua arah yang membuatkan pemanduan perlu lebih berhati-hati.

Saya menikmati memandu merentasi Banjaran Titiwangsa.Pemandangan gunungganang dan lurah dan lembah serta hawa dingin pergunungan menyegarkan dan mendamaikan.Jika tidak kerana jalan yang sempit dan berliku,kami pasti akan berhenti di beberapa tempat untuk memotret gambar pemandangan.


Didalam perjalanan kami bersua lebihkurang 4 buah matau balak.Saya menjadi gelisah melihat matau-matau selain lori-lori balak yang berselisih.Kepada saya aktiviti pembalakkan,tidak kira yang dihalalkan apatah lagi illegal logging adalah punca utama kerosakan alam sekitar,pemanasan bumi,sungai yang tercemar selain kemusnahan flora dan fauna yang merupakan warisan alam yang terpenting.Malah dalam perjalanan dari Gua Musang sehari sebelumnya,saya menyaksikan kematian sebatang sungai di Dabong;air sungai yang jernih bertukar kuning likat pekat dengan lumpur,mendapan (sediments) dan pencemaran lainnya.

Kami sampai ke tempat penginapan ketika matahari hampir melabuhkan tirainya.Hujan lebat menyambut kami dan dingin hawa senja Banjaran Titiwangsa menyegarkan minda selain bikin perut segera berkeroncong.Dek disebabkan hujan lebat kami hanya berkeliling di sekitar resort sambil menikmati pemandangan alam ciptaan Tuhan yang indah.
Kami sengaja meminta kepada pengurusan resort untuk bilik yang tidak menyediakan tv;tujuan utama untuk detox Suhail dari peti tv.Buku-buku yang sememangnya menjadi teman setia kami sekeluarga sepanjang masa di bawa.Suhail membawa beberapa buah koleksi komik Asterix&Obelix,Tintin dan novel Star Wars selain kad UNO.Resort turut menyediakan boardgames seperti catur,scrabbles,congkak dan monopoly,maka malam di Tasik Banding dihabiskan dengan boardgames dan mentelaah buku yang kami bawa.

Keesokkan harinya,20.3.2009,kami akan mengikuti aktiviti Temenggor Walk-menjelajah Tasik Banding untuk melihat bunga terbesar di dunia iaitu Rafflesia yang kebetulan sedang kembang,melihat Empangan Temenggor,sira gajah (tempat gajah berkubang mandi lumpur) dan kampung Orang Asli.

Cuaca agak baik,matahari bersinar galak tetapi awan kamulus-nimbus berarak hitam dari ufuk.Sebelah pagi kami explore persekitaran resort sehingga ke bibir tasik.Memang mendamaikan dengan bunga-bunga dan bunyi unggas.


Jam 2.30 petang kami memulakan eksplorasi bersama-sama dengan rombongan dari Lembaga Getah Malaysia (LGM).2 buah bot laju bergerak diatas permukaan air tasik yang bening.Kami menuju ke sebuah pulau dimana Rafflesia sedang berkembang mekar.

Perjalanan dengan bot mengambil masa lebih kurang 30 minit dan disekeliling dapat dilihat pulau-pulau serta di ufuk banjaran gunung memagari Tasik Banding.Udara dingin menyapa kami dan dengan di buai alunan lembut bot diatas air tasik,mata segera menjadi layu.


Untuk melihat Rafflesia rupanya bukan mudah juga.Melompat dari bot ke tebing yang licin tentunya pengalaman baru kepada Suhail.Dari bibir tasik kena memanjat tebing yang agak curam untuk naik keatas bukit dengan berpegang kepada akar-akar pokok yang berselirat.Untuk memanjat tebing memerlukan effort juga kerana tanah licin berlumpur.Sementelahan pula kami hanya memakai selipar sandal,terlupa untuk membawa kasut.

Dari bibir tasik ke tempat Rafflesia sedang mekar mengambil masa sekitar 10 minit.Mengah juga untuk sampai ke tempat Rafflesia itu tetapi keletihan hilang apabila dapat melihat bunga yang usianya hanya 5 hari setiap kali ia kembang.Rafflesia itu sudah berusia 3 hari dan hampir pudar.Kembali ke bot,baru saya sedari 2 ekor pacat sedang enak menghisap darah.Suhail fascinated melihat pacat yang kemudiannya pecah apabila di pijak.


Dari tempat Rafflesia kami menuju ke sira gajah.Perjalanan kali ini agak jauh,hampir 120km melalui Tasik Banding.Sungguhpun jauh tetapi tidak menjemukan.Suhail terlena diatas bot dibuai angin dingin yang berhembus dari Pergunungan Banjaran Titiwangsa.Kami melaui jambatan yang menyambung Jeli-Pulau Banding-Gerik dan menghala ke Empangan Temenggor.Sepanjang perjalanan dapat dinikmati pulau-pulau kecil dengan pepohonan yang dedaunnya panca warna.

Di tengah perjalanan tiba-tiba bot tersangkak-sangkak dan menjadi perlahan.Jurumudi dan guide bergegas ke belakang membelek enjin bot;seketika kemudian bot kembali melaju.Kami terus menuju ke kawasan Empangan Temeggor.Bot segera meluncur laju semula.Namun 10 minit kemudian,masalah yang sama muncul kembali.Kali ini sudah tidak dapat di baiki,sebuah dari 2 buah enjin tersebut mengalami kerosakan.Mengikut kata jurumudi,bateri bot sudah 'kong'.Perjalanan diteruskan juga dengan sebuah enjin yang masih berfungsi tetapi sudah tidak laju,malah terlalu lembam jadinya.



Sekali lagi terpaksa melompat dari bot ke bibir tasik;sekali lagi terpaksa mendaki tebing curam untuk melihat sira gajah.Perjalanan di dalam hutan yang agak tebal dan lebih jauh dari tempat Rafflesia.Sira gajah atau kubang tempat gajah mandi tanah terletak di pinggir bukit.Mengikut kata guide tempat tersebut di percayai telah turun temurun menjadi tempat gajah beristirehat.Sepanjang perjalanan kelihatan tinja (tahi) gajah dan ada diantaranya masih 'panas'.

Pernah beberapa kali,ketika membawa pelancong kami terserempak dengan sekawan gajah,cerita guide.Mujurlah tidak ada apa-apa yang buruk berlaku kerana mereka dengan segera berundur perlahan-lahan kembali ke dalam bot.

Dari sira gajah kami berpatah balik ke pinggiran tasik.Rupa-rupanya jurumudi bot kami gagal mendapatkan bateri baru.Maka terpaksalah menaiki bot yang rosak dengan kelajuan minimum.Beberapa program lain seperti ke Kampung Orang Asli terpaksa di batalkan;juga rancangan dengan Suhail untuk bermain rakit buluh turut tergendala.

Cuma diri terasa puas apabila dapat menikmati fenomena alam di tengah tasik di waktu senja.Alangkah indahnya alam ciptaan Al-Khalik waktu melihat warna senja yang membentuk keindahan yang sukar dinyatakan.Terasa diri terlalu kerdil-hanya seumpama titik kecil dari seluruh mayapada-dan lidah tidak berhenti bertasbih,Subhanallah,Maha Suci Allah yang mencipta dan menganugerahkan keindahan yang tiada taranya.Dan seperti biasa picu kamera di petik beberapa kali dengan lensa mengabadikan keindahan ciptaanNYA.
Malam itu kami tidur dengan lenanya.Aktiviti seharian begitu meletihkan.Dan esok perlu mengharungi perjalanan panjang untuk kembali ke rumah di Temerloh.
Kami memilih mengambil jalan pulang melalui Gerik dan makan tengahari di Kuala Kangsar.Dari Kuala Kangsar melalui Lebuhraya Utara-Selatan kami mengambil exit Tanjung Malim.Kami masuk ke pekan Tanjung Malim dengan tujuan untuk menunjukkan lokasi UPSI yang bersejarah kepada Suhail.Saya jelaskan peripentingnya UPSI atau dahulunya di kenali SITC (Sultan Idris Teaching College) kepada sejarah perjuangan nasionalisme Melayu.Saya sebut nama beberapa tokoh seperti Pendita Za`aba yang terkenal dengan Suluh Budiman,Aminuddin Baki,Tun Ghafar Baba,Ibrahim Hj Yakob dan beberapa tokoh lain.Saya nyatakan bahawa mereka ini merupakan inteligentsia Melayu yang berjuang untuk membebaskan diri dari penjajah dan tokoh persuratan Melayu yang mendaulatkan Bahasa Kebangsaan.Semoga putera kami ini dapat mengerti dan memahami perjuangan serta jasa para pejuang terdahulu,mudah-mudahan.































No comments: