Seorang teman, mengutuskan mesej lewat sms yang antara lain menyebut PKR akan merudum imejnya dimata rakyat dan sukar dipercayai jika kedua-dua exco Kerajaan Negeri Perak benar-benar melompat ke UMNO.Saya tertawa kerana mengetahui perangai teman ini,lambat laun,sms sebegini akan dilontarnya.
Hakikatnya didalam mana-mana perjuangan,baik di Tanahair kita mahupun di empat penjuru dunia ini,pengkhianatan dalam perjuangan bukan perkara asing.Selagi manusia bergelar manusia pasti akan ada pengkhianat di dalam perjuangan.Saya kira PAS sebagai sebuah parti yang cukup lama bertapak sudah tentu berulangkali melalui pengalaman ini dan punya cukup ramuan untuk menangkisnya.Bukankah mantan Presiden PAS sendiri,Allahyarham Dato Asri Muda mengakhiri karier politiknya didalam UMNO?
Ertinya isu pengkhianatan atau keluar parti bukanlah milik Keadilan semata-mata.Kesemua Parti didalam Pakatan Rakyat sudah jenuh melalui pengalaman ini; Keadilan sebagai parti politik yang masih muda (tetapi tua di dalam usia),apabila terjadi pengcekcokan sebegini,maka sudah tentu lensa kamera terarah dengan lebih fokus.Soalnya,bagaimana untuk mengatasi kemelut di Perak dari merugikan perjuangan Pakatan Rakyat,persoalan ini seharusnya menjadi maudhuk nombor wahid.
Dan bukankah kalau tidak kerana Sang Rajuna Tapa membuka pintu kota Temasik,Pulau itu tidak akan jatuh kepada tentera Majapahit?Atau kalau tidak kerana Raja Mendiliar dan konco-konconya,apakah Melaka akan terlepas ke tangan Feringgi?
Tetapi saya bukan bersikap apologetiks.Seperti juga sentimen teman saya itu saya cukup bimbang dengan perkembangan yang berlaku.Mudah-mudahan akan ada natijah yang baik dari episod yang sedang berlaku di Perak!
nota kaki:
Sewaktu saya menulis entry ini,Malaysiakini melaporkan kedua-dua exco tersebut telah mengemukan surat perletakkan jawatan sebagai ADUN.Speaker Dewan Undangan Negeri Perak telah mengumumkannya dan akan memaklumkan kepada SPR bagi membolehkan Pilihanraya Kecil diadakan dalam tempoh 60 hari.Dalam reaksi segera,Jamaludin Mat Radzi,salah seorang EXCO/ADUN Behrang terbabit menafikan beliau telah meletakkan jawatan dan menyatakan surat tersebut sebenarnya tidak bertarikh beliau tandatangani didalam bulan Mac 2008.Surat perletakkan jawatan tanpa tarikh tersebut khabarnya di simpan oleh MB Perak.
Jika tidak silap ingatan,ada keputusan Mahkamah Tinggi di Sabah yang memutuskan surat perletakkan jawatan sebegini rupa tidak di iktiraf dan ultra vires Perlembagaan Persekutuan.Perlu research isu ini.
1 comment:
salam,adat dalam perjuangan ada yg tewas dan ada yg tersungkur..yg akan sampai ke garisan penamat dgn kemenangan ialah pahlawan kental dan tahan diuji
Post a Comment