Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Sunday, February 1, 2009

DIA LELAKI PEMBERANI


Dia anak muda yang tidak punya apa-apa.Dia lelaki yang hanya inginkan keredhaan Allah dan membahagiakan keluarganya-isteri dan tiga cahaya mata,seorang puteri dan dua orang putera.Anak-anaknya masih kecil yang sulung masih belum mencapai umur persekolahan.

Seumur hidupnya tidak pernah terfikir untuk menjadi terkenal apatah lagi mengundang kontroversi.Anak muda ini sekadar ingin hidup sederhana sambil menunaikan amanah sebagai seorang imam.Sebagai lulusan sekolah agama di Penanti,beliau layak sebenarnya untuk melanjutkan pelajaran agama ke Timur Tengah.Bukankah setiap anak pondok bercita-cita melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah yang sudah menjadi semacam destinasi wajib.Cuma dia tidak berkesempatan,tuntutan hidup yang jauh dari mewah tidak memungkinkah dia kesana.

Apabila ada lowongan kerjaya sebagai Imam di bawah JAKIM,beliau melamarnya dan dengan penuh kesyukuran beliau dilantik menjadi Imam di Masjid Wilayah Persekutuan yang tersergam indah.Selain sebagai Imam,anak muda ini diamanahkan menjadi Ketua Amil,Jurunikah dan penyelia jenazah yang kesemuanya dilaksanakan dengan amanah dan dedikasi.Semua tugas sampingan ini selain darpada menjadi tanggungjawab juga dapat menambah pendapatannya disamping elaun sebagai Imam Hafiz.Masa terluang tidak disia-siakan,demi mengejar cita-cita menambah ilmu dan untuk masa depan beliau mengikuti pengajian di UKM dalam bidang syariah dibawah program Pengajian Jarak Jauh.

Anak muda ini ialah Ramlang bin Porigi.Ada darah Bugis mengalir di urat nadinya.Anak kelahiran Sandakan ini dibawa berhijrah ke Pulau Pinang dalam usia belasan tahun dan terus menekuni ilmu agama di Penanti. Namun kehidupan Ramlang tiba-tiba berubah.Semuanya gara-gara kebiadapan dan kebuasan pemimpin negara;segala-galanya berubah apabila ada petinggi agama yang sanggup menggadai maruah dan agama untuk tunduk kepada kehendak pemimpin negara yang bankrup moral.

15.8.2008 menjadi batu tanda yang mengubah hidup Ramlang.Tarikh sial itu akan terpahat didalam ingatan Ramlang dan jutaan warga betapa institusi masjid dan betapa institusi agama di perkudakan bagi menghalalkan fitnah dan `character assasination' terhadap Anwar Ibrahim.Memang belum pernah dalam sejarah bangsa,Masjid,sebagai sebuah institusi yang sakral di jadikan medan untuk bersumpah bagi menghalalkan tuduhan keji yang belum terbukti semata-mata untuk mempalitkan aib kepada Anwar.Untuk menampakkan kewenangan sumpah tersebut maka majlis itu perlu di bumbui dengan istilah Arab-Sumpah Mubahalah.Moga-moga rakyat akan percaya dan jika tidak percaya sekalipun,moga-moga rakyat akan keliru bahawa tuduhan itu adalah benar dan Si Penuduh punya karakter yang cukup sempurna dari sudut Syarak dan akhlak seorang muslim sejati untuk mengiakan tuduhannya.Ini yang cuba ditonjolkan dengan mempergunakan Masjid dan dengan restu pihak berwenang Agama.Maka dari sinilah Ramlang `terjerat' akibat miskinnya akal budi Atasannya.

Hari itu,seperti biasa Ramlang hadir ke Masjid.Sudah menjadi kelaziman,walaupun beliau tidak mengimami solat,beliau akan tetap ke Masjid untuk berjemaah.Menjelang asar,pegawai beliau di Masjid Wilayah mengarahkan beliau dan tiga orang Imam yang lain supaya menjadi saksi suatu Majlis Sumpah diatas arahan Pengarah JAWI.Sumpah tentang apa?Siapa yang bersumpah?Untuk maksud apa sumpah tersebut dan 1001 persoalan bermain di benak Ramlang.Anak muda ini mengkesampingkan persoalan-persoalan tersebut untuk terus khusyuk mengerjakan solat Asar.

Seusai solat,Ramlang segera menjalankan upacara Akad Nikah yang beliau menjadi jurunikahnya.Sempurna majlis Ijab dan Kabul tersebut,Ramlang berjumpa dengan Pengarah JAWI,Dato' Che Mat bin Che Ali di Pejabat Masjid.Di situ,dengan tegas beliau menerima arahan untuk hadir sebagai saksi majlis sumpah seorang lagi anak muda bernama Mohd Saiful Bukhari Azlan.Dan di pejabat itulah baru beliau mendapat jawaban kepada persoalan yang bermain di benaknya.Sepanjang yang beliau ketahui,tidak pernah sebelum ini mana-mana Imam atau pegawai masjid diarahkan menjadi saksi majlis sumpah malah sepanjang pengetahuan Ramlang,tidak pernah majlis brsumpah dibuat di masjid dengan penglibatan pihak berkuasa agama.

Tentunya timbul tandatanya di fikiran Ramlang,wajarkah Majlis Sumpah ini?Apa keperluan majlis seumpama ini sedangkan kes masih di dalam siasatan?Kenapa tidak di buat di mahkamah?Sebagai anak muda yang membesar dalam gelora Reformasi berikutan pemecatan dan konspirasi fitnah terhadap Anwar sedekad sebelumnya,Ramlang tidak naif,kerana beliau tahu,keesokkan harinya,16.8.2008 adalah hari penamaan calon Pilihanraya Kecil Permatang Pauh dimana Anwar Ibrahim menjadi calon.

Tetapi arahan tetap arahan,apatah lagi arahan datangnya dari pegawai atasan,Pengarah JAWI sendiri.Tidak mungkin sebagai orang kecil Ramlang mampu mengingkarinya.Ramlang tidak punya pilihan melainkan akur kepada arahan tersebut.Kebetulan Ramlang sempurna berpakaian didalam busana rasmi-jubah dan songkok khas-pakaian rasmi ketika menjalankan upacara akad nikah,maka beliau di tunjukkan untuk duduk hampir dengan Saiful Bukhari.

Wartawan begitu ramai,kabel dan wayar kamera televisyen dan video bergentayangan.Tidak mungkin majlis sumpah ini diadakan dengan spontan,tentunya majlis ini sudah di rancang rapi,begitu agaknya bisik hati kecil Ramlang.Saiful Bukhari,bapanya dan seorang lelaki Melayu yang kemudiannya diketahui peguam kepada Saiful Bukhari sudah siap sedia.

Majlis tersebut diadakan di Dewan Solat;Saiful Bukhari memulakan majlis apabila diarahkan oleh seorang lelaki Melayu yang Ramlang tidak kenali dengan membaca lafaz sumpah dari teks bertulisan rumi yang dibawa sendiri olehnya.Dan dari teks yang dibaca itu,Ramlang secara spontan membetulkan sebutan Saiful apabila tersilap menyebut lafaz "watallahi" selain Saiful turut tersilap menyebut tarikh kejadian pada 26.8.2008 (tarikh pembuangan undi PRK Permatang Pauh).

Alangkah terkejutnya Ramlang apabila mendengar lafaz sumpah Saiful Bukhari kerana beliau tidak menyangka majlis tersebut bersifat sumpah sedemikian;Sumpah Mubahalah dengan lafaz sumpah yamin al-kubra,bukanlah perkara main-main kerana implikasi yang cukup besar menurut Perundangan Islam.Manakala Ramlang melihat mimik muka dan bahasa badan Saiful Bukhari,tiada sebarang tanda menunjukkan dirinya seorang yang teraniaya atau di dalam trauma malah kelihatan ceria dengan perhatian yang diberikan oleh para wartawan.

Selesai Majlis tersebut Ramlang di hampiri oleh lelaki yang dikenali dengan nama Sarjan Abdullah dari Cawangan Khas,PDRM yang turut menghadiri Majlis tersebut;Sarjan Abdullah meminta nama penuh beliau untuk diberikan kepada wartawan.Selepas solat maghrib,Ramlang berjumpa dengan Pengarah JAWI dan bertanyakan apa yang perlu dilakukannya kerana muka beliau difokuskan oleh kamera tv.Pengarah JAWI antara lain menjawab:`Kalau orang tanya ana,ana jawab kebetulan sahaja ada di Masjid nak tengok keadaan masjid kot-kot ada kebakaran ke.Bila tengok security duk tahan wartawan,tu yang ana bergegas naik ke masjid'.Ramlang termangu mendengar jawaban seumpama lempar batu sembunyi tangan dari Atasannya itu kerana bukan sahaja Pengarah JAWI yang memberikan arahan malah duduk bersekali didalam majlis tersebut diselangseli orang ramai dan wartawan.

Malam itu terlalu sukar untuk Ramlang memicingkan matanya.Semenjak jam 9 malam telefon bimbitnya tidak berhenti berdering-panggilan dan sms bertubi masuk.Kebanyakkan sms melahirkan kekesalan pengirim akan keterlibatan Ramlang di dalam sumpah Saiful Bukhari disamping mesej-mesej yang mencela beliau.Kesemua stesen televisyen menayangkan berulangkali berita berserta visual majlis sumpah berkenaan dengan gambar dan nama Ramlang Porigi sebagai Imam yang menjadi saksi dicanangkan.Kegelisahan Ramlang bukan kerana celaan yang diterimanya semata-mata tetapi kekhuatiran tentang apa yang berlaku di masjid samada bertepatan dengan syarak atau sebaliknya kerana Ramlang cukup bimbang bersubahat dengan perkara yang bertentangan dengan hukum.Menjelang dinihari barulah Ramlang dapat memejamkan matanya setelah beliau membuat keputusan untuk mendapatkan nasihat dan pandangan dari mereka yang lebih arif dalam fiqh-ustaz-ustaz dan tuan guru.

Daripada pandangan mereka yang arif dan berdasarkan apa yang beliau pernah pelajari,Ramlang menarik kesimpulan bahawa sesungguhnya Sumpah Mubahalah Saiful Bukhari tersebut tidak memenuhi kehendak syarak dan bertentangan dengan fiqh.Malah kepada Ramlang sumpah tersebut sebenarnya tidak lebih dari Sumpah Laknat.Ramlang menjadi gelisah,hati kecilnya berkata bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk memperbetulkan keadaan ini,baginya maruah dan harga diri perlu di kembalikan.

Sementara itu,laman web dan blog riuhrendah menyerang dan mencela Ramlang.Kejian seperti :`Imam celup tepung',`Kurang ajar punya imam',`Berapa ustaz dapat habuan'.`Inilah orang yang ada agama sanggup bersekongkol dengan pemfitnah demi kepentingan duniawi'.`Ustaz Ramlang bin Porigi bukannya imam tetapi penjaga halehwal b****t',dan pelbagai celaan lain.Pada mulanya Ramlang tersinggung juga,tetapi apabila memikirkan mereka sebenarnya tidak mengetahui perkara sebenar yang berlaku,hatinya kembali sejuk.

Ramlang tidak sanggup bersekongkol dan bersubahat dengan perkara syubahah yang bertentangan dengan hukum.Ilmu dan didikan agama yang ditekuninya sejak kecil tidak memungkinkan beliau dapat berkompromi dengan kebejatan.Ramlang cukup bimbang jika ada makmum yang mufarakah dari solat jika mengetahui dirinya yang menjadi imam;bagaimana mahu berdepan anak qariahnya sedangkan beliau tahu dan yakin sumpah Saiful Bukhari adalah Sumpah Laknat yang bertentangan dengan syarak.Ramlang cukup takut dengan kemurkaan Allah.Air muka diri dan maruah pegawai agama serta institusi Masjid juga perlu di bersihkan.

Inilah sebenarnya yang menjadi motivasi Ramlang untuk hadir ke Permatang Pauh;selain dari desakan hati nuraninya untuk membantu saudara seagama dan sebangsa,Anwar Ibrahim,yang berterusan difitnah dan dizalimi.Ramlang cukup sedar risiko yang bakal dihadapinya-kerjaya dan keselamatan diri serta mengarifi beliau akan banyak kehilangan;namun kepada Ramlang,kebenaran dan yang haq wajar di pertahankan dan beliau bertawakkal kepada Al Khalik.Dan Ramlang tidak meminta sebarang imbalan atau apa-apa suguhan.

Maka hari ini,melalui surat bertarikh 20.1.2009,JAKIM mengambil keputusan menjatuhkan hukuman buang kerja terhadap Ramlang.Memang benar Ramlang telah banyak kehilangan apabila mengambil keputusan hadir ke Permatang Pauh dan inilah risiko yang telah beliau jangkakan.Namun anak muda ini tetap tabah dan tenang kerana seperti yang beliau selalu sebut:bumi Allah ini luas.Dan sesungguhnya Dia Lelaki Pemberani.


3 comments:

mh-j said...

Very, very good write-up.....
Semuga Allah s.w.t murahkan rezeki Sdr Ramlang dan keluarga and protect them against all evil doings of filthy politicians!!!

afna said...

Rezeki Allah tu dimana-mana. Disebabkan ada unsur politik didalam keseluruhan peristiwa ini, bila lagi sahabat-sahabat didalam kerajaan PR yg memerintah tu nak hulurkan bantuan berupa peluang pekerjaan utk ustaz kita ni. Nak harap siapa lagi kalau bukan org kita...

cucu awang teh said...

good posting,semoga Allah membuka pintu rezeki untuk Sdr Ramlang dengan seluas-luasnya..