Malaysiakini hari ini melaporkan Ketua Polis Negara telah mengeluarkan arahan semua ceramah politik diharamkan di Negeri Perak sehingga `keadaan kembali normal'.Malaysiakini turut melaporkan kenyataan daripada Sdr.Tien Chua,Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat bahawa Kementerian Dalam Negeri telah merampas leih dari 20000 naskah akhbar Suara Keadilan.
Membaca kedua-dua berita tersebut,dapat difahami bahawa ada usaha terancang oleh Kerajaan untuk cuba menutup aliran maklumat kepada rakyat.Hal ini jelas dari hakikat bahawa Pakatan tidak mendapat akses kepada media arus perdana-tv dan akhbar perdana-dan wahana penyampaian maklumat cukup terhad kepada akhbar milik parti dan alternatif,ceramah dan internet.
Pada perkiraan BN,dengan mengharamkan ceramah dan merampas akhbar milik parti,akan dapat meredakan keberangan rakyat dan aliran maklumat akan dapat dikawal serta terarah dari suatu sumber iaitu dari pihak mereka.Dalam keadaan demikian,BN mengharapkan persepsi rakyat dapat diolah menurut acuan mereka.
Sebenarnya,kritikan dan kecaman layanan tidak adil PDRM dan KDN kepada pembangkang bukan perkara baru.Tuntutan agar pemimpin Pakatan diberi ruang di kaca TV-RTM bagi siar jam 3 pagi pun tak apa,YAB MB Kelantan dilaporkan pernah berkata-sering dibuat tetapi sehingga ke hari ini,Kerajaan BN yang mengaku menjuarai demokrasi,tidak pernah melayani tuntutan itu.
Dalam demokrasi yang sihat dan matang,hak untuk bersuara dan berhimpun merupakan keperluan fundamental.Malah dissenting voice dilihat sebagai keperluan yang perlu diambil endah oleh pemerintah dalam mengujudkan persekitaran politik yang sihat.Bagi melahirkan suatu masyarakat yang celik maklumat dan upaya membentuk masyarakat madani (civil society),maka kebebasan bersuara dan berhimpun menjadi pra syarat utama.
Budaya `membonsaikan' (meminjam istilah Sdr.Hishamudin Rais) pemikiran dan minda rakyat yang dilakukan dengan penuh tekun oleh UMNO/BN semenjak lebih dari 5 dasawarsa ini,kepada saya adalah dosa yang tidak terampunkan.Rakyat disuap dan dipaksa menerima maklumat versi mereka dengan tanggapan pemikiran rakyat dapat diolah agar berterusan menyokong mereka.
Dissenting voice dianggap suatu dosa dan kemudiannya akan diberikan pelbagai label seperti penderhaka,tidak tahu mengenang budi dan pelbagai lagi dicanangkan.Pada masa yang sama maklumat yang dianggap tidak menguntungkan mereka seperti rasuah atau kezaliman yang berlaku akan disembunykan dari pengetahuan rakyat.
Regim BN cuba membentuk rakyat yang `dirobotkan' supaya hanya patuh membutatuli kepada mereka.George Orwell,pengarang Inggeris yang tersohor didalam novelnya yang terkenal,1984,menukilkan masyarakat yang sebegini yang kononnya bagi membentuk masyarakat utopia.Slogan BIG BROTHER IS WATCHING YOU yang menjadi peringatan kepada rakyat bahawa mereka tidak ada pilihan melainkan taat kepada pemerintah (menarik disentuh George Orwell memberikan gelaran The Ministry Of Truth atau akronimnya,MiniTrue yang,saya kira,semacam Kementerian Penerangan di Malaysia).
Seperti novel 1984 tersebut,inilah yang sedang berlaku di Malaysia.Anda siarkan berita yang tidak menguntungkan kami,akhbar anda akan dirampas dan permit penerbitan anda akan dibatalkan;anda berceramah menjelaskan isu yang merugikan kami,anda tanggung akibatnya didakwa dibawah Akta Polis atau Akta Hasutan atau anda bakal mendekam di Kamunting!Maka pelbagai alasan akan dicipta bagi mengekang kebebasan ini dan yang paling popular atas premis `security'.Awas!Seluruh aparat pemerintah sentiasa memerhatikan.
Inilah budaya yang telah dibentuk sekian lama oleh pemerintah dan dari budaya ini juga yang membentuk acuan politik UMNO.UMNO/BN menjadi relevan selama ini hanya semata-mata disebabkan pendekatan songsang kerana jika ujud kebebasan bersuara dan berhimpun didalam ertikata yang sebenarnya,saya cukup yakin,sudah lama UMNO/BN di kuburkan oleh rakyat.Selama mana pemikiran rakyat dapat dibonsaikan,maka selama itulah UMNO/BN akan terus relevan.
Mereka akan terus mempertahan status quo ini kerana mereka tidak ada pilihan.Dalam proses mempertahan status quo ini maka seluruh state apparatus akan digunakan tanpa segan silu bagi menekan perjuangan rakyat;kerana itulah kita melihat bagaimana PDRM,SPR,BTN,KEMAS dan pelbagai agensi kerajaan di eksploitasi sedemikian rupa untuk mengekalkan kekuasaan UMNO/BN.Mereka tidak ada keberanian politik,malah moral juga,untuk berhadapan dengan rakyat secara demokratiks dan telus.
Membaca kenyataan Ketua Polis Negara itu,timbul persoalan apakah yang dimaksudkan dengan keadaan `kembali normal?'Siapakah yang menentukan keadaan kembali normal atau sebaliknya dan diatas piawaian apa ketentuan tersebut?Isu ini penting khususnya jika kita memahami bahawa status Darurat di Malaysia sebenarnya tidak pernah ditarik balik atau dibatalkan!Saya percaya tidak ramai yang menyedari bahawa dari sudut perundangan,Malaysia masih lagi didalam situasi Darurat.
Undang-undang lapuk dari zaman Darurat masih lagi berkuatkuasa seperti Emergency Ordinance,ESCAR dan yang sebagainya.Saya akan menulis tentang perkara ini secara khusus didalam kesempatan yang lain;tetapi yang ingin disampaikan,sekiranya setelah puluhan tahun Darurat berakhir (malah Tembok Berlin yang menjadi metafora Perang Dingin telah pun lama runtuh sejak tahun 1989 dan Parti Komunis Malaya sudah tidak menjadi ancaman berikutan Perjanjian Damai Hatyai 1989),status tersebut tidak pernah ditarikbalik,maka apakah sandaran bahawa keadaan 'akan kembali normal' yang dinyatakan oleh KPN itu akan direalisasikan?Maka bolehkah kita mengharapkan hanya setelah KPN mengistiharkan 'keadaan kembali normal' maka ketika itu baru kita mahu berceramah semula sedangkan dalam waktu yang sama UMNO/BN akan berterusan menyerang dan memperdaya rakyat melalui media dan alat negara?
Saya fikir,kita tidak punya pilihan melainkan untuk meneruskan dengan ceramah dan majlis penerangan di seluruh Negeri Perak.Kita tidak boleh sekadar menunggu `keadaan kembali normal' yang entah sampai bila.Jika kita akur dengan arahan BIG BROTHER ini,bererti kita mengambil sikap defeatist,yang saya kira tidak ada dalam kamus perjuangan.Kenyataan Sdr.Tien Chua bahawa `Pakatan to defy Ceramah ban in Perak' adalah pendekatan yang tepat.Diatas premis ini,saya kira,pilihan yang ada samada akur dengan pangharaman tersebut sehingga 'keadaan kembali normal' atau kita mengambil sikap melintang patah membujur lalu;dan tentunya tuntutan perjuangan tidak mengizinkan kita sekadar berpeluktubuh.Seperti yang pernah di tulis oleh George Orwell,totalitarianism if not fought against,could triumph anywhere.Maka kita tidak ada pilihan melainkan,Lawan Tetap Lawan.
No comments:
Post a Comment