Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Tuesday, February 10, 2009

Catatan Kecil Terang Bulan #3

MORAL DAN TUNTUTAN PERJUANGAN


Akhirnya Sdr.V. Arumugam melepaskan semua jawatannya.Bermula dengan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah,beberapa jam kemudian beliau mengambil keputusan untuk turut meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau.Saya kira bukanlah suatu keputusan yang mudah untuk V.Arumugam melepaskan kesemua jawatan itu.Tentunya beliau telah memikirkan dari segenap sudut sebelum membuat keputusan sedemikian.

Sementara kita menghormati keputusan beliau itu (dan mengucapkan tahniah kerana bersikap berani dan gentleman),keprihatinan saya lebih kepada sebabmusabab yang mendorong V Arumugam mengambil keputusan drastiks tersebut.

Pendedahan mantan Exco Kerajaan Negeri Kedah tersebut bahawa terdapat percubaan secara agresif untuk mempengaruhinya `melompat' ke BN dengan kaedah yang tidak bermaruah sebenarnya mendedahkan ada yang sangat tidak kena dengan budaya politik tanahair.Percubaan menculik,ugutan,rasuah dan insiden cermin kereta rasmi beliau di pecahkan dengan batu yang terikat nota ugutan membayangkan ada yang tidak beres.

V Arumugam turut mendedahkan beliau dipujuk oleh agen-agen BN yang menawarkan wang jutaan ringgit sekiranya beliau bersetuju untuk meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) untuk menyertai UMNO dan pujukan/tawaran ini telah bermula sejak selepas 8 Mac 2008 lagi.Cuma dengan `keimanannya' yang kukuh beliau dapat menangkis `temptation' tersebut dan terus bersetia dengan perjuangan Pakatan.Walaupun laporan Polis dibuat,namun menurut V Arumugam,tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berwajib yang akhirnya V Arumugam mengambil keputusan melepaskan semua jawatan di dalam kerajaan dan ADUN Bukit Selambau.

Sebagaimana saya percaya V Arumugam tidak pernah menyangka akan menduduki Kerusi Exco Kerajaan Kedah berikutan kemenangannya dalam PRU lalu,beliau juga tentu tidak menyangka pengalaman sebegitu yang perlu dilaluinya sebagai ahli politik dan ADUN yang dipilih oleh rakyat.Dan ini ditambah pula,khabarnya,dengan masalah peribadi V Arumugam sendiri yang diambil kesempatan oleh BN untuk mengdiskredit beliau.Mungkin watak beliau sebagai bekas perajurit (anggota TUDM) yang setia kepada perjuangan maka beliau memilih untuk berundur dari menjadi beban kepada Pakatan.

Saya melihat isu ini jauh melangkau dari apa yang berlaku terhadap saudara V Arumugam.Saya melihat bagaimana BN menggunakan apa sahaja kaedah untuk mempastikan hegemoni kekuasaan mereka tidak tergugat.Maka budaya ugutan,rasuah dan intimidasi (intimidation) politik berleluasa tanpa ada pertimbangan moral.Pada masa yang sama kelihatannya pihak berwenang seperti Polis dilihat gagal menjalankan fungsi mereka.

Sesungguhnya apa yang berlaku memperlihatkan betapa rendahnya akalbudi pemimpin BN.Kepada mereka,kekuasaan adalah segala-galanya dan apa jua kaedah boleh digunakan asalkan matlamat mengekalkan kekuasaan itu berjaya.Maka budaya rasuah,intimidasi dan 1001 kaedah dihalalkan.

Lihat bagaimana isu perkauman cuba dimainkan dari pengalaman yang di lalui oleh YB Teresa Kok beberapa bulan yang lalu.Dan isu perkauman yang cuba melagakan antara orang Melayu vs Cina vs India ini akan terus didendangkan oleh pemimpin UMNO.Walaupun permainan api perkauman ini bukan perkara baru,malah sudah menjadi semacam trade mark UMNO setiap kali mereka tersepit,namun dendangan dan kipasan perkauman kelihatannya akan terus dihangatkan.Para pencacai dari kalangan pengemudi media akan berterusan memainkan isu ini guna membentuk persepsi bahawa orang Melayu tersepit dan UMNO sahajalah yang layak menjadi Dewa Penyelamat.

Ini hanyalah secebis dari kenyataan yang berlaku hari ini.Saya boleh menyenaraikan senarai yang lebih panjang tentang politik mual yang ditunjangi oleh UMNO termasuk sikap hipokrit mereka,jika di lihat dari isu yang membabitkan Sultan Perak.Sdr Karpal Singh dan YAB Ir.Nizar Jamaludin,MB Perak yang sah dijadikan sasaran selain menuding jari kepada Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai derhaka.Bukankah UMNO sendiri di pertengahan tahun 1980-an dan di awal 1990-an menghina Raja-raja Melayu berterang-terangan dan bukankah ada MB Perak dari UMNO yang bernama Ghazali Jiwa berkonfrontasi dengan Sultan Perak ketika itu seperti yang di tulis oleh Mohd Sayuti Omar didalam blognya,merahtinta?

Bagaimana pula dengan kedudukan ekonomi negara?Agihan kekayaan yang tidak adil dan menguntungkan mereka yang hampir dengan pemimpin?Dasar pendidikan yang harubiru dengan Universiti-universiti tempatan tidak lagi di lihat sebagai yang terbaik?Kebejatan akhlak dan meningkatnya keruntuhan moral di kalangan rakyat?Bagaimana dengan masalah dadah nampaknya tidak ada jalan penyelesaiannya?Atau rasuah yang tetap gagal dibendung malah kian bercambah menjelang pemilihan UMNO?Atau melihat bagaimana institusi agama turut dijadikan perkakas sepertimana pengalaman Ustaz Ramlang Porogi?Malah didalam bidang sukan pun Malaysia sudah disisihkan?

Kesemua yang berlaku ini menuntut suatu pendekatan politik yang jitu dan ampuh bagi mempastikan kebejatan ini dihapuskan.Pada hemat saya,tidak mungkin disandarkan harapan untuk membersihkan segala noda selama lebih setengah abad ini kepada kepimpinan negara yang ada sekarang.Bagaimana mungkin mengharapkan kepada mereka sedangkan sebahagian besar mereka ini turut bergelumang didalam debu yang memualkan itu.

Hanya pemimpin yang mempunyai iltizam politik yang tinggi,yang punya kekuatan moral dan political will serta keperkasaan minda disamping kejujuran yang boleh membawa Malaysia keluar dari kancah petaka ini.Malangnya ciri-ciri tersebut nampaknya tidak kelihatan dikalangan pemimpin BN.

Maka pilihan yang ada adalah dari kalangan pemimpin Pakatan Rakyat.Kepada saya,kita sudah kesuntukkan masa jika terus membiarkan keadaan negara porakperanda.Benar,ada yang akan berhujjah,makanpakai rakyat Malaysia mencukupi dan kita lebih baik dari Negara...,tetapi hidup dan kehidupan sebagai rakyat bukan semata-mata sekadar cukup makanpakai sahaja kerana yang lebih penting,pada hemat saya adalah keadilan dan harkat dan maruah sebagai rakyat negara merdeka.

Ertinya,didalam hal ini pendekatan politik yang bijak wajar dicari;kebijaksanaan (dan tuntutan) adalah dengan segera mengambilalih kepimpinan Negara.Kita sudah tidak punya pilihan melainkan kita tega melihat negara ini terus dihancurkan oleh mereka yang sudah terhakis keperibadiannya.

Kepada saya hujjah kononnya mana-mana MP atau ADUN yang meninggalkan kepompong perjuangan lama berhijrah kepada perjuangan Pakatan atau mana-mana pemimpin yang mengambil inisiatif untuk menjemput mana-mana pemimpin BN menyeberang,tidaklah boleh dikatakan sebagai tidak bermoral.Selagi modus operandi yang digunakan itu tidak bertentangan dengan prinsip demokrasi serta mengambil berat kepada soal halal haram yakni bukan dengan rasuah atau intimidasi atau ugutan,maka ianya bukan suatu langkah yang tidak bermoral.Jika kaedah sebaliknya yang digunakan seperti dilakukan oleh BN,saya akan bersetuju dengan kritikan tersebut.
Mana-mana pemimpin yang sekadar melihat dan mengkritik tetapi gagal mengambil inisiatif untuk memperbaiki kebejatan serta tega membiarkan Negara di rosakkan,kepada saya,pemimpin jenis inilah sebenarnya yang tidak bermoral.Sebesar mana moral pemimpin jika membiarkan rasuah,perkauman,polong ISA dan kekayaan negara di angkut pemimpin bebal tanpa ada upaya untuk membaikinya.Sebesar mana kecintaan pemimpin kepada negara jika hanya sekadar mengkritik tanpa ada upaya untuk menegakkan demokrasi dan keadilan?
Ertinya,ada tuntutan dan obligasi moral kepada setiap pemimpin Pakatan-beban ini tidak harus dipikul oleh Dato Seri Anwar Ibrahim seorang-untuk segera mengambilalih pemerintahan negara bagi membaiki segala kebejatan ciptaan UMNO dan mengembalikan harkat dan maruah rakyat.Kita sudah kehilangan banyak waktu,dengan segala pengcekcokkan sesama sendiri,kerana saya bimbang,disebabkan kealpaan,kita gagal meraih dan memanfaatkan `masa emas' ini.
Saya akan cukup berterima kasih-dan saya percaya ramai dari kalangan warga yang prihatin dan mencintai tanahair berkongsi sentimen yang sama dengan saya-jika Dato Seri Anwar Ibrahim vis-a-vis pemimpin Pakatan yang punya kekuatan moral yang tinggi untuk berikhtiar dan berjaya mengambilalih pemerintahan negara dari BN.Jika tidak,saya bimbang generasi akan datang akan mencerca diatas kegagalan kita hari ini sebagai pemimpin yang tidak bermoral kerana mewariskan negara yang tungganglanggang kepada mereka.





No comments: