Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )
Showing posts with label sejarah/umum. Show all posts
Showing posts with label sejarah/umum. Show all posts

Monday, August 31, 2009

Teks Pemasyuran Kemerdekaan Oleh Tunku Abdul Rahman



PEMASYURAN KEMERDEKAAN

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani, segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa dan selawat dan salam ke atas sekalian RasulNya.
Bahawasanya kerana telah tibalah masanya bagi umat Persekutuan Tanah Melayu ini mencapai suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia.

Dan bahawasanya kerana dengan perjanjian yang disebut namanya Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 yang diperbuat antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu, maka, telah dipersetujui bahawa Negeri-negeri Melayu, iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Perak serta negeri yang dahulunya dinamakan Negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang mulai 31 hari bulan Ogos tahun 1957, hendaklah menjadi sebuah Persekutuan baharu bagi negeri-negeri yang bernama Persekutuan Tanah Melayu.

Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak dalam perjanjian tersebut, iaitu Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa kedaulatan baginda ke atas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu.

Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak yang tersebut, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948, dan segala perjanjian yang lain ada sekarang antara Duii Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja ataupun salah seorang daripada baginda itu sebelum tarikh yang tersebut hendaklah dibatalkan mulai daripada tarikh itu, dan semua kuat kuasa dan hak Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen ataupun Parlimen Negeri United Kingdom dalam Negeri-negeri Selat ataupun Persekutuan Tanah Melayu seluruhannya adalah tamat dengan sendirinya.

Dan bahawasanya kerana Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu, Parlimen Negeri United Kingdom dan Majlis-majlis Undangan Persekutuan dan Negeri-negeri Melayu telah meluluskannya, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957 itu berjalan kuat kuasanya.
Dan bahawasanya kerana suatu perlembagaan bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad baginya.
Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-duli Yang Maha Mulia-Raja-raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.
Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang diadakan oleh Majlis Undangan Persekutuan yang tersebut itu telah diluluskan oleh suatu undang-undang yang diadakan oleh Majlis Undangan Persekutuan serta dengan undang-undang yang diadakan oleh negeri-negeri Melayu dan dengan ketetapan-ketetapan dalam Majlis Undangan Negeri Melaka dan Pulau Pinang, dengan demikian Perlembagaan itu telah berjalan kuat kuasanya pada 31 hari bulan Ogos tahun 1957.
Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdu Rahman Putra ibni Aamarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Negeri Melayu dengan ini memasyurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah melayu bahawa mulai Tiga Puluh Satu hari bulan Ogos Tahun Seribu Sembilan Ratus Lima Puluh Tujuh, maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah subnahu wa ta’ala akan kekal menjadi sebuah Negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.
*Terimakasih kepada Saudara Faisal Mustaffa;teks ini diambil dari paparan laman http://www.merdekareview.com/

Wednesday, August 19, 2009

Wajib Baca:Wasiat Sebenar Raja-Raja Melayu

Wasiat Raja Melayu

Setelah Melaka alah oleh Portugis kerajaan Melayu yang terkuat muncul di Acheh. Acheh turut menakluk Perak, Pahang dan Johor. Apabila Acheh menakluk negeri-negeri raja-raja dan pembesar-pembesarnya di bawa ke Acheh.

Ketika waris Sultan Melaka yang bersemayam di Johor ditewaskan oleh Acheh sultan dan pembesar-pembesarnya di bawa ke Acheh. Antara yang dibawa ke sana adalah bendahara Tun Muhammad yang lebih dikenali sebagai Tun Seri Lanang, pengarang Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.

Kesultanan Melayu Acheh berada dikemuncaknya di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Ratu Elizabeth I mengirimkan perutusannya kepada Sultan Acheh melalui Sir James Lanceister. Acheh juga melakukan hubungan diplomatik dengan Turki dan Perancis.

Acheh juga mencipta revolusi pemikiran dan bahasa Melayu. Bahasa Melayu menjadi bahasa pengucapan seni dan falsafah melalui pemikir seperti Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri. Dari segi aspek agama, pemikiran falsafah dan kemajuan bahasa Melayu Acheh jauh mengatasi apa yang dicapai oleh Melaka.
Setelah menaklukki Pahang Sultan Iskandar Muda membawa putera sultan Pahang ke Acheh. Putera tersebut diberikan pendidikan di Acheh, dikahwin dengan puteri baginda dan dilatik sebagai pengganti yang dikenali sebagai Sultan Iskandar Thani.

Hamka dalam Dari Perbendaharaan Lama mencatitkan wasiat Sultan Iskandar Muda kepada penggantinya. Berikut adalah wasiat raja tersebut:

......., dan lagi Raja-raja hendaklah mengamalkan 8 perkara. Pertama, hendaklah selalu ingat akan Allah dan meneguhi janji dengan sekalian Wazir-wazir dan Menteri Hulubalang dan sekalian pegawai dan dengan sekalian rakyat. Kedua, janganlah Raja-raja menghinakan Alim-Ulama dan yang ahli akal bijaksana.Ketiga, segala yang datang dari pihak musuh daripada seterunya jangan sekali-kali raja percaya. Keempat, hendaklah raja memperbanyak alat senjata dan membeli kesayangan rakyat dan wazir Sipahi (tentera), supaya jauhlah musuh raja, sebab ada yang menghalaukan dengan sayang.Kelima, hendaklah raja menurun tangan, yakni murah. Hendaklah mengingat kesetiaan rakyat, wazir dan Alim-Ulama dan sekalian Sipahi dengan membalas jasanya masing-masing dengan tertib. Keenam, hendaklah raja menjalankan hukum dengan hukum Kitab Allah dan Sunnah Rasul. Iaitu seperti yang telah tetap di dalam Qanun Al-Asyi Darussalam; Pertama Al-Qur'an, Kedua Al-Hadis, ketiga Ijma', keempat Qias, maka....... keluar daripada itu pun empat perkara: Pertama hukum, kedua adat, ketiga qanun, keempat resam.Ketujuh, janganlah raja-raja itu duduk dengan orang yang jahat budi dan jahil. Kedelapan, hendaklah raja-raja itu memeliharakan hati orang yang berbuat baik kepada raja dan kepada negeri dan kepada rakyat. Maka hendaklah raja memandang kepadanya serta memaniskan muka raja memandang mereka itu senantiasa senang hati, kerana ia banyak kebaktian kepada raja.Hendaklah raja itu memeriksa sekalian wazir-wazir dan Hulubalang dan segala orang yang jahat dan durhaka dan tiada ia mengikut Qanun kerajaan. Dan tiap-tiap yang salah itu hendaklah dihukum dengan tertib menurut kesalahan dosa yang diperbuat, sesudah diperiksa dengan sehalus-halusnya, supaya jangan zalim menjatuhkan hukum.Dan demikian lagi raja-raja hendaklah senantiasa ia memandang sekalian ulama dan bermesyuarat dengan Alim-Ulama dan mendengar nasihat ulama. Dan hendaklah raja-raja itu menjauhkan diri dari bersahabat dengan ulama jahat dan ulama jahil dan ulama tamak, iaitu ulama-ulama yang suka memuji-muji raja dan maghzul*kan dia dan mengharap minta keridhaan raja. maka ulama itu tamak, yakni tamak kepada dunia. Maka ulama itulah yang membikin huru-hara negeri dan yang memecah-belah rakyat, seperti dajjal...............

* Maghzul = kata-kata lucah-cabul tentang perempuan, yang diucapkan ketika senda gurauKutipan dari"Qanun Asyih Darussalam"(Peraturan Pemerintahan Acheh) di zaman Iskandar Muda Mahkota Alam (1606-1637)
**Tulisan ini diambil dari Khalidjaafar.org