Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Saturday, June 26, 2010

Dari Suara Keadilan

Oleh Norasikin Samsi
SHAH ALAM 25 Jun - Pengerusi Eksekutif Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Datuk Abd Karim Munisarmemberitahu mahkamah Sesyen Jenayah Shah Alam beliau berpendapat tidak berlaku sebarang unsur penipuan dan pemerdayaan ke atas dirinya oleh bekas pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor, Mohd Yahya Shaari yang menghadapi tuduhan penyelewengan dana.
Peguambela defendan, Ahmad Nizam Hamid berkata seramai lima saksi dipanggil dan Abd karim merupakan saksi yang pertama memberi keterangan semalam.
Ahmad Nizam berkata prosiding masih lagi menjurus kepada hujah pendakwaraya untuk membuktikan kaedah penipuan yang didakwa digunakan oleh Mohd Yahya.
"Apa yang penting dalam perbicaraan pagi semalam adalah apabila saksi pertama, Datuk Abdul Karim Munisar menegaskan dalam keterangannya bahawa beliau sama sekali tidak berasa tertipu dan terpedaya berhubung pemberian RM50,000 kepada Mohd Yahya.
"Saksi juga turut menekankan mengenai prinsip beliau yang sentiasa berhati-hati dalam membuat keputusan apatah lagi perkara membabitkan kewangan dan urus tadbir syarikat.
"Mohd Yahya juga memberitahu mahkamah sumbangan ikhlas yang diberikan itu merupakan 100 peratus tanggungjawab sosial syarikat dan bukan kerana terpedaya ataupun tertipu dengan defendan," jelas Ahmad Nizam.
Tambah beliau, dengan keterangan saksi utama ini sudah cukup membuktikan bahawa tiada penipuan dan penyelewengan berlaku dalam kes tersebut.
Sehubungan itu beliau meminta pihak pendakwaraya menarik semula pertuduhan ini dalam masa terdekat.
"Setelah mendengar keterangan saksi penting pagi tadi, saya simpulkan di sini tiada berlaku tipu daya dan penyelewengan mengenai pemberian cek berkaitan. Untuk itu pihak peguambela meminta pendakwaraya menarik balik kes ini," tegas beliau lagi.
Selain Abd Karim, saksi lain yang tampil memberi keterangan adalah pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pegawai Permodalan Selangor Berhad.
Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dijadual hadir memberikan keterangan pada hari ini telah ditangguhkan pada satu tarikh yang akan ditetapkan mahkamah.
Selain beliau, pihak pendakwaraya juga memanggil Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.
Semalam, Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali hadir memberi keterangan manakala bekas Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Salehuddin Hashim merupakan saksi kedua yang dipanggil.
Perbicaraan yang bermula pada 21 Jun lalu dan sepatutnya bersambung hari ini ditangguhkan dan akan bersambung pada 13, 15, dan 16 Julai depan.
Menurut beliau, penangguhan itu dibuat di atas permintaan pihak pendakwaraya bagi membolehkan mereka membekalkan lain-lain saksi.
Mohd Yahya 43, mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan terhadap dua tuduhan memalsukan dokumen dan menipu membabitkan peruntukan bernilai RM50,000 dua tahun lalu.
Bagi tuduhan pertama, defendan sebagai Pengarah Program Sambutan 100 Hari Pakatan Rakyat didakwa menipu Abd Karim, 59, dengan memperdayakannya bahawa Sekretariat Pakatan Rakyat memohon sumbangan bagi program itu sehingga mangsa menyerahkan RM50,000 kepadanya.
Mohd Yahya didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan melakukan kesalahan itu di Gardenia Coffee House, Hotel Quality Shah Alam antara jam 1 tengahari dan 3 petang, 4 Jun 2008.
Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menggunakan dokumen palsu 'Resolusi Pembukaan Akaun Parti Keadilan Rakyat Selangor' sebagai tulen di Maybank Bandar Sunway.
Pasukan peguambela turut disertai R Tirukumaran sementara hakim bagi kes ini adalah Tuan Azhaniz Teh Azman Teh.

No comments: