Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Friday, January 1, 2010

Dan Dekad Pertama Abad Ke-21 Pun Melabuhkan Tirainya...Catatan Buat Sdr.SN Sang Penyair,NBJ Sang Pemimpi Dan SMN Sang Pembawa Obor


Dan kita pun berada di Dekad kedua dalam Kurun Ke-21.Dan setiapkali dipenghujung tahun dan tahun baru masihi menjelang saya buat kesekian kalinya menoleh kebelakang meneliti seputar kurun-waktu yang ditinggalkan yang tak mungkin kembali.
Manusia yang mengaku moden,maju dan canggih dikurun-waktu semalam dan hari ini masih gagal menegakkan martabat insani sesuai dengan fitrah kita sebagai homo sapien diletakkan di bumi ini,maruah,hak dan harkat manusia masih dan tetap sekadar mainan retorika para Dewa-samada di bumi bertuah ini mahupun sejagat-yang tertindas masih lagi dibelengu rantai besi-waja yang merantai;kemiskinan dan kebuluran tetap bermaharajalela tatkala manusia bercita-cita kepingin untuk menawan tujuh petala langit dan menghabiskan wang untuk menjelajah angkasa;penyakit AIDS dan kini AH1N1 masih belum ketemu penawar yang mujarab;kebebasan masih lagi suatu impian yang akan sirna;ISA masih menjadi jembalang dan pelesit;keangkuhan USA serta sekutunya tidak nampak semakin urung dan Tanahair tercinta ini kian menghampiri gaung-ngeri dek keserakahan para Dewa yang menganggap kekuasaan adalah lesen mutlak untuk menjarah anakbangsa sendiri.Ya,saya mungkin pesimis namun begitulah hakikatnya dari tahun ke tahun,dari kurun-waktu ke kurun-waktu.
Sepanjang sejarah manusia,yang kuat tetap menjadi kudrat sementara yang lemah kekal dihimpit belengu penindasan.Hak untuk menikmati hidup kadang-kadang sekadar menjadi mimpi indah,lihat sahaja mereka yang miskin tanah-bukannya isu hari ini tetapi sudah sejak sekian lama,dari Kg.Berembang ke Kg.Buah Pala dan awal tahun ini para penduduk Kg.Matau Bandar Jengka akan bakal berhadapan dengan kekuasaan para kapitalis;mereka yang berbudi kepada tanah tetapi malangnya kerana tiada sekeping kertas yang bernama hak milik tidak lebih sekadar setinggan tanpa hak biarpun mereka yang membuka-menghuni tanah sejak sekian lama.
Dan rakyat tetap perlu di bonsaikan akal budi agar para Dewa senantiasa dilihat sebagai Yang Perlu Di Taati tanpa soal,rakyat perlu kowtow kepada para Dewa kekuasaan kerana setiap ulas butir suara yang keluar dari mulut para Dewa adalah sabda yang perlu di akuri tanpa basa basi.
Suara rakyat yang dissendent adalah perlambangan kepada sebuah penderhakaan,suara rakyat yang menuntut hak perlu dipadamkan,wajib dibisukan dengan mengerah seluruh kekuatan aparat negara (yang nampaknya berkhidmat demi mengekalkan status quo kekuasaan para Dewa);dan rakyat yang berani bangkit-berdiri-menggenggam tangan-menjulang ke udara sesungguhnya kepada para Dewa adalah alat asing,alat Yahudi,tidak patriotiks dan pengkhianat.
Manakala khazanah negara ditadbir bagai harta pusaka yang diwarisi,yang boleh 'dikononkan' sesuka hati,yang difaraidh demi tembolok anak isteri dan handai taulan.Amanah menjaga khazanah hanyalah bak desiran angin monsun Timur Laut,tidak lebih dan tidak kurang.Sementara rakyat semestinya menanggung segala kerosakan yang dicipta oleh para Dewa kerana rakyat tidak lebih dari semut-kerengga semata.
Maafkan aku teman,tatkala kau sedang bergembira menyambut Tahun baru ini,aku menjadi seorang sentimantalis,seorang lelaki yang pessimis dan seorang anak Bumi Manusia yang sinis.Aku tidak dapat menahan diri dari meratap-menghiba;juga tidak dapat menahan diri dari menjadi seorang yang skeptikal.
Yang tinggal untuk kita ialah imperatif perlu punya CINTA dan KECINTAAN kerana sesungguhnya dengan CINTA yang membara terhadap bumi bertuah ini,nescaya bara digenggam menjadi cair.Percayalah dengan CINTA Gunung Kinabalu akan bisa menjadi rata.Maka marilah kita berjuang dengan KECINTAAN abadi kepada tanahair tercinta.
Dan aku akan setia menunggu ketikanya belenggu penjajahan minda dan feudal rakyat tercinta terungkai...
Dan aku akan terus setia menunggu CINTA ini menjadi kian mekar memberikan warna dan wajah baru buat tanah bertuah ini dan seluruh alam jagat...
Dan....
Dan...
Dan...
Dan...
Dan aku tentunya setia menunggu revolusi berikutnya yang kau canangkan itu...

No comments: