Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Sunday, September 4, 2011

Cuplikan Dari Tulisan Pak Mokhtar Petah:Cerita Tentang Rashid Maidin





Ada satu peristiwa kecil – beritanya menarik - , pada satu hari aku telah menerima panggilan melalui telefon dari seorang rakanku dan rakan Rashid Maidin, iaitu Allahyarham Shaharuddin,”...datang segera ke Gopeng, ...rumah mak Suri Nandih...,Rashid Maidin balik.”

(Foto) Allahyarham Rashid Maidin.Foto ihsan blog Kini&Silam

Aku telah pergi ke rumah ibu Rashid Maidin, Allahyarhamah Suri binti Nandih, di Gunung Misah, Gopeng. Sebaik-baik sahaja aku tiba, aku jadi terpegun dan sedih kerana Mak Suri Nandih telah meninggal dunia. Jenazah sedang terbujur di tengah rumahnya. Aku nampak, di antara orang-orang yang sedang membaca ayat-ayat Quran dekat jenazah itu, iaitu seorang lelaki telah berumur sedang membaca Quran di sisi mayat jenazah tersebut.


LORI KECIL

Aku mulai cam lelaki itu, tetapi entah mengapa aku seperti terpukau melihatnya. Aku telah duduk dan membaca surah Yasin bersama orang-orang lelaki di situ yang jaraknya kira-kira lima meter dari lelaki itu. Apabila aku selesai membaca surat Yasin, aku mendapati lelaki itu telah tiada lagi di sisi jenazah itu. Sebaik-baik aku selesai membaca surah Yasin, aku bergegas turun turun dari rumah itu dan hatiku bertanya,”...diakah Rashid Maidin?”.


Sambil turun dari rumah itu aku merenung ke jalan raya yang jaraknya dari rumah itu kira-kira tiga ratus meter. Atas jalan raya sebuah lori kecil, membawa buah-buah pisang muda baru bergerak, ke arah pekan Gopeng.

Selesai memakai kasut di kaki tangga itu aku telah berjalan ke arah beberapa orang lelaki sedang duduk atas bangku panjang tepi halaman tumah itu. Di antara mereka itu ,ialah dua orang rakanku, Allahyarham Shaharuddin dan Allahyarham Mustafa Hussein. Allahyarham Shaharuddin telah berbisik ke telinga kananku, ”...dia (Rashid Maidin) datang tadi, sempat baca Yasin, ...dah pergi dengan lori pisang.”


Aku telah duduk dekat mereka dan meneguk secawan air kopi ’o’ yang telah disediakan di situ. Kira-kira setengah jam kemudian, dua buah Land Rover membawa sepasukan anggota-anggota polis telah masuk ke halaman rumah itu. Mereka itu lengkap dengan senjata yang pada bila-bila masa sahaja akan memuntahkan pelurunya. Beberapa orang dari mereka telah naik ke rumah tempat jenazah Suri Nandih sedang terbujur dan anggota-anggota polis yang lain telah berkawal di sekitar kawasan rumah itu.

”Nampaknya, Rashid lebih pandai dari polis...,” bisik Mustafa Hussein.

ASKAR MELAYU

Pada ketika itu aku kagum terhadap kesetiaan dan kasih seorang anak kepada ibunya, walau dalam keadaan yang membahayakan dirinya – kemungkinan peluru-peluru api akan menembusi tubuhnya - , namun dia datang juga mengadap jenazah ibunya.




Setelah melarikan diri dari khemah tahanan Tanjung Beruas, Melaka, Rashid Maidin telah menyertai Tentera Pembebasan Bangsa Melayu ke – 10,(Rejimen Ke-10,Tentera Rakyat Malaya-ed) di negeri Pahang yang bermarkas dalam rimba di daerah Temerloh.




Pada tahun 1950 itulah Tentera Pembebasan Bangsa Melayu (Tentera Rakyat Malaya-ed) di negeri Pahang telah menubuhkan semula pasukan Askar Melayu Ke – 10 (Rejimen Ke-10) di negeri itu. Pada masa itulah juga Chin Peng telah membawa anggota-anggot Komunis lebih kurang seramai dua ribu orang dari negeri Perak telah memerintahkan orang-orangnya memujuk orang-orang Melayu di daerah Temerloh yang luas itu untuk menyebelahi pihak Komunis, membenci British dan Kerajaan Tanah Melayu supaya bangkit memberontak.




Pejuang-pejuang Melayu yang dahulunya menentang British di Malaya sekarang telah dibawa masuk oleh Chin Peng ke negeri Pahang menjadi pemimpin askar Melayu Ke-10 cawangan Tentera Pembebasan Bangsa Melayu di negeri itu, iaitu seperti Abdullah C.D., Musa Ahmad, Manap Jepun dan Shamsiah Pakeh. Orang-orang Melayu lain yang disifatkan sebagai pemimpin pengganas di negeri Pahang itu ialah Wan Ali, Wahi Anuar dan Budin bin Chok.


Pejuang Melayu yang menyebelahi Parti Komunis Malaya itu bertujuan hendak menghalau British dari Semenanjung Tanah Melayu dengan jalan berbaik-baik dengan Parti Komunis Malaya yang mempunyai askar dan senjata yang banyak itu, seperti kata mereka, ” Kalau hendak memburu harimau mestilah ada anjing pemburu yang garang!”

SUSAH HATI


Kira-kira setahun sebelum kejadian itu, aku telah bertemu dengan isteri dan anak-anak lelaki Rashid Maidin, di rumah mereka, di Sungai Itik, Gopeng. Sebatang paip air yang besar dan memanjang dari loji air di bukit hulu Sungai Itik ke kawasan luar, telah memisahkan rumah mereka dengan jalana raya. Untuk pergi ke rumah mereka itu terpaksa memanjat dan turun tangga yang tersandar pada batang paip itu.


Kira-kira satu jam aku telah berbual dengan isteri dan anak-anak Rashid. Semenjak hari itu aku yakin Rashid Maidin telah curi-curi pulang ke rumah keluarganya. Keyakinanku dikuatkan dengan perhatianku kepada isterinya. Perempuan itu tidak kelihatan seperti orang sedang sedih, rindu dan susah hati kerana telah lama ditinggalkan oleh suaminya.

’Waktu itu kira-kira penghujung Jun 1948. darurat telah diisytiharkan, tapi saya sendiri pun tak terbayang begitu cepatnya darurat diisytiharkan dan begitu kejamnya tindakan penjajah British. Isteri saya yang ketika itu sedang sakit merasa sesuatu perkara yang tak diingini akan berlaku ke atas saya.


Utusan yang ditunggu-tunggu tidak kunjung datang, tetapi yang datang ialah satu seksyen polis yang dipandu oleh seorang intelijen Melayu dengan membawa surat saman untuk mengiring saya ke balai polis. Sebelum meninggalkan rumah. saya memberitahu isteri dan membariskan anak-anak saya (tiga orang) lalu mencium mereka.




Saya berjanji dengan mereka, ”Esok ayah akan pulang.” Saya turun tangga di dalam tangisan anak-anak. Isteri saya pula menangis di dalam selimut. Itulah saat-saat terakhir saya bersama anak isteri.


Saya ditangkap atas tuduhan seorang komunis. Mula-mula ditahan di lokap Teluk Anson sekarang Teluk Intan) kemudian dibawa pula ke penjara Taiping. Saya digari dengan seorang pemuda Tionghua yang tidak dikenali. Kami dibawa naik keretapi. Kebetulan pada masa itu saya terserempak dengan Aminuddin Baki yang dalam perjalanan balik ke Chemor dari persekolahannya di Singapura.




Saya nampak dia jadi serba salah dan gelabah. ”Bung Rashid kena tangkap?” Dia berkata sambil mengggeleng-gelengkan kepala. Seterusnya dia menyambung kata’ ”Bong jangan bimbang, mesti teguh, jangan goyang.” Saya menjawab, ”Tak goyang.”




Sebelum berpisah kami bersalaman. Dia memberikan sebuah majalah Inggeris yang sedang dibacanya serta wang seringgit. Saya menolak, tapi dia menyatakan mungkin ada gunanya.’

(Sedutan dari manuskrip, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. Edditor, Petah Shahrir Aidid).


*Tulisan diatas merupakan cuplikan dari blog Pak Mokhtar Petah,penulis dan wartawan veteran.Blog beliau boleh dikunjungi di:http://mokhtarpetah.blogspot.com

No comments: