Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Friday, September 18, 2009

Wajib Baca:Ceritera Tentang Kemiskinan


Cerita ini saya dapat daripada emel.Saya tidak tahu ketulinan cerita ini tetapi hakikat dan moral cerita ini adalah benar dan tiadalah benar melainkan benar belaka.
Riwayat tentang kemiskinan;cerita tentang kekurangan;hikayat tentang mereka yang terpinggir semuanya sama,naratifnya sama dan penderitaannya juga sama.Tiada yang berbeza tentang mereka yang miskin dan terpinggir-yang dikota sebagai peneroka bandar mahupun yang didesa atau pendalaman atau yang dipesisir lautan-lagu dan langgamnya tetap sama,KEMISKINAN.
Yang berbeza cuma hati dan perut.Untuk hati yang punya kepekaan-cakna-simpati-peduli rakyat maka kemiskinan dan peminggiran dirasakan sebagai suatu cabaran malah mungkin suatu dosa juga.Cabaran untuk mempastikan bahawa tiada yang tersisih dari pembangunan dan terperangkap dalam kitaran iblis kemiskinan;dan suatu dosa membiarkan anak bangsa,membiarkan warga berterusan hidup didalam kemiskinan sedangkan negara kaya dan khazanah negara diperlakukan seolah-olah harta milik sendiri tatlkala masih ramai yang kais pagi makan pagi kais petang makan esok hari.
Kepada yang punya hati tetapi hatinya sepi,tandus dan gersang dari sebarang 'rasa',dan yang melihat mereka yang miskin ini sebagai beban atau manusia yang tidak perlu disantuni atau melihat kemiskinan laksana komoditi atau yang melihat mereka yang miskin ini adalah kelas/kasta paling bawah-corot yang sudah ditakdirkan (pernah aku terdengar dendangan:jika tidak ada orang miskin macamana hendak ada orang kaya?) merempat dan dieksploitasi atau yang cenderung membiarkan kemiskinan bermaharajalela maka apa yang boleh diharapkan dari secebis kisah kemiskinan ini.Bukankah kemiskinan itu sudah ketentuan yang tetap ada.
Para pandai agama memang bijak berkhutbah bahawa seperti yang diriwayatkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW kemiskinan itu menghampiri kekufuran.Masalahnya para pandai agama ini noktah disitu,terus 'fullstop'.Tidak ada keupayaan untuk menyeru-menyemai-menanamkan dalam diri bahawa perlu ada rasa dan kepedulian terhadap nasib rakyat;bukan sekadar menjadi penonton tetapi turut serta.
Belum pernah ku dengar ada wejangan yang diambil dari sisi agama yang suci bahawa kewajiban memerangi kemiskinan umat yang perlu dilaksanakan dengan segiatnya,dengan wajib mengagihkan kekayaan negara seadilnya,dengan menjauhkan diri dari mengkayakan anakpinak dan kroni,dengan jangan rasuah dan dengan laksanakan amanah kepada rakyat.
Yang selalu ku dengar ialah mereka miskin kerana malas;mereka lupa boleh juga mereka malas kerana miskin.Soalnya malaskah mereka jika seawal jam 4.00 pagi sedang orang lain lena diulit mimpin mereka sudah bangun meredah dingin awal pagi demi mencari rezeki buat diri dan anak-anak dan tengah malam baru kembali?Kepada yang tega mengatakan mereka miskin kerana malas bukan sahaja mengulangi slogan penjajah malah sememangnya buta hati dan perasaan.
Maka wahai taulan,tatkala kita menghirup manisnya air sirap atau tatkala sedang enak mengunyah lemang atau sedang bergaya dengan persalinan baru ingat-ingatkan ada warga,saudara kita yang nasibnya tidak sebaik kita,yang busana tidak seindah anak-anak kita,yang tidurnya mungkin tidak selembut kasur kita.Ya,aku percaya dengan ingatan kelak akan menimbulkan keinsafan yang membentuk 'rasa' bagi berjuang-berperang menghapuskan kemiskinan.
Sekurang-kurangnya kita perlu berani mencuba.
Ceritanya:Saya mengajar di sekolah rendah di tengah2 bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri.Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat.
Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata2 kecuali anggukkan yang seolah2 dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk dirotan .
Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang kesekolah dan masih tetap lambat.
Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.
Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari2 sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang.
"Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh.Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?"Dia terkejut dan wajahnya berubah."Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu."
Jawabnya"Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?"" Mak pesan, jangan meminta2 pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu."Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, "Maafkan cikgu, ......."
Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.

2 comments:

sahrunizam abdul talib said...

Inilah realiti yang ternyata masih ada tetapi jarang yang mahu ambil peduli. Ketika mereka terbang ke sana ke mari dengan jet peribadi dan hidup dalam istana puluhan juta
ringgit malaysia, rakyat hidup mengais dan serba daif.

Bonus buat rakyat amat berkira tetapi untuk menaja pasukan di litar lumba keputusan hanya dibuat sekelip mata.

sahrunizam abdul talib said...

Salam Idulfitri Maaf Zahir Batin buat sdr sekeluarga . Jemputlah bertandang ke teratak panjang kami di Bera. Saya sudah ada di rumah mulai hari raya ke-5.