Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Monday, August 17, 2009

Sepetang Bersama Pak Samad Said SN #1



Petang tadi (15.8.2009) saya sempat mengikuti pidato oleh Sasterawan Negara Dato A.Samad Said (Pak Samad) di Markas PAS Temin,Jerantut.Pidato Pak Samad menyangkuti isu perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu ketimbang kenapa perlu PPSMI di mansuhkan.






Saya menekuni setiap ulas mutiara kata yang terbit dari dalam kalbu yang terlontar lewat dua ulas bibir Pak Samad betapa Bahasa Melayu hari ini bukan sekadar di perlekehkan malah diinjak-injak oleh pemerintah.

Terkesan bukan sekadar kesedihan yang mendalam akan nasib Bahasa Melayu dari pidato Pak Samad malah terpancar keazaman yang maha kuat untuk berjuang memperkasakan dan mendaulatkan Bahasa Melayu di persada negara.


Pak Samad sempat juga mendeklamasikan 2 buah puisinya-yang pertama di tulis sewaktu zaman ASAS 50 dan yang terakhir,puisi mutakhir beliau,Peludah Bahasa-yang dibacanya baru-baru ini dihadapan Dr.Mahathir Mohamed,Bapa PPSMI.

PELUDAH BAHASA

Ketika lahir jeritnya amat mesra-hening suara bayi pertama.Neneknya pengagum hikayat Tuah membisik iktibar ke telinganya.
Datuknya pencinta Siti Zubaidah bersyair merdu ke qalbunya pula.
Doa dan janji di sanubari inilah cucunya kebanggaan desa-
insan harapan kerdip pertama yang bakal bersinar sebagai pendakwah.

Ketika bertatih di sisi buaian gelincirnya cepat disantunkan.
Ayah dan ibunya cekal berazam anak termanis di hemah Ramadan.
Diasuh ia menjadi wira dan tidakpun dikira ke bidang mana.
Pada hembusan angin di bukit amat merdu terdengar ia menjerit:
Penyegar budi pilihan pertama, penyemai bakti di qalbu desanya.


Ranum di dalam dan di luar negara menjalar akar benih ilmunya;
pergaulannya alam tak berbatas bertingkat cepat dirinya ke atas.
Pada kempen “bersih-cekap-amanah” terhantar ia ke tampuk kuasa;
masih diingat pesan nenek tentang Tuah; saran datuk tentang Zubaidah.
Sebaik menyingsing SatuMalaysia mula terbelah percik mimpinya.


Tapi, kuasa tersangat nikmatnya-darjat dan harta sebuah buana.
Lalu, dalam lagu gema ternyaring giginya berubah menjadi taring.
Leluhurnya kini damai di kubur, dan sayang, dirinya meruncing takbur.
Terakhir, dengar kisah lupanya – semua dangkal kecuali dirinya.
Terakhir, merebaklah bongkaknya sebagai peludah bahasa Ibunda.

Tak lagi dirinya budayawan desa, pembela bahasa tidak juga.
Kini dia niagawan haloba pemburu kuasa paling selesa.
Memang bukan lagi cucu desawan; segebu dirinya kuasawan.
Dilupa Syair Siti Zubaidah dan tidak dikenal Hikayat Hang Tuah.
Sangatlah selesa dan bangga-dirinya tulen peludah bahasa.
- A.SAMAD SAID

1 comment:

Mat Amin said...

terima kasih kerana turut memaparkan url baru saya