Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Saturday, August 22, 2009

Sepetang Bersama Pak Samad Said #2




"Saya ingin mati di medan juang,bukannya di peraduan," Sasterawan Negara Dato A. Samad Said (Temin Jerantut,15.8.2009)



Mengikuti pidato Pak Samad Said di petang 15.8.2009 lalu, saya dapat merasakan getaran jiwa dan gundah gulananya Pak Samad apabila mengenangkan nasib Bahasa Melayu (BM).Dari lontaran suaranya yang lembut itu dapat dikesani bahawa Pak Samad hampir berputus harap dengan pimpinan kerajaan hari ini khususnya UMNO untuk mengembalikan BM ketempat yang sepatutnya.


"Mereka semua bangsawan.Pemimpin UMNO dari keturunan bangsawan",tegas Pak Samad dengan nada suara yang gemersik lembut.



Saya mendengar sindiran Pak Samad dengan khusyuk (sementara itu ada khalayak peserta sudah belayar jauh ke dunia yang lagi satu,tidur dengan lenanya) dan saya mengakui ketepatan hipotesis yang dilontarkan pria kurus berjanggut panjang itu.


Sifat bangsawan tentulah tebal dengan ciri kebangsawanannya atau fahaman feudal yabg menebal.Salah satu sifat bangsawan ini ialah apa yang dititahkan wajib di laksanakan sehingga orang-orang tua kita mencipta pepatah:kerja raja di junjung kerja sendiri di kelek.



Maka PPSMI ini harus dilihat dari konteks ini-apa yang terkeluar dari mulut pemimpin UMNO adalah dasar atau polisi-rakyat tidak ada pilihan melainkan untuk taat-akur-patuh walaupun dasar tersebut bertentangan dengan semangat,falsafah nasional selain mengingkari keberadaan BM itu sendiri dalam sebuah negara merdeka.


Orang bangsawan tidak ada kepedulian dengan apa yang berada di persekitarannya termasuklah yang menjadi pusaka bangsa.Hanya didalam keadaan yang memerlukan maka pemimpin bangsawan ini akan menukarkan hiasan kepalanya dari mahkota yang berkilau kepada songkok lusuh-maka ketika itu dengarlah khutbah mereka tentang mendaulatkan bahasa memperkasakan bangsa dan menuding jari kepada orang lain sebagai khianat-dan selepas itu,mungkin sehari-dua tak jarang hanya sekitar sekian jam,hiasan kepala itu tadi dari songkok lusuh akan segera berganti semula kepada yang asal,mahkota yang berkilau.Begitulah.



Dan kerana dipimpin bangsawan yang gagal mengerti atau mungkin sahaja sengaja membutakan pintu hati,maka BM diletakkan di tempat yang bukan selayaknya.Demi mengejar kemajuan kononnya,maka BM dijadikan mangsa dan berterusan di pinggirkan;sedang pemimpin bangsawan ini sengaja memekakkan telinga kepada pandangan dan kajian betapa dasar PPSMI ini salah,tidak tepat,kabur dan polisi yang sengetbenget.


Kerana ulah bangsawan yang tidak pernah memikirkan untungnasib anak bangsa diatas neraca realiti (tetapi sentiasa melihat dari sudutpandang kapitalisme) maka Pak Samad mengeluh melahirkan kebimbangan dalam tempuh 50 tahun mendatang BM akan hilang,akan pupus dan hanya menjadi seperti bahasa antik/purba yang hanyut di telan zaman.



Tentunya saya juga berkongsi kebimbangan yang sama dengan Pak Samad dan sememangnya berasas.Kepada para bangsawan pengemudi negara,BM tiada nilai yang signifikan ketimbang Bahasa Inggeris (BI).BM tidak perlu di hormati kerana tiada nilai dagang (komersial) berbanding BI,itu yang bermain di benak mereka.


Soal pokok samada BM mampu mengharungi 7 samudera setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia sesungguhnya terletak kepada pembuat dasar.Sekiranya pembuat dasar (baca:bangsawan) punya keprihatinan,cakna kepada keperluan memperkasakasan BM,punya harga diri sebagai warga negara merdeka,memahami kehendak dan aspirasi rakyat serta ikhlas maka hanya suatu perkara mudah yang perlu dikerjakan iaitu merangka dasar dan melaksanakan dasar tersebut untuk memperkasa dan menobatkan BM.Dengan adanya upaya sedemikian diikuti dengan keberanian moral dan keazaman politik yang kuat,nescaya BM boleh dijadikan bahasa dagang dan bahasa ilmu yang setanding dengan bahasa-bahasa lain.


Yang menjadi hambatan ialah betapa liatnya pemimpin bangsawan ini untuk merangka dasar yang menguntungkan BM.Kepada saya keperluan untuk mengisi tembolok anak cucu atau kroni yang merencatkan.Lihat sahaja berapa billion RM di peruntukkan untuk mengadakan komputer riba,projektor dan perkakasan yang lain bagi menjayakan PPSMI (termasuk makmal komputer) yang di tenderkan kepada pembekal dipercayai ada hubungan dengan pemimpin UMNO.Tender tersebut bukan pun tender terbuka.



Dilihat dari sudut ini demi untuk mengkayakan kroni dan anakpinak dan atas nama pembangunan,pemimpin bangsawan sanggup melacurkan BM.


Pak Samad turut mendedahkan pemimpin UMNO/BN bersedia membelanjakan RM10 billion wang rakyat demi untuk mendewakan BI.Pak Samad menyebut Kerajaan sanggup menyediakan dana yang cukup besar semata-mata untuk menyewa BI manakala pada masa yang sama dengan mulut manis mereka berkhutbah bahawa BM di daulatkan.Inilah citra pemimpin UMNO.Memualkan.


Petang itu juga jika ada sedikit yang boleh mengubat hati yang gundahgulana ialah apabila Pak Samad menyebut betapa Bahasa Indonesia akan menjadi bahasa yang kuat,berdarjat dan menjadi bahasa ilmu serta dagang.Bahasa Indonesia yang bukan sahaja dituturkan oleh ratusan juta jiwa di seluruh kepulauan Indonesia malah yang lebih penting dari itu ialah kejayaan pemerintah Republik tersebut menentukan halatuju Bahasa Indonesia sebagai bahasa yang didaulatkan.



Saya fikir yang membezakan antara Malaysia dan tetangga kita itu ialah semangat kekitaan,rasa cinta dan sikap patriotisme Indonesia yang tinggi.Hal ini boleh di lihat seawal tahun 1928 lagi dengan Sumpah Pemuda Indonesia yang antara lain menyeru penggunaan satu bahasa iaitu Bahasa Indonesia sebagai bahasa persatuan bagi seluruh bangsa Indonesia.



Dari segi psikis pemimpin UMNO yang bangsawan itu yang terlalu bangga dengan kemerdekaan yang di anugerahkan penjajah,tidak ada kecintaan yang benar-benar mendalam memartabatkan BM sebagaimana (sekurang-kurangnya) yang di lakukan oleh peminpin Indonesia.


Dan yang malangnya,setelah lebih separuh abad merdeka dan pemimpin negara dewasa ini yang lahir dan membesar didalam Malaysia yang merdeka masih lagi mewarisi corak pemikiran yang diwarnai oleh biru-penjajah.Kelihatannya mereka tidak punya keberanian untuk bukan sahaja keluar dari kerangka pemikiran acuan penjajah itu malah turut gagal merangka dasar atau polisi yang benar-benar memanfaatkan BM.


Diakhir pidatonya yang menarik dan tentunya mencabar itu,Sasterawan Negara Dato A.Samad Said kelihatannya berpendapat untuk memartbatkan BM maka kerajaan perlu di tukar kerana "UMNO hanya faham bahasa undi".






2 comments:

binjidan said...

bahawasanya tidak lama lagi umno akan dikapankan..aku bertanya selepas itu apakah bahasa melayu akan diangkat menjadi bahasa persatuan bagi seluruh bangsa malaysia?

inderasegara said...

Assalamualaikum..
Sekali lagi tulisan saya ingin menghiasi ruangan komen dalam blog saudara Abg Nizam ini..
Sebenarnya dalam isu bahasa ini, saya tersangatlah menyokong perjuangan Pak Samad dan selaku penyokong-penyokongnya yang lain..
Saya juga pencinta bahasa ibunda kita iaitu Bahasa Melayu (BM)..
Saya mahu BM dimartabatkan dan dalam masa yang sama terus diperkasakan..
Ini kerana bagi saya sesuatu yang dimartabatkan akan mudah kecundang di tangan si perkasa..
Seperti contoh Sultan Mahmud yang berdaulat akhirnya mangkat di tangan Laksamana Bentan yang perkasa..
Raja-raja Melayu yang berdaulat juga boleh dikatakan hampir semuanya diperbodohkan dan seterusnya dikalahkan oleh penjajah Barat yang perkasa dalam bidang memutar belit, berjanji dan mengambil kesempatan..
Di sini ingin saya menyatakan sokongan yang benar-benar padu ke atas perjuangan untuk memartabatkan dan mendaulatkan kembali BM..
Cuma tegasnya saya di sini supaya perjuangan itu tidak melibatkan campurtangan mana-mana parti politik..
Biarlah ia perjuangan yang benar-benar telus untuk memartabatkan BM itu..
Ini kerana saya merupakan salah seorang rakyat Malaysia yang sudah muak dan mual melihat fenomena politik Malaysia..
Kebanyakkannya hanya perjuangan yang palsu..
Sewaktu berkempen bagaikan seorang pelakon penerima anugerah pelakon terbaik dunia..
Menggunakan undi-undi sekalian rakyat untuk kepentingan diri semata-mata..
Harap saudara Abang Nizam dapat memahami maksud mendalam daripada lontaran kata seorang pemuda yang inginkan satu perjuangan yang benar dan telus..
bukan perjuangan kepolitikan atau kepartian..
Perjuangan untuk Islam, bangsa dan tanah tumpah darah kita ini..
1 Revolusi!!!