Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Friday, May 15, 2009

Reality Show:Pengalaman Peguam Muda



Kali pertama saya berbual dengan gadis manis ini ialah sewaktu saya mempengerusikan Forum Anti-ISA di auditorium Majlis Peguam.Sebelum itu saya hanya pernah nampak peguam muda ini kehulu-ke hilir sewaktu demontrasi selain sekadar mendengar namanya sahaja.
Kemudian sewaktu perasmian KeADILan Bahagian Kuala Krau,gadis manis ini turut serta didalam rombongan Timbalan Presiden,Dr.Syed Husin Ali.
Disebalik senyum manis dan tubuh yang kecil molek,rupa-rupanya gadis manis yang lebih mesra dipanggil Puspa ini punya semangat yang tinggi dan jiwa yang kental.Ikuti pengalaman beliau sewaktu ditangkap dan ditahan oleh Polis tatkala ingin memberikan bantuan guaman kepada klien.Ikuti kebodohan dan salahguna kuasa oleh Polis dari pengalaman Puspa ini.Cerita Puspa ini diterima melalui e-mel Majlis Peguam.


Cerita Luar Balai
Disumbangkan oleh Puspawati Rosman

Kisah bermula apabila kawan aku Hong Siang menelefon aku pada 7hb Mei kira-kira pukul 9 malam memaklumkan bahawa 12 orang telah ditangkap kerana menyalakan lilin di hadapan Balai Polis Brickfields. Pada masa yang sama, aku telah dihubungi sendiri oleh orang2 yang kena tangkap (OKT). Barangkali, mereka memperoleh nombor telefon aku selepas kejadian sehari sebelum itu.
Seperti biasa, aku meminta mereka mengumpul nama-nama OKT dan meng'sms'nya pada aku.Selepas itu, aku telah menghantar sms segera kepada peguam-peguam Pusat Bantuan Guaman KL yang masih di KL (sebab ramai yang naik ke Ipoh membantu dalam "urgent arrest" di sana) dan beberapa orang telah mengesahkan kedatangan mereka.
Aku tiba di balai polis tersebut lebih awal dari yang lain. Pada waktu itu, perkarangan balai polis agak lengang kerana para pemprotes telah bersurai dan berdiri jauh dari balai. Aku terus ke pintu masuk balai dan memberi salam. Aku memperkenalkan diriku sebagai loyar OKT.
Aku minta supaya aku dibenarkan masuk. Tapi, kata mereka polis yang 'in charge' tengah bermesyuarat dan minta aku tunggu. Beberapa minit selepas itu, Fadiah tiba diikuti dengan Murnie dan Syuhaini. Kemudian, ketua kami iaitu Ravin (Pengerusi Pusat Bantuan Guaman KL) juga tiba.
Hampir 2 jam menunggu, kami masih tidak dibenarkan masuk. Sementara itu, kami dihubungi oleh OKT di dalam balai. Mereka memaklumkan kepada kami bahawa polis enggan membenarkan mereka berjumpa peguam. Kami menasihatkan mereka supaya tidak menandatangan apa-apa borang yang nampak meragukan.
Beberapa minit selepas itu, DSP Jude keluar untuk berjumpa dengan kami. Beliau memberitahu kami bahawa anak-anak guam kami tidak mahukan peguam. Kami bertegang lidah dengan beliau kerana kami tidak percaya bahawa anak guam kami berbuat demikian. Beberapa saat selepas itu, kami mendengar sorakan daripada dalam. Anak-anak guam kami yang berani telah bersatu padu melaungkan, "We want lawyers! we want lawyers!" Laungan mereka disahut oleh orang ramai di luar pagar balai yang terus berdiri tegak menyanyikan lagu Negaraku (babak yang ini aku tak faham sangat, tapi tak apalah).
Beberapa minit selepas itu, seorang lagi polis dikenali sebagai Wan Bahari a.k.a Head Hunter (sebab t-shirt dia tulis macam tu) datang ke arah kami dengan pembesar suara. Dia suruh semua orang bersurai dalam masa 3 minit atau tangkapan akan dibuat. Sekali lagi, perkarangan balai polis menjadi lengang, yang tinggal hanya peguam, polis dan beberapa orang wartawan yang enggan berganjak.
Kami mula membuat panggilan telefon kepada beberapa orang peguam lain untuk membantu kami.Suasana pada ketika itu sunyi sejenak. Ravin mengambil peluang meminta kebenaran sekali lagi untuk masuk. Aku pula mendesak Wan Bahari menunjukkan kami borang menurut s28A yang didakwa telah ditandatangani oleh para OKT. Murnie menyokong. Dan Fadiah yang sempat berlari mengambil Kanun Acara Jenayahnya dengan bersemangat telah membaca dengan kuat s28A tersebut bagi menyokong desakan kami.
Kesimpulannya... where is the signed borang??Polis-polis yang tadinya nampak eksyen telah terperangkap dengan kebodohan mereka sendiri. Eh eh dah suruh kami baca undang2, kami pun baca laa! Wan Bahari telah mengugut sekali lagi dengan pembesar suaranya supaya 'orang-orang' bersurai.
Masalahnya, pada waktu itu adalah tidak jelas siapakah orang-orang yang disuruh bersurai tersebut, kerana beliau tidak memandang ke arah kami. Jadi kami pun terus berdiri di situ. mendesak untuk berjumpa dengan anak-anak guam kami.
Tiba-tiba, pintu pagar dibuka. Seorang polis wanita berpakaian biasa meluru keluar daripada pintu pagar tersebut dan terus menggenggam lengan aku dan menarik aku masuk ke kawasan balai. Aku tergamam. Sejurus selepas itu, peguam-peguam lain pula ditangkap.
Cerita Dalam Perkarangan Balai
Kami dibawa ke sebuah bengkel kosong di luar bangunan balai. Bersama-sama kami ialah seorang wartawan, Law Teck Hao. Pada ketika itu, tiada apa lagi yang kami boleh lakukan kecuali ketawa sesama sendiri. Kami tidak sangka perkara ini akan berlaku. Beberapa minit selepas itu, aku telah dihubungi oleh beberapa orang peguam yang mendapat tahu tentang penangkapan kami.
Mereka kedengaran sangat terkejut dan sangat marah dengan polis-polis tersebut.Di dalam bengkel itu, kami para peguam yang ditahan mula berbincang tentang tindakan susulan dan apa yang dilakukan. Ravin telah diamanahkan untuk menggunakan kesegakan beliau pada malam itu meminta supaya polis yang "in charge", iaitu DSP Pereira dan OCPD Wan Bahari supaya berjumpa dengan kami. Walaubagaimanapun, permintaan kami tidak dilayan.
Setengah jam selepas itu, beberapa orang polis datang menghampiri kami.Polis-polis tersebut menghulurkan beberapa borang kepada kami, setiap seorang dapat sekeping borang. Aku diperkenalkan kepada polis wanita yang menangkap aku tadi. Di dalam borang itu, tertulis bahawa sebab tangkapan ke atas aku ialah kerana aku enggan bersurai dalam perhimpunan haram pada 11.45malam dan alasan ditangkap telah diberikan setelah ditangkap.
Aku enggan menandatangani borang tersebut, lebih-lebih lagi kerana dia letak kat situ umur aku 30 tahun! (saya hanya berumur 28 tahun) Keempat-empat peguam yang lain juga enggan berbuat yang sama, begitu juga dengan Teck Hoa.Selepas itu, kami ditinggalkan semula sendirian. Pada waktu ini, kami mula dihujani dengan panggilan-panggilan telefon daripada ahli keluarga dan kawan-kawan. Selain daripada itu, OKT juga mula menghubungi kami. Mereka turut risau kerana kini peguam mereka pula yang ditangkap. Aku dan para peguam lain meminta mereka supaya jangan risau dan kami akan terus memberi mereka nasihat guaman walaupun kami juga berada di dalam situasi yang sama.

Cerita Di dalam Bangunan Balai
Setengah jam selepas itu, kami berenam dibawa ke dalam bangunan balai. Selepas itu, kami dipanggil satu persatu ke sebuah bilik. Ketika giliran aku, aku lihat di dalam bilik itu ada DSP Jude Pereira, seorang polis wanita dan 2 orang polis lelaki yang duduk di belakang itu mencatatkan sesuatu. DSP Pereira sedang sibuk menulis sesuatu di atas sekeping kertas. Kemudian, dia telah menghulurkan kertas tersebut kepada aku. Di bahagian atas kertas tersebut, tertulis perkataan s28A. Secara ringkas, borang tersebut adalah sebagai penyangkalan hak-hak kami untuk mendapatkan akses kepada peguam kami.
Dia menghulurkan sebuah Kanun Acara Jenayah kepada aku. Aku cakap, "I know the law". Dia Tanya, "would you like to acknowledge the form?" sambil menghulurkan sebatang pen kepada aku. Aku cakap, "No thanks" sebelum keluar daripada bilik tersebut.
Kira-kira setengah jam selepas itu, kami telah dibawa turun untuk naik trak polis bersama-sama dengan OKT wanita yang lain. Oleh kerana teruja menaiki trak polis buat pertama kali, kami para loyars pon mengambil keputusan untuk mengambil gambar. Akan tetapi, beberapa minit selepas itu seorang polis wanita telah masuk ke dalam trak dan memarahi kami sambil menjerit-jerit.
Sejurus selepas itu, Wan Bahari telah naik ke atas trak dan menjerit menyuruh polis wanita tersebut merampas kesemua telefon bimbit kami. Kami enggan berbuat demikian melainkan kami diberi sebuah borang 'serah barang'. Di dalam borang itu nanti, segala barang-barang kami yang diambil oleh polis akan disenaraikan.
Disebabkan insiden tersebut, keempat-empat kami peguam-peguam wanita disuruh turun daripada trak tersebut dan masuk semula ke balai. Di balai, kami diberikan borang 'serah barang' tersebut dan kami bergilir-gilir berjumpa polis wanita yang mencatatkan segala barang kami.Selepas itu, kami telah dibawa ke Balai Polis Travers dengan menaiki 2 buah kereta polis. Kami berasa sangat kecewa kerana tak dapat merasa naik trak polis ?
Cerita bermalam/berpagi di Balai Polis Travers
Ketika tiba di balai polis Travers, jam sudah menunjukkan hampir pukul 5 pagi. Kami diberi sepasang baju berwarna pink dan seluar warna hitam. Fadiah, Murnie dan Syu enggan memakai baju tersebut kerana ia berlengan pendek. Akhirnya polis wanita tersebut mengalah dan memberi mereka sepasang baju dan seluar berwarna oren terang. Baju tersebut berlengan panjang. Ketika Fadiah menyarungkan baju tersebut, kami kedua ketawa berdekah-dekah selama 10 minit. Ini kerana beliau nampak sangat lawak dan sangatlah hiphopper wannabe.
Kami disuruh diam oleh polis. Kemudian, cermin mata dan sepit rambut kami diambil. Kami juga tidak dibenarkan memakai bra dan selipar juga kena ditanggalkan. Kami diberi seikat gelang getah yang selalu digunakan untuk bermain 'zero point' ketika kecik-kecik dahulu untuk mengikat rambut. Fadiah telah mengambil segenggam getah tersebut dan menyarungkan kesemuanya ke rambut. Kata beliau, lepas ni kita boleh main "zero point" dalam lokap.
Keempat-empat kami ditempatkan di dalam lokap yang sama. Lokap yang paling hujung, bersebelahan dengan bilik air yang tak ada pintu. Bau jamban mula menusuk ke hidung. Keempat-empat kami tidak diberikan selimut dan bantal. Kami baring berbantalkan lengan. Kami cuba untuk tidur, tapi tidak boleh. Maka kami hanya berbaring sahaja memandang ke siling. Kami berbaring sebaris menunggu hari pagi.
Kira-kira pada pukul 9 pagi, sarapan kami pun tiba - 2 keping roti yang disapu marjerin dan sebungkus teh o tanpa straw. Kira-kira sejam selepas itu, Murnie dipanggil keluar oleh seorang polis wanita. Kami yang lain terpinga-pinga.
Sejam selepas itu, seorang polis lelaki berada di depan bilik lokap kami. Fadiah terus bersembunyi di belakang aku kerana dia tidak bertudung ketika itu. Polis lelaki tersebut bertanya kepada kami tentang firma guaman manakah kami beramal, dan alamat firma. Selepas mengambil butir-butir tersebut, polis tersebut mengarahkan kami dibawa ke ruang depan balai.
Apabila keluar dari pintu, aku nampak Kak Lat dan ibu Murnie. Seorang polis wanita menyarungkan gari kepada aku. Aku kata, "Tak perlulah, saya bukan penjenayah berat". Tapi akhirnya kami digari juga.Kami telah dibawa ke bangunan sebelah. Di sana, cap jari dan gambar kami diambil. Ketika itu, datang seorang pegawai polis dan berkata, buat"Kamu ni peguam-peguam muda apa nak kecoh-kecoh. Sebab kamu, Majlis Peguam buat press conference. Lepas ni kamu akan diblacklist dan akan susah nak kerja." Fadiah kata, "Eh lepas ni lagi senang kami nak buat kerja!" Aku hanya tersenyum.
Selepas itu, seorang pegawai polis yang dikenali sebagai Mohd Zaini mengambil kenyataan aku. Aku hanya jawab soalan berkenaan nama, alamat dan kerja. Lain-lain, aku kata, "Saya akan jawab di Mahkamah".Selepas selesai proses tersebut, kami diiringi semula ke balai utama dan diberikan semula pakaian kami. Nasib anak-anak guam kami tidak sebaik kami. T-shirt mereka yg berwarna hitam tidak dipulangkan. Mereka disuruh menghubungi keluarga/rakan untuk membawa baju persalinan untuk mereka - Aku kira ada 'double standard' di sini. Ini kerana aku, Ravin dan Syu juga berpakaian serba hitam. Akan tetapi, gari tetap dipakaikan kepada semua orang.
Keempat-empat kami bersama-sama dengan kelima- lima anak guam kami dibawa masuk ke dalam trak polis. Aku dan Fadiah berpandangan sesama sendiri dan kata, "Yessss".
Cerita di Balai Polis Brickfields (hari kedua)
Di depan pintu masuk balai, aku nampak beberapa wajah para loyars yang aku kenali. Aku rasa sangat terharu dengan sokongan mereka terhadap kami. Kami telah dibawa ke bangunan sebelah kanan, di mana kami dipanggil masuk satu persatu dan barang-barang kami diberikan semula. Akan tetapi, sepit rambut aku tidak ada. Tsk. Selepas mendapat telefon masing-masing cuba menghubungi ahli keluarga dan para loyars.
Akan tetapi aku tidak boleh berbuat demikian sebab bateri sudah habis. Polis mengarahkan kami menghubungi penjamin-penjamin kami. Fadiah menghubungi Kak Lat yang kemudiannya mengumpulkan beberapa orang penjamin dari kalangan loyars untuk kami dan anak-anak guam kami. Beberapa minit kemudian, kami nampak kawan-kawan peguam kami dari Pusat Bantuan Guaman KL iaitu Afzan, Farhana, Valen, Leena dan Sasha.
Penjamin aku ialah Farhana.Kami memutuskan untuk menunggu Ravin dan keluar bersama-sama. Ketika kami dilepaskan dan keluar, kami disambut oleh ahli keluarga dan rakan-rakan loyars. Aku nampak kelibat abang dan pakcik. Aku takut kena marah. Nasib baik, tak.

1 comment:

Seladang said...

Pemburu sentiasa memerlukan anjing - Apakah kiasan itu boleh disamakan antara Umno/Bn dengan polis ?