Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Thursday, April 23, 2009

SIDANG MEDIA 23.4.2009



Hari ini berlangsung Sidang Media ringkas di pejabat saya yang turut di hadiri oleh Tuan Haji Suhaimi Said,Ketua Bahagian Keadilan Kuala Krau dan Sdr.Yahya,Setiausaha Bahagian Temerloh.

Maudhuk Sidang Media ialah berkenaan isu penghakiman RM63 juta yang kena dibayar oleh Kerajaan Pahang sepertimana perintah Mahkamah dan yang lebih penting ialah kenyataan tidak bertanggungjawab serta jahat yang dibuat oleh Dato Seri Adnan Yaakob,Menteri Besar Pahang.
Kenyataan jahat tersebut disiarkan oleh akhbar Sinar Edisi Pahang pada hari Rabu,22.4.2009 yang menyangkuti intergriti dan maruah Institusi Kehakiman khususnya YA Dato Halim bin Aman,Hakim Mahkamah Tinggi Malaya yang membicarakan dan seterusnya memberikan penghakiman.
Menginsafi bahawa kenyataan sebegini terjumlah kepada penghinaan kepada mahkamah (contempt of court),maka Keadilan Pahang memanggil Sidang Media pada hari ini.Kenyataan penuh adalah sebagaimana dibawah:



SIARAN MEDIA

Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) merujuk kepada kenyataan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Dato’ Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Pahang Darul Makmur sebagaimana tersiar di muka surat N15, Akhbar Sinar Harian Edisi Pahang bertarikh 22.04.2009.

Menteri Besar Pahang di dalam kenyataan beliau antara lain telah menyebut:-

“(D)alam proses pihak Plaintif (Seruan Gemilang) memfailkan
tindakan terhadap Kerajaan Negeri, didapati selepas beberapa
ketika ada berlaku penipuan, peniruan , pembohongan
saksi dan pihak hakim sendiri”.

Kenyataan beliau tersebut secara jelas telah menghina, memperlekehkan dan mempertikaikan kredibiliti Yang Arif Hakim Dato’ Halim bin Aman yang membicara dan membuat Penghakiman kes ini.

Keadilan Pahang memandang berat kenyataan tidak bertanggungjawab Menteri Besar Pahang tersebut yang seharusnya tidak terkeluar dari mulut seorang pemimpin utama Negeri Pahang.

Keadilan Pahang turut melihat bahawa kenyataan tidak bertanggungjawab tersebut terjumlah kepada Penghinaan terhadap Mahkamah (contempt of Court) di pihak Dato’ Seri Adnan Yaakob di mana jika dibiarkan akan membuatkan Institusi Kehakiman dipersendakan dan hilang kredibiliti.

Atas dasar ini, Keadilan Pahang menuntut Dato’ Seri Adnan Yaakob dikenakan tindakan komital kerana menghina Mahkamah dan selanjutnya menarikbalik kenyataan beliau serta memohon maaf kepada Yang Arif Hakim Dato’ Halim bin Aman tanpa berbelah bagi.

Keadilan Pahang turut melihat kenyataan Menteri Besar tersebut sebagai strategi untuk mengalihkan perhatian dan menimbulkan tekanan kepada Mahkamah.

Di samping itu, Keadilan Pahang menuntut dan menggesa Pihak Berkuasa untuk mengambil tindakan undang- undang terhadap UMNO Pahang di atas kegagalan UMNO melunaskan premium berjumlah RM4.8 juta yang berkaitan dengan konsesi balak di Mukim Bebar sebagaimana berkait dengan kes Tetuan Seruan Gemilang tersebut.

Demikian itu, Keadilan Pahang dengan ini sekali lagi mengulangi kenyataan tidak bertanggungjawab Yang Berhormat Menteri Besar Pahang tersebut tidak boleh dipandang remeh dan menuntut tindakan undang- undang dikenakan kerana menghina Mahkamah dan menuntut Menteri Besar Pahang meletakkan jawatan dengan segera.

Bertarikh pada 23 haribulan, April, 2009.




No comments: