RumahINDUK RumahPUSAKO
Nan Gadang
Cuba
dan cubadan ku cuba lagi
berulang kali
ku cuba mencari
kesan denai-denai laluan
remajaku
memikat balam
di pinggir hutan,
menajur haruan
di tebat pandan
mengutip berangan gugur
bersipahan
mengetah punai
d hujung dahan
melastik tupai
makan putik
durian
sambil menunggu
merbah datang
menyerah
ke pintu jebak
tiang buluh
kulit bertam
yang tengadah.
Aduhai,
bagaimanakah akan tercari
olehku lagi
denai-denau laluan remajaku
yang telah mengajarku
menyayangi alam
dan segala hikmah
kesemulajadian
ya
yang telah
mendidikku menghargai
daulah imbangannya
yang mengikatku
ke dahan ingatan
yang tertambat
ke pohon zaman
yang sudah
entah ke mana hilangnya
kenangan tak
berkesan.
Bersama
semalamku
yang tidak lagi
menyambutku pulang
terlentang
sawah dah jadi
belukar
dan mayat
pepohon
pokok-pokok hutan
bergelimpangan
di tengah halaman
rumahINDUK
rumahPUSAKO.
nan gadang
yang lengang.
-Yassinsalleh
jam 1751
April 24, 09
Pelangai
kampungku
lagikah engkau ini?
*Puisi diatas hasil nukilan Yassinsalleh yang saya ambil dari blog PRIMA (http://adimul.blogspot.com/) kelolaan sasterawan Pak Dharmala NS.
Kepada saya puisi ini sungguh mengesankan,mengimbau kenangan zaman kanak-kanak yang "innocent",berlarian di padang dan berkubang di paya.Tiada yang perlu difikirkan kerana,ketika itu,dunia anak-anak dengan persekitaran kampung yang mendamaikan,jauh dari dunia 'perlumbaan tikus' (rat race) seperti dewasa ini.
Manakala foto menunjukkan Rumah Induk Rumah Pusako Rumah Gadang yang rentung di mamah api.Rumah pusaka ini juga amat dikenali sebagai Rumah Sudirman,beralamat di No.48 Kg Bukit Tok Embun hangus didalam kebakaran pada 3.12.2008.
Hampir 9 tahun saya tinggal disana bersama Arwah Ibu Mertua (kembali ke rahmahtullah pada 6.8.2008) dan putera kami,Ahmad Suhail,seawal umurnya 1 hari tinggal dan membesar di rumah No.48 tersebut.Saya punya kenangan indah dengan Arwah Mak,Enar dan kemudiannya Suhail selain kucing-kucing yang banyak bilangannya di rumah tersebut.Membahagiakan.
Apabila LanaiLestari siap dibina,kami berpindah bersama Arwah Mak.Maka tinggallah rumah No.48 tanpa penghuni,sepi dan dingin.Pokok-pokok rambutan,mempelam dan lain-lain seakan merajuk,enggan berbuah.
Dan akhirnya,rumah No.48 Kg Bukit Tok Embun,Rumah Gadang,Rumah Induk,Rumah Pusako,Rumah Sudirman ini menyembah bumi di jilat api sekitar jam 4.00 pagi 3.12.2008...
No comments:
Post a Comment