Apa ada dengan Bahasa?
Miskin dan perlu apa dijulang
Tidak moderan, kaku begitu
Apa ada dengan bahasa?
Yang aslinya hanya padi, besi dan babi
Bukankah miskin namanya itu.
Kata Guruku :-
Asal bahasa memang aslinya tiga,
Padi, besi dan babi
Tapi kerana bahasa adalah
Kehidupan,
Dari tiga menjadi empat, dari
Empat menjadi lima,menjadi
Dan menjadi membesar dan
Perkasa bagai Gunung Tahan
Bahasa tidak pernah miskin
Seperti Negara tidak pernah
Miskin kerana bahasa
Kerana bahasa itu tujuh lautan
Tujuh petala bumi dan tujuh petala
Langit
Kerana bahasa sentiasa berkembang
Dan segar dan menyerap segala
Yang baik dari alam
Kerana bahasa pernah
Merentasi samudera hingga ke Madagascar
Dan Afrika dan Pulau-pulau karang
Polynesia
Bahasa pernah menjadi bahasa dagang
Dan bahasa ilmu, mentautkan kasih
Sesama Nusantara
Kerana bahasa tidak pernah miskin
Kata para Pendita :-
Benar, bahasa Melayu warisan kita
Bahasa kebangsaan milik semua
Benar, bahasa Melayu lingua franca
Benar, bahasa Melayu serinya segar tidak akan layu
Tetapi apalah kami ini kalau pemimpin
Sudah berhujjah
Bahasa Melayu belum cukup mapan
Membina ilmu
Biarlah kami terus berteori di dewan
Kuliah dan berwejang di seminar
Kerana pemikiran pemimpin takBenar kata pemimpin, kami akur
Apalah bahasa melayu yang tidak
Membina KLCC
Apakah bisa bahasa membina KLIA
Maka biarlah kami di sini
Giat berteori dan sekali-sekala tentunya
Mengusik sedikit tanda kami prihatin
Usah salahkan para cendikia
Kerana kami sentiasa memartabatkan
Bahasa
Cinta kami usah diragu
Kasih kami usah disangsi
Sayang kami seluas samudera
Terbentang
Siapakah kami menyanggah kata pemimpin
Bijaksana teraju Negara
Negara aman maju sentiasa
(risau kami takut-takut miss soru)
[Teringat aku nasihat Munsyi yang satu:-
Kata orang arif : apabila engkau
Mendapat wang, belikan emas;
Jualkan emas itu, belikan intan,
Jualkan intan, belikan manikam;
Jualkan manikam, belikan ILMU
-Hikayat Munsyi Abdullah]
Kata Pemimpin lagi :-
Apa lagi alasan dicari
Negara sudah maju berkat
Pemimpin bistari
Bahasa sudah lama kami juangkan
Kalau tidak kerana kami, usah
Harap Negara merdeka
Sekarang ini zaman kemajuan
Bukan dipencilkan, sekadar kita
K.I.V untuk kemajuan
[nanti petang dengar sidang akhbarku,
Untuk membawa saudagar tidak
Mungkin berbahasa Melayu]
`Tenkiu ledi and jentelmen.we are
Hepi yu ken kam tu our kontri
Yu know-lah Malaysia is beri gud
Yu know-lah in Malaysia everibodi
Ken tok-tok inglish
Malaysia beri demokrasi wan.eberi
Five year wi got erection.beri big
Erection, all Malaysia got involved
In this big erection to choose
Gomen, yu si'
[maka nasihat Munsyi yang satu:
Bahawasanya barangsiapa
Hendak belajar bahasa bangsa-
Bangsa lain, maka sayugianya
Hendaklah diketahui bahasanya
Sendiri dahulu.
Hal yang sedemikian supaya
Memberi faedahlah baginya
Bahasa yang hendak dipelajari
Itu adanya
[hikayat Munsyi Abdullah]
Dan ini Sabda Rakyat:
Bahasa adalah jiwa kami
Bahasa adalah darah yang
Mengalir di setiap ruas urat
Nadi kami
Bahasa adalah kami, anak-
Anak merdeka
Bahasa adalah pengucapan
Dan pengabadian cinta kasih
Kami kepada bumi bertuah ini
Bahasa itu adalah kami
Kaum proletar
Bahasa adalah kami rakyat jembel
Yang sentiasa tegak menonggak tanahair
Bahasa adalah milik kami hak kamiBerkurun berdaulat di bawah payung
Perlembagaan
Bahasa adalah kami bukan hak
Mutlak pemimpin yang leceh mindanya
Demi rakyat demi maruah
Dari bijaksana waadat sang sapurba
Dan demang lebar daun
Demi tanah bertuah ini
Dengarlah sabda kami
Biar mati bergalang tanah
Biar kering tujuh lautan
Namun kami rakyat kecil
Siaga mempertahankan
Bahawa bahasa itu jiwa bangsa
Bahawa bahasa itu
Kebangsaan kami
Bahawa bahasa itu katalis
Peradaban neraca ilmu
Maka hubaya-hubayalah
Tatkala sabda rakyat menjadi
Taufan, kau lihatlah
Yang capik kan datang bertongkat
Yang buta kan datang berpimpin
Yang pekak kan datang bertanya
Yang kurap mengekor angin
Kerana ketika itu, kau saksikanlah
Tiada yang lebih besar dari kuasa
Rakyat demi kecintaan ini!
*Untaian kata-kata ini ciptaan saya.Saya tidak tahu samada ianya menepati syarat-syarat untuk membolehkan di panggil puisi.Sifu saya,Haji Suhaimi Said dan Sdr.ManKadir `memaksa' saya untuk menulis sajak untuk dibaca di Malam Puisi menentang PPMSI di Jenderak Utara yang telah berlangsung pada 7.2.2009.Sesungguhnya satu siksaan batin yang menghairahkan dalam proses saya mencipta bait-bait diatas-siksa kerana rasanya tidak ada bakat dan kreativiti tapi ada rasa berahi yang mendalam terus mencuba.Saya begitu gugup apabila membacanya di hadapan khalayak malam tersebut.Apapun,sekali lagi jika bait-bait untaian kata-kata ini boleh dianggap sebagai puisi/sajak,silalah nikmatinya;jika tidak,terimalah ia sebagai tanda protes yang lahir dari dalam diri saya diatas kesongsangan pemikiran pemimpin Melayu UMNO memdaulatkan Bahasa Kebangsaan dan mempersendakan Pendidikan Negara.
1 comment:
"Wah...percaya lah awak abang".. (diterjemahkan daripada slanga mat rock..wa caya lu brader !!!. Hidup bahasa ku.
Post a Comment