Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Saturday, March 28, 2009

DetikBumi-Earth Hour


Kami sekeluarga turut serta menyumbang untuk kesejahteraan Bumi.tepat jam 8.30 malam semua lampu dan perkakasan elektrik kecuali peti ais di-off-kan.Suhail begitu teruja,sudah beberapa hari dia mengingatkan komitmen untuk bergelap selama satu jam.

Apa yang hendak dibuat dalam 1 jam ini?Dengan 3 batang lilin dan torchlight Suhail mencadangkan untuk bercerita.Sepupunya,Adam Ejaz juga ada bersama kami.Maka seisi rumah termasuk kucing kami, Mister Joe berada di luar rumah didalam kegelapan malam hujung Mac;Suhail memulakan acara dengan cerita Tikus dan Singa versi Bahasa Inggeris dan kemudian Adam dengan 2 cerita kanak-kanak.Sesungguhnya celoteh kedua anak ini menghiburkan.
Saya teringat zaman kanak-kanak di Chenor.Rumah kami diterangi lampu gasolin,lampu 'ayam' (hurricane lamp) dan pelita minyak tanah yang berjelaga.Saya sudah lupa tahun bila tapi rasanya belum masuk darjah 1,Abah membeli generator Yamaha (seperti yang digunakan peniaga pasar malam),maka terangbenderanglah rumah kami buat beberapa jam.Suatu insiden yang saya tidak boleh lupa apabila generator tersebut terbakar dan menyambar tin minyak petrol serta api mula menjilat dinding,tetapi alhamdulillah dapat segera di padamkan dengan guni basah;jiran kami arwah Pak De Yasin bergegas ke rumah membantu memadamkan api.

Kemudian abah membeli generator second hand yang kapasitinya lebih besar.Rasanya enjin padi.Generator ini diletakkan di luar rumah dibahagian dapur,ada bangsalnya sendiri.Generator ini disambung dengan tali sawat khas kepada dinamo yang membekalkan kuasa elektrik.Untuk menghidupkannya perlu gunakan alat khas yang di panggil 'engkol'.Engkol ini di letakkan kepada tuas khas dan dipusing 360 darjah dengan kudrat yang bukan sedikit,mungkin kerana enjin tua.Saya tidak akan melepaskan peluang setiap hari untuk melihat enjin padi ini dihidupkan saban petang.

Enjin padi ini pun tidak lama.Generator tua ini terlalu sering rosak.Akhirnya,abah give up.Dibiarkan tidak lagi digunakan.Rasanya bongkahan besi 'jenazah' enjin ini masih ada sehingga ke hari ini.Maka kami berbalik semula menggunakan pelita.
Dalam tahun 1983,jika tidak silap ingatan,elektrik dibekalkan LLN (Lembaga Letrik Negara) sampai ke Chenor.Pun begitu bekalan bukannya 24 jam,cuma dari jam 6 petang hingga jam 6 pagi keesokkan harinya.Penggunaannya adalah terhad kerana kapasiti terhad.Rumah kami 'membeli' 300 watt sahaja;ini bermakna penggunaan yang melebihi kapasiti 300 watt,akan membuatkan suis utama terpelantik atau menendang ikut istilah kami.Jadi lupakanlah untuk menggunakan sterika elektrik atau rice cooker atau peti sejuk.Cahaya dari mentol elektrik pun remang-remang untuk mempastikan agar suis utama tidak terpelantik.
Kemudian bekalan elektrik 24 jam pun sampai ke Chenor.Pembekalan ini disegerakan kerana anak Dr.Mahathir berkahwin dengan orang Chenor.Saya tak pasti anak Dr.Mahathir sejati atau anak angkat.

Didalam keadaan ini dalam tahun 1970-an kami membesar.Dalam keadaan serba kekurangan (air paip pun tak ada,kami guna air perigi yang jernih dan manis rasanya,malah saban petang jiran-jiran datang kerumah untuk mandi dan membasuh di perigi kami),tidak seperti hari ini kami membesar dan belajar.Alhamdulillah,dengan berkat dorongan,sokongan dan doa Mak dan Abah,kami adik-beradik sekurang-kurangnya berjaya dalam pelajaran-Along kini seorang Doktor Perubatan,Angah seorang Jurutera yang sudah memperolehi title Ir. dipangkal namanya,Alang lulusan UM yang merupakan top student MCKK Tingkatan V tahunnya dan sekarang seorang pendidik (blog beliau http://cikguretro.blogspot.com/) manakala adikku yang bongsu,Cik Mie graduan UM juga mengikut jejak Mak dan Abah dan Alang berkhidmat sebagai Guru di Batu Bor.
Berbalik kepada Earthour,walaupun ada sesetengan pihak seperti yang di laporkan dalam akhbar The Star,mengkritik program ini tidak lebih dari gimik semata-mata,namun saya melihat bahawa sekurang-kurangnyalah ini yang boleh disumbangkan.Jika dengan mematikan lampu selama 1 jam dapat membantu Bumi untuk 'bernafas' seketika,maka dikira berjaya.Namun yang lebih penting saya kira,sekurang-kurangnya ujud juga rasa kesedaran untuk membantu Bumi yang kita huni ini dari pencemaran.Kepada saya peribadi,putera kami,Suhail mula membaca dan berminat dengan alam sekitar (sehinggakan saya membakar sampah petang tadi mengundang kritikannya kerana pencemaran asap!).Sekurang-kurangnya kepada kami sekeluarga,bergelita selama 1 jam menambahrapatkan kami dan insyaAllah membentuk kepekaan di jiwa Putera kami agar menghormati Bumi yang indah ini.
Fakta Ringkas Earth Hour:
88 buah negara memberikan komitmen untuk turut serta
3200 kota di seluruh negara turut serta
Tempoh masa lampu dipadamkan selama 1 jam dari 8.30 malam hingga 9.30 malam di seluruh dunia.



No comments: