Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Friday, August 26, 2011

Menangisi murtad dan zakat — Mohd Asri Zainul Abidin

Menangisi murtad dan zakat — Mohd Asri Zainul Abidin


25 OGOS — Minggu lepas saya dan beberapa orang sahabat pergi menemui salah seorang dari 12 individu yang dikaitkan dengan isu murtad baru-baru ini. Dia seorang janda yang mempunyai tiga orang anak. Usianya masih muda. Latar pendidikannya saya rasa “amat sederhana”. Saya tidak pergi untuk mempersalahkannya kerana pergi ke gereja dan terjebak dalam usaha kristianisasi. Saya pergi untuk membolehkan dia merasakan bahawa masih ramai yang ingin mengambil berat tentangnya. Lebih penting lagi, saya pergi untuk mengetahui apakah yang membawa dia sehingga terpaksa meminta simpati dan bantuan hidup dari pihak gereja.

Sedih

Saya sedih mendengar ceritanya. Menurutnya, dirinya seorang janda yang ditinggalkan suami. Terpaksa menanggung hidup tiga orang anak. Dalam kesempitan hidup yang amat, diminta keluar dari rumah sewa dan tenat mencari sesuap nasi untuk diri dan anak-anak dia pergi merintih di pejabat zakat. Dia tidak dilayan. Bahkan pegawai bertugas dengan tegas memberitahunya peruntukan sudah habis. Rayuannya tidak diendahkan.
Dia keluar berusaha lagi. Dia berjaya mendapatkan surat sokongan ahli politik. Kembali ke pejabat zakat membawa surat tersebut, terus sahaja dia mendapat peruntukan zakat. Peruntukan yang kononnya sudah habis sebelum itu, kembali ada untuknya. Dengan berbekalkan wang zakat itu dia berusaha survive. Dia juga pergi ke bahagian kebajikan masyarakat, juga tidak dilayan.

Dia bekerja untuk meneruskan hidupnya yang sempit. Di tempat kerja, melihatkan keadaannya yang susah dan miskin maka ada rakan sekerja yang beragama kristian mencadangkan untuk dia pergi ke suatu tempat yang mudah dan mesra dalam memberikan bantuan.

Di situlah bermula hubungan dia dengan pihak gereja. Apa tidaknya, dia susah, kehidupan terhimpit dan anak-anak yang masih kecil memerlukan makanan dan perlindungan. Pihak gereja membantu keperluan hidupnya. Diberikan wang serta menziarahi keluarganya. Mereka tidak menjadikan dia peminta sedekah, tetapi mereka menggunakan pendekatan “mesra dan saying”. Hatinya terpaut dengan kehalusan budi.

Walaupun saki baki akidahnya membantah untuk dia menukar agama, tetapi dia tidak dapat menafikan perasaan sayang dan terhutang budi kepada pihak gereja yang berjasa menyelamatkannya. Bagaimana mungkin untuk dia merasai kehebatan Islam di saat penganut yang seagama dengannya tidak memperdulikannya. Bahkan enggan membantunya.

Bagaimana pula dia dapat melihat kesilapan pihak gereja secara lahiriahnya sedangkan ternyata merekalah menolongnya? Orang mungkin berfalsafah dan berceramah secara retorik, namun jiwa insani terpengaruhi dengan apa yang dia rasai. Sakit demam anak-anaknya pihak gereja yang mengambil berat. Makan-minum mereka, pihak gereja yang membiayai. Bahkan keperluan rumah juga diberikan satu persatu.

Tangkap

Menurutnya, dia tidak menukar akidahnya, tetapi dia terus ke gereja membawa anak-anaknya. Anak-anaknya diterapkan ajaran Kristian oleh pihak gereja. Diajar nyanyian keagamaan dan nilai-nilai budi tertentu. Baginya, dilakukan semua itu untuk hidup. Rupanya ramai lagi yang senasib dengannya berada di bawah bantuan pihak gereja.

Sebahagian mereka memang menukar agama kerana kecewa dengan sikap masyarakat Islam dan terpengaruh dengan budi pihak gereja. Menurutnya juga, tiada paksaan dari pihak gereja. Cumanya, pendekatan mereka amat mempengaruhi.

Akhirnya, apabila pihak berkuasa agama mengetahui dia ke gereja, dia ditangkap untuk kali pertama dan beritanya disiarkan dalam akhbar. Menurutnya, sebaik sahaja ditangkap dan beritanya tersiar di media barulah pejabat zakat tergesa-gesa datang ke rumahnya. Begitu juga pihak kebajikan masyarakat. Dia memberitahu kepada pihak zakat bahawa dia ingin membuka taska. Mereka menyuruh dia mendapatkan rumah yang sesuai dan mereka akan bantu. Dia pun mendapatkan sebuah rumah yang mereka setujui yang agak besar dan sudah pasti sewanya agak tinggi.

Malangnya, selepas dia menyewa rumah tersebut, selama tujuh bulan pihak zakat tidak menghulurkan bantuan kepadanya. Terkapai-kapai ketika itu. Pihak gereja jugalah yang datang dan melangsaikan kesempitannya untuk menjelaskan sewa rumah tersebut. Sehinggalah apabila timbul isu, pegawai zakat menghubungi dan meminta agar dia memaklumkan kepada pihak yang bertanya bahawa pegawai zakat memang ada datang.

Ya, selepas itu memanglah pihak zakat memberikan satu jumlah bantuan yang agak besar kepadanya dengan “tukaran” yang tidak dapat saya maklumkan di sini. Semasa pihak berkuasa agama membuat penyiasatan ke atas gereja berkenaan, dia berada dalam gereja berkenaan bersama dengan sejumlah orang Islam yang lain yang senasib dengannya.

Walaupun, kali kedua media menyiarkan dia termasuk dalam senarai murtad dalam peristiwa itu, hakikatnya dia tidak murtad, cumanya ada di situ bersama dengan mereka yang senasib dengannya. Namun, menurutnya memang ada yang murtad.

Alhamdulillah dia masih kekal dengan keislamannya. Semuanya itu kerana desakan hidup. Terus-terang dia sebut “semua untuk wang kerana saya ingin membesarkan anak-anak saya”. Semasa saya menziarahinya — tanpa notis awal — dia baru sahaja selesai menunaikan solat terawih. Menurut dia memang ramai lagi yang terpengaruh dengan usaha kristianisasi yang dilakukan.

Mereka yang banyak terlibat terdiri dari kalangan ibu tunggal yang miskin, saudara baru muslim yang tidak dipedulikan, wanita yang mengandung tanpa suami, pesakit AIDS dan juga Muslim dari Sabah dan Sarawak yang dalam kesusahan.

Apa yang hendak dipelikkan, begitulah tabiat agama yang merasakan mereka berkhidmat untuk Tuhan. Apa yang hendak pelik jika gereja mengajar ajaran Kristian kerana itu memang kerja gereja. Tak mungkin gereja hendak berdakwah kepada Islam.

Namun yang pelik apabila ada negeri yang puluhan individu yang mempunyai Ph.D dan master’s dalam pengajian Islam yang disahkan oleh kerajaan tetapi tidak dibenarkan mengajar Islam di masjid dan menyampaikan Islam kepada orang Islam.

Salah Siapa?

Jika kita ingin melepaskan diri, mudah sahaja, kita letakkan kesalahan ini kesemua di pihak gereja. Kita tuduh merekalah punca segalanya. Kemudian kita buat demonstrasi, kita bakar semangat orang awam untuk bangun menentang gereja yang melakukan aktiviti bantuan dan “dakwah”. Adapun kita yang tidak membantu dan berdakwah ini, tidak perlulah disalahkan. Begitukah kita? Supaya orang dapat melupakan kesilapan kita, kita letakkan segala dosa ke atas orang lain semata.

Cubalah bayangkan jika ada sebuah rumah yang didiami oleh satu keluarga yang besar dan kaya tiba-tiba salah seorang ahli rumah itu lari ke rumah jiran atas atasan tidak diberikan perhatian dan mendapat perlindungan serta makanan. Sementara si jiran sebelah pula menghulurkan bantuan dengan pelbagai tawaran.

Apakah suatu penyelesaian yang tuntas dengan hanya kita mencadangkan agar dibakar rumah jiran, atau ditangkap si jiran atau dihukum si jiran kerana mempengaruhi ahli keluarga kita. Dalam masa yang sama kita, kita tidak persoalkan tanggungjawab kekeluargaan yang kita abaikan selama ini.

Zakat

Saya tidak menafikan usaha-usaha baik pengurusan zakat yang telah pun berjaya dilakukan. Kita tahu, zakat kita banyak. Jika dihimpun seluruh negara, mungkin mencecah lebih satu billion. Itu setiap tahun. Bangunan-bangunan zakat cantik dan indah. Iklan-iklan mengutip zakat juga canggih dan mahal. Gaji-gaji yang terlibat mengurusnya jangan ditanya lagi. Cara membayar zakat juga dipermudahkan dengan pelbagai kaedah dan teknologi. Tiba-tiba si miskin kita terpaksa merintih simpati dari gereja?

Sesetengah pegawai zakat bersifat begitu meterialistik. Berwajah manis jika hadir di depannya pembayar zakat, tapi berwajah suram jika yang hadir itu pemohon zakat. Tiada semangat dakwah dan ukhuwwah Islamiyyah. Pemohonan menjadi sulit dan sukar. Apatahlagi jika mak cik tua yang uzur disuruh mengisi borang. Maka, pemohon zakat bagaikan peminta sedekah.

Sebab itu barangkali ramai fakir yang tidak sanggup ke pejabat zakat. Jika program “Bersamamu” boleh menemui si fakir saban minggu, kenapa pula pihak zakat gagal mengesan mereka. Jika usaha mengutip zakat begitu hebat, alangkah baik dihebatkan juga usaha mencari mereka yang layak menerima zakat. Mencari orang miskin itu penting, bukan menunggu mereka datang. Bukan semua yang miskin sanggup atau dapat datang kepada pihak zakat.

Menurut al-Quran, yang miskin tidak meminta itu lebih patut diutamakan. Firman Allah (maksudnya): “(Pemberian sedekah itu) adalah untuk golongan fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); orang yang jahil menyangka mereka kaya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) tanda-tanda mereka, mereka tidak meminta daripada orang ramai secara mendesak-desak, dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang baik maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya.”( Surah al-Baqarah ayat 273)

Berilah zakat kepada mereka, kerana itu memang hak mereka. Jangan jadikan mereka pengemis di pejabat zakat. Berilah dengan kasih dan perancangan agar mereka keluar dari daerah kemiskinan. Kata Saidina ‘Umar r.a.: “Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”. Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): “Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini” (Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah).

Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan muslim yang miskin atas peruntukan fakir dan untuk dakwah atas peruntukan muallaf. Lihatlah perbahasan fekah yang lebih luas. Jika zakat berfungsi, bukan muslim akan tertarik dengan Islam. Jika ia tidak berfungsi, yang sudah Islam pun ingin keluar dari Islam!

* Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah ahli akademik dan bekas Mufti Perlis.25 OGOS .

Wednesday, August 24, 2011





SAYA SEKELUARGA DAN SELURUH PIMPINAN SERTA ANGGOTA PARTI KEADILAN RAKYAT CABANG TEMERLOH DENGAN SEGALA HORMAT DAN TAKZIMNYA MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT AIDIL FITRI KEPADA SELURUH WARGA TEMERLOH KHUSUSNYA DAN RAKYAT MALAYSIA AMNYA.


KAMI JUGA TURUT MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT DAN MERAIKAN HARI KEMERDEKAAN NEGARA YANG KE 54 TAHUN.


MAAF DZAHIR BATIN DAN SALAM HORMAT DARI KAMI

Thursday, August 11, 2011

DARI ARKIB BERITA:ALTANTUYA SHAARIBU:BAGAIMANA DAN MENGAPA DIA DIBUNUH


Artikel ini diterjemahkan oleh Kerajaan Rakyat dari artikel asal yang bertajuk “The Altantuya Shaaribuu’s Case : How And Why She Was Killed?” dan disiarkan oleh sebuah akhbar Perancis pada 5 Mac 2009.
—-
Shaaribu Setev adalah seorang lelaki yang kecewa dan marah. Namun disebalik wajah sedih lelaki Mongolia ini tersimpan semangat yang tinggi. Duduk di sebuah sofa di lobi sebuah hotel di Ulaan Battar sambil bergetar menahan angin beku yang bertiup, dia lelaki berumur 60 tahun itu bersiap sedia untuk melawan. Raut parasnya dibentuk dari segala penderitaan dan iklim yang melampau, dan renungannya yang dalam menceritakan semuanya.



“Anak perempuan saya dibunuh oleh orang Malaysia di bumi Malaysia. Namun mereka langsung tidak memohon maaf,” katanya yang juga seorang professor psikologi di Universiti Kebangsaan Mongolia.


Pembunuhan anak perempuannya, Altantuya Shaaribu, berlaku pada bulan Oktober 2006. Ini adalah jenayah bunuh yang berbeza dari yang lain berlaku di sebuah rantau di mana konflik-konflik perniagaan atau pertelingkahan politik yang remeh diselesaikan dengan muncung pistol. Segala yang berkaitan dengan kes ini, yang bermula pada tahun 2002 apabila syarikat Perancis-Sepanyol Armaris mencapai persetujuan untuk menjual tiga buah kapal selam kepada kerajaan Malaysia dengan harga satu bilion Euro, adalah luar dari kebiasaan.



Kesan “kes Altantuya” ini di Perancis, Malaysia dan Mongolia belum lagi mencapai klimaknya. Pembunuhan gadis Mongolia berusia 28 tahun itu adalah akibat dari “komisen” berharga 114 juta daripada Armasi kepada rakan niaganya di Malaysia. “Komisyen” ini yang diakui oleh kerajaan Malaysia di dalam Parlimen di Kuala Lumpur, telah mencetus beberapa siri peristiwa yang membawa kepada pembunuhan Altantuya dan kehilangan beberapa orang saksi penting di dalam kes itu.


Sebuah laporan dari polis Malaysia, yang masih disimpan secara rahsia sehingga sekarang, mendedahkan secara terperinci bagaimana perempuan muda yang tergolong dalam golongan atasan Asia itu dibunuh. Di dalam dokumen tersebut, salah seorang pembunuhnya, seorang anggota polis dari Cawangan Khas bernama Sirul Omar, menjawab soalan-soalan yang ditanya oleh seorang pegawai di sebuah stesen polis yang berdekatan dengan tempat pembunuhan.


“Apabila perempuan Cina itu melihat saya mengeluarkan sepucuk pistol, dia merayu supaya dilepaskannya kerana dia sedang mengandung. Azilah (pegawai pemerintah kepada Sirul) menarik perempuan itu dan [menghumbannya] ke atas tanah. Saya segera menembak pada bahagian kiri mukanya.



Kemudian Azilah menanggalkan pakaian perempuan itu dan memasukkan pakaian yang ditanggal itu ke dalam sebuah plastik hitam. Azilah mendapati tangan perempuan itu masih bergerak. Dia memerintahkan saya untuk menembak sekali lagi, dan saya melakukannya”, ujar Sirul. Ini adalah merupakan pengesahan yang pertama identiti pembunuh Altantuya. ” Kemudian kami mengusung mayatnya ke dalam hutan, Azilah membalut bahan letupan di sekeliling kaki, abdomen dan kepala perempuan itu dan kemudian kami meletupkannya.”


Pendedahan laporan tersebut di dalam akhbar Perancis *Liberation* adalah bab terbaru dalam kisah yang penuh warna-warni dan dramatik ini yang melibatkan penjual senjata Perancis, pawang Mongolia dan politikus-politikus Malaysia. Kes ini sangat sensitif kepada kerajaan Malaysia, kerana Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak yang dijadualkan menjadi Perdana Menteri pada akhir bulan Mac nanti disyaki terlibat di dalam kes ini, tetapi ini juga kerana kes ini boleh memalukan DCNS, sebuah syarikat Perancis yang mengkhusus dalam pembinaan kapal laut tentera. Syarikat Perancis-Sepanyol Armaris, yang menjual Scorpene dan satu kapal selam Agosta kepada Malaysia pada bulan Jun 2002, dibeli oleh DCNS pada tahun 2007.




Dengan kecantikan dan keanggunannya yang memukau, Altantuya mengingatkan pada imej kacau seorang perempuan dari Timur Jauh bernama Mata Hari. Altantuya membesar di Saint Petersburg (Russia), kemudian belajar di Institut Pengurusan Ekonomi di Beijing. Di samping bertutur di dalam bahasa Inggeris, dia juga fasih di dalam bahasa Russia, Cina dan Korea. Sebagaimana yang telah ditakdirkan, semasa di Hong Kong dia bertemu dengan Abdul Razak Baginda pada tahun 2004. Baginda adalah seorang pakar keselamatan dan pengarah Malaysian Strategic Reseach Centre, sebuah badan pemikir yang pro-kerajaan. Tidak berapa lama kemudian hubungan mereka menjadi percintaan. Altantuya, atau dipanggil Tuya oleh teman-temannya, membuktikan bahawa dia adalah seorang pembantu yang berguna, menolong Baginda menterjemah bahasa Rusia ke bahasa Inggeris.


Jika Altantuya muda dan cantik, Baginda yang kaya dan menarik adalah seorang yang terkenal di kalangan elit Kuala Lumpur, terutama sekali kerana dia rapat dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan menteri Pertahanan, Najib Razak (baginda juga penasihat urusan keselamatannya). Baginda selalu bertemu dengan lingkungan-lingkungan yang sangat eksklusif di Kuala Lumpur, kadangkala ditemani oleh isterinya yang sah.


Pada bulan Mac 2005, Altantuya dan Baginda berangkat ke Eropah, mengelilingi Perancis, Jerman, Itali dan Portugal dengan Ferrari merah Baginda, menginap di hotel-hotel mewah dan menjamu selera di restoran-restoran terbaik di benua itu. Bagaimanapun, lawatan itu bukan sekadar lawatan biasa: kontrak untuk menjual dua kapal selam itu telah ditandatangani pada tahun 2002, tetapi beberapa hal-hal penting yang berkaitan masih belum diselesaikan.


“Kami mengetahui bahawa Baginda digunakan oleh Timbalan Perdana Menteri Najib Razak sebagai pengantara dalam urusan system persenjataan, terutama sekali di peringkat tertinggi,” kata seorang pakar urusan keselamatan serantau.


Pada hujung bulan Mac Altantuya dan Baginda berada di Paris, di mana mereka bertemu dengan Najib Razak. Sekeping gambar yang diambil pada akhir Mac 2005, menunjukkan bahawa ketiga mereka berada di sebuah kelab persendirian di Paris.


“Tuya menunjukkan gambar itu. Katanya salah seorang lelaki itu, Abdul Razak Baginda adalah teman lelakinya, dan seorang lagi, Najib Razak, adalah “big boss”. Saya bertanya kepadanya adakah mereka bersaudara kerana nama mereka, tetapi katanya tidak, dan Najib Razak adalah “perdana menteri”, cerita Amy, teman rapat Altantuya (Najib Razak telah bersumpah dengan Quran mengatakan bahawa dia tidak pernah bertemu dengan Altantuya). Menurut seorang detektif persendirian, sekarang bersembunyi di India, si Tuya yang cantik itu juga adalah perempuan simpanan Timbalan Perdana Menteri, yang dikenalkan oleh Baginda kepadanya pada akhir tahun 2004.


Cerita ini menjadi dramatik apabila pada Oktober 2006, Altantuya dimaklumkan bahawa komisyen yang dibayar oleh syarikat Perancis-Sepanyol Armaris telah masuk ke dalam akaun bank di Kuala Lumpur. Komisyen itu telah dibayar kepada Perimekar, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Baginda. Altantuya segera berangkat ke Kuala Lumpur dengan tujuan menuntut bahagiannya dari komisyen itu dari Baginda; dia berkata dia berhak untuk mendapat 500, 000 dolar.



Baginda dan Altantuya putus hubungan tidak berapa lama sebelum itu lagi. Rosmah Mansor, seorang ahli perniagaan yang digeruni dan isteri Najib Razak, cemburu lalu menghalang sebarang pembayaran kepada Altantuya. Altantuya tiba di Kuala Lumpur dengan dua orang wanita Mongolia, salah seorang darinya adalah pawang yang akan menjampi Baginda jika dia tidak membayar. Selama beberapa hari, Altantuya mengganggu bekas kekasihnya. Pada 18 Oktober, Baginda tidak dapat lagi tahan dengan Altantuya yang setiap hari berada di hadapan rumahnya. Dia menghubungi Pengarah Cawangan Khas, Musa Safrie, yang juga merupakan pegawai keselamatan Najib Razak.


Pada 19 Oktober 2006, jam mendekati 9 malam, dua orang pegawai polis Cawangan Khas, Azilah Hadridan dan Sirul Omar, dihantar ke hadapan rumah Baginda di mana Altantuya menjerit dan berteriak. Mereka mendapat arahan “meneutralkan perempuan Cina itu.” Mereka menculiknya dan membawanya sejauh sepuluh kilometer dan menembaknya beberapa kali. Kemudian, mereka memusnahkan tubuhnya dengan bahan letupan C4, jenis yang hanya boleh diperolehi dari Kementerian Pertahanan. Kemasukannya ke Malaysia telah dipadam dari rekod imigresen. Ini seolah menunjukkan bahawa Altantuya tidak pernah ke Malaysia kerana tidak ada rekod yang menunjukkan sebegitu.


Tidak ada jenayah yang sempurna. Pemandu teksi yang disewa oleh Altantuya pada hari tersebut tidak dapat menerima kenyataan bagaimana penumpangnya yang masih belum membayar tambang diculik di depan matanya. Dia mencatit nombor pendaftaran kereta penculik itu dan membuat repot di sebuah balai polis. Dalam beberapa hari, polis mendapat tahu indentiti kereta itu dan mendapati ia adalah kereta kerajaan. Beberapa peristiwa berlaku sehingga Najib Razak sendiri tidak dapat menghalangnya. Dia cuba untuk menutup kes ini. Beberapa jam sebelum penahanan Baginda, dia menghantar satu SMS: “Saya Akan bertemu dengan Ketua Polis Negara pada jam 11 pagi hari ini…masalah tersebut akan selesai. Sabarlah”. Beberapa jam kemudian, Baginda ditahan, begitu juga dengan dua orang pegawai dari Cawangan Khas, Azilah dan Sirul.


Selepas perbicaraan yang dianggap meragukan oleh ramai pemerhati, Baginda dilepaskan dari tuduhan telah memerintahkan pembunuhan itu dilakukan dan dibebaskan pada bulan November 2008. Azilah dan Sirul yang dituduh melakukan jenayah tersebut, tampil di hadapan Mahkamah bulan lepas. Jika disabit kesalahan, mereka akan dihukum mati. Mahkamah akan memutuskan pada 9 haribulan April.


Beribu batu dari Kuala Lumpur, di ibu Negara Mongolia, Ulaan Baataar, Shaaribuu Setev, bapa Altantuya berusaha mengawal perasaan marahnya. Untuk dia dan keluarganya, pembebasan Baginda adalah simbol kepada ketidakadilan di dalam proses perundangan Malaysia.


“Kerajaan Malaysia langsung tidak membals surat-surat yang dihantar oleh Kementerian Luar Mongolia,” katanya.



Ketika Shaaribu datang ke parlimen Malaysia untuk bertemu dengan Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri itu terpaksa keluar mengikut pintu belakang untuk mengelakkan pertembungan yang memalukan. Kes Altantuya telah menjadi elemen penting di dalam permainan politik Malaysia di antara Najib Razak (yang dijangka akan menjadi Perdana Menteri selepas Perhimpunan Agong UMNO pada bulan Mac ini) dan Anwar Ibrahim. Sehingga kini, Najib Razak Berjaya menghadapi rintangan ini, tetapi pembunuhan perempuan Mongolia itu akan menjadi pedang yang tergantung di atas kepalanya.


Salah satu aspek yang kabur di dalam kes Altantuya ini adalah peranan syarikat Armaris. Pada Oktober 2007, Timbalan Menteri Pertahanan, Zainal Abidin Zin, mengakui di hadapan Parlimen bahawa Armaris telah membayar sebanyak 114 juta Euro sebagai komisyen kepada Perimekar. Dia menegaskan bahawa bayaran itu bulan rasuah tetapi adalah untuk “perkhidmatan-perkhidmatan sokongan dan koordinasi.” Adakah terdapat korupsi di dalam kes kapal Taiwan di mana DCNS French dikaitkan juga? DCNS, adalah syarikat swasta dengan dana awam, telah menolak permintaan kami untuk mengadakan pertemuan.



‘Tiada siapa yang boleh memberi komen terhadap kes itu,” jawab pegawai perhubungan awam DCNS di Paris. Sebuah dokumen, yang boleh menghubungkan antara Altantuya dan syarikat Perancis itu adalah surat jaminan yang ditulis oleh Abdul Razak Baginda supaya perempuan simpanannya itu dapat memohon visa untuk memasuki zon Schengen (Perancis adalah Negara ahli).



Kedutaan Perancis tidak boleh menolak permintaan seorang lelaki yang telah dianugerahkan dengan Legion d’Honneaur itu. Tetapi peranan Altantuya di dalam perundingan kapal selam itu masih lagi belum jelas. Agensi-agensi perisikan mendapati latar belakangnya menarik dan FSB Rusia (ex-KGB) memantau secara dekat kes ini.


Di Ulaan Baatar, Mungunshagai, anak lelaki sulung Altantuya, yang berumur 12 tahun, mengalami trauma dengan kematian emaknya. Altanshagai, anak bongsu, yang berumur 5 tahun dan terencat akal, tidak dapat memahami bahawa dia tidak akan bertemu ibunya lagi.




“Dia selalu bertanya tentang ibunya dan dia sepanjang hari meniarap di atas kerusinya. Setiap malam, saya akan memberinya gula-gula dan mengatakan bahawa ibunya memberikan kepada saya untuk diberikan kepadanya”, ujar Shaaribuu Setev, datuk kepada dua dua orang budak lelaki itu.



Tentang baginda pula, dia sekarang menetap di United Kingdom dengan keluarganya. Dia tidak sekalipun pernah melafaz sepatah kata penyesalan terhadap kematian seseorang yang pernah berkongsi hidup dengannya selama dua tahun.

Monday, August 8, 2011

Kepada Cendikia Solidar~Puisi SN A.Samad Said



Kepada Cendekia Solidar


Kita wajar ikhlas murnikan sumber kuasa bangsa,

menghakis label-label bongkak yang disusup puaka,

Kini para bangken sedang berlindung di sebaliknya

dengan media gergasi pertajam taring dustanya.


Cendekia muda kini tenaga tulus dan waja

semakin cekal bangkit sebagai wewira perobah.

Mereka tentangi kuasa cemar berlendir dosa,

berazam melawannya demi mengharum satu era.


Pening gas dan pedih air mencemar dekad merdeka;

kuasa bobrok ghairah merongrong demokrasi luka.

Kita wajar mensyahdukan benih kuasa yang sakti,

dan dengan khusyuk mendeklamasi puisi berani.


Senja ini lara, dan kita tetap menyembuhkannya.

Ya, kita dakapi demokrasi tulen seakrabnya.