Kata Orang Arif:apabila engkau mendapat wang,belikan emas;jualkan emas itu belikan intan;jualkan intan,belikan manikam;jualkan manikam,belikan ILMU.
(Hikayat Munsyi Abdullah )

Wednesday, November 25, 2009

PROGRAM AMK KEADILAN CABANG TEMERLOH

Jemputan Ke Majlis Korban Dan Ceramah Agama

Tarikh:28.11.2009 Jam 7.00 Malam
Tempat:Masjid Taman Saga,Mentakab,Pahang Darul Makmur
Penceramah:Al-Fadhil Ustaz Dr.Mohd Nur Manuty,Timbalan Reaktor KUIS
Tuan-Puan Di Jemput Menghadiri Dan Memeriahkan Majlis.

Saturday, November 21, 2009

NIKBINJIDAN Dan JAVIDNAMAH:Sebuah Kidung Dari Dalam Diri Anak Muda



Beberapa minggu kelmarin sengaja saya meluangkan masa untuk ke Kuala Lumpur di hujung minggu.Selain untuk untuk mencari buku-buku baru saya juga berhajat menghardai malam kesenian anjuran Pusat Bantuan Guaman KL (LACKL) sempena kempen Minggu Kesedaran Undang-undang di Central Market (CM).

Malam minggu yang lembab itu saya sampai ke CM.Ada khemah terpacak di pojok parking lot berhadapan dengan pentas yang begitu sederhana.Mata saya melilau mencari kalau-kalau ada wajah yang saya kenali;para karyawan malam itu,selain penyair prolifiks Komrad Ceceil Rajendra,adalah para peguam muda yang gigih dan berdedikasi.Tentunya wajah-wajah mereka asing dengan saya yang sudah boleh di kategorikan sebagai peguam tua!


Di hujung khemah berhampiran pintu masuk CM saya melangkah sambil mata masih melilau meninjau dari balik tirai rintik renyai hujan.Saya tercium bau asap rokok kretek,ya,siapa lagi jika tidak asap itu dari muncung peminat kretek tegar,Hishamudin Rais aka Tukar Tiub.PyanHabib pun rupanya ada melepak disitu bersama Isham dan di sebelah mereka seorang anak muda yang sedang memanggul beg gitar.


Seusai bersalam,anak muda berambut gondrong menyapa:"Abang Nizam ye?LanaiLestari?".Disitulah perkenalan kami secara formal kerana sebelum ini hanya melalui internet tatkala anak muda ini meninggalkan komennya di blog saya.


Anak muda itu ialah NikBinJidan;anak muda yang berani dan bermandiri dan penyanyi 'busking' yang mempersembahkan bakatnya di merata lorong KL.Kami berbual tetapi mungkin suasana yang agak kurang mengizinkan,hanyalah sekadar begitu-begitu sahaja.Pun begitu sebelum berpisah-Nik dan Pyan ke Rumah GAPENA-manakala saya perlu berangkat pulang ke Chenor,sempat saya dititipkan dengan sebuah album lagu dalam bentuk CD.






Nik anak muda kelahiran Raub Pahang dan membesar di Jengka 22 dan merantau ke KL bagi meneruskan pencarian didalam hidupnya.


Foto dari kiri:aku,Pyan dan NikBinJidan






Di muka CD tertera tajuk album JAVIDNAMAH (jangan tanya apa maknanya kerana aku pun tak sempat hendak bertanyakan Nik).Album tersebut nyayian Nik,anak muda itu.Album 'underground' kata seorang teman dan jangan harap boleh diperolehi di gedung muzik yang classy kerana suara dari album itu datang dari jalanan maka hanya boleh diperolehi dari jalanan juga.

Saya bukanlah pengkritik muzik malah tidak ada ilmu muzik pun.Sekadar suka menikmati muzik yang sealiran dengan jiwa saya.Muzik atau lagu yang sekadar memuja dan memuja bulan-bintang semata-mata bukanlah yang dapat saya apresiasi sepenuhnya.Begitulah.




Dan malam itu saya memandu pulang dari KL dengan di temani oleh 'suara jantan' Nik.




Album ini memuatkan 9 buah lagu yang di rakamkan di Bakri Music Workshop (BMW) pada 8 Jun tahun ini.Para karyawan yang terlibat seperti tercatat di kulit album terdiri daripada Javid,Meor,Black,Rahmat Haron,Iqbal dan lain-lain lagi.Ertinya album lagu ini benar-benar lahir dari anak muda.




Nyanyian Nik diiringi petikan gitar-gitar kapuk ikut kata kawan-kawan saya-dengan susunan muzik yang tidak membingitkan telinga.Terusterang diawalnya saya beranggapan lagu-lagu didalam album ini bersifat hingarbingar yang tidak ketahuan hujungpangkalnya tetapi,tanggapan saya meleset kerana 'suara jantan' Nik dapat memikat seluruh jiwa saya.




Lagu dan lirik pada keseluruhannya menarik dan memikat.Perlu difahami bahawa album ini tidak memuatkan lagu-lagu cinta yang hipokrits yang bersifat arusperdana tetapi luahan rasa anak muda yang menyelami persekitaran mereka yang serba mencabar tentunya.Dan tidak juga bersifat lagu-lagu protes yang radikal atau ultra.Ia dipersembahkan dengan penuh bersahaja tetapi cukup bermakna.





Pun begitu saya mengesani kecenderungan Nik untuk berkhutbah;lagu 'Untuk Orang Islam' umpamanya saya nilai sebagai kecenderungan untuk mengggurui pendengar dengan kata nasihat yang begitu-begitu.Mungkin disini Nik masih terbelenggu dengan stereotaip lagu/senikata perlu menggurui para pendengar.




Namun keseluruhannya album ini begitu menarik dan menggamit rasa yang seni.Ia adalah karya yang penuh kelainan dan berani keluar dari kepompong arus perdana.Album ini penuh kejujuran yang perlu dinikmati dengan santai tetapi perlu berfikir dengan dalam.

Album ini perlu dimilikki oleh semua.Album ini boleh diperolehi terus dari penyanyinya melalui blog berikut:http://nikbinjidan.blogspot.com .Persembahan didalam album ini tidak menghampakan.Nikmati sahaja lontaran suara jantan anak muda ini.

p/s.Juga jenguk blog NIKBINJIDAN.Banyak yang boleh dipelajari dan di teladani.Tetapi jika anda dari golongan elits lupakan kerana blog itu benar-benar blog marhaen,blog proletariat.

Friday, November 20, 2009

Dari MERDEKA REVIEW

Lembaran baru pergelutan politik:Saiful vs Altantuya? Lingam!
Lim Hong Siang

Suasana politik tidak kembali tenang sejak dilanda tsunami pada 8 Mac 2008. Presiden UMNO ketika itu yang diasak dari dalam dan luar, semakin hilang kawal. Sebaliknya, Pakatan Rakyat dilambung pada kemuncak keghairahannya untuk menuju ke Putrajaya.
Bulan Jun 2008 menyaksikan pertembungan langsung antara dua orang "bakal Perdana Menteri". TPM Najib Razak bersama isterinya dikaitkan sekali lagi dengan isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu, oleh Raja Petra Kamaruddin (kiri, gambar kiri). Blogger yang berpengaruh ini membuat akuan sumpah pada 18 Jun, menuduh Rosmah Mansor, isteri TPM berada di tempat kejadian pembunuhan Altantuya.
10 hari kemudian, seluruh Malaysia digemparkan sekali lagi, apabila "kes liwat Anwar Ibrahim II" ditayangkan. Kali ini, pembantunya Mohd. Saiful Bukhari tampil membuat tuduhan, disusuli kemudiannya dengan angkat sumpah di masjid, sebagai cubaannya untuk memperkukuhkan tuduhan tersebut, terutamanya di kalangan masyarakat muslim.
Anwar vs Najib 1:0
Cubaan meludah ke arah Anwar Ibrahim kali ini berakhir dengan pengaiban pada dirinya. Survey Merdeka Center yang diumumkan pada awal Julai memperlihatkan hanya 10% responden mempercayai bahawa Anwar melakukan liwat. Seterusnya, survey yang diumumkan pada awal Ogos 2008, menunjukkan bahawa sokongan terhadap Najib Razak hanya berada pada paras 34%, satu tamparan sengit terhadap bakal PM UMNO-BN ketika itu.
Malah, reputasi UMNO-BN jatuh merudum dalam PRK Permatang Pauh pada 26 Ogos, hampir terkubur dalam undi majoriti Anwar Ibrahim yang tertimbun. UMNO-BN yang menayangkan "Kes Liwat II" ini nyata lebih tertekan pada waktu itu, walaupun menguasai segala jentera negara.
Meskipun begitu, "Kes liwat II" tidak melabuh tirai begitu sahaja. Isu ini masih diungkit, secara tersurat mahupun tersirat dalam PRK yang berlangsung selepas PRK Permatang Pauh. Malah, Saiful Bukhari cuba memastikan "ketidakadilan yang menimpa dirinya" tidak hilang dari ingatan khalayak, mengingatkan orang ramai melalui blognya bahawa "Justice delayed Is Justice denied".
Kes liwat Anwar II diungkit lagi
Senario politik berubah dari masa ke masa, khususnya selepas Anwar Ibrahim gagal menyempurnakan rancangan 16 September. PR mula hilang fokus, perbalahan dalaman mula timbul, dan lebih ketara, jurang antara hasil kerja PR dan harapan rakyat kian melebar.
Sementara UMNO-BN yang diterajui Najib Razak, semakin kembali ke landasannya, apatah lagi setelah teruja dengan kemenangan PRK Bagan Pinang. Melainkan beberapa parti komponen BN yang masih bergelut dalam kemelut, BN kini dilihat berada dalam keadaan terbaiknya selepas tsunami 8 Mac 2008.
Senario sedemikian memberi nafas baru kepada UMNO-BN, bukan sahaja memantapkan dirinya, tetapi bersiap sedia untuk meneruskan "serangan yang belum selesai" itu. Maka dalam konteks inilah, mula wujudnya pertikaian "mengapa Anwar cuba melengah-lengahkan perbicaraan".
Awang Selamat, dalam kolumnya di Mingguan Malaysia pada 6 September 2009, mengusik Anwar dengan mengubahsuai laungan slogannya "lawan tetap lawan" kepada "tangguh tetap tangguh". Pada hari keesokannya, Utusan Malaysia menonjolkan isu liwat ini di muka surat depannya, dengan memetik hujah Chandra Muzaffar, "Kenapa mahu yangguh perbicaraan kalau tidak salah -- Anwar tidak perlu takut".
Menteri Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz, malah Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Rosnah Abdul Rashid Shirlin dipetik untuk mengulas pandangan yang diketengahkan oleh Awang Selamat. Tidak cukup dengan itu, isu liwat ini berlanjutan untuk hari-hari seterusnya, apabila mereka yang keluar parti dari PKR seperti Lokman Nor Adam, Roslan Kassim, S.Nallakaruppan beratur di atas lidah parti untuk mencabar dan menyelar Anwar.
Lebih-lebih lagi, ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah yang keluar dari PKR pada 29 Oktober 2009, menyebut "soal moral" Anwar antara sebabnya meninggalkan PKR. Bekas Ketua AMK, Mohd Ezam Mohd Nor tidak melepaskan kesempatan ini untuk mendesak agar Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail, yang juga isteri kepada Anwar Ibrahim untuk menjawab persoalan moral suaminya.
Bala pula muncul kembali
Serangan bertubi-tubi ini semestinya disedari PR, yang juga tidak akan berpeluk tubuh begitu sahaja. Maka, secara "kebetulannya", mereka yang "hilang" kerana kes Altantuya mula timbul semula untuk menggilap ingatan ramai. Raja Petra Kamaruddin misalnya, melalui Malaysia Today mendakwa bahawa kebenaran di sebalik kes pembunuhan Altantuya akan terbongkar sebelum hari Krismas tahun ini.
Balasubramaniam, penyiasat persendirian yang "hilang" selepas akuan sumpahnya yang mengaitkan Najib Razak dengan Altantuya, dan kemudian ditarik balik keesokannya, kini muncul dalam klip video yang tersiar di Malaysia Today. Apa yang berlaku sebelum dan selepas kehilangan diri dan keluarganya itu terdedah sedikit demi sedikit mulai 13 November.
PKR pula, melalui lidah partinya mendakwa bahawa gambar yang boleh menunjukkan hubungan antara Najib dengan Altantuya kini disorok oleh polis. Suara Keadilan Bil 206 (10-17 November 2009), memetik dari Free Malaysia Today yang menemuramah wartawan penyiasatan Perancis Arnaud Dubus, berkata gambar "yang tidak dibuat salinan" itu telah diberikan kepada Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, dan diserah kepada polis kemudiannya.
Kenyataan tersebut sememangnya tidak perlu disokong dengan bukti. Ia bertujuan untuk mencalit imej Najib Razak yang pernah "bersumpah" bahawa dirinya tidak mengenali Altantuya. Apa pun kemungkinan di sebaliknya, yang sudah pasti, Saiful dan "Altantuya" kini telah masuk semula ke gelanggang politik.
Lingam jawapannya
Ramai akan bersetuju bahawa yang dibicarakan itu bukan Anwar atau Najib, tetapi sistem kehakiman negara Malaysia. Biarpun mahkamah memutuskan sama ada Anwar bersalah atau Najib tidak terlibat, dalam kes yang menyebut nama masing-masing, gagal mengubah persepsi awam.
Buktinya, Anwar telah dijatuhkan hukuman 10 tahun yang lalu, diulangi tuduhan yang sama sepanjang satu dekad ini, gagal menghalang sokongan rakyat terhadapnya. Sebaliknya, walaupun media arus perdana terus mendakwa tuduhan terhadap Najib bersama isterinya dalam isu Altantuya adalah fitnah semata-mata, gagal membersihkan nama PM dalam pandangan umum.
Inilah masalah persepsi yang menghantui Najib. Walaupun populariti Najib menampakkan lonjakan kebelakangan ini, bahkan tindakan undang-undang terhadap Anwar mungkin boleh mencelarukan langkah PR sendiri, tetapi jikalau inilah kesudahannya, maka ia hanya akan memperkukuhkan persepsi bahawa sistem kehakiman negara kita terus diperkudakan.
Dengan kata lain, walaupun kuasa berada dalam tangan Najib, tetapi beliau sebenarnya tersepit di dalam dilema ini. Dalam kes liwat mahupun Altantuya, sebarang keputusan mahkamah yang bercanggah dengan persepsi rakyat, walaupun mungkin benar, tidak akan diterima.
Perlu dinyatakan bahawa persepsi ini bukan sekadar persepsi, tetapi berasas, kerana kerajaan tidak memperlihatkan tekad untuk memperbetulkan sistem kehakiman. Menteri Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz boleh mempertahankan Lingam dengan seribu satu alasan dalam Dewan Rakyat, tetapi rakyat telah memberi jawapan dengan mengundi Loh Gwo Burne sebagai wakil rakyat Kelana Jaya.
Akhir kata, Najib Razak yang jelas lebih tangkas dan tegas dalam langkah politiknya, berbanding Abdullah Ahmad Badawi, boleh mengambil jalan singkat atau langkah "drastik" untuk menamatkan igauan yang menghantuinya selama ini, iaitu Anwar dan Altantuya. Anak Abdul Razak yang mewarisi corak pemerintahan Mahathir Mohamad ini, dipercayai akan melakukan segala-galanya untuk mengekalkan kuasa dirinya.
Cuma, sekeras Mahathir pun gagal mengubah persepsi rakyat dalam kes liwat Anwar. Apatah lagi, Najib kini berdepan dengan masyarakat Malaysia yang telah melalui zaman "Reformasi" dan "tsunami politik".
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Tuesday, November 17, 2009

KENYATAAN RASMI:Ucapan Tahniah Kepada Sdr.Dr.Syed Husin Ali

Parti Keadilan Rakyat Cabang Temerloh (KEADILAN Temerloh) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Saudara Dr.Syed Husin Ali Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat berikutan perlantikkan beliau sebagai Ahli Dewan Negara/Senator sebagaimana yang di putuskan oleh Dewan Undangan Negeri Selangor.

KEADILAN Temerloh percaya dengan kewibawaan serta pengalaman beliau yang banyak akan dapat memberikan sumbangan yang amat bermakna kepada rakyat dan parti.

KEADILAN Temerloh turut melahirkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Selangor dan seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri kerana mengambil inisiatif serta telah membuat pilihan yang tepat.

Kepada Saudara Dr.Syed Husin Ali yang kini berada di Tanah Suci Mekah menunaikan fardu haji,kami mengucapkan selamat berkhidmat sebagai Senator.

Sunday, November 15, 2009

Wajib Baca:The Third Force

Kuasa Ketiga?
S.Arutchelvan

Hakikatnya
"Third Force Often Ends Up Third". Isu adalah mengapa bina kuasa ketiga jika sistem politik yang sedia ada dapat menangani permasalahan rakyat.

Adakah PSM dilihat hari ini sebagai kuasa ketiga? Jawapan yang ikhlas untuk soalan ini adalah tidak. PSM masih belum memainkan peranan yang cukup untuk menonjol dirinya sebagai kuasa ketiga. PSM masih dalam proses dual iaitu membina parti dan membina kuasa rakyat melalui pendidikan idelogi dan aksi massa.

Adakah PSM sebuah parti pak turut kepada Pakatan Rakyat? Jawapannya juga adalah tidak. PSM sering dan sentiasa menonjolkan ide berbeza, membina kuasa rakyat berlandaskan perjuangan kelas dan menjalankan program-program baik kerja pilihan raya mahupun membina gerakan rakyat dengan matlamat memperkasakan rakyat untuk membawa perubahan dari bawah. Pemimpin PSM di Parlimen, DUN dan Kerajaan tempatan telah membawa agenda lain dan berbeza.

Persoalan Pokok mengenai Sistem Dua Parti

Sistem Dua Parti bukan bererti dua sistem. Jika ia membawa dua sistem berbeza maka ia mungkin boleh diterima oleh sebuah parti sosialis seperti PSM tetapi ia hanya bermaksud dalam erti realiti politik umpama pinang dibelah dua, ada pula orang berkata bahawa ia adalah umpama "Coke dengan pepsi".

Namun Sistem Dua Parti diagungkan dan ditonjolkan sebagai sistem politik yang paling demokratik dan paling berkesan dalam sistem politik hari ini. Propaganda ini memang memberi gambaran bahawa sistem Politik mirip Amerika Syarikat seolah-olah yang terbaik di dunia, Media kawalan kapitalis dunia yang dikonkong oleh kaum kapitalis terus mengibaratkan sistem dua parti sebagai sistem yang perfect.

Ini adalah kerana mereka faham bahawa mana-mana pihak yang menang dalam pilihanraya, hanya akan menukar parti politik tetapi bukan sistem pentadbiran negara tersebut. Kepentingan kaum kapitalis tidak tergugat dengan sistem dua parti malah kaum kapitalis terus cuba mewujudkan persaingan tipu dan dari masa ke masa menukar parti demi untuk menjaga kepentingan mereka.

Dalam sistem dua parti, rakyat hanya disajikan dua pilihan dalam menu seperti samada hendak minum Coke atau Pepsi manakala parti-parti lain tidak relevan. Politik Amerika Syarikat sebenarnya persaingan dua parti politik yang mendukung sistem kapitalis iaitu Parti Republican dan Parti Demokrat. Semasa Republikan memerintah , Polisi Bush adalah menambah tentera dan menyerang Iraq. Manakala Obama (gambar kanan) pula membantah dan mengutarakan pandangan untuk membawa pulang tentera dari Iraq tetapi strategi beliau pula adalah serang Afganisthan dengan strategi menambahkan jumlah tentera. Perang yang kedua-dua mereka pimpin adalah dikatakan perang menentang penganas "War against terrorism".

Di Britain, pilihan adalah antara Parti Buruh dan Parti Konservatif. Ada pandangan bahawa yang membezakan dua parti ini hanyalah nama sahaja. Seperti liga bolasepak Inggeris yang semakin membosankan di mana ia didominasi oleh satu dua kelab, politik Britain sejak dulu memang sama.

Satu lagi kelemahan ketara sistem dua parti, ia hanya mengatakan bahawa kuasa itu ditentukan oleh pilihan raya. Setelah rakyat membuat pilihan sekali dalam lima tahun, mereka tidak perlu dirujuk balik atau mereka tidak lagi menjadi penentu sebarang polisi.

Selain itu, tidak boleh dinafikan bahawa perubahan boleh juga berlaku melalui kuasa revolusi di mana rakyat massa mengambil alih kuasa. Ini juga adalah demokratik. Inilah inti sistem dua parti. Sistem yang sama tetapi parti yang berbeza.

Dalam konteks itu, secara terus terang jika PSM menerima sistem dua parti maka ini bererti PSM akan membelakangan idelogi perjuangannya. Maka PSM tidak boleh pada dasarnya menyokong sistem dua parti kerana ia bererti membelakangkan dasar perjuangan PSM.
Jika persoalan ditujukan kepada kami, adakah anda mempromosi satu sistem sosialis. Jawapan adalah cukup jelas iaitu "Ya". Dan untuk mengutarakan satu sistem alternatif sosialis, ia hanya boleh dilakukan apabila kita dapat keluar dari konteks konkongan sistem dua parti.

Sama seperti PAS. Jika wakil PAS ditanya adakah mereka memperjuangkan satu sistem Islam dan jawapannya mesti Ya dan jika jawapan adalah tidak maka pemimpin PAS itu akan dituduh tersimpang dari dasarnya. PSM sebagai parti berlandaskan idelogi Sosialis juga akan berhujah PSM untuk semua tetapi berlandaskan idelogi Sosialis.

PSM berpendirian bahawa kedua-dua parti dalam konteks ini iaitu BN dan PR menyokong sistem pasaran bebas sebagai sistem ekonomi yang dapat membawa kesejahteraan kepada rakyat Malaysia. PSM berpendirian bahawa sistem pasaran bebas mewujudkan dan melebarkan jurang antara kaya dan miskin dan merupakan sistem yang memastikan golongan majoriti yang bekerja tidak akan memerintah manakala minoriti kaum kapitalis akan terus memerintah.

Seluruh sistem ini berlandaskan keuntungan dan membawa padah kepada bukan sahaja kepada kesejahteraan rakyat tetapi membawa kemudaratan kepada alam sekitar kita. Oleh yang demikian, kita memajukan sistem sosialis sebagai alternatif. Untuk membina alternatif dalam konteks ini adalah samada kita boleh menjadikan PR lebih sosialis atau membina kuasa ketiga seperti topic hari ini.

Adakah idelogi sosialis masih relevan dalam abad ini dan pada abad yang akan datang? Adakah idelogi sosialis sudah ketinggalan dan tiada harapan? Jika tiada harapan, mengapa kita bercakap mengenai kuasa ketiga? Soalan samada sosialis ini masih relevan atau tidak sepatutnya ditanya kepada Pemerintah Kerajaan Malaysia mengapa mereka masih tidak mahu membenarkan Chin Peng (gambar kiri) yang berusia 90 tahun pulang ke tahahair? Soalan harus ditanya mengapa mereka mengambil 11 tahun untuk mendaftarkan PSM padahal parti lain boleh didaftar dalam masa seminggu? Soalan ini harus ditanya kepada FAKI di Indonesia yang sentiasa gerun apabila golongan kiri mengadakan program. Soalan ini harus ditanya kepada Lee Kuan Yew mengapa kaum kiri masih menghantui beliau dan ia masih bercakap mengenainya. Soalan ini harus ditanya kepada Menteri Dalam Negeri mengapa dokumentari "The last Communist" dilarang. Soalan ini harus diajukan kepada Obama yang baru-baru ini dimahkotakan pemenang hadiah novel untuk keamanan. Obama terus meneruskan polisi sekatan ekonomi ke atas Cuba dan sedang cuba memainkan peranan untuk menggulingkan kerajaan-kerajaan yang pro-Latin Amerika kepada progam ALBA yang diketuai oleh Venezuela, Cuba dan Bolivar.

Mereka semua tahu bahawa kaum kiri tidak boleh dipatahkan dengan begitu mudah. Mereka semua faham bahawa sistem sosialis bermatlamatkan menukar sistem kapitalis yang sedia ada dan bukan untuk membuat ubahsuai kosmetik. Inilah sebabnya idelogi Sosialis hari ini masih amat relevan.

Dari segi teori Marx pula, ia menjadi bahan rujukan setiap kali ada krisis ekonomi. Namun kepada mereka yang skeptic tentang masa depan sosialis, kami ingin menegaskan bahawa kami, PSM adalah golongan yang lahir setelah keruntuhan tembok Berlin, kami lahir pada pertengahan tahun 1990an, apabila dunia mendendangkan lagu bahawa puak kiri hanyalah peninggalan sejarah.

Bersenjatakan idelogi dan jiwa perjuangan, PSM telah menentang arus dan membina parti politik sosialis. Kami mendapat inspirasi dari kata-kata Che Guevara iaitu Let’s be realistic and do the impossible. Biar relistik dan Buat Keajaiban.

Sejak penubuhan, kini PSM mempunyai 14 Pejabat dan pusat khidmat di seluruh negara. Ini menunjukkan satu perkembangan mengalakkan memandangkan 70% keahlian PSM terdiri dari golongan muda iaitu 40 tahun ke bawah. Perkara yang sama tidak berlaku untuk banyak parti sosialis di dunia hari ini kecuali mungkin di Latin Amerika di mana semangat sosialis membara.

Maka dari segi teori dan prinsip, PSM memang menentang sistem dua parti apabila dua sistem itu sebenarnya adalah satu dan tak berubah.

Pertimbangan Rumit

Namun persoalan yang lebih rumit dan lebih susah adalah persoalan taktikal. Kaum kiri biasanya lebih banyak berpecah kerana menangani isu taktikal ini di mana ia akan dilihat sebagai antara mencairkan idelogi dan fahaman berbanding dengan meluaskan pengaruh dengan cara tidak memencilkan diri.

Dalam persoalan ini, adalah amat penting untuk kita membaca keadaan objektif sesebuah Negara. Jika kita tidak memhami keadaan objektif ini, maka kita mungkin akan membuat penilaian yang salah dan ini akan membawa padah kepada keseluruhan gerakan.
PSM percaya bahawa tidak ada "template" untuk membuat revolusi atau untuk mengambil kuasa. Kita terus belajar dari pengalaman negara lain baik dari Latin Amerika, Nepal dan sebagainya.

Tidak dinafikan bahawa ada parti kiri yang mempunyai formula dan template tertentu dan jika seseorang tidak mengikutnya, maka mereka akan dituduh pengkhianat atau revisionist. Untuk 53 tahun, Malaysia di bawah sistem satu parti atau satu rejim di bawah UMNO. Ramai yang merasakan bahawa ini adalah hakikat hidup yang perlu diterima sepanjang hayat. Parti pembangkang sebelum ini merasakan mereka hanya boleh menjadi pembangkang yang kuat untuk "check and balance" dan tidak termimpi untuk memerintah.

Mac 8 mengubah ini semua dan buat kali pertama dalam sejarah, ia memberi harapan untuk gabungan Pakatan Rakyat (PR) memerintah di peringkat Persekutuan. Ini ditambah pula dengan setiap pilihanraya kecil kecuali di Bagan Pinang dimenangi oleh Pakatan Rakyat.
Rakyat Malaysia begitu ghairah dengan perkembangan Politik ini. BN pula begitu gerun dengan prospek ini dan membuat segala-galanya untuk kekal memerintah. Najib sanggup memberi kewarganegaraan, meliberalisasi ekonomi dengan mengugurkan 30% ekuiti bumiputera dan lain-lain hanya sekadar untuk menang dalam pilihanraya depan. Kekalahan parti LDP di Jepun dan berakhirnya metos "RAHMAN" mungkin membawa alamat berakhirnya pemerintahan BN.

Dalam suasana ini, wujud satu persengketaan politik yang begitu sengkit antara BN dan PR. Ini adalah masa dan peluang yang paling cerah dan baik untuk mengakhiri hegemoni UMNO-BN dalam politik Malaysia. Walaupun ada perbezaan ketara antara parti-parti dikalangan PR, namun faktor yang mengekalkan perpaduan ini adalah untuk menumpaskan BN.

Dalam suasana ini, semasa rakyat Malaysia semua mahu melihat BN tumbang buat kali pertama, adakah wajar PSM membuka satu lembaran baru menuntut kuasa ketiga atau bekerjasama menumpaskan musuh yang dominan hari ini. Mungkin kawan-kawan saya di Asia Tenggara tersenyum sinis dengan kertas ini dan mungkin mereka telah melalui peringkat ini dalam perjuangan mereka.

Pada realitinya, adalah benar bahawa PSM tidak mempunyai pegangan yang sama dengan PR. Namun demikian, PSM merasakan PR boleh memajukan perjuangan ke tahap yang sedikit lebih tinggi dan justeru itu PSM membuat program minima dengan parti-parti PR. Selain dari perjuangan menentang ISA, terdapat banyak program PSM yang diterajui oleh PSM dan fronnya seperti Perjuangan menentang pengswastaan hospital, program menentang GST, menentang FTA, menuntut akta gaji minima di mana PSM bekerjasama dengan parti-parti PR.
Penglibatan dan input dan kempen berterusan ini juga sedikit sebanyak menyebabkan PR umpamanya di negeri Selangor membuat polisi mengenai Akta gaji minima RM 1,500 dan pelaksanaan cuti bersalin 90 hari.

Tindakan ini semestinya memberi kesan positive kepada perjuangan kelas pekerja di tempat lain. Kemenangan ini walaupun kemenangan ekonomi tetapi ia adalah baik kerana ia bercanggah dengan polisi neo-liberal.

Walaupun Kongres PSM ke-10 telah mengambil keputusan untuk berjuang bersama PR untuk menumpaskan BN tetapi tidak sekali, Kongres itu meminta PSM berkompromi dengan mana-mana pihak apabila hak dan kepentingan kaum pekerja tercabar. Selain daripada itu, adalah tanggungjawab dan misi PSM untuk terus membentuk ke arah membina jaringan-jaringan berlandaskan kelas untuk menumpaskan musuh-musuh kelas pekerja dan rakyat marhaen.

Kuasa ketiga pada hakikat hari ini memang tidak ada malah Kuasa kedua pun semakin tercabar hari ini sehingga Lim Kit Siang sendiri berkata ini mungkin kemenangan "one off" bagi PR jika gabungan ini gagal menangani masalah dalaman. Parti baru Uthayakumar berkata mengenai kuasa ketiga.

Walaupun bagi kita, kita berpendapat kuasa ketiga harus berlandaskan persamaan idelogi dan penyatuan kelas untuk membawa perubahan sistem bukan sekadar mengubah parti.
Masalah yang kita hadapi adalah kuasa kedua itu sendiri masih dalam proses pembentukan. Oleh yang demikian mungkin adalah tidak masuk akal untuk PSM dalam konteks politik hari ini untuk menuntut kuasa ketiga kerana keadaan objektif belum matang.

Jika PSM berbuat pendirian yang janggal dari pandangan umum, maka pendirian mungkin "isolated" dan terasing dari politik massa.

Namun cabaran adalah adakah PSM mahu memberi ilusi kepada rakyat tentang sistem dua parti dan jika PSM bekerjasama dengan PR, maka ia dituduh sebagai politik opportunist (ambil kesempatan) dan jika ia tidak bekerjasama dengan PR, ia dituduh sebagai pendirian yang utopian. Maka apakah pertimbangan yang ada pada kita. Bagaimana kita hendak mengimbangi keadaan yang cukup mencabar ini.

Pendirian PSM pada hari ini adalah berkerjasama dengan PR tetapi mengkritik dengan bertanggungjawab apabila polisi PR membawa padah kepada rakyat. Pada masa yang sama, PSM harus membuat kerja-kerja akar umbi dengan kuat dan tekun dan membina satu gerakan rakyat yang kuat. Kita tidak boleh sekadar menumpang dan "infiltrate" kerja parti lain seperti yang biasa dilakukan oleh banyak parti di Eropah. Kita harus membuat kerja di kalangan kaum pekerja dan marhaen untuk membina kuasa ketiga pada masa depan.

Pendirian ini adalah kritikal memandangkan hampir semua parti politik di Asia tenggara telah berpecah kerana perbezaan ini dan tidak dapat menangani persoalan ini, iaitu persoalan politik koalisi, kerjasama pilihanraya dan lain-lain yang ada kaitannya. Terbukti parti kiri di Filipina berpecah lebih teruk setelah Marcos digulingkan dan begitu juga parti kiri di Indonesia berpecah melipat kali ganda setelah Suharto ditumpaskan.

Maka adakah PSM akan menerima nasib yang sama. Buat masa ini, pendirian "Demokratik Centralism" yang dipegang oleh parti berjaya memajukan perjuangan kita langkah demi langkah.
Namun demikian, pengalaman di Philippines dan Indonesia memberi kita pespektif bahawa teori "stages" berperingkat tidak berjaya kerana rejim baru menjadi lebih ganas mengikut masa dan perjuangan kiri menentang rejim baru menjadi lebih lesu dan berpecah kerana persoalan antara ilusi dan realiti. Persoalan antara bilakah masa yang baik untuk bertindak dan sebagainya.

Isu ini di Malaysia adalah sedikit lebih rumit kerana komposisi perkauman ini yang menjadi darah daging politik Malaysia dan keadaan menjadi lebih teruk setelah Dasar Ekonomi Baru (DEB) dibentuk. Politik parti selepas 1970-an pula lebih menumpu kepada isu agama dan perkauman daripada isu kelas. Ini juga adalah zaman selepas crackdown terhadap Fron Sosialis. Cabaran PSM untuk sekian lama adalah untuk membentuk satu kumpulan kuat berlandaskan kelas. Matlamat ini bercanggah dengan pendirian banyak parti politik lain yang menggunakan isu kaum dan agama untuk mendapat undi popular.

James Puthuchery pernah berkata bahawa pengalaman sosialis di Malaysia berbeza dengan negara lain. Beliau berpendapat kaum sosialis perlu menangani persoalan Nasional dahulu sebelum menangani persoalan kelas. Tanpa menangani persoalan nasional maka tidak boleh maju perjuangan kelas ke depan.

Untuk memperdalamkan isu ini, saya ingin membuat perbandingan PSM dengan negara lain di Asia Tenggara. Di Filipina, 80% populasi adalah Roman katholik, 10 % kristian protestan manakala hanya 5% adalah Islam.

Di Indonesia, perangkaan 2000 adalah 86.1% adalah beragama Islam manakala 8.7% adalah kritian, 3% Hindu dan 1.8% Buddhist. Di Thailand, 94.7% populasi adalah Buddhist manakala 4.6% adalah Islam.

Sekarang keadaan di Malaysia pula adalah, 60 % beragama Islam, 19% Buddhist, 9% kristian dan 6% Hindu. Ratio golongan Majoriti dengan lain hanyalah 1.5:1 dan ini berbeza dengan negara lain di Asia Tenggara. Insecurity kebimbangan ini terus dimanupulasi untuk memastikan rakyat tidak bersatu mengikut kelas. Maka cabaran di Malaysia pada pandangan saya adalah jauh lebih rumit dari negara lain di Asia Tenggara kerana pertama kita kena menyatukan rakyat yang berpecah kerana kaum dan agama yang begitu dalam.

Oleh yang demikian pandangan Anwar Ibrahim untuk menukar polisi perkauman dalam DEB kepada satu polisi memberi keutamaan berdasarkan keperluan dan bukan perkauman dan slogan Najib 1Malaysia membawa kita ke satu babak baru politik Malaysia. Ramai yang berpendapat tindakan-tindakan Najib meniru agenda dan politik PR. Ini bermakna sistem dua parti yang kita lihat hari ini semakin hari membawa agenda yang hampir serupa. Ini juga bermakna, perjuangan menentang polisi Neo-liberal dan kapitalisma harus didokong oleh PSM dan parti-parti lain yang bersehaluan.

Rumusan

PSM tidak mempunyai ilusi mengenai sistem dua parti. PSM harus memantapkan kerjanya untuk membina kuasa pekerja. Namun keadaan objektif masih belum matang dan kuasa kedua masih dalam pembentukan dan belum lagi menjadi realiti.

Keadaan yang cukup dinamik dalam politik Malaysia tidak harus digunakan untuk memberi "hand-out" kepada rakyat kerana ini adalah yang cuba dilakukan oleh kedua-dua belah pihak.

Masa ini harus digunakan untuk meradikilasi rakyat dan memantapkan barisan parti dan fron-fron parti. Hegemoni UMNO-BN tidak boleh diperang dengan wang. Ia hanya boleh diperang dengan idelogi dan gerakan massa dari bawah.

*Kertas yang dibentangkan S.Arutchelvan, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia dalam forum "Sistem Dua Parti di Malaysia: Suatu Analisa Kritikal".

*Dipetik dari Merdekareview